1. Pengenalan
Hai, pelajar-pelajar sekalian! Sebelum ni saya pernah berkongsi bahan bagaimana cara hendak menulis perenggan pendahuluan dan perengggan penutup dalam laman blog ini. Kali ini cikgu berkongsi kesemua teknik untuk menulis perenggan pendahuluan, perenggan isi dan perenggan penutup setelah cikgu beranggapan bahawa pelajar telah menguasai kemahiran tersebut semasa di tingkatan 1 & 2 berdasarkan sukatan yang ditetapkan dalam standard pembelajaran.
Jadual di bawah akan mengimbas kembali apa-apa yang dipelajari oleh pelajar-pelajar untuk menguasai kemahiran perenggan Pendahuluan dan perenggan Penutup. ..Jom,kita lihat!
BUKU TEKS |
MUKA SURAT |
SP |
PEMBELAJARAN |
TEMA(T) & UNIT(U) |
TING.1 |
28,88,148 |
3.4.2 |
Pendahuluan |
T3&U5,T8&U15,T13&U25 |
TING.1 |
33,93,153 |
3.4.3 |
Penutup/kesimpulan |
T3&U6,T8&U16,T13&U26 |
TING.2 |
44,49,122,172 |
3.4.3 |
Pendahuluan dan kesimpulan/Penutup |
T4&U7&U8,T7&U19,T14&U27 |
TING.3 |
72-73 |
3.4.2 |
Pendahuluan |
Tema 6 |
TING.3 |
98-99 |
3.4.4 |
Penutup |
Tema 8 |
2.0 Pemahaman Tentang Perenggan
Pendahuluan
Perenggan
pendahuluan memperkenalkan tajuk karangan kepada pembaca. Dalam perenggan ini
belum terdapat sebarang isi, tetapi menyatakan hal yang berkait rapat dengannya
atau memberi perkenalan kepada tajuk karangan supaya pembaca lebih tertarik
untuk membaca perenggan seterusnya.Pendahuluan perlu mempunyai 3 konsep ayat
iaitu ayat tema(ayat pengenalan),ayat rangsangan(ayat ini boleh satu ayat atau
lebih) dan ayat arahan (berfokus kepada perbincangan kata kunci tajuk
berdasarkan tugasan soalan)
Pendahuluan
boleh dibina dengan tiga hingga lima ayat. Karangan bermula dengan ayat tema
atau ayat pengenalan. Satu ayat tema/pengenalan dikira sudah memadai. Ayat ini
akan membawa pembaca untuk memahami tajuk dan isi secara umum. *Ini
diikuti oleh satu,dua atau tiga ayat rangsangan, yang merupakan ayat yang
menyokong atau menghuraikan kenyataan dalam ayat tema/pengenalan.
Perenggan
ini diakhiri oleh satu ayat arahan yang
membawa pembaca secara tegas kepada tujuan atau arah karangan, iaitu persoalan
yang hendak dibincangkan dalam bahagian isi nanti.
Contoh :
(1) Akhir-akhir ini didapati bahawa kualiti air semakin
terancam. (2) Banyak kes pencemaran air dilaporkan berlaku
di sana-sini yang sangat membimbangkan kita. (3) Bukan
sahaja air sungai atau laut yang tercemar, malah sekarang melibatkan air yang
diproses di loji pembersihan. (4) Fenomena ini akan mengancam kesihatan dan
keselamatan sesiapa yang menggunakannya. (5) Masalah
ini terjadi adalah disebabkan oleh sikap anggota masyarakat sendiri yang tidak
memberikan perhatian terhadap kebersihan sumber alam tersebut.
Huraian:
Dalam
perenggan di atas, ayat (1) ialah ayat
tema/ayat pengenalan, manakala ayat
(2) hingga ayat (4) ialah ayat rangsangan . Ayat (5) pula
merupakan ayat arahan
yang memberikan bayangan paling
dekat terhadap inti tajuk, “sikap masyarakat merupakan penyebab pencemaran
air”.
* Pada peringkat menengah rendah terutamanya bagi
tingkatan 1 dan 2 sudah memadai pelajar boleh membina satu ayat rangsangan
sahaja,tetapi digalakkan untuk pelajar-pelajar tingkatan 3 membina lebih
daripada satu ayat rangsangan.
2.1 Membina Perenggan Pendahuluan
Teknik Asas.(teknik 3 ayat )
i.ayat tema
ii. ayat rangsangan ----) perlu ditulis dalam perenggan pendahuluan
iii.ayat arahan
-Untuk menulis pendahuluan pelajar boleh
menentukan terlebih dahulu jenis pendahuluan yang hendak digunakan seperti
pendahuluan jenis definisi, persoalan, suasana, sejarah, pendapat tokoh, peribahasa dan sebagainya.
a. Pelajar membina ayat tema –ayat
yang menyatakan pengetahuan pelajar tentang TEMA tajuk atau kata kunci tajuk berdasarkan kehendak soalan yang diberi.Ayat tema ini
boleh menarik minat pembaca / pemeriksa
untuk meneruskan pembacaan.
b. Pelajar menyokong ayat tema dengan ayat rangsangan yang sesuai.Hal ini bermakna ayat rangsangan itu dapat menyatakan huraian ringkas berkaitan ayat tema dan tajuk soalan.
Ingat para pelajar
jangan masukkan isi karangan dalam
membina ayat rangsangan ini.
c.Pelajar membina ayat arahan
(ayat yang dapat membayangkan isi karangan ) pada akhir perenggan pendahuluan.Jelasnya
ayat arahan ini dapat menyatakan kehendak soalan atau arahan tugasan dalam
soalan.
Contoh perenggan pendahuluan :
Remaja
hari ini terdedah kepada pelbagai ancaman jenayah yang boleh menjejaskan
keselamatan diri mereka.(Ayat Tema)
Malah, setiap hari media massa sering melaporkan ancaman terhadap keselamatan
diri masyarakat khususnya golongan remaja.(Ayat
Rangsangan) Oleh itu, golongan remaja perlulah melakukan usaha-usaha bagi
memastikan keselamatan mereka terjamin.(Ayat
Arahan)
(Pendahuluan Jenis Fakta )
3.0 MEMBINA PERENGGAN ISI
Jumlah perenggan isi bergantung
kepada jumlah isi utama. Satu isi utama dihuraikan dalam satu perenggan supaya
karangan lebih kemas dan memudahkan pemeriksa mengenal pasti isi utama dan isi
sampingan. Penyusunan isi utama pula mengikut kepentingan iaitu yang lebih
penting atau dapat dihuraikan dengan jelas hendaklah didahulukan.
Setiap perenggan isi boleh
dihuraikan dengan empat atau lima ayat. Perenggan isi dimulakan dengan satu
ayat topik,(isi/fakta/ayat utama) iaitu ayat yang menyatakan isi utama. Bagi
pelajar yang sudah cekap mengarang, ayat topik boleh juga diletakkan di tengah
atau bahagian akhir perenggan.
Tetapi, untuk memudahkan
pelajar membuat huraian, lebih baik diletakkan pada awal perenggan. Hal ini
diikuti oleh dua hingga empat ayat huraian.(ayat sampingan) Ayat ini
mengandungi isi sampingan atau sokongan kepada ayat topik, dan kadangkala boleh
digabungkan bersama dengan ayat contoh
yang difikirkan sesuai.Ayat contoh juga boleh ditulis secara berasingan.Akhirnya,dalam
perenggan penulisan isi yang baik dan mantap perlu ada ayat penyimpul/ayat
rumusan/ayat penegasan.
Contoh:
Satu daripada sikap sebilangan anggota
masyarakat kita adalah tidak mementingkan aspek kebersihan persekitaran dalam
kehidupan sehari-hari. (1) Mereka tidak
suka kepada sampah-sarap, tetapi mereka mengambil mudah urusan membuang sampah.
(2) Dengan sikap ini mereka menjadikan longkang, sungai dan tasik sebagai tong
sampah, sebagaimana yang lazim berlaku di perkampungan setinggan. (3) Hal ini
bukan sahaja menyebabkan air sungai atau tasik tercemar, tetapi juga memudahkan
terjadinya banjir kilat kerana laluan air tersekat ketika hujan.(4-ayat ini
masih lagi ayat contoh)Oleh yang demikian,nyatalah bahawa sikap anggota
masyarakat yang tidak mementingkan aspek kebersihan mengundang bencana kepada
manusia kembali.(5)
Huraian:
Ayat (1) merupakan ayat topik, iaitu yang menyatakan isi utamanya, “sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan”. Ayat berikutnya merupakan ayat huraian, iaitu ayat (2) dan (3&4) ialah ayat contoh dengan memberikan contoh sikap yang dinyatakan seperti ayat di atas, manakala ayat (5) menerangkan akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab tersebut yang merupakan ayat penyimpul/rumusan/peneguhan.
4.0
Pemahaman Tentang Perenggan Penutup/Kesimpulan
Perenggan penutup atau
kesimpulan berfungsi membuat rumusan secara keseluruhan segala idea yang telah
dicurahkan dalam perenggan-perenggan sebelumnya. Pelajar boleh membina
perenggan ini dengan menggunakan tiga hingga lima ayat. Perenggan ini tidak
seharusnya mengulang kembali apa-apa yang telah dituliskan dalam perenggan
pendahuluan. Beberapa cara menulis penutup yang mudah adalah seperti menyatakan
semula, membuat ramalan dan membuat syor. Walau bagaimanapun, pemilihan teknik
penutup perlulah sesuai dengan jenis karangan.
Kesimpulan
atau penutup merupakan rumusan menyeluruh yang merangkumi keseluruhan karangan
dalam satu penerangan yang padat. Tanpa kesimpulan, karangan berkenaan
dikatakan tidak lengkap atau tidak sempurna ( sumber buku teks tg.1,ms 33 ) Oleh yang demikian, perenggan
kesimpulan ialah perenggan akhir dalam sesuatu penulisan. Kesimpulan dibuat
berdasarkan maklumat daripada keseluruhan penulisan dengan menggunakan wacana
yang sesuai. Lazimnya, terdapat ayat yang memberi cadangan dan harapan dalam
kesimpulan.
Contoh 1 kesimpulan
Soalan: Huraikan faktor-faktor berlakunya kemalangan jalan raya.
Sebagai kesimpulannya, kes kemalangan jalan raya yang begitu tinggi di negara kita, terutamanya pada musim perayaan, perlulah diatasi. Dalam hal ini, pihak berkuasa mestilah bertindak tegas terhadap semua pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada.
Kempen-kempen yang dijalankan mestilah melibatkan semua pihak agar kesannya menyeluruh.(sumber buku teks tg.1, ms 93)
Selain itu,dapatlah
ditegaskan lagi bahawa perenggan kesimpulan atau penutup bertujuan untuk
merumuskan keseluruhan isi karangan. Secara umumnya perenggan kesimpulan
mempunyai:
- penanda wacana
- rumusan isi secara
umum
- cadangan
- harapan
Contoh 3 :Kesimpulan
Kesimpulannnya/Konklusinya, kes kemalangan di jalan raya yang begitu tinggi di negara kita,terutamanya pada musim perayaan perlu diatasi.(pendirian penulis) Dalam hal ini pihak berkuasa mestilah bertindak tegas terhadap semua pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dengan menguatkuasakan undang-undang yang ada. (ayat cadangan 1)Kempen yang dijalankan mestilah melibatkan semua pihak (ayat cadangan 2) Semua pengguna jalan raya perlulah beringat bahawa keselamatan di jalan raya ialah tanggungjawab semua pihak. (ayat harapan)
Contoh
4 :Kesimpulan
Intihanya, kes kemalangan di jalan raya yang begitu tinggi di negara kita,terutamanya pada musim perayaan perlu diatasi. .(pendirian penulis) Dalam hal ini pihak berkuasa perlulah bertindak tegas terhadap semua pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dengan menguatkuasakan undang-undang yang ada. (ayat cadangan 1) Pengguna jalan raya janganlah bersikap“sudah terhantuk baru hendak terngadah”.Sedarilah bahawa, keselamatan di jalan raya ialah tanggungjawab semua pihak. (ayat harapan)
4.1 RUMUSAN PEMAHAMAN TENTANG PERENGGAN PENUTUP/KESIMPULAN
• Isi perenggan perlulah dikembangkan dengan adanya ayat kesimpulan(pendirian penulis),ayat cadangan dan ayat harapan.
• Sebaiknya penulisan perenggan penutup perlu sekata sama seperti menulis perenggan pendahuluan dan isi.
• Ayat yang gramatis.
• Penggunaan penanda wacana yang tepat.
• Boleh
menyatakan peribahasa, perumpamaan, cogan kata dan sebagainya
dalam
perenggan penutup.
Justeru pemahaman
tentang kesimpulan karangan adalah seperti yang berikut:
1. Merumuskan isi dan
pendirian serta mengemukakan cadangan dan harapan.
2. Menyentuh perasaan
atau membangkitkan semangat.
3.
Ringkas, padat, dan tepat.(sumber
buku teks tg.2, ms. 122)
5.0 CONTOH KARANGAN PERENGGAN PENDAHULUAN,PERENGGAN ISI (PENULISAN PERENGGAN ISI MENGGUNAKAN TEKNIK IMPAK) DAN PERENGGAN PENUTUP.
Kepentingan menyambut hari merdeka
CONTOH PERENGGAN PENDAHULUAN
Tanah air kita merupakan salah sebuah negara yang
kian pesat membangun di rantau Asia. Pembangunan dari aspek ekonomi, politik
dan sosial telah mula bercambah sejak sebelum mencapai kemerdekaan lagi.Segala-galanya bermula daripada pengorbanan para pejuang negara yang
sanggup bermati-matian demi mencapai kemerdekaan untuk nusa tercinta.
Pengorbanan mereka mestilah dikenang dan dihargai oleh generasi masa ini. Saban
tahun, pihak kerajaan mengeluarkan sejumlah besar wang sebagai persiapan
menyambut hari kemerdekaan. Persoalannya, apakah kepentingan menyambut hari
kemerdekaan di negara kita? (Pendahuluan
Jenis Pertanyaan)
CONTOH PERENGGAN ISI 1&2 (TEKNIK IMPAK)
Salah satu kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita ialah
kita dapat mengenang jasa tokoh yang
telah berkorban demi mencapai kemerdekaan untuk tanah air.(ISI) Tokoh-tokoh yang telah tiada itu
rela berputih tulang daripada berputih mata melihat tanah air tempat tumpah
darah mereka dijajah oleh kuasa asing sepertti British dan Jepun.(MENGAPA) Mereka juga sanggup menggadai
nyawa demi membayar harga sebuah kemerdekaan.(PENEGASAN /PERKEMBANGAN)
Antara tokoh yang begitu berjasa kepada negara ialah Tunku Abdul Rahman,
Rosli Dhobi, Rentap, Kanang dan sebagainya.(ALIBI/CONTOH/BUKTI) Jelaslah di sini bahawa kepentingan menyambut
hari kemerdekaan di negara kita adalah untuk mengenang jasa tokoh.(PENGUKUHAN/RUMUSAN)
Seterusnya melalui sambutan hari
kemerdekaan, pihak kerajaan dapat mengekalkan perpaduan antara kaum di negara
kita.( ISI ) Umum mengetahui
bahawa Melayu, Cina dan India merupakan kaum majoriti di negara kita selain
kaum Dusun, Kadazan, Bidayuh, Melanau yang menjadi kaum minoriti.(ALIBI) Negara
yang harmoni dan sejahtera hanya akan dapat dibentuk jika semua kaum ini dapat
bersatu padu, bekerjasama dan bertoleransi.(MENGAPA)Melalui sambutan hari
kemerdekaan, semua kaum dapat berkumpul bagi meraikan hari kemerdekaan negara
yang kita cintai ini. Masyarakat berbilang kaum yang saling menyayangi, saling
menghormati dan saling bekerjasama merupakan pemandangan paling indah untuk
dipertontonkan kepada masyarakat di luar negara. (PENEGASAN)Jelaslah di sini
bahawa sambutan hari kemerdekaan dapat mengekalkan perpaduan antara
kaum.(PENGUKUHAN/RUMUSAN)
CONTOH PERENGGAN PENUTUP/KESIMPULAN
Konklusinya, sebagai rakyat Malaysia yang amat sayang akan negara, maka rakyat
perlulah bersungguh-sungguh meraikan hari kemerdekaan negara.(HARAPAN)
Jadikanlah perang saudara, pergolakan, dan peperangan yang berlaku di sesetengah
negara sebagai pengajaran. Tokoh sejarah terkenal, George Santayana pernah
berkata, “sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya semula,” Oleh
itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah menghargai nikmat kemerdekaan yang
kita kecapi ini.(SARANAN)
LATIHAN KARANGAN
Berdasarkan peta pemikiran di bawah huraikan
langkah-langkah untuk mengatasi tabiat merokok dalam kalangan masyarakat.Sila
guna teknik IMPAK untuk mengolah atau menghuraikan isi.