Dikuasakan oleh Blogger.

Sabtu, 5 Mei 2018

Latihan Ringkasan

 klik di sini

MARI BELAJAR RINGKASAN (KSSM)


Ringkasan
Teknik untuk meringkaskan karangan
-       *Baca petikan dengan teliti
-       *Garisi fakta yang difikirkan isinya
-       *Kenal pasti isi,salin, dan senaraikannya mengikut urutan
-       *Semak kesilapan tatabahasa dan ejaan
-       Tulis dalam satu perenggan sahaja.Tiada pengenalan dan kesimpulan.
-       Cadangan jumlah isi : 5 isi sahaja
-       Mesti ada penanda wacana
-       Ayat yang ditulis mesti ada subjek dan predikat


Contoh Ringkasan
                    

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang usaha-usaha menangani wabak denggi di negara kita. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan.  Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

            Mutakhir ini, negara tidak putus-putus didedahkan dengan berita kematian yang membabitkan penyakit demam denggi. Hal ini ternyata mengancam ketenteraman masyarakat sejagat kerana masalah nyamuk Aedes umpama barah yang tiada penawarnya. Walau bagaimanapun, masalah ini boleh dikurangkan sekiranya setiap lapisan masyarakat berusaha untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya demi kemaslahatan bersama.

            Setiap pihak seharusnya merancang strategi yang mantap dalam usaha menangani masalah yang semakin menular ini. Salah satu usaha yang boleh dijayakan oleh penduduk adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong di kawasan perumahan. Aktiviti ini bukan sahaja dapat membersihkan kawasan yang bersemak samun tetapi secara tidak langsung  dapat mengeratkan perpaduan. Pihak-pihak berwajib juga boleh menyumbang jasa dengan melakukan penyemburan secara percuma di kawasan yang terlibat. Pada masa yang sama kita juga perlu memberikan kerjasama kepada pihak yang datang menyembur racun atau “fogging” di kawasan perumahan. Sebagai contohnya, pintu dan tingkap hendaklah ditutup bagi mengelakkan asap semburan itu masuk ke dalam rumah.

            Berdasarkan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, kompaun maksimum RM500 boleh dikenakan kepada pemilik premis yang membiarkan premis mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Kadar ini dilihat masih rendah dan belum menggerunkan pemilik premis. Lantaran itu, kerajaan disyorkan agar nilai kompaun ini patut dinaikkan kepada satu nilai yang lebih tinggi. Hal ini penting untuk memberikan pengajaran kepada mereka yang terbabit. Serentak dengan itu, Kempen Pencegahan Denggi harus digiatkan untuk menyedarkan masyarakat.

            Peranan ibu bapa juga amat penting dalam usaha menangani wabak ini. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak berpakaian lengkap semasa melakukan aktiviti di luar rumah pada waktu petang. Hal ini penting untuk melindungi kulit. Anak-anak juga perlu dinasihati agar membersihkan diri dengan baik selepas terdedah dengan kuman-kuman ketika bermain di luar. Pendidikan awal amat perlu bagi anak-anak selaras dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sementelahan itu, ibu bapa juga perlu bertindak segera sekiranya anak-anak didapati mempunyai simptom-simptom denggi. Mereka yang dijangkiti virus ini biasanya akan diserang demam panas yang mengejut. Selain itu, terdapat juga bintik-bintik merah dan sakit sendi di seluruh badan pesakit. Jika keadaan ini dibiarkan tidak mustahil boleh membawa maut.

            Tuntasnya, pembanterasan nyamuk Aedes memerlukan perubahan sikap yang menyeluruh dalam kalangan masyarakat. Setiap individu perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan yang aktif demi menyelamat nyawa sendiri, keluarga dan masyarakat.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Rencana  “Denggi: Musuh Yang Dipandang Ringan” Oleh Naim Yaakob.

  Kata kunci  isi


Soalan
Kata Kunci


Usaha / cara / langkah
harus
perlu
mesti
patut
penting
wajar
dituntut
boleh



Penanda wacana

Di samping itu,
Selain itu,
Seterusnya,
Lantaran itu,



Contoh isi yang telah di kenal pasti
1.         Salah satu usaha yang boleh dijayakan oleh penduduk adalah dengan mengadakan        aktiviti gotong-royong di kawasan perumahan.
2.         Pihak-pihak berwajib juga boleh menyumbang jasa dengan melakukan penyemburan secara percuma di kawasan yang terlibat.
3.         Pada masa yang sama kita juga perlu memberikan kerjasama kepada pihak yang           
datang menyembur racun atau “fogging” di kawasan perumahan.
4.         Lantaran itu, kerajaan disyorkan agar nilai kompaun ini patut dinaikkan kepada
            Satu nilai yang lebih tinggi.
5.         Serentak dengan itu, Kempen Pencegahan Denggi harus digiatkan untuk           menyedarkan masyarakat.


 

 

JOM IKUTI BLOG SAYA

"Masa itu emas"