Dikuasakan oleh Blogger.

Sabtu, 19 Disember 2020

CERPEN TERBAHARU NUKILAN MOHAZ: MASIH ADA LAGI

 

 

 

 MASIH ADA LAGI

OLEH

  MOHD HAZLI BIN CHE SEMAN @ CHE OTHMAN

 

Bunyian unggas menemani kesepian kegelapan. Tuan Haji Afiq Husin memandang suasana malam dengan pandangan yang bolos. Kosong. Bercelaru. Masih ada lagi seorang anakku yang kurang berjaya. Mengapakah anaknya seorang ini kurang berjaya dalam bidang akademik? Tapi dia sudah nekad untuk membuat perhitungan dengan anaknya yang seorang ini.  Anak-anak lain tiada masalah tapi anak keempat ini agak beronal sikit dalam keluarganya. Dia berasa malu kerana anaknya yang seorang ini tidak berjaya seperti yang lain. Abang Long sudah menjadi  doktor seperti dirinya.  Alia pula sudah menjadi pensyarah cemerlang di salah sebuah univerisiti tertua di Malaysia. Kak Ngah pula bekerja dengan kedutaan Malaysia di Australia manakala anak bongsunya pula masih menuntut di universiti luar negara dalam jurusan kejuruteraan.

“Apa yang difikirkan itu bang, asyik mengelamun je,”  tiba-tiba kedengaran suara isterinya dari muka pintu dapur.

“Marilah makan, saya sudah siapkan gulai itik kegemaran awak. ”

“Gulai itik kegemaran saya sudah siap.Pasti malam ini dua hingga tiga pinggan selera saya makan nasi,” balas Tuan Haji Afiq Husin.

“Hah, Biah! awak itu guru besar sekolah, jadi sudah tentulah awak ada cara untuk menasihatkan anak kita si Ramli tu supaya  belajar  di kolej dalam bidang guaman. Saya mahu dia jadi peguam terkemuka.”

“Abang haji dah berbuih saya berleter dan memberi nasihat tapi anak kita yang seorang itu buat-buat  tak dengar je percakapan saya.Sekarang ini kalau kita hendak ajak duduk makan bersama-sama dan ajak berbincang pun dia tiada di rumah”, jawab Puan Habiah dengan muka yang mencuka.

“Ke mana pula anak kesayangan awak pergi?”, tanya Tuan Haji Afiq Husin.

“Ke mana lagi sebelum Maghrib tadi awal-awal lagi keluar ke rumah,katanya hendak pergi ke surau kemudian selepas Isyak hendak ke rumah Ustaz Kasim belajar agama”

“Oh, begitu!. Esok selepas balik kerja tolong beritahu Ramli yang saya hendak bercakap dengannya.”

Selama ini dia tahu yang dia seorang doktor pakar yang telah banyak berjaya mengubati pesakit  Bulimia Nervosa. Penyakit ini merupakan salah satu dari penyakit gangguan pola makan  Eating Disorder (ED). Dia tahu ED adalah salah satu daripada penyakit yang disebabkan oleh masalah mental. Kebanyakan pesakitnya mahu mendengar nasihatnya tetapi anaknya Ramli susah pula untuk ditegur dan menerima nasihatnya. Klinik Al Afiq di bandar Kuala Terengganu ditutup awal kerana hari ini Tuan Haji Afiq akan bertegas dengan Ramli supaya mengikut kata-katanya.

“Ramli, abah hendak engkau belajar di kolej swasta supaya nanti masa depan engkau terjamin. Apabila engkau ada kelulusan akademik yang tinggi engkau akan jadi peguam yang terkenal dan hidup engkau akan menjadi senang seperti abah sekarang. Bukan macam engkau sekarang ini . Apa hasilnya engkau habis belajar di pondok  Pasir Tumboh itu, tetapi sampai sekarang tiada kerja yang menjanjikan pendapatan lumayan”

“Tapi, abah saya tak berminat untuk jadi peguam. Lagipun sekarang saya sedang mendalami ilmu agama dengan Ustaz  Kasim kerana saya ingin sambung belajar di Mesir”.

“Sudah jangan tapi-tapi lagi. Jika kau belajar bidang agama tiada harapan kerjaya dan kemewahan di masa hadapan. Ikut saja cakap abah kerana bukan senang nak berenang, walaupun di dalam air yang tenang. Bukan senang nak bertenang, apabila air mata jatuh berlinang. Bukan senang nak senang, lebih-lebih lagi kalau mahu hidup senang dan lenang  seperti abah sekarang.”

“Ibu sokong pendapat abah engkau. Ibu tahu otak kau itu bukan lemah sangat.Tengok saja pencapaian keputusan SPM kau tiga tahun lepas bukannya teruk sangat cuma subjek bahasa Inggeris saja yang kau dapat D.Tapi, tup…tup, kamu buat keputusan hendak belajar pondok. Kami orang tua kamu sudah menunaikan hasrat kamu itu. Sekarang tiba pula giliran kamu untuk ikut cakap abah”, celah ibu menyokong kata-kata abah.

“ Kamu ni samalah perangai dengan anak-anak murid ibu di kelas corot susah dan degil untuk menerima nasihat. Kamu hendaklah ada matlamat yang jelas dan berjaya dalam kehidupan seperti adik-beradik kamu yang lain,”bebel ibu lagi.

“Abah, ibu, sudah menjadi lumrah dalam kehidupan ini, tidak semua yang kita rancang, kita akan dapat. Kegagalan dalam akademik adalah sesuatu yang mesti Ramli  tempuhi. Ramli tahu Ramli tidak sepandai adik-beradik yang lain. Ramli juga tidak dapat memenuhi hasrat abah dan ibu kerana Ramli lebih berminat dalam bidang agama”.

“Ramli… abah nak kamu untuk kembali mencapai hasrat yang diinginkan oleh abah dan berjaya dalam bidang akademik. Ingat, Thomas Edison mencuba beribu-ribu kali sebelum dapat mencipta sebuah mentol yang menyala. Beza antara orang yang berjaya dan gagal ialah orang berjaya bangun kembali daripada kegagalan manakala orang gagal terus hanyut dalam kegagalan mereka”

Pertengakaran dan pertikaman lidah antara Tuan Haji Afiq Husin, Puan Habiah dan anaknya Ramli itu berpanjangan hingga lewat senja. Ramli menyepikan diri. Segala isi hati Tuan Haji  Afiq telah dilepaskan. Dia berasa cukup tenang dan otak fikirannya tidak serabut lagi. Tiba-tiba Ramli bingkas bangun dari sofa yang telah didudukinya. Begitu hangat sekali sofa itu sama hangatnya dengan pertengkarannya dengan abah dan ibu.

“Maaf abah, ibu… Ramli tetap tak berminat untuk menjadi peguam. Izinkan Ramli belajar agama secara persendirian di Mesir nanti.”

Bulan Mei menjengah tiba dan esok merupakan hari-hari terakhir Ramli menghabiskan pembelajarannya di Mesir selama empat tahun.Tahun ini dia akan pulang berjumpa abah dan ibu dengan lebih lama lagi. Sebelum ini Ramli pulang hanya akhir  tahun sahaja.  Itupun waktu cuti belajar.  Setiap kali kepulangan Ramli ke Villa Nuansa Impiana di Bandaraya Pesisir Pantai Kuala Terengganu kelihatan abah sentiasa menyambutnya dengan perasaan yang dingin.

 Kepulangan Ramli ke tanah air kali ini penuh dengan kejutan.  Rupanya abahnya telah jatuh sakit mengejut sebulan yang lepas. Tuan Haji Afiq Husin telah terkena penyakit Emfisime, iaitu penyakit yang ada kaitan dengan sistem respirasi. Berita abahnya yang sakit tidak diberitahu kepada Ramli.

Penyakit abah semakin teruk. Kata Abang Long doktor yang merawat abah, alveoulus abah menjadi besar dan rosak. Abah mudah menjadi letih walaupun membuat kerja yang ringan dan kerap sesak nafas.  Keadaan abah semakin tenat. Dalam keadaan abah sebegini hanya Ramli mencapai Al-Quran dan membaca Yasin untuk abah.  Abah merasa tenang dengan alunan suara Ramli yang membaca Yasin itu.  Akhirnya abah menghembus nafas terakhir dengan tenang.  Ramli yang menguruskan segala hal yang berkaitan pengurusan jenazah. Memandikan abahnya,  sembahyang jenazah sehinggalah membaca talkin. Sekarang Puan Habiah disaat ini berasa begitu pilu dan bangga dengan Ramli.Tanggapannya selama ini terhadap bidang pilihan Ramli selama ini salah.

Bulan Mei tahun ini menjengah lagi. Maka genaplah setahun pemergian arwah suaminya yang tercinta. Anaknya yang keempat sudah berjaya dalam kehidupannya seperti adik-beradiknya yang lain. Ramli kini bergelar imam muda. Rezeki anaknya sentiasa ada dan melimpah ruah. Ada saja jemputan ceramah agama, jemputan memandikan jenazah, jemputan kenduri arwah dan sebagainya. Tetapi anaknya tidak pernah menetapkan bayaran. Dia menerima sahaja apa-apa bayaran yang diberikan. Tiba-tiba nada deringan WhatsApp  telefonnya berbunyi. Nada deringan itu telah menyedarkan Puan Habiah daripada lamunannya. Puan Habiah terpaku seketika apabila membaca mesej yang diterima dalam kumpulan WhatsApp Pendidik.

 

Petikan kata-kata yang diterimanya berbunyi begini. Masih ingat dengan kata-kata ini. Kenapa murid aku tak jadi seperti yang aku hendaki? Murid yang biasa-biasa ini mungkin menjadikan kita tidak leka dengan kerjaya dan rencahnya. Jangan lukai hati murid kita. Terimalah pemberian Allah dengan reda. Sayangi mereka sama rata. Doakan mereka tak kira di mana. Maaf dan ampunkan penuh tulus tanpa berbeza kasih.

Kata-kata itu membuatkan Puan Habiah semakin sedar atas kesilapan dia mendidik dalam keluarganya sendiri sebelum ini. Dia dan arwah suami hanya mementingkan kejayaan akademik dan sentiasa membuat perbandingan kejayaan Ramli dengan anak-anak yang lain serta pilih kasih dalam memberi kasih sayang kepada Ramli ekoran Ramli tidak sebijak abang, kakak dan adik bongsunya.

“Tuan Haji  Afiq Husin jika hayat engkau panjang sebenarnya engkau boleh melihat dengan penuh bangga bahawa masih ada lagi seorang anak yang meneruskan perjuangan Rasullulah dalam dunia akhir zaman ini,” gumam Puan Habiah.

 Kali ini, air mata terburai mengalir di pipinya tanpa disedari. Terasa sejuk perutnya mengandung kesemua lima anaknya telah berjaya dalam bidang masing-masing. Ramli juga tidak terkecuali telah menjadi seorang pendakwah yang disegani.

 

 

Nukilan oleh:

                        mohaz.

 

 

 

Retorik:Perwatakan, Emosi, dan Etika Guru Dalam Menghadapi Aksiom Pelajar Corot

 

   Retorik:Perwatakan, Emosi, dan Etika Guru Dalam Menghadapi Aksiom Pelajar Corot

 

Oleh:Encik Mohd Hazli Che Seman @ Che Othman

 

Pengenalan

                Penulisan ini dikupas  berdasarkan disiplin ilmu penulis dalam bidang retorik yang mempunyai pluralisme makna. Retorik bermakna  seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar[1]. Manakala mengikut  Isocrates pula retorik ialah suatu seni yang memerlukan minda yang bertenaga dan imaginatif  merangkumi semua aspek komunikasi. Retorik yang berkaitan dengan seni perucapan ini juga meliputi taakulan, perasaan, dan imaginasi.[2]Selain itu,retorik juga dianggap sebagai penggunaan medium atau bahasa untuk memujuk diri sendiri atau pun orang lain yang  berlandaskan penggunaan retorik sebagai landasan penyampaian dan berkomunikasi tentang maklumat. Atas landasan retorik inilah yang memberi impak kepada penerima untuk merubah sama sekali pandangan dan pendirian mereka.Mengikut  Stephen dalam bukunya ‘The Art of Public Speaking’,tujuan retorik lebih berkesan apabila disertai dengan penggunaan analisis, penjelasan dan pemujukan. Apakah perkaitan  retorik dengan aksiom? Aksiom ialah pernyataan yang diterima umum (tidak dibuktikan tetapi ternyata daripada pengalaman sebagai suatu kebenaran) dan menjadi asas bagi sesuatu huraian.Fenomena sebegini memang dihadapi oleh guru-guru yang mengajar pelajar  corot dalam proses pemudahcaraan dan pembelajaran.Oleh yang demikian,kecekalan dan semangat dalaman guru diperlukan untuk menghadapi segala kerenah atau perwatakan para pelajarnya.Kemahiran retorik diperlukan sebagai kemahiran menangani perwatakan para pelajar, bahkan juga kemahiran untuk membendung emosi diri guru sendiri,  memahami dan menilai emosi pelajar yang melibatkan etika guru  sebagaimana yang terkandung dalam falsafah pendidikan.

 

Perwatakan, Emosi dan Etika Guru Dalam Menghadapi Pelajar Corot.

 

                Teori pembelajaran mazhab behavioris banyak mengaitkan perwatakan dan emosi dalam proses pengajaran – pembelajaran (P & P). Pada persepsi penulis teori ini memang ada kebenarannya. Saya sendiri sepanjang mengajar di beberapa buah sekolah memang menghadapi kerenah para pelajar corot saban tahun.Malah,hasil daripada pemerhatian  aksi-laku,gerak-rasa dan gerak-fikir terhadap perwatakan para pelajar ini membawa kelahiran emosi mereka yang berselirat hala tuju dalam pelajaran.Katakan seorang pelajar A dalam hatinya bebas  berkata untuk tidak mahu belajar atau ingin ponteng kelas,tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana terikat dengan peraturan dan etika sekolah.Jadi,sifat atau tingkah laku pelajar A itu disebut sebagai perwatakan,manakala perasaannya yang berniat untuk ponteng kelas atau malas belajar pula disebut sebagai emosi.Tetapi niat pelajar A itu dihalang oleh peraturan. Jadi,sebagai seorang guru yang memahami etika kerjanya perlu mendampingi pelajar sebegini untuk memberi bimbingan kepada hati nurani mereka supaya belajar untuk mencapai kejayaan untuk mengurus kendiri dan dalam aspek akademik diharap lulus.Bagi para pelajar yang tetap melanggar peraturan dengan ponteng kelas, malas belajar, menjawab mulut guru, tidak buat latihan dalam kelas dan sebagainya merupakan satu cabaran buat pendidik.Malah, adakalanya emosi guru mengalami rasa geram,hilang kesabaran dan kehilangan kepercayaan mandiri ketika proses pengajaran.Namun,hendak atau tidak kita sebagai seorang guru harus meneruskan pengajaran kepada mereka berdasarkan elemen 9 dalam FPK.Lagipun, sememangnya tugas mengajar merupakan co-business guru.Tetapi,apakah cara untuk menangani permasalahan ini? Adakah kesilapan kita mengajar sehingga pelajar tidak tertarik dengan cara kita, walhal pemilihan strategi pemudahcaraan dan pembelajaran yang sesuai telah dibuat.Bagaimana pula dengan sikap,kehendak diri dan penerimaan kognitif pelajar berkenaan dalam pelajaran? Sedangkan kita tahu kebolehterimaan kognitif mereka dalam pelajaran adalah lemah,lambat,sikap ketidakacuhan mereka dalam belajar dan ada yang mahu belajar tetapi ketidakupayaan mereka menerima maklumat pembelajaran, ekoran ketidakfahaman secara berterusan pelajar dalam bahagian tatabahasa dan sebagainya. Pernah pelajar saya mengatakan yang kedatangannya ke sekolah kerana tidak tahan dengan bebelan ibu bapa, bosan berada di rumah, datang ke sekolah kerana semata-mata untuk dapatkan wang saku, ada kawan-kawan yang satu pemikiran (sekepala) dan pelbagai sebab lagi yang diberikan kepada saya.Alasan-alasan sebeginilah yang memberi impak kepada atma guru sehingga berlakunya keberlangsungan sikap tidak bena terhadap para pelajar itu dan keadaan ini mencabar profesionalisme guru.Walaupun pada saat saya menulis artikel ini tiada pendalilan deduktif tetapi permasalahan ini pernah diceritakan atau dikongsikan kepada saya dan dialami sendiri oleh rakan guru yang lain yang turut menghadapi masalah sama apabila berhadapan dengan pelajar corot.Guru-guru yang mengalami situasi seperti saya ini telah membuat tasdik kepada pernyataan isu atau tajuk yang hendak saya sampaikan.

               

Oleh yang demikian,bukan senang untuk memanusiakan manusia. Sekiranya pelajar dan guru bermimpikan dengan penuh lampauan emosi untuk memiliki sesuatu,tetapi tiada komunikasi yang berkesan, maka kecelaruan emosi akan wujud dalam diri pelajar dan guru. Keadaan ini boleh merubah personaliti guru dan pelajar,kerana menghadapi tekanan dari aspek psikologi. Bagi Sigmund Freud pula yang merupakan pendokong kuat teori prinsip kenikmatan psikologi telah menganggap manusia lahir lengkap dengan naluri jantina dan agresif terhadap orang lain.Oleh yang demikian,wujud pula tingkah laku manusia yang dipandang sebagai hasil interaksi antara tiga alat dalam sahsiah iaitu Id (Dia),Ego (Aku) dan Superego (Aku yang agung).Hal ini menyebabkan akan ada sikap guru yang berasa mengajar kerana kewajipan tugas sahaja dan mengalami perasaan  meluat, bosan,lali atau diistilahkan  burn out  dengan para pelajar corot. Manakala pelajar pula menunjukkan sikap protes dan benci akan guru sehingga mereka memilih cara untuk ponteng kelas.Oleh yang demikian,guru dan pelajar tidak lagi berjalan sederap serta seiringan untuk memenuhi tujuan P& P dalam kelas. Lantaran itu, dua gambaran emosi ini akan menyerlahkan lagi perwatakan guru dan pelajar yang menghadapi situasi emosi bercelaru,serabut dan pelbagai lagi.

           

Tekanan psikologi ini secara implisitnya dapat didiagnosis  berlaku kepada diri guru.Guru mengalami tekanan psikologi sebegini akan menyebabkan wujud proses membina terhadap kerisauan sehingga membawa perwatakan guru tersebut kepada fikiran yang bertentangan dan memaparkan Ego sebagai sesuatu yang sesuai untuk menyatakannya kepada masyarakat sekolah.Lagipun tekanan tersebut berlaku dalam keadaan bawah sedar. Kerisauan dan kekecewaan inilah yang disebut sebagai perwatakan yang menghadapi gangguan emosi.Hal ini dapat dibuktikan melalui kenyataan berikut;

                                         

Sebanyak 4.4 peratus atau 2,123 daripada 48,258 guru

dikenal pasti mengalami stres tahap sederhana tinggi tahun lalu,

kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.                                                                                                                                                       (Berita Harian Online,28 Ogos 2018)

                Memang tidak dapat dinafikan lagi,bebanan kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar,kerja guru ditambah dengan tugas perkeranian yang tidak relevan membebankan guru untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas membawa kepada berlakunya gangguan emosi atau stres. Kutipan data 4.4 peratus guru stres itu disebabkan oleh beberapa faktor seperti  isu keluarga, kewangan,pentadbiran,bebanan tugas, tidak mendapat penghargaan, kekurangan kemahiran dalam menjalankan tugas dan tidak dilatih untuk menangani stres.[3]Justeru, guru-guru yang mengalami faktor tersebut bolehlah dikatakan terdedah kepada risiko untuk mengalami tekanan sehingga boleh membawa kepada penyakit kemurungan. Nor Zuraida, kebanyakan mereka menghidap kecelaruan bipolar, iaitu kewujudan pelbagai karakter yang berlawanan dengan keadaan guru terbabit sebelumnya. Hal ini diikuti kebimbangan melampau dan kemurungan.Mereka yang mengalami kecelaruan bipolar nampak sihat seperti biasa, malah pada tahap hipoaktif, mereka menjadi rajin dan produktif dalam melakukan sebarang kerja walaupun tidak mempunyai waktu rehat yang cukup.[4] Hal ini menyebabkan guru mengisolasikan dirinya kerana tidak sanggup lagi menghadapi tekanan psikologi secara berterusan.

Walau apapun situasi, guru tetap guru yang perlu masuk kelas untuk mengajar kerana etika dan profesionalisme guru yang menuntut untuk berbuat demikian.Dalam penghidupan seorang guru dengan kerjayanya, etika yang wujud merupakan peringatan kepada watak - perwatakan guru kerana adakalanya sesuatu perkara itu boleh buat atau tidak boleh buat.Oleh itu, guru perlu banyak menggunakan bahasa retorik yang indah, menyentuh jiwa, memerlukan tafsiran dan pemikiran yang mendalam bagi menghadapi para pelajar corot.Impaknya, mendatangkan manfaat kepada diri guru sendiri dan pelajar dalam menangani emosi masing-masing.Adakalanya etika boleh diketepikan apabila menghadapi situasi rencam dengan para pelajar  corot. Hal ini dikatakan demikian kerana,etika sesuatu yang relatif dan adakalanya psikologi dan falsafah mengambil alih peranan etika.Psikologi bermakna guru perlu menyoroti  ke dalam diri pelajar kepada tujuan dan keinginan manusia yang bergelar murid  sangat kompleks. Sementara itu, falsafah pula menjelajah keluar untuk mencari erti kehidupan manusia dalam hubungannya sesama manusia, dengan alam semesta dan tuhan.

Retorik:Weltanschauung dan Penyelesaian Fenomenon

Sedari saya menulis artikel yang mengandungi pendalilan silogisme yang dikemukakan ini boleh disangkal premisnya, sekiranya khalayak tidak berpuas hati.Audiens boleh mengutarakan premis-premis baharu sama ada dalam bentuk pendalilan induktif atau deduktif serta menggunakan penghujahan asertif,penghujahan berilustrasi dan penghujahan faktual.Kembali saya kepada tujuan asal penulisan artikel ini.Oleh itu, izinkan saya menyatakan situasi rencam para pelajar corot berdasarkan disiplin ilmu retorik,kosmologi dan pemikiran Melayu(bukan dalam disiplin ilmu pendidikan) yang saya pelajari dulu bahawa para pelajar ini bersikap retorikus malas,retorikus culas dan retorikus lizardus dalam ruang lingkup entiti dunianya.Justeru,guru harus berusaha untuk mengubah pemikiran,kepercayaan dan perlakuan para pelajar corot.Jadi,guru(perucap) yang ingin menggunakan retorik pemujukan harus tahu lebih mendalam tentang kecenderungan,minat,pemikiran literal dan penerimaan lateral kecerdasan daya kognitif (otak),termasuk kebolehan membaca serta kecondongan pelajar terhadap sesuatu subjek.Pekara inilah yang merupakan cabaran dan ketakutan guru dalam mengatasi fenomena berkenaan.Segala kekangan dan rintangan bukan mudah untuk mencari titik penyelesaian dan seterusnya menggapai  matlamat dalam proses pemudahcaraan dan pembelajaran.Tambahan pula, fakulti minda para pelajar corot berada di tahap lemah.Oleh yang demikian,pemujukan yang hendak dilakukan oleh seorang guru mesti berkomunikasi tentang informasi dengan jelas, ringkas dan perlu menggunakan kaedah-kaedah penyampaian  yang menyakinkan kepada para pelajar yang bolehlah saya istilah sebagai pelajar galus (gagal lulus),pelajar halus (harapan lulus) atau garus(gagal terus) atau lampau lemah.Hal ini dikatakan demikian kerana pemujukan merupakan satu proses psikologikal dalam konteks untuk menyatakan sudut pandangan kita dan kemudian menyematkannya dalam pemikiran orang lain (pelajar) sehingga membolehkan mereka  lulus dalam peperiksaan atau setidak-tidaknya dalam kejayaan mereka menguruskan kehidupan selepas keluar dari alam persekolahan.

Selain itu, pemujukan yang saya buat tertumpu kepada pemujukan tidak rasional( ethos dan pathos) bukan pemujukan rasional(logos atau reason).Sebagaimana menurut Aristotle menyatakan pemujukan adalah seperti berikut:-


“Aristotle defines it, is faculty of observing in any given case the available means of persuasion, and since the orator adresses a popular audience including untrained thinkers,his appeals is threefold: to their reason (logos), to their feelings (pathos),and to their confidence in his character, that is,in his virtue,competence,courtesy,good sense,good will (ethos).It thus appears,says Aristotle,that rhetoric is an offshoot of dialectic (logos) and also of ethical studies(ethos and pathos)”

                Lantaran itu, usaha memujuk orang merupakan sesuatu yang susah. Walau bagaimanapun tanpa kita sedar pemujukan sebenarnya berlaku setiap hari dalam kehidupan kita, sama ada ia berlaku pada individu atau berkumpulan bagi menyatakan weltanschauung perucap terhadap subjek.Untuk tujuan ini, guru hendaklah melaksana pemujukan tidak rasional bagi berkomunikasi tentang maklumat dengan baik dan memerlukan segala skil berucap supaya para pelajar corot akan memberi reaksi dan aksi serta menaruh kepercayaan.Pemujukan sebegini tidak merayu kepada intelek tetapi pada perasaan dan emosi.Kesan-kesan emosi adalah luas seperti gembira,belas kasihan,geram,sayang,cekal dan sebagainya. Dengan mempermain-mainkan perasaan itu,guru berharap untuk mengubah kepercayaan dan kelakuan para pelajarnya. Dalam hal ini,sekiranya guru berjaya menaruh kepercayaan dan membuka halangan kepada ruang emosi berdasarkan Model Tingkap Johari,maka hubungan guru –pelajar menjadi harmoni.Seterusnya dapat merungkai segala tekanan kepada beban dan mental guru.Manakala perwatakan pelajar pula dapat menjadi insan yang boleh ditunjuk ajar, menerima kita sebagai gurunya dengan rela hati dan suka untuk berada dalam kelas kerana minat dengan guru berkenaan.Tetapi, perkara ini bukan mudah untuk dilaksanakan kerana ia menuntut kesabaran dan kecekalan yang paling tinggi.Malah,saya sendiri kadang-kala mengalami konflik mengajar dengan para pelajar corot.Apakah kita mampu menghadapi realiti dan konflik sebegini secara berterusan? Sukar untuk saya memberi jawapan.Kata hati audiens yang membaca artikel saya ini mungkin dapat menjawab pertanyaan saya.Apa-apapun berikanlah kepada saya, tuhanku yang Maha Esa segala kekuatan dalam menghadapi dilema ini.


                 Di samping itu, kajian tindakan dan inovasi dalam P&P boleh dilaksanakan kepada para pelajar corot untuk membantu mereka lulus dalam peperiksaan.Namun, sejauh manakah keberkesanan kajian dan kejayaannya? Saya sendiri pernah terlibat dengan kajian tindakan pada peringkat daerah,negeri dan kebangsaan pada tahun 2005,2007,2010,2015 dan 2018.Pada persepsi saya ingin tegaskan bahawa hasil kajian ini tidak semestinya dapat digunakan untuk pelajar kelas lain kerana ia bergantung kepada budaya dan kebolehan pelajar semasa membuat kajian,tetapi kaedahnya boleh diadaptasi serta diterapkan pengamalan cara kepada para pelajar lain.Pada tahun 2018 pula,ketika pertama kali berada di SEMKIP saya diarahkan  membuat kajian tindakan untuk Seminar PdPc Abad ke-21 dan Karnival Inovasi Peringkat Kebangsaan yang bertemakan ″Amalan Terbaik PdPc KBAT Abad ke-21 menerusi Revolusi Industri 4.0”kali ini responden kajian saya melibatkan pelajar lemah bahagian C.Akhirnya,metodologi kajian di kenal pasti dan kaedah SuASim diperkenalkan untuk mengatasi kelemahan pelajar tersebut.

Refleksi

                Tuntas bicara,dalam menghadapi aksiom pelajar corot memang kita akan melalui jerih-perih untuk melahirkan pelajar yang berjaya dalam pelajaran, apatah lagi dalam soal untuk mengejar pembentukan insan kamil jauh sekali.Sekiranya guru terlalu berharap, meletak pencapaian akademik pelajar semata-mata,maka akan membawa tekanan-tekanan emosi dalam diri seseorang guru.Natijahnya, apabila tidak mencapai target dan apa-apa yang diharapkan,lama-kelamaan guru itu sendiri akan berasa nihil.Oleh sebab itu,pada prinsip penghujahan deduktif  dan pengaklunan pemikiran saya,maka kejayaan para pelajar corot bukan bergantung kepada pengukuran kejayaan akademik sahaja.Persoalan yang menjadi premis saya ialah para pelajar corot nanti berjaya menempatkan diri dalam hubungan kemasyaraktan yang positif, bekerja untuk meneruskan keberlangsungan penghidupan,mengurus diri atau keluarga dan mencapai kebahagiaan duniawi serta ukhrawi.Sekiranya audiens berasa premis saya tidak berada pada landasan keabsahan silalah menegur saya dengan diskusi,polemik berilmiah atau penghujahan induktif dan marilah kita bersama-sama mengumpul data-data empirikal serta seterusnya mencapai konsensus dalam senario menghadapi pelajar corot.

BIBLIOGRAFI

Akhbar Dalam Talian/Sumber Internet

 Mohd Anwar Patho Rohman4.4 Peratus Guru Stres”.Berita Harian Online,28 Ogos,2018.

Akhbar

Siti Nor Afzan Kasiman. Ramai Guru Sakit Jiwa.Kosmos,23 Mac,2009.

Buku

E.Lucas,Stephen. The Art of Public Speaking. USA: McGraw-Hill,1995.

Hamidah Abd.Hamid. Pengantar Estetik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1995.

__________.Kamus Dewan.Edisi ke-4. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,2007.

Mok Soon Sang. Nota Ulangkaji dan Latihan P.T.K. Bandar Puchong: Multimedia-ES Resources Sdn.Bhd.,2005.

Peter Dixon. Retorik. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991.

Wilson, John. The Philosophy. London: Heinemann Educational Books Ltd.,1972.

 

 

 



[1] Kamus Dewan,edisi keempat,hlm.1135.

[2] Peter Dixon, Retorik, (Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,1991),hlm.14-15.

[3]4.4 Peratus Guru Stres.Berita Harian Online,28 Ogos,2018.

[4]Ramai Guru Sakit Jiwa.Kosmos,23 Mac,2009.

LATIHAN GOOGLE FORMS TATABAHASA 02/1 (PT3)

 

 

JOM IKUTI BLOG SAYA

"Masa itu emas"