Dikuasakan oleh Blogger.

Sabtu, 5 Ogos 2023

JOM BELAJAR MENGENALI PUISI TRADISIONAL IAITU PANTUN (KMK STPM SEM.1)

 

1.1  Puisi Tradisional

Pengenalan

Sejenis karya atau teks berangkap yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu.Karya yang berbentuk lisan ini akhirnya ditulis semula dalam bentuk teks bertulis bagi tujuan mendokumentasikan khazanah sastera Melayu.Terdapat 2 bentuk puisi tradisional dalam bahasa Melayu,iaitu puisi terikat dan puisi bebas. 

 DEFINISI DAN KONSEP

Puisi tradisional Melayu merupakan warisan bahasa Melayu yang sangat unik. Puisi tradisional Melayu telah pun muncul sebelum bermulanya sistem tulisan lagi. Menurut Abdul Halim Ali (2004:2), puisi bukan sahaja sebati dalam jiwa masyarakat sebagai satu hasil seni, malah merupakan satu bentuk wadah pemeliharaan adat, pembina sahsiah diri, pengajar agama dan ilmu pengasih, pertahanan, hiburan, dan juga kepercayaan.

            Menurut Mohd Rosli Saludin (2000:10), bentuk-bentuk dan jenis-jenis puisi yang terdapat dalam puisi tradisional Melayu adalah seperti pantun, syair, seloka, teromba, gurindam, peribahasa berangkap, talibun, nazam, rubai, kit ’ah, masnawi, ghazal, zikir dan selawat, berzanji, teka-teki, endoi, rejang, hadrah dan dabus.

FUNGSI UMUM PUISI TRADISIONAL

1.    Menyampaikan pesanan kepada manusia supaya sentiasa berbuat kebaikan.

2.    Alat untuk mengajar dan memberikan didikan ke arah kebaikan.

3.    Menceritakan pandangan masyarakat tentang peristiwa yang terjadi pada sesuatu masa.

4.    Memberikan gambaran tentang masyarakat zaman dahulu seperti:

a)    papapran kehidupan seharian

b)    adat istiadat

c)    keagamaan

d)    keindahan alam dan

e)    hubungan dengan sesama manusia

1.1.1.   PANTUN

PENGENALAN

Pantun merupakan puisi tradisional Melayu yang paling popular. Hal ini disebabkan oleh sifatnya yang asli. Keaslian yang dimaksudkan adalah kerana pantun hanya dijumpai pada bangsa Melayu Nusantara sahaja. Menurut Za’ba 1965:219), pantun adalah kaedah rangkapan yang tertua dan memang asal orang Melayu sebenar. Sejak orang Melayu belum tahu menulis surat lagi, mereka telah pun pandai berpantun dan kerap berbalas pantun sesama mereka. Menurut Harun Mat Piah, et al (2000:112) pula, pantun yang telah pun diterima umum merupakan puisi asli ciptaan orang  Melayu iaitu bukan saduran atau penyesuaian daripada puisi-puisi Jawa, India, Cina dan sebagainya.

DEFINISI

1.Harun Mat Piah (1989 ) telah memberikan definisi pantun berdasarkan aspek dalaman dan aspek luaran atau struktur visual pantun itu sendiri.

2. Aspek dalaman pantun meliputi unsur estetik dan isi (tema dan persoalan).Unsur estetik pantun dapat dilihat berdasarkan 2 aspek,iaitu:

a) Penggunaan lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun

mengikut tangggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu

b) Hubungan makna antara pasangan pembayang dengan pasangan maksud

sama ada secara konkrit atau abstrak.

CIRI-CIRI PANTUN

Ciri-ciri pantun dapat dilihat dari aspek strukturnya.

1.Ciri  pantun ialah  mempunyai rangkap-rangkap yang berasingan. Rangkapnya berasingan dan boleh berdiri sendiri sebagai satu kesatuan idea Setiap rangkap terdiri daripada baris-baris yang sejajar serta berpasangan seperti 2,4,6 hingga 16.

 

2.Seterusnya, pantun mempunyai jumlah suku kata dalam setiap baris antara lapan hingga dua belas suku kata iaitu mengandungi kata dasar antara empat hingga lima patah perkataan. Namun begitu, pada kebiasaannya pantun mengandungi antara lapan hingga sepuluh suku kata.

 

3.Selain itu, setiap rangkap pantun mempunyai dua bahagian iaitu bahagian pembayang dan juga bahagian maksud. Sebagai contoh, dalam satu quatrain terdapat dua unit, satu unit pembayang dan unit satu lagi merupakan unit maksud. Pembayang ialah gambaran alam dan maksud ialah gambaran sifat dan sikap manusia.

4.Ciri  yang lain ialah pantun mempunyai skema rima hujung yang tetap iaitu a-b-a-b. Walau bagaimanapun, terdapat juga variasi pada rima hujung pantun iaitu a-a-a-a, a-a, a-b, b-a, dan sebagainya. Pada kebiasaannya, pantun akan menggunakan rima akhir a-b-a-b.

 

5.Ciri terakhir ialah satu rangkap pantun sahaja sudah memiliki kesatuan fikiran yang lengkap dan sempurna. Dalam kata lain, satu rangkap pantun sahaja sudah dapat memberikan maksud yang hendak disampaikan secara keseluruhan.

Dari aspek visual (dalaman pantun)
6.Penggunaan lambang yang sesuai dengan norma, nilai dan tanggapan masyarakat setempat.

7. Pantun yang baik mempunyai hubungan idea dan wacana antara unit pembayang dengan unit maksud sama ada secara konkrit atau abstrak.

JENIS PANTUN : BERDASARKAN TIGA ASPEK

1. Suduk Khalayak (penutur dan pendengar pantun)
a. Pantun kanak-kanak - Pantun yang bermaksud nasihat terutamanya menyentuh alam pendidikan
b. Pantun orang dewasa / orang muda – Pantun yang bertemakan kasih sayang, usik mengusik, kepahlawanan, adat resam, budi, nasihat dan sebagainya.
c. Pantun orang tua – Pantun yang mengandungi maksud nasihat, kias ibarat, adat resam serta mengandungi nilai kemasyarakatan dan kebudayaan.

2. Sudut bentuk – berdasrkan jumlah dalam setiap rangkap
Mempunyai empat kumpulan :
i. Pantun dua baris / dua kerat (pameo/pantun kilat)
ii. Pantun empat baris / empat kerat (kuatren)
iii. Pantun lebih empat baris (6 kerat – 16 kerat)
iv. Pantun berkait.

3. Sudut Tema (sebelas tema)
i. Pantun adat dan resam manusia
ii. Pantun agama dan kepercayaan
iii. Pantun budi
iv. Pantun jenaka dan permainan
v. Pantun teka-teki
vi. Pantun kepahlawanan
vii. Pantun nasihat dan pendidikan
viii. Pantun peribahasa dan perbilangan
ix. Pantun kias dan ibarat
x. Pantun kembara dan perantauan
xi. Pantun percintaan

Fungsi Pantun

i. Digunakan dalam aktiviti masyarakat seperti dalam kegiatan seni, keagamaan, dan adat istiadat.
ii. Sebagai alat komunikasi untuk menyampaikan isi hati dan hajat, seperti sanjungan, pemujaan dan ucapan selamat kepada seseorang dalam sesuatu upacara atau majlis rasmi.
iii. Sebagai alat hiburan dan bahan jenaka serta gurau senda, terutamanya pantun jenaka dan pantun usik-mengusik serta pantun dalam permainan.
iv. Sebagai alat pendidikan sama ada secara menyindir, kias atau berterus terang.
v. Sebagai alat menguji ketajaman akal dan kehalusan perasaan seperti pantun teka-teki, pantun peribahasa dan pantun yang terdapat dalam puisi adat atau teromba.
vi. Sebagai alat untuk mendapatkan gambaran masyarakat, terutama sebagai gambaran minda dan pemikiran masyarakat Melayu, pandangan hidup, harapan, cita-cita, daya estetik dan perspektif mereka seluruhnya. Oleh itu, banyak sarjana berpendapat bahawa untuk mengenal bangsa Melayu, kenalilah pantun mereka.

Teknik penulisan pantun:
• Bentuk terikat
• Rangkap – jumlah baris serangkap ( 2,4,6 hingga 16)
• Rima yang bertentangan a-b, a-b dan seterusnya
• Jumlah perkataan sebaris – 4 hingga 5 patah perkataan
• Jumlah suku kata sebaris – antara 8 hingga 10
• Jeda (hentian sejenak/ ‘pause’) – di antara dua perkataan sebaris
• Pembayang dan maksud dalam serangkap
• Maksud – tema pantun

Contoh huraian :

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbuah lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Pantun ialah puisi Melayu lama berbentuk terikat.

Dari segi rangkap:
Pantun di atas ialah pantun empat baris serangkap atau pantun empat kerat yang terbina dalam baris-baris yang sejajar dan berpasangan.

Buah langsat kuning mencelah, B1
Senduduk tidak berbuah lagi; B2
Sudah dapat gading bertuah, B3
Tanduk tidak berguna lagi. B4

Dari segi rima akhir pantun:
Skema rima akhir pantun di atas adalah bertentangan iaitu a-b,a-b

Buah langsat kuning mencelah, a

Senduduk tidak berbuah lagi; b
Sudah dapat gading bertuah, a
Tanduk tidak berguna lagi. b

Jumlah perkataan sebaris:
Jumlah perkataan sebaris adalah tetap / sekata iaitu di antara 4 patah perkataan.


Buah langsat kuning mencelah, 4 p.p.
Senduduk tidak berbuah lagi; 4 p.p.
Sudah dapat gading bertuah, 4 p.p.
Tanduk tidak berguna lagi. 4 p.p

Jumlah suku kata sebaris:
Jumlah suku kata sebaris adalah tetap iaitu di antara 9 hingga 10 jumlah suku kata sebaris

Bu/ah/ lang/sat/ ku/ning/ men/ce/lah, 9 jumlah suku kata
Sen/du/duk/ ti/dak/ ber/bu/ah/ la/gi; 10 jumlah suku kata
Su/dah/ da/pat/ ga/ding/ ber/tu/ah, 9 jumlah suku kata
Tan/duk/ ti/dak/ ber/gu/na/ la/gi. 9 jumlah suku kata

Jeda

Terdapat hentian sejenak / jeda di antara dua perkataan dalam sebaris

Buah langsat / kuning mencelah,
Senduduk tidak / berbuah lagi;
Sudah dapat / gading bertuah,
Tanduk tidak / berguna lagi.

Pembayang (sampiran) dan maksud pantun
Dalam serangkap pantun mengandungi dua unit / kuplet iaitu kuplet pembayang dan kuplet maksud. Baris pertama dan kedua ialah kuplet pembayang dan baris ketiga dan keempat ialah kuplet maksud.

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbuah lagi; Kuplet pembayang

Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi. Kuplet maksud

Dari segi maksud pantun
Lengkap maksud pantun itu dengan serangkap sahaja. Pantun di atas bertemakan budi iaitu perilaku orang yang melupakan sesseorang yang banyak berjasa setelah bertemu orang yang baru dan kelihatan sempurna.

Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Maksud pantun di atas ditulis secara berkias. Oleh itu perkataan gading dan tanduk dipilih sebagai kiasan. Maksud pantun walaupun ringkas tetapi kerana disampaikan secara kiasan sudah pasti menimbulkan kesan mendalam dan makna yang sangat luas. 


 

 

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

JOM IKUTI BLOG SAYA

"Masa itu emas"