Dikuasakan oleh Blogger.

Khamis, 29 April 2021

MARI MENULIS KARANGAN (edisi bahan dikemaskini)

 PENGENALAN KARANGAN ( PENULISAN )

1. Lazimnya , dalam ujian penulisan Bahasa Melayu calon-calon dikehendaki menulis sebuah karangan respons terhad di bahagian A dan respons terbuka di bahagian B kertas 2 .Untuk bahagian B terdapat 3 pilihan soalan.

BAHAGIAN B KERTAS 2(RESPONS TERBUKA)
2. Bagi tiap-tiap soalan, panjang karangan mestilah tidak kurang daripada 180 patah perkataan
Jenis-Jenis Karangan :
A. Karangan Berformat
1. Jenis Surat Kiriman Rasmi
2. Jenis Surat Kiriman Tidak Rasmi
3. Karangan jenis Ucapan
4. Karangan jenis Syarahan
5. Karangan jenis Dialog / Temuramah / Perbualan / Wawancara
6. Karangan jenis Berita
7. Karangan jenis Catatan Diari
8. Karangan jenis Laporan
9. Karangan jenis Perbahasan
10. Kad Jemputan
B. Karangan Tidak Berformat
1. Karangan Rangsangan Bergambar / Rangsangan Kata
2. Karangan Jenis Pengalaman / Cerita / Gambaran / Situasi
3. Karangan Jenis Fakta / Penerangan
4. Karangan Jenis Perbincangan
5. Karangan Jenis Melengkapkan Cerita
6. Karangan Jenis Autobiografi / Biografi
7. Karangan Jenis Peribahasa
TUJUAN ANDA MENGARANG
1. menguji kefahaman anda mengenai tajuk karangan itu.
2. menguji kebolehan, kemahiran dan keupayaan anda menarik minat pembaca.
3. menguji fikiran, pendapat, dan idea-idea anda.
4. menguji tentang sejauh mana pembacaan anda.

PANDUAN MENGARANG / MENULIS
Sebelum membuat sesuatu karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang :
a) Pengenalan
b) Isi-isi dan
c) Penutup

A. Pengenalan
 Setiap karangan mestilah mempunyai pembukaan atau pengenalan. Dalam pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu. Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam pada pemeriksa. Oleh itu pastikanlah terlebih dahulu pembukaan karangan hendaklah bersih daripada kesalahan tatabahasa atau ejaan.

B. Isi  Isi hendaklah mengikut kehendak tajuk karangan itu. Karangan perlu mempunyai empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait di antara satu dengan lain. Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan. Sebaik-baiknya satu isi, satu perenggan kecuali jika isi pendek-pendek dan berkait rapat. Tiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain. Jaga isinya supaya tidak terkeluar dari tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Isi karangan hendaklah asli tidak ditiru bulat-bulat dari karangan lain. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri. Jangan campur adukkan isi. Elakkan daripada menulis sesuatu isi dalam perenggan yang sama. Catatkan setiap isi sebelum menulis.

Tip
Antara kaedah mencari isi
Kaedah I ( pertanyaan )   Kaedah II ( peta minda ) Kaedah III ( dikemasek)
Apa ?
Siapa ?
Bila ?
Mengapa ?
Di mana ?
Bagaimana ?  

C. Penutup  Kalau pengenalan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk mengikuti karangan tersebut maka penutupnya juga hendaklah memberi suatu kepuasan kepada pembaca. Penutuplah yang menjadi kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan. Dalam penutup digambarkan juga pendapat kita dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau tergantung. Oleh itu penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan.
CARA-CARA MENGARANG / STRATEGI MENULIS
1. Sebelum menulis perkara yang dilakukan seperti di bawah :
a. Memilih tajuk
 - Baca dan fahami setiap tajuk / soalan yang diberi.
 - Fahami bentuk soalan sama ada jenis berformat atau tidak berformat.
 - Kamu mesti memilih soalan / tajuk yang benar-benar boleh dikuasai
 - Memahami benar-benar kata kunci atau kehendak soalan
 ( Kehendak soalan biasanya berada di akhir arahan seperti : ………………
              Tuliskan laporan mengenai lawatan tersebut. )
 Contoh :
 Perhatikan soalan di bawah ini.
 Soalan 1
 Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan sebuah karangan  mengenainya.
 
 Soalan 2
 Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan laporan mengenainya  untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.
Komen : Tajuk karangan di atas adalah sama, tetapi dari segi formatnya berbeza.
Tip Adalah lebih baik jika adik semua menggariskan perkataan-perkataan yang menjadi kata kunci dalam soalan itu. Ini mengelakkan karangan daripada terpesong atau terkeluar daripada tajuk sebenar.  
b. Menyusun rangka karangan
 - Pilih mana-mana kaedah yang mudah bagi anda mencari isi
 - Senaraikan semua isi penting secara ringkas yang mungkin.
 - susun isi mengikut urutan kepentingannya.
 - Masukkan huraian serta contoh yang sesuai bagi setiap isi yang akan dihurai.
 - Isi penting jangan diulang-ulang
c. Menulis karangan
- Semasa menulis karangan kamu mulakan dengan menulis pendahuluan terlebih dalu satu perenggan.
- Setiap isi yang dihurai perlu ditulis dalam satu perenggan berserta dengan contohnya.
( Bahagian-bahagian karangan yang ideal )
Perenggan Pendahuluan
Perenggan isi pertama
Perenggan isi kedua
Perenggan isi ketiga
Perenggan isi keempat
Perenggan Penutup
- Tulislah mengikut urutan rangka yang telah dibuat selain menjaga kekemasan tulisan.
d. Menyemak karangan
- Setelah habis menulis karangan kamu perlu menyemak bagi memastikan jika ada tulisan anda yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan imbuhan, struktur ayat yang salah dan aspek tatabahasa yang lain.
- baca berulang kali bagi memastikan ketepatan karangan kamu.
e. Secara umum peruntukan masa untuk sebuah karangan
i. 7 minit mencari isi
ii. 35 minit menulis karangan
iii. 3 minit menyemak semula karangan
Jumlah   = 45 minit
Kamu mesti menepati masa yang ditetapkan.

Tip
Kamu digalakkan menulis ayat yang pendek , ringkas dan padat berbanding yang panjang. Ini kerana ayat yang panjang biasanya terdedah kepada kesalahan tatabahasa.
Biasakan diri kamu mengolah ayat daripada isi yang telah disenaraikan.
Satu perenggan biasanya mengandungi 3, 4 atau 5 ayat sahaja bagi huraian satu isi.


MARI KITA MENULIS KARANGAN DENGAN MENGGUNAKAN KAEDAH DIKEMASEK

MODUL LATIHAN PENULISAN
KAEDAH :*DI KEMASEK

DI  = DIRI
KE  = KELUARGA
MA = MASYARAKAT
SE  = SEKOLAH
K    = KERAJAAN/NEGARA

* PILIH 3 SAHAJA UNTUK MENENGAH RENDAH DAN KESEMUA UNTUK MENENGAH ATAS
LATIHAN 1
 Perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia perlu diperkukuh
 dan dipertahankan. Huraikan pendapat anda tentang cara-cara untuk
 meningkatkan perpaduan kaum di  negara ini.
Panduan Menjawab
  1. Kehendak soalan- calon dikehendaki mengemukakan cara-cara atau langkah-langkah untuk meningkatkan perpaduan kaum.
  2. Sekiranya soalan itu berkaitan sebab, kesan dan cara-cara, maka dalam perenggan isi jawapan pelajar seharusnya menyentuh tentang diri, keluarga, masyarakat dan negara atau kerajaan.
  3. Dalam setiap perenggan penulisan seharusnya mengandungi 4 unsur iaitu ayat fakta, ayat huraian, ayat contoh dan ayat penegas.
    A1 .............. ( ayat fakta)................
     A2 .............( ayat huraian)..............                   4 unsur yang harus ada dalam
     A3 ...........( ayat contoh )........                               setiap  perenggan karangan
     A4 ........( ayat penegas )........
4. Perenggan  pendahuluan dan perenggan isi yang pertama telah ditunjukkan cara menulis.Justeru, para pelajar hanya dikehendaki melengkapkan tempat kosong karangan perenggan isi yang seterusnya dan juga perenggan penutup  di bawah dengan jawapan yang difikirkan sesuai. Kemudian salin semula karangan yang telah anda siapkan itu dalam buku karangan.
Contoh  Jawapan
Perenggan Pendahuluan
Ayat 1  (fakta)              :     Perdana Menteri Malaysia telah mencadangkan konsep
                                             Satu Malaysia
.
Ayat 2  (huraian)              Konsep ini adalah untuk mewujudkan rakyat  yang bersatu     
                                              padu  dan negara   yang maju mengikut  acuan sendiri.
Ayat 3 ( contoh )          :    Sebenarnya, konsep ini  telah lama dilaksanakan melalui
                                             Dasar Pendidikan Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan,
                                             Bahasa Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru, peranan
                                             Jabatan Perpaduan Negara dan ideologi Rukun Negara.
Ayat 4 ( penegas)         :   Oleh yang demikian, ternyatalah bahawa perpaduan
                                             merupakan asas kesejahteraan dan keamanan negara.
Perenggan Isi   ( Berkaitan Diri )
Ayat 1  (fakta)             :   Sehubungan itu, perpaduan yang hendak diwujudkan 
                                           hendaklah bermula dengan memiliki kesedaran dalam diri. 
Ayat 2  (huraian)           Individu yang tahu peranannya akan berusaha untuk
                                           merapatkan hubungan dengan kaum-kaum lain.
Ayat 3 ( contoh )         :  Umpamanya Ahmad yang mewakili kaum Melayu dan
                                        tinggal di sesebuah petempatan hendaklah bergaul dengan
                                         setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum serta agama.
Ayat 4 ( penegas)         :  Dengan cara ini akan  mengelak daripada prasangka buruk
                                           seseorang terhadap jirannya dan seterusnya perpaduan akan
                                          dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum.
Perenggan Isi ( Berkaitan Keluarga )
    Pilihan jawapan untuk mengisi tempat kosong    
       #  menanamkan sikap ...   Satu Malaysia   #  anak-anak  ... masyarakat  berbilang
       #   Selain itu, ibu bapa hendaklah                      #  semasa hendaklah

Ayat 1  (fakta)              :           ........................................................mendidik anak-anak
                                                  tentang kepentingan  perpaduan antara kaum.
Ayat 2  (huraian)          :      Ibu  bapa  dari semasa ke ................................berusaha
                                              untuk  membentuk keluarga yang berfikiran sihat dan  rasional.
Ayat 3 ( contoh )                Caranya ibu bapa perlu memberikan galakan
                                             kepada...............................................  agar  bergaul
                                              dengan...........................................................bangsa.

Ayat 4 ( penegas)         :      Justeru, didikan dari awal yang disemai oleh ibu bapa
                                               kepada anak-anak akan..................................... saling
                                               menghormati adat resam dan kepercayaan kaum lain, yang
                                               akhirnya akan membentuk generasi.....................................     

Perenggan Isi ( Berkaitan Masyarakat )
Ayat 1  (fakta)             :            ........................................mengadakan kegiatan yang
                                                  dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.
Ayat 2  (huraian)                 Langkah sebegini akan melahirkan .....................bersikap
                                                toleransi dan saling memahami antara satu sama lain
Ayat 3 ( contoh )          :     Oleh sebab itu, aktiviti seperti............................ dan  hari 
                                             keluarga amat sesuai dilakukan dalam masyarakat majmuk
                                             di................................ 
Ayat 4 ( penegas)         :   Jelaslah melalui aktiviti sedemikian rupa akan melahirkan
                                            masyarakat yang tidak lagi bersikap prejudis terhadap
                                            kaum-kaum lain dan menghormati hak keperluan kaum-kaum lain
                                            seperti yang...................... dalam Perlembagaan dan kontrak sosial.
Perenggan Isi ( Berkaitan kerajaan atau negara )
Ayat 1  (fakta)  :           ......................................menganjurkan kempen.............................
                                    ........................................................................................................
                                    .......................................................................................................
Ayat 2  (huraian)           :  Kempen yang dijalankan itu dapat menyekat
                                       anasir-anasir dalaman dan luaran yang bertujuan 
                                       untuk.....................................   ..     masyarakat.

Ayat 3 ( contoh )            Contohnya kempen………………………………………….. .......................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................

Ayat 4 ( penegas)         :...................................................................................................
                                    .......................................................................................................
                                    ..................................... semangat muhibah akan dapat  diperkukuh.

Perenggan Penutup atau Kesimpulan
            Kesimpulannya, perpaduan yang ada pada hari ini tidak menjamin kesejahteraan hari esok. Oleh itu, tingkatkanlah perpaduan demi kesejahteraan kita bersama

Contoh Karangan Lengkap  
          Perdana Menteri Malaysia telah mencadangkan konsep Satu Malaysia.
Konsep ini adalah untuk mewujudkan rakyat  yang bersatu padu 
dan negara yang maju mengikut  acuan sendiri. Sebenarnya, konsep ini 
telah lama dilaksanakan melalui Dasar Pendidikan Negara,Dasar Kebudayaan Kebangsaan,
Bahasa Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru, peranan Jabatan Perpaduan Negara
 dan ideologi Rukun Negara.Oleh yang demikian, ternyatalah bahawa perpaduan
 merupakan asas kesejahteraan dan keamanan negara.
        Sehubungan itu, perpaduan yang hendak diwujudkan  hendaklah
 bermula dengan memiliki kesedaran dalam diri.  Individu yang tahu peranannya
akan berusaha untuk merapatkan hubungan dengan kaum-kaum lain.
Umpamanya Ahmad yang mewakili kaum Melayu dan tinggal di sesebuah petempatan
hendaklah bergaul dengan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum serta agama.
Dengan cara ini akan  mengelak daripada prasangka buruk seseorang terhadap jirannya
 dan seterusnya perpaduan akan dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat
yang berbilang kaum.
                              Sila lengkapkan perenggan isi yang keseterusnya.
Kesimpulannya, perpaduan yang ada pada hari ini tidak menjamin kesejahteraan hari esok. Oleh itu, tingkatkanlah perpaduan demi kesejahteraan kita bersama.

LATIHAN 2
Semangat kejiranan semakin luntur dalam kehidupan moden pada hari ini. Huraikan langkah-langkah yang dapat dilakukan untuk meningkatkan semangat kejiranan.

Rangka Karangan
Pendahuluan
-          Semangat kejiranan mementingkan hubungan yang baik antara insan.
-          Semangat kejiranan semakin luntur – langkah-langkah untuk meningkatkannya.
Isi-isi
-          Menjalin hubungan baik dengan jiran – bertegur sapa tanpa mengira kaum dan kepercayaan  diri )
-          Menjalankan aktiviti kemasyarakatan – melibatkan semua penduduk setempat – merapatkan hubungan. ( masyarakat )
-          Kunjung-mengunjung semasa perayaan  – amalan rumah terbuka – mewujudkan sikap toleransi ( kerajaan )
Penutup
-          Semangat kejiranan mewujudkan masyarakat yang bersikap prihatin  dan mengambil berat.
-          semangat kejiranan yang utuh akan menwujudkan masyarakat madani di Malaysia.

CONTOH PENULISAN PERENGGAN PENDAHULUAN,ISI DAN PENUTUP.(DENGAN MENGGUNAKAN TEKNIK IMPAK ATAU AMB.COP)

Tajuk: Kesan gejala buli dalam kalangan pelajar.

(contoh perenggan pendahuluan) (Apa isunya?) Gejala buli dalam kalangan pelajar perlu ditangani dengan bijak supaya fenomena ini tidak merebak di sekolah. (Mengapa?) Sekiranya masalah ini tidak dapat dikawal, maka kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan akan merosot dan sekolah tidak dapat diangap sebagai institusi untuk mendidik generasi muda supaya menjadi warganegara yang seimbang dari segi jasmani,emosi,mental,dan sahsiah. (Bagaimana?) Pihak sekolah perlu mengambil berat tentang hal ini dan cuba menyelesaikannya sama ada secara bersendirian atau dengan mendapat bantuan daripada pihak berkuasa seperti polis. (Contoh) Malah, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengatakan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak tentang hal ini dan beliau ingin memastikan lima juta orang pelajar di 5000 buah sekolah di negara ini mendapat pendidikan dan perlindungan daripada sekolah. ( Penegasan ) Pada pandangan saya, gejala buli dan gangsterisme dalam kalangan pelajar jika tidak dibendung akan mendatangkan pelbagai kesan buruk kelak.

(Contoh perenggan isi) (Isu )Salah satu kesan buruk gejala buli dalam kalangan pelajar ialah perbuatan membuli secara tidak langsung menerapkan sifat ganas dalam diri pelajar terbabit dan jika masalah itu tidak dibendung,lama-kelamaan gejala ini akan menjadi amalan hidup mereka. (Mengapa?)  Hal ini   dikatakan   demikian   kerana  hasil kajian sebelum ini menunjukkan bukan hanya pembuli, malah mangsa juga membesar menjadi orang dewasa yang bermasalah. (Perkembangan hujah) Malah, kajian mendapati seorang daripada empat orang pembuli lelaki yang berusia lapan tahun berkecenderungan menjadi penjenayah apabila mencapai umur 30 tahun. (Alibi/ contoh) Buktinya, Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Profesor Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, berkata dapatan itu ialah hasil kajian membujur atau berterusan yang pernah dijalankan di luar negara termasuk Amerika Syarikat dan England. Bekas Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris itu (kesimpulan / rumusan idea atau hujah)  mengatakan bahawa hal ini terjadi kerana perbuatan membuli secara tidak langsung menerapkan sifat ganas dalam diri pelajar terbabit.

(Contoh perenggan penutup)
(Isu) Konklusinya, gejala buli dalam kalangan pelajar wajar diatasi dengan segera supaya keadaannya tidak menjadi seperti duri di dalam daging. (Mengapa dan perkembangan hujah) Semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini dan bukannya menyalahkan mana-mana pihak sahaja.(Alibi)  Apabila terdapat iltizam semua pihak, maka masalah ini dapat diatasi dengan segara. (kesimpulan / rumusan hujah)Akhirnya saya menegaskan bahawa gejala buli dalam kalangan pelajar mendatangkan impak buruk sekiranya tidak dibendung.

 






.










RUMUSAN BM PT3(kemas kini 23/10/2023 dengan skema jawapan untuk Latihan 1&2)

 Panduan Menjawab Rumusan

  1. Teliti kehendak soalan.Kemudian kenal pasti idea utama melalui kata kunci yang terdapat dalam petikan.Kata kunci tidak diberi,jadi pelajar perlu membaca dan memahami petikan untuk mengetahui kata kunci.Idea utama ini dianggap sebagai pendahuluan.

 

  1. Idea utama mungkin ada 1 atau mungkin ada 2

 

  1. Kemudian cari dan kenal pasti 6 idea sokongan(isi penting yang ada dalam  bahan petikan setelah memperoleh idea utama.Jika pelajar salah mengemukakan idea utama maka idea sokongannya juga akan salah.Kemungkinan dalam petikan memang cukup-cukup 6 sahaja idea sokongan yang diberi.Sekiranya lebih isi diberi mungkin antara 6-8.(bergantung kepada tahun semasa panjang pendek petikan dan skema jawapan)

 

  1. Akhir sekali pelajar dikehendaki menulis kesimpulan iaitu idea calon sendiri.Tidak boleh menulis kesimpulan yang diambil daripada bahan petikan.Pelajar kena buat sendiri.Harus ada sekurang-kurangnya 2 elemen,iaitu harapan&cadangan serta kesan.

 

  1. Dari segi binaan perenggan, murid dicadangkan menulis rumusan dalam satu perenggan tetapi dalam perenggan rumusan itu pastikan mengandungi idea Utama(pendahuluan),idea sokongan dan penutup/kesimpulan (kena fikir ...tidak boleh ambil dalam petikan).Namun tidak menjadi kesalahan jika pelajar menulis rumusan dalam 3 perenggan.Rumusan pelajar masih disemak seperti biasa.

 

  1. Cara-cara hendak memulakan penulisan ayat bagi rumusan...

i) Jika ada 1 idea utama:-

Petikan membincang tentang punca-punca pencemaran alam sekitar.

 

ii)Jika ada 2 idea utama:-

Petikan membincangkan punca-punca pencemaran alam sekitar dan langkah-langkah mengatasinya.

 

  1.  Markah rumusan ialah 15 markah,iaitu 10 markah untuk isi dan 5 markah untuk bahasa.

 

isi

Bilangan isi

markah

Idea utama

1

2m

Idea sokongan(Isi penting)

6

6m

kesimpulan

1

2m

Jumlah

8

10 markah     


Item Contoh Bahagian C– Rumusan 
[ masa  dicadangkan:15 minit]

 

Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis satu  rumusan yang panjangnya hendaklah tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.


Kemalangan jalan raya kerap berlaku di negara kita. Kadar kemalangan meningkat setiap kali musim perayaan walaupun pelbagai kempen dan tindakan dijalankan oleh pihak berkuasa. Peningkatan jumlah kematian merupakan suatu kerugian yang melibatkan nyawa, harta benda, wang, tenaga manusia, dan masa. Memandangkan bilangan kematian terus meningkat, maka pelbagai usaha perlu diambil untuk mengatasi kemalangan jalan raya. Antara usahanya ialah pengeluaran lesen memandu diperketat demi membendung kejadian yang menyayat hati terutamanya pada musim perayaan.

                                                              

            Para pemandu perlu menjalani ujian kecekapan atau latihan memandu yang teliti sebelum diberi lesen bagi memastikan mereka mengamalkan gaya pemanduan yang positif. Antara penyebab peningkatan kadar kemalangan jalan raya termasuklah sikap pengguna yang cuai. Hal ini dibuktikan melalui kajian yang dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menunjukkan bahawa 90 peratus daripada kes kemalangan jalan raya berlaku kerana kecuaian pemandu. Dalam memastikan kemalangan sifar dicapaihukuman yang lebih tegas sebagai pengajaran terhadap pemandu perlu dikenakan. Pemandu-pemandu baharu yang melakukan kesalahan dalam tempoh  dua tahun pertama perlu dikenakan tindakan perlanjutan tempoh percubaan sebelum mendapat lesen sepenuhnya.

 

            Orang ramai masih belum belajar daripada kesilapan-kesilapan masa lalu, malah pengalaman pihak lain juga dipandang rendah. Sejajar dengan itu, sudah tiba masanya pihak berkuasa mengkaji secara mendalam aspek-aspek yang sesuai dalam sistem pembelajaran dan pendidikan pemanduan di negara kita. Sistem pemanduan yang dikendalikan oleh pihak JPJ umpama sistem peperiksaan akademik yang diduduki oleh para pelajar. Sewajarnya, elemen sivik dipupuk pada jiwa seseorang pelajar  sehingga amalan tersebut tersemai dengan mendalam dan menjadi amalan apabila dewasa nanti.

 

            Di samping itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa, sekolah, dan masyarakat menyemai nilai-nilai murni dalam usaha melahirkan generasi pemandu yang berhemah. Penguatkuasaan undang-undang dan denda⑧ yang dikenakan perlu diketatkan supaya mereka yang bersalah dihukum sewajarnya. Selain itu, penetapan had laju di lebuh raya dan di jalan-jalan biasa ⑨ perlu dikekalkan kerana banyak kemalangan yang berlaku berpunca daripada kenderaan yang tidak dapat dikawal sebagai akibat dipandu terlalu laju. Para pengguna perlu disedarkan bahawa jalan raya bukanlah tempat untuk berlumba dan mereka perlulah memandu secara berhemah supaya tidak mengakibatkan nahas yang membabitkan orang lain.

 

            Jelaslah bahawa banyak langkah yang boleh diambil oleh individu, masyarakat mahupun negara pelbagai pihak dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Semua pihak perlu menggemblengkan tenaga secara lebih efektif untuk mengatasi kemelut ini, janganlah sudah terhantuk baru hendak tengadah kerana apabila sesuatu kecelakaan sudah berlaku, tiada guna menyesalinya lagi, kerana nasi sudah menjadi bubur. Tragedi kemalangan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan bila-bila masa kerana malang tidak berbau.

                                                (Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Budayakan Hargai Nyawa” oleh G. Manimaran, Utusan Malaysia, Disember 2003)

 

 

*  untuk tujuan pencontohan, latihan rumusan ini ada 9 idea sokongan.Namun begitu,diingatkan  dalam peperiksaan hanya 6 idea sokongan sahaja perlu di kenal pasti oleh calon.

 

 

Panduan Menulis Perenggan Lengkap Rumusan

 

Petikan membincangkan ( idea utama ). Antaranya ialah / adalah/termasuklah  ( idea sokongan 1 ). Selain itu, ( idea sokongan 2 ). Seterusnya, ( idea sokongan 3 ). Tambahan pula, ( idea sokongan 4 ). Selanjutnya, ( idea sokongan 5 ). Akhir sekali, ( idea sokongan 6 ). Kesimpulannya, ( kesimpulan ) supaya / agar / untuk ( penjelasan ).  

Contoh Jawapan 

 Petikan membincangkan usaha-usaha mengatasi kemalangan jalan rayaAntaranya termasuklah pengeluaran lesen memandu diperketatkanSelain itupara pemandu perlu menjalani ujian kecekapan atau latihan memandu sebelum diberi lesenTambahan pulahukuman tegas sebagai pengajaran terhadap pemandu perlu dikenakanSelanjutnya, pemandu-pemandu baharu yang melakukan kesalahan dalam tempoh  dua tahun pertama dikenakan hukuman tempoh percubaanSeterusnyasistem ujian pemanduan yang dikenakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan perlu dikaji semulaAkhir sekalielemen sivik dipupuk dalam jiwa pemanduKesimpulannyakadar kemalangan yang tinggi di jalan raya perlu dibendung supaya jalan raya menjadi tempat yang selamat untuk semua pengguna. 

Latihan 1  :   Rumusan (Bahan Petikan)

[Masa dicadangkan: 15 Minit ]

 

Baca petikan di bawah dengan teliti.Berdasarkan petikan tersebut, tulis satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

        Kebolehan melakukan tugas harian menyebabkan ramai orang menyangka bahawa mereka cergas. Sesetengah orang menyatakan bahawa mereka jarang-jarang sakit dan tidak kerap mendapatkan rawatan perubatan tetapi hal ini tidak bermakna keadaan fizikal mereka itu baik. Dari segi kesihatan, strategi yang berkesan untuk seseorang berada kekal dalam keadaan cergas dan sihat adalah dengan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Walaupun fakta ini diketahui umum, namun aktiviti yang berkait dengan kesihatan masih berada di tangga terbawah dalam senarai keutamaan yang perlu dilakukan pada setiap minggu.

        “Tubuh yang sihat membawa kepada akal yang sihat.” Bagaimanakah senaman menyumbang kepada akal yang sihat? Senaman dalam jangka panjang  akan melancarkan perjalanan darah ke otak. Peningkatan tekanan darah akan menyalurkan  darah ke otak yang kurang mendapat darah, seterusnya meningkatkan keperluan oksigen kepada otak. Hal ini menyebabkan kita akan menjadi lebih segar dan tidak mengantuk. Senaman aerobik pula mampu meningkatkan proses pembelajaran walaupun kepada golongan dewasa. Kita juga akan kelihatan hebat dan berkeyakinan setelah melakukan senaman kerana wujudnya kepercayaan dalam diri. Selain itu, senaman juga mampu menangani masalah kemurungan.

        Dari segi teori perubatan apabila seseorang bersenam, hormon adrenaline akan dibebaskan dan menyebabkan salur darah mengecil. Dengan itu tekanan darah akan meningkat dan darah sampai kepada organ dalam masa yang singkat. Sebagai kesannya, salur darah di otot pula dilebarkan untuk memenuhi keperluan oksigen kepada bahagian otot berkenaan.  Senaman menjadikan jantung berfungsi dengan lebih baik kerana darah perlu dipam cepat untuk memenuhi badan yang bermetabolisme tinggi. Hasilnya, seseorang akan sentiasa gembira dan  tenang.

        Bersenam secara konsisten dan mengamalkan diet seimbang membantu mengawal berat badan yang berlebihan. Obesiti meningkatkan risiko mendapat pelbagai penyakit seperti diabetes, penyakit jantung dan batu karang. Satu fakta menarik faedah bersenam ialah jangka hayat lebih panjang dalam kalangan orang yang dikategorikan mempunyai kecergasan sederhana berbanding dengan mereka yang tidak cergas. Hal ini terbukti melalui satu kajian yang mendapati kadar kematian kumpulan orang yang tidak cergas adalah sekali ganda lebih tinggi berbanding dengan mereka dalam kumpulan sederhana cergas. Tuntasnya, jadikanlah bersenam sebagai satu budaya hidup kita supaya kita kekal sihat sepanjang masa.

 

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada ‘Faedah-faedah Senaman’,

 oleh Ziauddin Sharuddin,

dalam Berita Minggu, 12 Mac 2010)

 

a)      Sila jawab latihan rumusan ini dalam buku latihan.

 Cadangan skema ini hanya sebagai panduan sahaja.

Latihan 1  :  Faedah-faedah senaman- Rumusan (Bahan Petikan-*jika ada tertinggal isi,cikgu tambah sendiri)            

1.    Petikan membincangkan faedah-faedah senaman. (2M)

2     Rumusan membincangkan faedah-faedah senaman. (2M)

CADANGAN IDEA SAMPINGAN :

ISI TERSURAT TERDAPAT DALAM PETIKAN:

1.Senaman dalam jangka panjang  akan melancarkan perjalanan darah ke otak.

2. . Senaman aerobik pula mampu meningkatkan proses pembelajaran walaupun kepada golongan dewasa.

3. Kita juga akan kelihatan hebat dan berkeyakinan setelah melakukan senaman kerana wujudnya kepercayaan dalam diri.

4.   Selain itu, senaman juga mampu menangani masalah kemurungan.

5. Senaman menjadikan jantung berfungsi dengan lebih baik kerana darah perlu dipam cepat untuk memenuhi badan yang bermetabolisme tinggi. Hasilnya, seseorang akan sentiasa gembira dan  tenang.

6.        Bersenam secara konsisten dan mengamalkan diet seimbang membantu mengawal berat badan yang berlebihan.

7. Satu fakta menarik faedah bersenam ialah jangka hayat lebih panjang dalam kalangan orang yang dikategorikan mempunyai kecergasan sederhana berbanding dengan mereka yang tidak cergas.

CADANGAN KESIMPULAN :

Kesimpulannya, bersenam banyak mendatangkan manfaat kepada setiap lapisan masyarakat,justeru masyarakat disarankan untuk bersenam agar kehidupan kita sentiasa sihat dan ceria.(2M)

           

           

Latihan 2  :   Rumusan (Bahan Petikan)

     Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.    

             Industri inap desa  sememangnya mempunyai potensi yang tidak kurang pentingnya kepada pembangunan negara. Sebenarnya, terdapat beberapa potensi industri inap desa dan cabaran-cabaran yang dihadapinya.

                Antara kepentingan industri inap desa adalah mampu membantu meningkatkan ekonomi negara. Apabila inap desa ditubuhkan dengan giat, maka keuntungan yang diperoleh daripada sektor ini akan menyumbang kepada pendapatan negara. Hal ini akan membantu negara memperoleh keuntungan yang berlipat kali ganda serta dapat memajukan negara.

                Di samping itu, industri inap desa dapat memperkenalkan sektor pelancongan Malaysia di mata dunia.Pelancong yang menginap di inap desa dapat melakukan pelbagai aktiviti terancang yang disediakan oleh pihak inap desa.Hal ini dapat memperkenalkan pelbagai budaya Malaysia yang terdapat di kawasan inap desa tersebut.Selain itu, industri inap desa juga mempunyai potensi dalam memajukan sektor pelancongan negara.Penubuhan industri inap desa di kawasan luar bandar mampu menarik minat ramai pelancong ke kawasan tersebut. Hal ini akan menyebabkan penduduk setempat memperoleh pendapatan yang lumayan berikutan kehendak pelancong untuk menyewa inap desa. Oleh itu, para pelancong yang ingin melawat ke kawasan pedalaman tidak perlu bimbang tentang tempat penginapan kerana terdapat inap desa.

                Seterusnya, potensi inap desa juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan. Apabila industri inap desa dibina di kawasan luar bandar maka terdapat banyak peluang  pekerjaan yang tersedia. Hal ini akan membantu penduduk setempat untuk bekerja di inap desa.  Contohnya, bekerja sebagai tukang cuci, tukang kebun, pengawal keselamatan dan sebagainya. Industri inap desa ini walaupun tidak membuka peluang pekerjaan yang banyak namun  mampu membantu golongan penganggur bagi mencari sumber rezeki.

                Antara cabaran yang dihadapi oleh industri inap desa ialah masalah kekurangan modal. Pengusaha inap desa sering berhadapan dengan masalah mendapatkan modal untuk kos pengurusan dan membayar gaji pekerja. Hal ini dikatakan demikian kerana pengusaha industri inap desa sukar mendapatkan pinjaman daripada bank berikutan faktor ekonomi mereka yang kurang kukuh. Situasi ini akan menyebabkan perkembangan inap desa agak perlahan dan terbatas. Selain itu, kedudukan inap desa yang jauh dari bandar menyukarkan para pelancong untuk mendapatkan kemudahan-kemudahan yang lain. Contohnya perkhidmatan bank, liputan talian dan pasar raya. Oleh hal yang demikian, semua pihak perlu berganding bahu dalam memajukan industri inap desa agar  terus berkembang dan menjadi salah satu sektor yang menyumbang kepada pendapatan negara kita.

 

a)      Sila jawab latihan rumusan ini dalam buku latihan.

 Cadangan Skema Latihan 2  :   Rumusan –Inap Desa( Sila Rujuk Bahan Petikan di atas)

     CADANGAN IDEA UTAMA :

1.      Petikan membincangkan potensi-potensi / kebaikan-kebaikan inap desa dan cabaran-cabaran yang dihadapinya. (2M)

2.      Rumusan membincangkan potensi-potensi / kebaikan-kebaikan inap desa dan cabaran-cabaran yang dihadapinya. (2M)

 

CADANGAN IDEA SAMPINGAN :

ISI TERSURAT TERDAPAT DALAM PETIKAN:

Potensi-potensi / kebaikan-kebaikan :

1.      mampu membantu meningkatkan ekonomi negara. (1M)

2.      dapat memperkenalkan sektor pelancongan Malaysia di mata dunia.(1M)

3.      mempunyai potensi dalam memajukan sektor pelancongan negara (1M)

4.      mampu mewujudkan peluang pekerjaan. (1M)

Cabaran-cabaran :

1.      masalah kekurangan modal. (1M)

2.      kedudukan inap desa yang jauh ke dalam kawasan kampung. (1M)

 

CADANGAN KESIMPULAN :

Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama bagi memajukan lagi pengusahaan inap desa di negara kita agar dapat menyumbang ke arah peningkatan ekonomi negara. (2M).

 

 

 

JOM IKUTI BLOG SAYA

"Masa itu emas"