Dikuasakan oleh Blogger.

Sabtu, 22 September 2012

Latihan ringkasan (edisi latihan dikemaskini)


Kelemahan calon

A)    Ringkasan.

1.      Isi tidak mencukupi.

2.      Pemilihan isi tidak tepat.

3.      Menyalin  petikan sepenuhnya.

4.      Tidak menggunakan penanda wacana yang sesuai.

5.      Menulis jawapan melebihi jumlah patah perkataan.

6.      Kesalahan bahasa dari segi penggunaan kata, frasa dan tanda baca.

7.      Penggunaan bahasa yang lemah.

8.      Kesalahan ejaan yang ketara.


 
Bahagian C  – Ringkasan

[ 15 markah ] 

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang sebab-sebab perubatan tradisional masih mendapat tempat dalam kalangan pengguna.  Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

            Pendapat bahawa perubatan moden merupakan penawar terbaik untuk setiap jenis penyakit adalah tidak tepat. Hal ini terbukti apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan bahawa 80 peratus penduduk dunia bergantung pada perubatan tradisional. Kerana miskin mereka tidak berupaya untuk membeli makanan, apatah lagi bagi mendapat rawatan moden.

            Belakangan ini, minat masyarakat dunia terhadap perubatan tradisional berasaskan herba semakin bertambah malah herba dianggap sebagai pelengkap kepada perubatan moden. Para penyelidik mengakui bahawa kesedaran tentang kesan sampingan ubat-ubatan moden semakin meningkat.  Rakyat di negara kita pula semakin banyak yang menghidap penyakit kronik seperti barah dan AIDS sedangkan perubatan moden masih gagal menemui penawarnya. Keadaan seperti ini, ditambah dengan kos perubatan yang semakin tinggi menyebabkan pesakit beralih kepada perubatan tradisional berasaskan herba. Oleh itu, ubat-ubatan berasaskan herba ini sewajarnya dikomersialkan dan dijual pada harga yang rendah supaya mampu dibeli oleh pengguna.

            Walau bagaimanapun, kita masih memerlukan perubatan moden kerana bukan semua penyakit boleh dicegah atau disembuhkan melalui perubatan tradisional. Perubatan tradisional hanyalah mengisi kekosongan yang ada dalam perubatan moden. Oleh itu, ubat-ubatan berasaskan herba dalam perubatan tradisional ini perlu dikaji dan dibangunkan dengan keupayaan sains dan teknologi supaya benar-benar berkesan. Kini, kajian bioteknologi mengenai ubat-ubatan ini giat dijalankan di kebanyakan negara di dunia ini. Di Malaysia pula, perubatan tradisional berasaskan herba diamalkan sejak zaman-berzaman  seperti dalam rawatan resdung, rawatan kecantikan dan rawatan selepas bersalin.

            Satu fakta yang jelas ialah bukan semua ubat moden yang diambil oleh pesakit akan masuk ke dalam sistem tubuh. Oleh sebab itu, walaupun dua orang pesakit menghidapi  penyakit yang sama, ubat yang serupa tidak akan memberikan kesan yang sama kepada mereka. Selain itu, ubat-ubatan yang moden hanya merawat penyakit itu sahaja, sedangkan ubat-ubatan tradisional mampu mengesan dan merawat punca penyakit tersebut. Keadaan ini menyebabkan pesakit yang mengambil ubat-ubatan moden perlu bergantung pada ubat-ubatan tersebut sehingga akhir usia.

         Dipetik dan diubahsuaikan daripada ‘Herba                          Pelengkap kepada Perubatan Moden’, Berita                           Harian, 16 April 2006)


 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Retorik:Tinjauan kelas corot


Retorik:Perwatakan, Emosi, dan Etika Manusia Dalam Menghadapi Aksiom Kelas Corot
 
Oleh:Encik Mohd Hazli Che Seman @ Che Othman
Guru Cemerlang Bahasa Melayu
 
Abstrak
 
Hipotesis ini bertujuan untuk membicarakan hubungan  retorik dengan perwatakan, emosi,dan etika manusia dalam menghadapi aksiom kelas corot. Berkaitan dengan perwatakan,emosi, dan etika ini mempunyai perkaitan antara satu sama lain.Malah, etika juga memperlihatkan tentang norma masyarakat, budaya, dan agama.Justeru, hal ini menjadi ketakutan dan cabaran kepada  guru dalam mengajar pelajar-pelajar kelas corot.
 
Abstract
 
This hypothesis is meant to talk about the rhetoric of characteristic, emotion and ethic in dealing with general assumptions concerning students in the least able class.  To begin with; character, emotion, and ethic are relevant to each other where ethic is considered as a norm or the public’s belief in culture, religion, and society. Thus, these are the reasons that intimidate teachers’ in teaching students’ from the least able class. 
 
Pengenalan
                Penulisan ini dikupas  berdasarkan disiplin ilmu penulis dalam bidang retorik yang mempunyai pluralisme makna. Retorik bermakna  seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar[1]. Manakala mengikut  Isocrates pula retorik ialah suatu seni yang memerlukan minda yang bertenaga dan imaginatif  merangkumi semua aspek komunikasi. Retorik yang berkaitan dengan seni perucapan ini juga meliputi taakulan, perasaan, dan imaginasi.[2]Selain itu,retorik juga dianggap sebagai penggunaan medium atau bahasa untuk memujuk diri sendiri atau pun orang lain yang  berlandaskan penggunaan retorik sebagai landasan penyampaian dan berkomunikasi tentang maklumat. Atas landasan retorik inilah yang memberi impak kepada penerima untuk merubah sama sekali pandangan dan pendirian mereka.Mengikut  Stephen dalam bukunya ‘The Art of Public Speaking’,tujuan retorik lebih berkesan apabila disertai dengan penggunaan analisis, penjelasan dan pemujukan. Apakah perkaitan  retorik dengan aksiom? Aksiom ialah pernyataan yang diterima umum (tidak dibuktikan tetapi ternyata daripada pengalaman sebagai suatu kebenaran) dan menjadi asas bagi sesuatu huraian.Fenomena sebegini memang dihadapi oleh guru-guru yang mengajar kelas corot dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Oleh yang demikian,kecekalan dan semangat dalaman guru diperlukan untuk menghadapi segala kerenah atau perwatakan para pelajarnya.Kemahiran retorik diperlukan sebagai kemahiran menangani perwatakan para pelajar, bahkan juga kemahiran untuk membendung emosi diri guru sendiri,  memahami dan menilai emosi pelajar yang melibatkan etika manusia  sebagaimana yang terkandung dalam falsafah pendidikan.
 
Perwatakan, Emosi dan Etika Manusia Dalam Menghadapi Kelas Corot.
 
                Teori pembelajaran mazhab behavioris banyak mengaitkan perwatakan dan emosi dalam proses pengajaran – pembelajaran (P & P). Pada persepsi penulis teori ini memang ada kebenarannya. Saya sendiri sepanjang mengajar di sekolah ini memang menghadapi kerenah para pelajar kelas corot saban tahun.Malah,hasil daripada pemerhatian  aksi-laku,gerak-rasa dan gerak-fikir terhadap perwatakan para pelajar ini membawa kelahiran emosi mereka yang berselirat hala tuju dalam pelajaran.Katakan seorang pelajar A dalam hatinya bebas  berkata untuk tidak mahu belajar atau ingin ponteng kelas,tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana terikat dengan peraturan dan etika sekolah.Jadi,sifat atau tingkah laku pelajar A itu disebut sebagai perwatakan,manakala perasaannya yang berniat untuk ponteng kelas atau malas belajar pula disebut sebagai emosi.Tetapi niat pelajar A itu dihalang oleh peraturan. Jadi,sebagai seorang guru yang memahami etika kerjanya perlu mendampingi pelajar sebegini untuk memberi bimbingan kepada hati nurani mereka supaya belajar untuk mencapai kejayaan untuk mengurus kendiri dan dalam aspek akademik diharap lulus.Bagi para pelajar yang tetap melanggar peraturan dengan ponteng kelas, malas belajar, menjawab mulut guru, tidak buat latihan dalam kelas dan sebagainya merupakan satu cabaran buat pendidik.Malah, adakalanya emosi guru mengalami rasa geram,hilang kesabaran dan kehilangan kepercayaan mandiri ketika proses pengajaran.Namun,hendak atau tidak kita sebagai seorang guru harus meneruskan pengajaran kepada mereka berdasarkan elemen 9.Lagipun, sememangnya tugas mengajar merupakan co-business guru.Tetapi,apakah cara untuk menangani permasalahan ini? Adakah kesilapan kita mengajar sehingga pelajar tidak tertarik dengan cara kita, walhal pemilihan strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai telah dibuat.Bagaimana pula dengan sikap,kehendak diri dan penerimaan kognitif pelajar berkenaan dalam pelajaran? Sedangkan kita tahu kebolehterimaan kognitif mereka dalam pelajaran adalah lemah,lambat,sikap ketidakacuhan mereka dalam belajar dan ada yang mahu belajar tetapi ketidakupayaan mereka menerima maklumat pembelajaran, ekoran ketidakfahaman secara berterusan pelajar dalam bahagian tatabahasa dan sebagainya. Pernah pelajar saya mengatakan yang kedatangannya ke sekolah kerana tidak tahan dengan bebelan ibu bapa, bosan berada di rumah, datang ke sekolah kerana semata-mata untuk dapatkan wang saku, ada kawan-kawan yang satu pemikiran (sekepala) dan pelbagai sebab lagi yang diberikan kepada saya.Alasan-alasan sebeginilah yang memberi impak kepada atma guru sehingga berlakunya keberlangsungan sikap tidak bena terhadap para pelajar itu dan keadaan ini mencabar profesionalisme guru.Walaupun pada saat saya menulis skrip ini tiada pendalilan deduktif tetapi permasalahan ini pernah diceritakan kepada saya dan dialami sendiri oleh guru lain yang mengajar kelas 3 Qahar 4, 4 Tasawur dan 5 Tasawur (kemudian dibubarkan) sesi 2009.Permasalahan yang sama juga berlaku di tingkatan 1 Cekal, 3 Qahar 3 dan 4 Perdagangan sesi 2010.Guru-guru yang mengalami situasi seperti saya ini telah membuat tasdik kepada pernyataan isu atau tajuk yang hendak saya sampaikan.
               
Oleh yang demikian,bukan senang untuk memanusiakan manusia. Sekiranya pelajar dan guru bermimpikan dengan penuh lampauan emosi untuk memiliki sesuatu,tetapi tiada komunikasi yang berkesan, maka kecelaruan emosi akan wujud dalam diri pelajar dan guru. Keadaan ini boleh merubah personaliti guru dan pelajar,kerana menghadapi tekanan dari aspek psikologi. Bagi Sigmund Freud pula yang merupakan pendokong kuat teori prinsip kenikmatan psikologi telah menganggap manusia lahir lengkap dengan naluri jantina dan agresif terhadap orang lain.Oleh yang demikian,wujud pula tingkah laku manusia yang dipandang sebagai hasil interaksi antara tiga alat dalam sahsiah iaitu Id (Dia),Ego (Aku) dan Superego (Aku yang agung).Hal ini menyebabkan akan ada sikap guru yang berasa mengajar kerana kewajipan tugas sahaja dan mengalami perasaan  meluat, bosan,lali atau diistilahkan  burn out  dengan para pelajar kelas corot. Manakala pelajar pula menunjukkan sikap protes dan benci guru sehingga mereka memilih cara untuk ponteng kelas.Oleh yang demikian,guru dan pelajar tidak lagi berjalan sederap serta seiringan untuk memenuhi tujuan P& P dalam kelas. Lantaran itu, dua gambaran emosi ini akan menyerlahkan lagi perwatakan guru dan pelajar yang menghadapi situasi emosi bercelaru,serabut dan pelbagai lagi.
           
Tekanan psikologi ini secara implisitnya dapat didiagnosis  berlaku kepada diri guru.Guru mengalami tekanan psikologi yang amat berat dan keadaan ini menyebabkan wujud proses membina terhadap kerisauan sehingga membawa perwatakan guru tersebut kepada fikiran yang bertentangan dan memaparkan Ego sebagai sesuatu yang sesuai untuk menyatakannya kepada masyarakat sekolah.Lagipun tekanan tersebut berlaku dalam keadaan bawah sedar. Kerisauan dan kekecewaan inilah yang disebut sebagai perwatakan yang menghadapi gangguan emosi.Hal ini dapat dibuktikan melalui kenyataan berikut;
                                        
                                            Menurut Pakar Perunding Kanan Psikiatri,
            Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),
            Prof. Nor Zuraida Zainal, setiap tahun dianggarkan
            22,000 pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan
            wad psikiatri hospital berkenaan. Kira-kira 10 peratus
            daripada mereka terdiri daripada golongan guru.
                                                                                                                     (Kosmos,23 Mac 2009 )
                Memang tidak dapat dinafikan lagi,bebanan kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar, mereka juga terpaksa menyediakan soalan-soalan peperiksaan dari semasa ke semasa, mengisi buku kedatangan, buku disiplin dan ringkasan mengajar, borang kesihatan dan rekod kemajuan murid, kelab dan persatuan, serta mengendalikan persiapan hari sukan. Justeru, guru-guru dikatakan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan sehingga boleh membawa kepada penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan. Malah, kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendapati 70 peratus daripada 9,000 guru di seluruh negara tertekan bukan sahaja kerana beban tugas tetapi juga terpaksa berdepan dengan kerenah pengetua, kerani, ibu bapa dan juga pelajar.[3]
Menurut Nor Zuraida, kebanyakan mereka menghidap kecelaruan bipolar, iaitu kewujudan pelbagai karakter yang berlawanan dengan keadaan guru terbabit sebelumnya. Ini diikuti kebimbangan melampau dan kemurungan.Mereka yang mengalami kecelaruan bipolar nampak sihat seperti biasa, malah pada tahap hipoaktif, mereka menjadi rajin dan produktif dalam melakukan sebarang kerja walaupun tidak mempunyai waktu rehat yang cukup.[4] Hal ini menyebabkan guru mengisolasikan dirinya kerana tidak sanggup lagi menghadapi tekanan psikologi secara berterusan. Tindakan ini dilakukan kerana emosi telah mempengaruhinya untuk berbuat demikian.“Sekiranya wujud keadaan-keadaan seperti ini, pihak pengurusan sekolah perlu memahami dan membantu guru berkenaan dengan mengurangkan waktu dan kelas mengajar serta memberi kelonggaran untuk menjalani terapi dan kaunseling,” jelas Nor Zuraida lagi.
Walau apapun situasi, guru tetap guru yang perlu masuk kelas untuk mengajar kerana etika dan profesionalisme guru yang menuntut untuk berbuat demikian.Dalam penghidupan seorang guru dengan kerjayanya, etika yang wujud merupakan peringatan kepada watak - perwatakan guru kerana adakalanya sesuatu perkara itu boleh buat atau tidak boleh buat.Oleh itu, guru perlu banyak menggunakan bahasa retorik yang indah, menyentuh jiwa, memerlukan tafsiran dan pemikiran yang mendalam bagi menghadapi para pelajar kelas corot.Impaknya, mendatangkan manfaat kepada diri guru sendiri dan pelajar dalam menangani emosi masing-masing.Adakalanya etika boleh diketepikan apabila menghadapi situasi rencam dengan para pelajar kelas corot. Hal ini demikian kerana,etika sesuatu yang relatif dan adakalanya psikologi dan falsafah mengambil alih peranan etika.Psikologi bermakna guru perlu menyoroti  ke dalam diri pelajar kepada tujuan dan keinginan manusia yang bergelar murid  sangat kompleks. Sementara itu, falsafah pula menjelajah keluar untuk mencari erti kehidupan manusia dalam hubungannya sesama manusia, dengan alam semesta dan tuhan.
Retorik:Weltanschauung dan Penyelesaian Fenomenon
Sedari saya menulis artikel yang mengandungi pendalilan silogisme yang dikemukakan ini boleh disangkal premisnya, sekiranya khalayak tidak berpuas hati.Audiens boleh mengutarakan premis-premis baharu sama ada dalam bentuk pendalilan induktif atau deduktif serta menggunakan penghujahan asertif,penghujahan berilustrasi dan penghujahan faktual.Kembali saya kepada tujuan asal penulisan artikel ini.Oleh itu, izinkan saya menyatakan situasi rencam para pelajar kelas corot berdasarkan disiplin ilmu retorik,kosmologi dan pemikiran Melayu(bukan dalam disiplin ilmu pendidikan) yang saya pelajari dulu bahawa para pelajar ini bersikap retorikus malas,retorikus culas dan retorikus lizardus dalam ruang lingkup entiti dunianya.Justeru,guru harus berusaha untuk mengubah pemikiran,kepercayaan dan perlakuan para pelajar kelas corot.Jadi,guru(perucap) yang ingin menggunakan retorik pemujukan harus tahu lebih mendalam tentang kecenderungan,minat,pemikiran literal dan penerimaan lateral kecerdasan daya kognitif (otak),termasuk kebolehan membaca serta kecondongan pelajar terhadap sesuatu subjek.Pekara inilah yang merupakan cabaran dan ketakutan guru dalam mengatasi fenomena berkenaan.Segala kekangan dan rintangan bukan mudah untuk mencari titik penyelesaian dan seterusnya menggapai  matlamat dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Tambahan pula, fakulti minda para pelajar kelas corot berada di tahap lemah.Oleh yang demikian,pemujukan yang hendak dilakukan oleh seorang guru mesti berkomunikasi tentang informasi dengan jelas, ringkas dan perlu menggunakan kaedah-kaedah penyampaian  yang menyakinkan para pelajar galus (gagal lulus),kini dipanggil pelajar halus (harapan lulus).Hal ini demikian kerana pemujukan merupakan satu proses psikologikal dalam konteks untuk menyatakan sudut pandangan kita dan kemudian menyematkannya dalam pemikiran orang lain (pelajar) sehingga membolehkan mereka  lulus dalam peperiksaan atau setidak-tidaknya dalam kejayaan mereka menguruskan kehidupan selepas keluar dari alam persekolahan.
Selain itu, pemujukan yang saya buat tertumpu kepada pemujukan tidak rasional( ethos dan pathos) bukan pemujukan rasional(logos atau reason).Sebagaimana menurut Aristotle menyatakan pemujukan adalah seperti berikut;


 
“Aristotle defines it, is faculty of observing in any given case the available means of persuasion, and since the orator adresses a popular audience including untrained thinkers,his appeals is threefold: to their reason (logos), to their feelings (pathos),and to their confidence in his character, that is,in his virtue,competence,courtesy,good sense,good will (ethos).It thus appears,says Aristotle,that rhetoric is an offshoot of dialectic (logos) and also of ethical studies(ethos and pathos)”
                Lantaran itu, usaha memujuk orang merupakan sesuatu yang susah. Walau bagaimanapun tanpa kita sedar pemujukan sebenarnya berlaku setiap hari dalam kehidupan kita, sama ada ia berlaku pada individu atau berkumpulan bagi menyatakan weltanschauung perucap terhadap subjek.Untuk tujuan ini, guru hendaklah melaksana pemujukan tidak rasional bagi berkomunikasi tentang maklumat dengan baik dan memerlukan segala skil berucap supaya para pelajar kelas corot akan memberi reaksi dan aksi serta menaruh kepercayaan.Pemujukan sebegini tidak merayu kepada intelek tetapi pada perasaan dan emosi.Kesan-kesan emosi adalah luas seperti gembira,belas kasihan,geram,sayang,cekal dan sebagainya. Dengan mempermain-mainkan perasaan itu,guru berharap untuk mengubah kepercayaan dan kelakuan para pelajarnya. Dalam hal ini,sekiranya guru berjaya menaruh kepercayaan dan membuka halangan kepada ruang emosi berdasarkan Model Tingkap Johari,maka hubungan guru –pelajar menjadi harmoni.Seterusnya dapat merungkai segala tekanan kepada beban dan mental guru.Manakala perwatakan pelajar pula dapat menjadi insan yang boleh ditunjuk ajar, menerima kita sebagai gurunya dengan rela hati dan suka untuk berada dalam kelas kerana minat dengan guru berkenaan.Tetapi, perkara ini bukan mudah untuk dilaksanakan kerana ia menuntut kesabaran dan kecekalan yang paling tinggi.Malah,saya sendiri kadang-kala mengalami konflik mengajar dengan para pelajar kelas corot.Apakah kita mampu menghadapi realiti dan konflik sebegini secara berterusan? Sukar untuk saya memberi jawapan.Kata hati audiens yang membaca artikel saya ini mungkin dapat menjawab pertanyaan saya.Apapun berikanlah kepada saya, tuhanku yang Maha Esa segala kekuatan dalam menghadapi dilema ini.


                 Di samping itu, kajian tindakan dan inovasi dalam P&P boleh dilaksanakan kepada para pelajar kelas corot untuk membantu mereka lulus dalam peperiksaan.Namun, sejauh manakah keberkesanan kajian dan kejayaannya? Saya sendiri pernah terlibat dengan kajian tindakan pada peringkat daerah,negeri dan kebangsaan.Kajian yang saya buat pada tahun 2005 untuk kelas 3 Qahar 7 pertama kalinya menemui kegagalan,tetapi atas satu tekad dan keterpaksaan pada waktu itu saya meneruskan lagi kajian untuk gelung yang kedua.Kali ini,kajian saya berjaya merungkai masalah pelajar dalam pembinaan  pola-pola ayat dasar berdasarkan pembahagian subjek dan predikat.Hanya 5 orang sahaja yang gagal dan saya istilahkan sebagai pelajar garus(gagal terus). Seminggu sebelum saya  bentangkan kajian saya dalam sesi selari, satu perjumpaan dengan JPNT dan BPDP telah diadakan.Istilah garus yang saya wujud ini menjadi polemik dan kurang disenangi.Berdasarkan kutipan data,analisis peperiksaan dan metode yang telah saya buat,saya tetap mengemukakan premis saya bahawa pelajar berkenaan sememangnya gagal.Tetapi siapalah suara saya yang tiada seberkas Master atau segulung Phd dalam mengeluarkan pernyataan istilah garus. Malah saya diminta supaya gelung seterusnya dibuat kepada 5 orang pelajar tersebut, sedangkan saya juga ada tanggungjawab mengajar kelas Bestari,STPM dan segalas beban tugas yang lain untuk dilaksana.Hal ini menjadi dilema dalam atma dan kotak fikir saya.Ada yang meminta saya tukar istilah itu kepada halus,sedangkan realitinya memang pelajar-pelajar berkenaan sentiasa gagal dari awal ujian hingga akhir ujian.Para pelajar ini memang bermasalah 4M 1D (membaca,menulis,mengira,malas dan disiplin). Akhirnya, saya akur untuk menukar istilah garus kepada halus.Pada persepsi saya ingin tegaskan bahawa hasil kajian ini tidak semestinya dapat digunakan untuk pelajar kelas lain kerana ia bergantung kepada budaya dan kebolehan pelajar semasa membuat kajian,tetapi kaedahnya boleh diadaptasi serta diterapkan pengamalan cara kepada para pelajar lain.

 

Refleksi

                Tuntas bicara,dalam menghadapi aksiom kelas corot memang kita akan melalui jerih perih untuk melahirkan pelajar yang berjaya dalam pelajaran, apatah lagi dalam soal untuk mengejar pembentukan insan kamil jauh sekali.Dua tapak kita mengorak langkah ke depan dan dengan segala kekangan,maka setapak langkah pula kita ke belakang.Sekiranya guru terlalu berharap, meletak pencapaian akademik pelajar semata-mata,maka akan membawa tekanan-tekanan emosi dalam diri seseorang guru.Natijahnya, apabila tidak mencapai target dan apa yang diharapkan,lama-kelamaan guru itu sendiri akan berasa nihil.Oleh sebab itu,pada prinsip penghujahan deduktif  dan               pengaklunan pemikiran saya,maka kejayaan para pelajar kelas corot bukan bergantung kepada pengukuran kejayaan akademik sahaja.Apa yang menjadi premis saya ialah para pelajar kelas corot nanti berjaya menempatkan diri dalam hubungan kemasyaraktan yang positif, bekerja untuk meneruskan keberlangsungan penghidupan,mengurus diri atau keluarga dan mencapai kebahagiaan duniawi serta ukhrawi.Sekiranya audiens berasa premis saya tidak berada pada landasan keabsahan silalah menegur saya dengan mengadakan majlis polemik atau penghujahan induktif dan marilah kita bersama-sama mengumpul data-data empirikal serta seterusnya mencapai konsensus dalam senario menghadapi kelas corot.

BIBLIOGRAFI

Akhbar

Siti Nor Afzan Kasiman. Ramai Guru Sakit Jiwa.Kosmos,23 Mac,2009.

Buku

E.Lucas,Stephen. The Art of Public Speaking. USA: McGraw-Hill,1995.

Hamidah Abd.Hamid. Pengantar Estetik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1995.

__________.Kamus Dewan.Edisi ke-4. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,2007.

Mok Soon Sang. Nota Ulangkaji dan Latihan P.T.K. Bandar Puchong: Multimedia-ES Resources Sdn.Bhd.,2005.

Peter Dixon. Retorik. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991.

Wilson, John. The Philosophy. London: Heinemann Educational Books Ltd.,1972.

 

 



[1] Kamus Dewan,edisi keempat,hlm.1135.
[2] Peter Dixon, Retorik, (Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,1991),hlm.14-15.
[3]Ramai Guru Sakit Jiwa,Kosmos,23 Mac,2009,m.s. 1-2.
[4] Ibid., m.s.5.

Analisis soalan bahagian B dan panduan menjawab


 

ANALISIS SOALAN PEPERIKSAAN PMR BAHAGIAN B

 

TAHUN
                                           ASPEK SOALAN
2005
Gambar:   Kitar  semula (buku teks tingkatan 1: m/s 11 )
2006
Rajah    :  Kebaikan bergotong-royong
2007
Gambar:  Aktiviti sempena pesta flora
2008
Rajah    :  Kesan-kesan banjir yang melanda sesuatu kawasan (buku teks
                 tingkatan 3 : m/s 242 )
2009
Rajah    :  Kesesakan jalan raya ( Cara mengatasinya) (adaptasi buku teks
                 tingkatan 3: m/s 203 )
2010
Rajah    :  Kesan-kesan kegiatan pembalakan secara tidak terkawal (buku
                 teks tingkatan 2 :  m/s 188 )
2011
Rajah    :  Faedah-faedah memajukan industri pelancongan ( buku teks
                 tingkatan 2: m/s 114-116 dan tingkatan 3 : m/s 94 )
2012
 ???????

 

ANALISIS SOALAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN NEGERI-NEGERI (2012)

 

TAHUN 2012/ NEGERI
                ASPEK SOALAN
TERENGGANU
Rajah  : Kepentingan sungai kepada manusia
MELAKA
Rajah  : Cara-cara menghargai warga tua
PAHANG
Rajah  : Punca-punca keracunan makanan
NEGERI SEMBILAN
Rajah  : Peranan pelbagai pihak untuk memupuk minat  
              membaca dalam kalangan masyarakat
KEDAH
Rajah   : Kepentingan hutan
PERAK
Rajah   : Kesan kemasukan pendatang asing tanpa izin
SELANGOR
Rajah   : Langkah-langkah mengatasi sungai cetek
Sekolah Berasrama Penuh
Rajah   : Usaha-usaha untuk meningkatkan minat
               remaja  terhadap permainan tradisional
KELANTAN
Rajah   : Usaha-usaha untuk menyemaikan sikap berbudi
               bahasa
PERLIS
Rajah   : Kepentingan amalan berbudi bahasa dalam
               kehidupan seharian
JOHOR (MUAR)
Rajah   : Faedah amalan berbudi bahasa

 

 

BAHAGIAN B-KARANGAN BERDASARKAN BAHAN RANGSANGAN

 

Panduan Umum Menjawab Soalan

 

1.                  Baca kata kunci soalan untuk mengetahui perkara yang dikehendaki oleh soalan. Kata kunci merupakan kehendak soalan.

2.                  Idea yang relevan berdasarkan tugasan ;

- Tugasan berfokus – Idea hendaklah  berdasarkan bahan rangsangan sahaja.

            - Tugasan umum – Fokus kepada kebaikan/kelebihan/kesan/langkah/faedah/kepentingan berdasarkan tugasan.

3.         Idea mencukupi dengan  3-4 isi dan dikembangkan.  

4.         Pemerengganan sesuai-biasanya 5 /6 perenggan

            - Pendahuluan

            - Isi-isi

            - Penutup

5.        Panjang karangan akur dengan arahan soalan iaitu tidak melebihi 120 patah perkataan.

Soalan PMR 2009

Bahagian B

[20 markah]

Berdasarkan rajah di bawah, huraikan pendapat anda tentang cara mengatasi kesesakan jalan raya. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Kesesakan Jalan Raya

(Cara Mengatasinya)
1)Tingkatkan mutu pengangkutan awam
2)Baiki sistem lalu lintas
3)Amalan berkongsi kereta
4) Tambah bilangan jalan raya
 
 
Untuk mendapat markah cemerlang, para pelajar perlu memberi perhatian aspek-aspek berikut:

·         Ayat perlu gramatis.

·         Kata dan kosa kata luas dan tepat. 

·         Ejaan dan tanda baca mesti betul.

·         Idea yang releven berdasarkan tugasan.

·         Huraian idea luaran seperti pendapat, ulasan, cadangan dan kesimpulan sesuai        dan berkembang.

·         Pengolahan yang menarik dan berkesan.

Contoh jawapan cemerlang.

Saban hari, bilangan kenderaan di negara kita kian tahun kian bertambah. Hal ini telah menimbulkan masalah kesesakan di jalan raya. Terdapat beberapa langkah yang perlu dilaksanakan untuk membendung masalah ini.

Antaranya ialah mutu pengangkutan awam perlu ditingkatkan. Pengangkutan awam tersebut perlu mampu menampung bilangan pengguna yang banyak serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan terutama untuk golongan kurang upaya.

Selain itu, sistem lalu lintas haruslah dibaiki dengan membina tanda atau lampu isyarat supaya dapat mengawal aliran kenderaan dengan lebih berkesan.

Sementelahan, amalan berkongsi kereta perlu diamalkan supaya bilangan kenderaan di jalan raya dapat dikurangkan. Jalan raya juga perlu diperbanyakkan supaya pengguna mempunyai laluan alternatif untuk menuju ke sesuatu tempat.

Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu memantau masalah ini bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

 
Contoh karangan dalam kategori baik.

 Sekiranya karangan pelajar mempunyai ciri-ciri berikut, karangan pelajar masih lagi dalam kategori baik iaitu antara 11 - 15 markah.

·         Ayat masih gramatis.

·         Kata dan kosa kata masih luas dan tepat. Kesalah penggunaan kata yang    minimum

·         Kesalahan ejaan dan tanda baca yang minimum.

·         Idea yang releven berdasarkan tugasan.

·         Huraian idea luaran seperti pendapat, ulasan, cadangan masih sesuai tetapi kurang dikembangkan.

·         Pengolahan masih menarik.


Contoh karangan

Kesesakan jalan raya kini semakin meningkat terutamanya ketika musim perayaan.

 Pada pendapat saya cara-cara untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya ialah pihak yang bertanggungjawab hendaklah meningkatkan mutu pengangkutan awam seperti tidak mengenakan bayaran yang terlalu mahal kepada penumpang. Selain itu, pihak masyarakat hendaklah menggunakan pengangkutan awam sebagai sumber untuk ke mana-mana tempat.

 Antara cara-cara lain untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya, pihak berkuasa hendaklah mengambil peduli tentang kerosakan lalu lintas seperti jalan raya yang berlubang kerana ini menyebab kesesakan lalu lintas.

Selain itu, Amalan berkongsi kereta perlu diamalkan oleh mereka yang bekerja di tempat yang sama dengan ini kita dapat mengatasi masalah kesesakan jalan raya. Selain itu, kita dapat menjimatkan kos dan dapat mengurang pencemaran udara.

Selain itu, pihak kerajaan perlulah menambah bilangan jalan raya seperti membina jalan raya bertingkat.

 
 
 

 

 

 
 

JOM IKUTI BLOG SAYA

"Masa itu emas"