Dikuasakan oleh Blogger.

Rabu, 11 Ogos 2010

KALIMAH TEKAD

"Bukan senang untuk memanusiakan manusia"
KALIMAH TEKAD

Oleh
MOHD HAZLI CHE OTHMAN

Tatkala bayu pagi menerpa sejuk pipiku, tika diriku mengelamun mengingat jauhnya halaman desa yang aku rindui.Silih pula berganti dengan ribuan permasalahan pelajarku. Realitinya harus aku sedar.Kini aku berada di pedalaman Telaga,Pitas, Sabah.Seribu resah.Sekandung sebak dan sebendung kalut fikir yang susah untuk dirungkai.Betapa susahnya kufikir tugas guru mengajar murid-murid yang daif segala-galanya untuk kenal bait-bait ilmu subjek yang aku ajar.
“Mengelamun dikau sigu” sapa seorang mak cik menyedarkan aku dari fikiran yang jauh menerawang.
“Nda ah, sombo iyananmu bersama Bentayan pagi-pagi begini?”
“Pakadai, mahu beli kunau, manuk dan payau buat menjamu keponakanku yang akan sampai dari Kinabalu.Limpas dulu ye sigu.”
“Bah”.
Anak mataku tertancap melihat anak muridku Bentayan menyusuri belakang ibunya.Mengapa kau begitu susah untuk menerima aku mengajarmu? Apabilaku bertanya kau diam membisu.Aku marah kau menghilang diri dalam hutan paya bakau atau di hilir sungai kau mencari ketam.Hilang marah aku,kau menjawab pendek.Malas dan tidak pandai, itulah jawapan yang kudengar keluar dari bibirmu. Kau jua sama juga dengan rakan-rakan sekelas 3 Ikhtiar yang lain. Doris, Elster, Ruzi, dan Kusni lagi teruk.Dah mula pandai menghisap tigur. Kalau ponteng kau bercanda dan mandi ria di muara Pitas.Hairan.Tidak pula pak cik-pak cik yang menangkap ketam atau yang berperahu menuju kelong mahu menegur mereka supaya ke sekolah. Mungkin mereka hanya tahu barangkali anak-anak ini mahu mencari rezeki untuk membantu keluarga. Kalau tidak mencari kunau mungkin mencari dalus untuk dijual di Bandar Kudat .Tengah hari nanti tahulah aku apa yang perlu dibuat… Jam sudah menunjukkan pukul 11 pagi.Patutlah tiba-tiba perutku berkeroncong.Lupa yang perut ini belum diberi makaun.Lantas ke restoran Pak cik Pilin ku ke sana untuk sarapan pagi merangkap makaun tengah hari.
“Kak Timah buatkan sigu nasi lemak special, daging payaunya goreng kicap ye,err… cuma manuknya saja goreng biasa, airnya tubik ping saja”,pintaku.
“Kuah supnya kasi taruh bawang goreng lebih ke sigu”
“Yep.err… Si Ujang anak Pak Cik Ohsu kerja kat mana sekarang Kak Timah”
“Kat KK,kursus memasak belum kerja lagi”
“Oh,begitu!”
“Cuma anak Kak Timah tu, bilangnya hari ini tak mahu pergi iskool…berbakul sudah Biuknya memarahi tapi buat tak endah je.Mungkin kalau sigu suruh mahu juga hendaknya ke iskool”
“Siapa? Si Raiman ke Raimi”
“Raiman.Adiknya tiada masalah.Mahu juga jadi orang pandai.Tapi lain sikit Si Raiman ni.Tapi kalau menyanyi,manau-manau dan ke pesta aramaiti dia yang nombor satu.”
“Emm…selepas makan nanti sigu akan pergi pujuklah Si Raiman.Ada di rumah Biuk atau di rumah Kak Timah?”
“Di rumah Bentayan.Katanya mahu jumpa kawan lamanya yang baru tiba dari KK pukul 10 tadi.Kawan lamanya tu saudara kepada Bentayan.”
Aku melahap dengan begitu selera sekali.Dari 4 restoran yang ada di desa ini,hanya restoran ini saja yang berani aku makan. Tiba-tiba menjengah Kusni di depan pintu restoran.
“Eh,sigu ada kat sini.Siok betul sigu makaun ye!.”
“Kusni nak makaun nasi lemak sekali marilah Sigu belanja”
“Boleh juga,rezeki kita tidak tolak sigu”
“Awak dari mana? Dah siap ke belum latihan bina ayat adjektif yang sigu beri semalam? Dah siap ke belum nota KOMSAS yang awak janji nak siapkan hari ini?”bertubi-tubi ku bertanya kepada anak muridku yang sangat nakal ini.
“Dari perbukitan saanaa,main-main dan mandi warungan.”
“Kerja sekolah yang sigu beri camna?”tanyaku lagi.
“Belum siap sigu.Buku latihan tatabahasa saya habis.Buku nota KOMSAS pula hilang”
“Awak ni Kusni ada-ada saja alasannya.Setahu sigu buku awak bawa ke sekolah satu buah je.Buku BM yang tu ,buku nota sejarah pun yang itu juga.Macam-macam ada dalam buku awak tu.”dengus diriku.
“Aik..bah sigu ni macam iklan astro yang saya lihat kat hotel tempat abang aku bekerja”balas Kusni dengan muka lawaknya.
“Emm..makanan dah sampai.Awak makan dulu.Nanti kat sekolah jumpa sigu.Sigu nak bagi buku latihan yang baru”.
“Baik sigu”
Setelah selesai saja membayar makanan kami berdua,aku terus pulang ke rumah untuk bersiap-siap ke sekolah.Sebelum pulang sempat aku berpesan kepada Kusni supaya hari ini jangan ponteng sekolah.Dalam perjalanan pulang aku singgah dulu di rumah Bentayan.Ingin memujuk Raiman dan Bentayan supaya datang ke sekolah. Aku tahu mengapa mereka kedua-dua ini tidak mahu ke sekolah. Hal ini demikian kerana mereka dimarahi oleh cikgu Ajamain ekoran tidak menyiapkan latihan matematik yang diberi dan juga ditangkap kerana menghisap tigur di belakang semak dekat tandas rumah pengetua.Sampai di sana aku lihat Bentayan, Raiman dan saudara Bentayan yang juga rupa-rupanya Haidi, bekas anak muridku 3 tahun yang lepas berada di bawah kolon, begitu asyik dan leka sedang mengangkat pukat yang ditahan. Aku lihat ikan Sapi-Sapi dan ikan Sumpit-Sumpit turut sama menjadi mangsa pukat.
“Bentayan, Raiman, Haidi banyak ke dapat ikan Pengaluwan?”
“Eh, sigu…nda banyak. Ikan Pengaluwan susah nak dapat.Mahu ke laut dalam baru ada.Setakat Sumpit-Sumpit yang tidak berguna banyak terjerat.”jawab Raiman.
“Yang ada boleh buat lauk ikan mata besar dan kembung saja.Sigu mahuke?”celah Si Bentayan.
“Tak mahulah.Tiada orang nak masak.Awak Haidi onu abarmu ? Apa cerita awak sekarang? Seronokke tinggal kat KK?”soalku kepada Haidi bertalu-talu.
“Khabar baik.Selepas gagal dalam PMR sigu aku kerja kat kilang pemeprosesan makanan laut di Luyang,bantu orang tuaku.Tentu seronoklah sigu,Bandar KK semua ada.Tidak seperti kampung asal ibuku ini”
“Oh,begitu!”
“ Ni, Raiman dan Bentayan sigu singgah kat sini nak ajak kau orang berdua pergi sekolah hari ini.”
“Nda mahulah aku sigu…benci aku lihat muka sigu Ajamain tu.Sudah aku bilang mengaku salah mengajak Raiman menghisap tigur.Tetapi dibebelnya kami dengan hal yang bukan-bukan.Dituduhnya aku ni keturunan pencopet dan orang sungai yang tidak tahu bersyukur kerana diterima tinggal di desa ini.”ujar Bentayan.
Patutlah pagi tadi aku melihat wajah Si Bentayan muram dan kelakuannya tidak segalak beberapa hari yang lepas.Rupanya ada cerita disebalik kesuraman wajahnya.Setahu aku memang datuk Ajamain ini ada krisis kekeluargaan dengan datuk Bentayan, ekoran datuk Bentayan mengahwinkan ibu Bentayan dengan orang KK dan bukan dengan bapa saudaranya.Desas desus ini aku peroleh daripada Pak Cik Bahkri ayah angkatku yang juga ketua adat di desa terpencil ini.
“Kachivannya.Apapun awak berdua tetap kena pergi sekolah.Masa matematik nanti pun sigu akan masuk ganti. Sigu Ajamain seminggu tiada di sekolah kerana dia pergi berkursus.”
“Betulke sigu.Sigu nda membuyuk kami?ujar Raiman.
“Betul. Sigu nda memboyot kamu.Apa tu?”
“Sigu bukan memboyot la,tapi membuyuk bah…memboyot tu membuncit.Membuyuk ni bilang orang semenanjung menipu”sampuk Haidi.
“Oh,sigu salah sebut ye!”…serentak dengan itu kami semua ketawa.
Selepas menyuruh anak muridku ke sekolah aku terus pulang.Jam ditangan menunjukkan pukul 12,tinggal setengah jam lagi untuk aku bersiap-siap ke sekolah.
Waktu mengajarku telah tiba. Aku gagahi diriku macam hari-hari biasa untuk mengajar kelas itu.Guru lain begitu juga.Semua guru tak sanggup duduk lama-lama mengajar 3 Ikhtiar.Hanya rutin harian menyebabkan mereka mengajar.
“Hai, cikgu Hazri…nak ke kelas 3 Ikhtiar ke?Nak belajar ke dia orang? Tadi masa bahasa Inggeris saya pun ada 17 orang je,10 orang lagi tah ponteng kat mana?” tegur cikgu Ma Le Chu.
“Ya ke.Hendak belajar ke tak,kita tetap kena masuk kelas dan mengajar.”sambil berjalan longlai ke kelas 3 Ikhtiar.
“Semua bangun.Salam sejahtera cikgu”sapa ketua kelas dengan diekori oleh para pelajar lain.
“Salam sejahtera.Sila duduk”
“Terima kasih cikgu”
“Hari ini cikgu nak bincang jawapan latihan bina ayat adjektif yang saya bagi semalam.Semua dah siapke?
Ada yang diam.Ada pula yang memberitahu separuh saja yang siapkan kerja rumah.Ada yang tak buat langsung.Ada yang beri alasan buku tertinggal kat rumah.Begitulah alasan kelas ini setiap hari,tidak termasuk lagi kerenah mereka yang pelbagai ragam.Tiba-tiba masuk Raiman, Bentayan,Elster, Saimah dan Jainah ke dalam kelas tika aku sedang mengajar.
“Kamu orang ni dari mana?,Saimah dan Jainah kamu pun ponteng juga ke masa bahasa Inggeris tadi?”
“Kami dari tempat rahsia sigu”,jawab Elster.
“Bukan apa sigu,kami keluar dari kelas sebab kami takut kena denda jalan itik dan lompat katak.Sigu Ma beritahu kalau sesiapa tak lulus ujian vocabulary yang hendak dibuat hari ini akan didenda”celah Jainah.
“Habis awak tak membaca apa yang diberi oleh cikgu Ma, sebab itulah hari ini awak semua tak boleh jawab”beritahuku kepada para pelajar.
“Bukan tak baca,tapi otak kami tak ingat cikgu,daripada kami malu jalan itik melalui kelas-kelas lain baik kami ponteng cikgu.”jawab Saimah gadis Suluk yang comel paras rupanya.
“Emmm…Ruzi, Kusnin, Doris, Kiara, dan Samsuri pula tak join ponteng kau orang ke?”
“ Ruzi, Samsuri dan Doris mereka kena denda khidmat masyarakat hari ini.Dia orang kena kemas bilik sukan dengan tolong guru PJ buat line kat padang.Kusnin dan Kiara ke bilik kaunseling kerana kes bercinta,” jelas Alex, ketua kelas 3 Ikhtiar.
“Kamu semua ni macam-macam masalah.Baiklah mana yang ada dalam kelas hari ini kita teruskan dengan pembelajaran kita.Elster cuba buat ayat adjektif yang menggunakan perkataan cantik”
“Saimah sumandak yang paling cantik dalam kelas ini”
“Bukan sumandak,tapi gadis”
      Setelah beberapa minit bersoal jawab dan membimbing anak-anak didikku membina ayat adjektif, mereka mula kelihatan rimas.Ada yang beritahu kepala mereka nak pecah.Malas nak berfikir.Ada yang berkali-kali diberitahu dan dibuat pengulangan tapi tetap tidak faham atau mungkin berpura-pura tidak faham.Itu desis hati kecilku.Seksa dan dalam keadaan dilema sungguh mengajar kelas ini.Patutlah semua guru asyik bercerita tentang para pelajar kelas ini.Melihat keadaan sedemikian rupa,maka aku pohon pelajarku mengambil nota,sambungan nota semalam yang berkaitan jenis-jenis kata adjektif.Tetapi tidak kuduga ada yang menjawab malas nak tulis.Ada yang bagi tahu patah jari. Ada yang bagi tahu dah lenguh salin nota kerana tadi dah banyak salin nota geografi.Jawapan-jawapan begini buat aku meradang.Apabila aku meradang ada seorang dua pelajar yang meniru gayaku meradang.Hal ini menyebabkan egoku tercabar dan lantas tanpa sedar tanganku telah membaling pemadam papan hijau dan memang kena tepat pada muka pelajar berkenaan.Seluruh kelas jadi gamat.Mereka ketawa kerana muka kawan mereka macam artis opera Jepun memakai bedak tebal Sakura.Hatiku bertambah marah,bukannya mereka terkejut dan diam tapi kawannya itu menjadi bahan ketawa pula.Tanpa kusedar sebelum apa-apa terjadi kakiku melangkah keluar dari kelas.Rasa meluat dengan kelakuan para pelajar.Bentayan dan Raiman diam membisu.Mereka tahu hatiku terluka.Masa matematik yang kujanji dengan mereka berdua untuk aku masuk ganti tidak ditunaikan.Selagi pelajar yang meniru gayaku tidak datang meminta maaf aku tidak akan masuk ke kelas.Begitulah hari yang seterusnya,melihat muka Albert je aku cukup benci dan amat meluat.Hubungan kami semakin renggang.Hal ini disedari oleh Kusni,Raiman dan Bentayan.Mereka cuba menjernihkan kembali situasi aku dengan Albert dan secara tidak langsung mengembalikan semula suasana keceriaan kelas 3 Ikhtiar. Mereka bertiga dan kawan-kawan sekelas yang lain mahukan suasana seperti dulu. Saat cikgu Hazri yang pernah mengajar mereka dalam keadaan senyum manis, ceria dan bersemangat dalam mendidik kelas 3 Ikhtiar.
“Assalamualaikum,sigu Hazri” laung Bentayan,Raiman dan Kusnin memberi salam serentak.
“Walaikumussalam,…ah,kamu bertiga rupanya!” sahutku.
“Ye sigu.Kami bertiga datang ni ada hajat”
“Oh, ada hajat,kalau ye pun naiklah dulu”
“Terima kasih kerana sudi jemput naik dan sudi mendengar hajat kami”
Ketiga-tiga anak muridku silih berganti menceritakan hal sebenar berkaitan Albert yang kematian kedua-dua orang tuanya.Albert kini hanya tinggal dengan kakaknya di rumah kongsi pekerja-pekerja kayu balak di bukit Pitas.Kerja kakaknya hanya menanda cat merah di batang-batang kayu balak dan mengira jumlah kayu balak yang ditebang.Mereka juga memberitahu sikap Albert yang keras kerana berkawan dengan orang dewasa yang tidak berpelajaran.Namun,hati kecil Albert ingin memohon maaf dariku tapi bibirnya kelu untuk berkata-kata.Malah aku sendiri tidak memberi ruang walau sekelumit untuk Albert. Tika aku tahu kebenaran ini,maka hati ini tersentuh pilu.Tahulah aku bahawa keegoan diriku dan diri kau menyusahkan kita sebenarnya…menyebabkan kau dan aku terkongkong dalam kepompong yang kita cipta sendiri. Kedegilanmu menjadikan aku sedar,payahnya merealisasikan sebuah impian.Dan kerana kepayahan itu jualah kau bagai helang bebas di angkasa. Hanya sesekali hinggap di dahan apabila sayapmu lelah mengepak.Lantas,aku perlu bertekad supaya tidak pernah jemu menunggumu yang sesekali itu…
       Esoknya aku tampak bersemangat kembali.Dengan niat yang murni dan demi tugas mendidik anak bangsa aku ingin merubah mereka.Aku mula uzlahkan diriku dulu.Aku persiapkan bahan bantuan mengajar yang lebih baik dan kaedah baru dalam mengajar.Umpamanya kalau hendak mengajar KOMSAS untuk mengharapkan mereka baca buku langsung tak baca.Kalau sekadar bercerita sahaja langsung tak menarik minat mereka.Lantas, sinopsis cerita novel Ekspedisi aku buat dengan kaedah bermain wayang kulit. Harap-harap kaedah baru main wayang kulit ini dapat menarik minat mereka dalam belajar KOMSAS nanti. Pelbagai kaedah telah aku laksanakan sehingga menjadi bahan bualan guru-guru lain.Ah, tak kupeduli apa orang kata!.Hargaku bukan di mata manusia.Jika ajal maut di tangan tuhan,maka rezekiku untuk menggapai kejayaan untuk mendidik anak-anak didikku sehingga jaya merupakan anugerah-Nya.
         Bulan Mei hampir mengengsot pergi dan Jun akan menjengah tiba.Pengetua memanggilku kerana katanya ada suratku yang diambil di PPD Pitas.Hatiku begitu melonjak gembira kerana surat pertukaran balik ke semenajung telah diluluskan.Kali ini aku akan berkhidmat di Daerah Kemaman,Terengganu.
Di sekolah yang baru aku tetap diberi kelas hadapan dan kelas corot. Ragam anak-anak didikku di kelas corot sekolah baru ini juga hampir sama,cuma beza budaya dan dialek bahasanya saja.Aku kenal Darimi, Farid, Hishabudin,Anizam,Fieqa,Azizi,Aiman dan semuanya yang tidak dapat kusebut.Untuk mengajar didikmu aku pohon sekali lagi kekuatan dari-Mu supaya kalimah tekadku untuk mengajar tiada kekangan. Aku perlu mengerti kalimah ini dengan lebih jauh dan mendalam selaku penjunjung amanah untuk menyebar luas kalam ilmu pengetahuan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

JOM IKUTI BLOG SAYA

"Masa itu emas"