Dikuasakan oleh Blogger.

Khamis, 29 April 2021

KESALAHAN UMUM TATABAHASA (edisi nota dikemaskini)

 BAB 1:KESALAHAN UMUM TATABAHASA


  1. Berdasarkan analisis kertas  satu soalan bahasa Melayu PT3, terdapat beberapa kesalahan umum tatabahasa yang dikemukakan. Kesalahan tersebut dapat dibahagikan kepada beberapa aspek,iaitu
a)      kesalahan dari aspek kata
b)      kesalahan dari aspek frasa
c)      kesalahan dari aspek struktur ayat

  1. Kesalahan  kata-kata dalam bahasa Melayu dapat digolongkan kepada kelas-kelas yang berikut:
a)      kata ganti nama
b)      kata sendi
c)      kata adjektif
d)      kata keterangan
e)      kata hubung
f)       kata sandang
g)      kata bilangan
h)      kata seru
i)       kata tanya
j)       kata kerja
k)      penjodoh bilangan
l)      penggunaan kata yang tidak tepat

  1. Lebih kurang 13 soalan atau bilangan soalannya mengikut tahun semasa PT3(termasuk soalan peribahasa) daripada 20 soalan objektif berkaitan tatabahasa dikemukakan dalam kertas 1 bahagian A. Selebihnya merupakan soalan petikan pemahaman yang diambil daripada buku antologi dan juga petikan umum.

KESALAHAN KATA GANTI NAMA DIRI

1.Kesalahan penggunaan kata ganti nama diri tidak mengikut kesesuaian seseorang,masa,hubungan orang yang bercakap, dan sebagainya.

Contoh (i)
“Ayah,aku hendak pergi ke sekolah,sekarang,” kata adik. ( salah )
“Ayah,saya hendak pergi ke sekolah,sekarang,” kata adik. ( betul )

Contoh (ii)
Penjenayah itu ditangkap oleh pihak polis semasa sekatan jalan raya malam tadi. Beliau ditahan kerana memiliki senjata api dan dadah. ( salah )
Penjenayah itu ditangkap oleh pihak polis semasa sekatan jalan raya malam tadi. Dia ditahan kerana memiliki senjata api dan dadah. ( betul )

 2.Kata ganti nama diri bentuk jamak tidak boleh digandakan.
Contoh
Mereka-mereka yang terlibat dalam perbarisan upacara pembukaan akan berada di padang pada waktu pagi. ( salah )
Mereka  yang terlibat dalam perbarisan upacara pembukaan akan berada di padang pada waktu pagi. ( betul )

3.Kata ganti nama diri  dia,ia dan mereka tidak boleh digunakan untuk haiwan dan benda.

Contoh (i)
Daging lembu itu dimasukkan ke dalam lori. Ia dihantar ke pasar. (salah)
Daging lembu itu dimasukkan ke dalam lori untuk  dihantar ke pasar. (betul)

Contoh (ii)
Alat perkakas itu mahal Ia. diimport dari Itali. (salah)
Alat perkakas itu mahal. Alat perkakas itu diimport dari Itali. (betul)

4.Kata ia boleh bertugas sebagai subjek tetapi tidak boleh digunakan sebagai objek kepada kata sendi atau kata kerja transitif.
Contoh
Firdaus kerap bertentangan pendapat dengan ia. (salah)
Firdaus kerap bertentangan pendapat dengan dia. (betul)

5.Kata ia dan nya tidak boleh digabungkan
Contoh
Walaupun orang itu miskin tetapi ianya berhati mulia. ( salah )
Walaupun orang itu miskin tetapi ia berhati mulia. ( betul )

6. Kata ia tidak boleh bertugas sebagai penerang kata nama.
Contoh
Adik ia sudah meninggal  dunia. (salah)
Adiknya sudah meninggal  dunia. (betul)

7. Kata kau sebagai awalan tidak boleh dijarakkan daripada kata yang menyertainya.
Contoh
Jawapan yang kau berikan itu tepat sekali. (salah)
Jawapan yang kauberikan itu tepat sekali. (betul)

8. Kata kau, ku,  mu ,nya tidak boleh bertugas sebagai subjek ayat kecuali dijadikan kata ganti diri penuh engkau, akukamudia atau ia.
Contoh
Mu mendapat markah yang tertinggi. (salah)
Kamu mendapat markah yang tertinggi.(betul)
9. Kata mu dan nya yang digunakan untuk mengganti nama Tuhan mesti ditulis dengan huruf besar di pangkal kata itu serta diberi tanda sempang.
Contoh
Daripadanya kita datang,kepadanya kita kembali. (salah)
Daripada-Nya kita datang,kepada-Nya kita kembali.(betul)

10. Kata ku,mu, dan nya tidak boleh bertugas sebagai dalam ayat pasif songsang.
Contoh
a) Diajaknya ku ke rumahnya. (salah)
     Diajaknya aku ke rumahnya. (betul)

b) Akan aku perkenalkan mu kepadanya.(salah)
    Akan aku perkenalkan kamu kepadanya. (betul)

c) Saya perlukannya. (salah)
    Saya perlukan dia. (betul)

KESALAHAN KATA SENDI

1.Kata sendi oleh sebab sering disamakan dengan penggunaan oleh kerana. Kata sendi mesti diikuti oleh kata nama. Perkataan kerana bukan dalam golongan kata nama tetapi kata hubung.
Misalnya:
Pertunjukan itu dibatalkan oleh kerana tidak mendapat kelulusan.(salah)       
Pertunjukan itu dibatalkan oleh sebab tidak mendapat kelulusan. ( betul )

2.Kata sendi akan mesti digunakan untuk frasa adjektif yang menunjukkan perasaan.
Misalnya:
Kakak sangat sukakan makanan ringan yang manis. ( salah )
Kakak sangat suka akan makanan ringan yang manis. ( betul )

3. Sebagai kata yang merangkaikan frasa nama dengan kata adjektif dan kata kerja tak transitif,maka kata sendi tidak boleh dilenyapkan/digugurkan.
Misalnya:
Ah Meng suka durian (salah)
Ah Meng suka akan durian (betul)

4. Kata sendi dengan mesti digunakan selepas kata kerja transitif berawalan beR-,teR-, atau tanpa imbuhan.
Misalnya:
Orang tua itu berjalan perlahan untuk menguatkan otot kakinya yang sakit. (salah)
Orang tua itu berjalan dengan perlahan untuk menguatkan otot kakinya yang sakit. (betul)

5. Kata sendi demi dan untuk tidak boleh digunakan bersama-sama. Oleh sebab perkataan demi sudah membawa maksud tujuan,maka perkataan untuk yang sering digunakan dalam bentuk demi untuk dianggap lewah dan seharusnya digugurkan.(Tatabahasa Dewan:263)
Misalnya:
Demi untuk mempertahan maruahnya dia sanggup melakukan apa-apa sahaja. (salah)
Demi mempertahan maruahnya dia sanggup melakukan apa-apa sahaja. (betul)

6. Kata sendi nama dalam dan antara hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak.
Misalnya:
Di antara adik-beradiknya dialah yang paling gemuk. (salah)
Antara adik-beradiknya dialah yang paling gemuk. (betul)


7. i)Penggunaan dalam sebagai kata arah yang hadir sebelum frasa nama dan lazimnya   sesudah kata sendi nama seperti di  dan ke untuk menunjukkan hala atau jurusan.
Misalnya:
a) Tetamu itu masuk ke dewan. (salah)
    Tetamu itu masuk ke dalam dewan. (betul)

Manakala ayat di bawah membawa maksud yang berbeza daripada ayat 7.i) a di atas:
Kami dipersilakan masuk ke dewan pameran itu.(betul)-penggunaan ke yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju dan digunakan juga di hadapan frasa nama.
b) Semua peserta berkumpul dalam dewan. (salah)
    Semua peserta berkumpul di dalam dewan. (betul )

7.ii)Penggunaan antara sebagai kata arah yang hadir sebelum frasa nama dan lazimnya   sesudah kata sendi nama seperti di, untuk menunjukkan hala atau jurusan.
Misalnya:
Rumahnya terletak  antara sebuah tasik dengan sawah padi (salah)
Rumahnya terletak di antara sebuah tasik dengan sawah padi.(betul)

8. Kata sendi sejak/semenjak tidak perlu ditulis sejak dari/semenjak dari.
Misalnya:
Sejak dari penangkapan itu dia serik untuk melakukan jenayah. (salah)
Sejak  penangkapan itu dia serik untuk melakukan jenayah. (betul)


9. Kata sendi ke pada unsur kedua dalam binaan ayat yang setara tidak boleh digugurkan.
Misalnya:
Buaian itu ke atas dan bawah apabila diayun oleh adik. (salah)
Buaian itu ke atas dan ke bawah apabila diayun oleh adik. (betul)

10. Kata sendi tentang dan terhadap tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana tentang digunakan untuk menyatakan sesuatu atau perkara(semak cepat BM PMR:75 ) yang tidak tentu atau umum,iaitu kata nama atau frasa nama yang mengikuti kata sendi nama ini menjadi hal yang diperlakukan atau dibicarakan.( Tatabahasa Dewan:264)Manakala terhadap menyatakan makna rujukan yang berkaitan dengan manusia,haiwan, atau benda.
Misalnya:
a)Kajian tentang beberapa ekor lembu tenusu menunjukkan dapatan yang agak menarik.(salah)
   Kajian terhadap beberapa ekor lembu tenusu menunjukkan dapatan yang agak menarik.( (betul)

      b) Aduan tuan terhadap kelewatan bayaran itu sedang diberi perhatian. (salah)
          Aduan tuan tentang kelewatan bayaran itu sedang diberi perhatian. (betul)

11. Penggunaan kata sendi di yang mengikutinya kata arah seperti atas(biasanya hadir sesudah kata sendi dan sebelum frasa nama.) Walau bagaimanapun sekiranya atas tidak berfungsi sebagai kata arah,maka ia tidak boleh menerima kata sendi di.
Misalnya:
a) Buku itu ada atas meja. (salah)
    Buku itu ada  di atas meja. (betul)

b)Di atas perhatian daripada pihak tuan,saya mengucapkan terima kasih.(salah)
   Atas perhatian daripada pihak tuan,saya mengucapkan terima kasih.(betul)

KESALAHAN KATA BANTU

1. Kata bantu akan tidak boleh disingkatkan menjadi kan dan ditulis bersama-sama dengan perkataan tak.
Contoh:
Ibunya takkan membiarkannya dalam kerungsingan memikirkan keputusan peperiksaan yang kurang memuaskan. (salah)
Ibunya tidak akan membiarkannya dalam kerungsingan memikirkan keputusan peperiksaan yang kurang memuaskan. (betul)

2. Penggunaan kata bantu  sedang dan perkataan tengah (bukan tergolong dalam jenis kata bantu aspek dan ragam) serta boleh dan dapat tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya. Kata bantu boleh bermakna keizinan manakala dapat bermakna keupayaan atau kemampuan.
Contoh:
a)Kapal terbang itu tengah mendarat dalam keadaan cuaca buruk. (salah)
   Kapal terbang itu sedang mendarat dalam keadaan cuaca buruk. (betul)

b) Dia tidak boleh membantu keluarganya kerana dia sendiri kurang upaya.(salah)
     Dia tidak dapat membantu keluarganya kerana dia sendiri kurang upaya.(betul)
c) Aminah dapat menyertai peraduan itu. (salah)
    Aminah boleh menyertai peraduan itu. (betul)

 3.Kata bantu  hendak tidak boleh digunakan dalam ayat tanya.
 Contoh:
 Hendakkah dia menerima pilihan ibunya itu?” tanya Ani.
  Mahukah dia menerima pilihan ibunya itu?” tanya Ani.

4. Kata bantu  mahu boleh digunakan dengan kata nafi tidak dalam ayat nafi.
Contoh:
Adik tidak hendak makan walaupun dipujuk oleh ibu. (salah)
Adik tidak mahu makan walaupun dipujuk oleh ibu. (betul)


KESALAHAN KATA BILANGAN DAN PENJODOH BILANGAN

1. Kata bilangan tentu mesti diikuti oleh penjodoh bilangan.
     Contoh:
            Ayah membeli dua burung serindit di kedai burung di pekan. (salah)
            Ayah membeli dua ekor burung serindit di kedai burung di pekan. (betul)

2. Kata bilangan tak tentu tidak memerlukan penjodoh bilangan kecuali beberapa.
Contoh (i)
Seluruh buah bangunan itu musnah dijilat api dalam kebakaran malam tadi. (salah)
Seluruh bangunan itu musnah dijilat api dalam kebakaran malam tadi. (betul)

Contoh (ii)
Beberapa perenang telah memecahkan rekod Sukan Komanwel semasa acara saringan lagi. (salah)
Beberapa orang perenang telah memecahkan rekod Sukan Komanwel semasa acara saringan lagi. (betul)

3.Kata bilangan tentu tidak boleh diikuti oleh kata bilangan pecahan selepasnya.
Contoh:
Dia mengambil masa empat setengah jam untuk sampai ke kampung. (salah)
Dia mengambil masa empat jam setengah untuk sampai ke kampung. (betul)

4. Kata bilangan tak tentu setengah-setengah dan tiap-tiap tidak boleh disingkatkan dengan sewenang-wenangnya.
Contoh (i)
Setengah daripada penduduk kampung itu akan dipindahkan kerana rumah mudah dinaiki air apabila hujan. (salah)
Sesetengah daripada penduduk kampung itu akan dipindahkan kerana rumah mudah dinaiki air apabila hujan.(betul)
Contoh (ii)
Tiap orang yang hadir dalam majlis itu dikehendaki memakai pakaian yang berwarna hitam atau putih. (salah)
Tiap-tiap orang yang hadir dalam majlis itu dikehendaki memakai pakaian yang berwarna hitam atau putih. (betul)

5. Kata bilangan tak tentu para tidak perlu diulang menjadi para-para.
Contoh:
Para-para penonton berebut-rebut memasuki stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak. (salah)
Para penonton berebut-rebut memasuki stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.(betul)

6. Kata bilangan pecahan mesti diikuti oleh kata sendi daripada atau dari selepasnya.
Contoh:
Setengah wang kemenangannya itu didermakan kepada anak-anak yatim. (salah)
Setengah daripada wang kemenangannya itu didermakan kepada anak-anak yatim.(betul)


KESALAHAN FRASA ADJEKTIF

1. Kata adjektif berimbuhan teR- yang bermakna paling tidak boleh hadir dengan kata penguat.
Contoh:
Dialah orang yang terawal sekali membuka kampung ini semasa zaman penjajahan dahulu. (salah)
Dialah orang yang terawal membuka kampung ini semasa zaman penjajahan dahulu. (betul)

Selain itu, kata adjektif berawalan teRtidak boleh bertugas sebagai predikat.
Contoh:
            Bangunan itu tertinggi. (salah)
            Bangunan itu paling tinggi. (betul)

2. Kata adjektif yang berawalan se- yang membawa makna sama dengan tidak perlu diikuti oleh perkataan dengan.
Contoh:
            Pak Cik Aziz Satar seusia dengan datuk saya di kampung.(salah)
            Pak Cik Aziz Satar seusia datuk saya di kampung.(betul)

3. Kata penguat tidak boleh diletakkan di depan dan di belakang adjektif sekali gus.
Perhatikanlah contoh-contoh seperti yang berikut:
Minuman itu sangat manis sekali. (salah)
Minuman itu sangat manis.(betul)
Minuman itu manis sekali.(betul)          

4. Frasa adjektif yang diperluas tidak boleh diikuti oleh frasa-frasa yang lain kecuali frasa sendi.
Contoh:
            Kami suka durian. (salah)
            Kami suka akan durian(betul)

            Pelajar itu hormat guru. (salah)
            Pelajar itu hormat kepada/terhadap guru. (betul)

5. Kata adjektif berimbuhan ke-… -an yang bermakna agak tidak perlu diikuti oleh kata penguat agak.
Contoh:
            Gadis itu agak kemalu-maluan apabila diperkenalkan kepada para hadirin.(salah)
            Gadis itu  kemalu-maluan apabila diperkenalkan kepada para hadirin.(betul)

Selain itu,kata adjektif berimbuhan ke-… -an yang bermakna memiliki sifat seperti, tidak perlu diikuti oleh kata sendi nama seperti.
Contoh:
            Dia bersikap seperti kebudak-budakan apabila melatah. (salah)
            Dia bersikap kebudak-budakan apabila melatah. (betul)

PERBEZAAN PENGGUNAAN TATA-...
tatatertib-maksudnya peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi,disiplin
tataacara- maksudnya susunan acara,agenda
tatacara- maksudnya adat istiadat,adat resam,prosedur,cara dan peraturan
tataadab-maksudnya adat sopan santun,budi bahasa yang baik, basa-basi.
tataetika- maksudnya peraturan pergaulan,budi bahasa
tatasusila-maksudnya adat sopan santun dan budi pekerti yang baik


BAB 2: KESALAHAN EJAAN

Ejaan –ejaan di bawah merupakan kelaziman yang ditulis oleh calon-calon PMR dalam penulisan.
BIL
     EJAAN SALAH
     EJAAN BETUL
1
Aidil adha
Aidiladha
2
Aidil fitri
Aidilfitri
3
akitek
arkitek
4
ambilalih
ambil alih
5.
analisa
analisis
6.
atlit
atlet
7.
aturcara
atur cara
8.
bandaraya
Bandar raya
9.
baucer
baucar
10.
beserta
berserta
11.
bistari
bestari
12.
bowling
boling
13.
bumiputra
bumiputera
14.
calun
calon
15.
catit
catat
16.
cop
cap
17.
dialog
dialog
18.
definasi
definisi
19.
efisyen
efisien
20.
ehsan
ihsan
21.
ekslusif
eksklusif
22.
ekspot
eksport
23.
faksimili
faksmile
24.
Febuari
Februari
25.
gembeleng
gembleng
26.
impot
import
27.
injin
enjin
28.
insuran
insurans
29.
insyaallah
insya-Allah
30.
istirehat
istirahat














1 ulasan:

  1. 1) Hingga atau hingga ke?
    2) Hormat akan?
    Sila tunjuk ajar. Terima kasih

    BalasPadam

 

JOM IKUTI BLOG SAYA

"Masa itu emas"