SIRI 1: HIMPUNAN SINOPSIS
NOVEL SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR
SINOPSIS
UMUM MELIPUTI KESELURUHAN BAB DALAM NOVEL
NOTA SINOPSIS UMUM VERSI 1
Novel ini mengisahkan cita-cita seorang saudagar Melayu bernama Encik
Muhammad bin Idris yang mempunyai rancangan perdagangannya seperti membuka
ladang lada hitam di Johor dan mengusahakan perlombongan di Lembah Tualang. Dia
telah menubuhkan Syarikat Lombong Lembah Tualang dan berkongsi dengan Datuk
Tan. Encik Muhammad merupakan orang Melayu yang berdarah dagingkan perniagaan
sejak daripada datuknya iaitu Orangkaya Indera Datuk Muhammad Saman bin
Bendahara Muda sehinggalah ayahnya Orangkaya Indera Datuk Idris.
Keghairahan Encik Muhammad untuk menjayakan lombong yang dirancangkannya
itu diserahkan kepada Sudin untuk menggunakan apa-apa cara sekalipun walaupun
dengan pelbagai muslihat. Dia berpegang kepada prinsip untuk menundukkan seekor
harimau hanya seekor ‘kancil bijak’ sahaja yang melakukannya. Segala muslihat
yang licin dan halus mestilah digunakan untuk mencapai hasratnya itu. Sementara
itu, isteri Encik Muhammad iaitu Cik Puan Tipah pula bercadang mengusahakan
ladang orkid di Jeram Medang.
Encik Muhammad telah berjaya menawan hati Yang Berhormat Muhd. Yusuf dan
abangnya Penghulu Mahmud menyertai hasratnya itu. Sudin pula memainkan
peranannya berselindung di sebalik matlamat mempertingkatkan taraf hidup
penduduk luar bandar dengan memindahkan mereka ke rancangan FELDA. Walaupun
pada mulanya Sudin bermusuh dengan Mat Akil tetapi dia berjaya memujuk Mat Akil
dan rakan-rakannya menyertai misi yang dirancangkan oleh Encik Muhammad.
Sudin masih menyimpan hasrat untuk membalas dendam terhadap Mat Akil kerana
permusuhan mereka merebut Gayah.
Sifat tidak jujur Encik Muhammad terhadap orang-orang Kampung Pulai
dapat dihidu oleh Imam Saad, Lebai Maarup serta Rahim. Rahim anaknya sendiri,
Mahani bakal menantunya, Lebai Maarup, orang yang baru pulang ke kampung
setelah sekian lama di perantauan, juga Muhammad Alif, anak buahnya yang
menjadi pensyarah di Universiti Malaya telah menyedari muslihat Encik Muhammad
hendak menyingkirkan orang-orang kampung dari kampung halaman mereka sendiri.
Kesemua watak tersebut menentang Encik Muhammad dengan cara yang tersendiri.
Tuk Empat Dahlan berjaya dibeli dengan pangkat penghulu manakala Imam
Saad dilantik sebagai imam menggantikan imam tua yang dibersarakan. Encik
Muhammad terpaksa pula berhadapan dengan Tauke Chan. Tauke Chan menyimpan
dendam terhadap Encik Muhammad kerana menggagalkan projek perumahannya. Dia
mengupah Pendekar Omar memusnahkan ladang orkid Cik Puan Tipah. Akhirnya
Pendekar Omar ditangkap polis. Begitu juga nasib Mat Akil, ditangkap polis
kerana mencederakan Lebai Maarup. Sudin berpuas hati kerana dendamnya terhadap
Mat Akil telah terbalas secara tidak langsung.
Pada akhir novel ini, Keris Mas meletakkan poetic justicenya terhadap
Encik Muhammad, saudagar besar dari Kuala Lumpur yang tiba-tiba menjadi kecil
dan rebah tersungkur menjelang pelaksanaan projek lombong yang bermatlamat
hanya untuk mengaut keuntungan bersama Datuk Tan. Encik Muhammad terpaksa
tunduk kepada permintaan Lebai Maarup dan Rahim supaya tanah wakaf daripada
Lebai Maarup dan Imam Saad tidak dilombong, sebaliknya didirikan kompleks
bangunan yang dapat menampung keperluan sosial dan agama sebuah masyarakat
Islam.
Sumber Rujukan:
http://alfeusv6.blogspot.com/2015/03/sinopsis-novel-saudagar-besar-dari.html
NOTA SINOPSIS UMUM VERSI 2
Novel ini secara keseluruhannya
cuba membincangkan kesan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah diperkenalkan oleh
kerajaan pada tahun 1970 demi membasmi kemiskinan terutama dalam kalangan orang
Melayu.
Sebagai pengarang yang berpegang
teguh kepada konsep ASAS 50, iaitu Seni untuk Masyarakat, Keris Mas juga dapat
dilihat menggerakkan novel tesebut dari aspek perpaduan antara kaum. Selain
itu, novel ini juga ditulis berkemungkinan kesan daripada buku Revolusi Mental
tulisan Datuk Senu Abdul Rahman (1970) yang membincang tentang ehwal sejarah
bangsa Melayu.
Keris Mas menggunakan buku
Revolusi Mental dalam penulisan novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur kerana
semangat Melayu yang cuba dimotivasikan oleh buku ini jelas dapat dilihat pada
seorang tokoh utama yang menjadi pusat naratif novel ini, iaitu Muhammad.
Hampir keseluruhan sikap yang cuba dimotivasikan itu terimej pada watak
tersebut.
Namun begitu, perbincangan ini
hanya akan menumpukan kepada inti pati penting daripada DEB untuk melihat
sejauh mana pandangan Keris Mas terhadap pelaksanaan dasar di Malaysia.
DEB telah dibahagikan kepada tujuh
perkara sebagai garis panduan kerajaan mencapai dasar tersebut dan Keris Mas
telah menerapkan beberapa dasar yang penting dan seterusnya menjadi pokok
perbincangan dalam novelnya.
Perkara pertama, dalam DEB ialah
pengurangan ketidakseimbangan ekonomi di antara kaum secara muktamad dari segi
pendapatan, pekerjaan dan kekayaan. Seperti yang dicatatkan dalam Buku Dasar
Ekonomi Baru: Inti pati, matlamatnya adalah untuk membawa perubahan dalam
sistem ekonomi terutamanya dalam kalangan orang Melayu kerana kerajaan percaya
bahawa sistem 'aparteid' telah digunakan oleh kolonial Inggeris dalam agihan
ekonomi di Tanah Melayu demi keselamatan mereka.
Demi mengubah status orang-orang
Melayu yang telah ketinggalan jauh itu, kerajaan telah menyarankan agar
orang-orang Melayu bekerja keras dalam meningkatkan taraf hidup mereka. Mereka
perlu melibatkan diri secara aktif dalam ekonomi negara. Cadangan kerajaan ini
adalah untuk melihat kebolehan dan memberi pengalaman kepada orang Melayu dalam
pembahagian dan pembangunan sumber ekonomi.
Dalam novel ini, Keris Mas telah
memberi peranan penting kepada Muhammad, iaitu seorang saudagar yang
menguruskan sebuah anak syarikat milik saudagar Cina, Datuk Tan Chong Seng.
Syarikat ini menguruskan import eksport lada hitam. Namun kebijaksanaan dan
sikap hemah Muhammad telah melawan arus sikap orang Melayu lama. Kebenaran ini
diperlihatkan apabila Datuk Tan kagum pada kebolehan dan keberanian Muhammad
dalam membuat sesuatu rundingan perniagaan. Kekaguman Datuk Tan kepada Muhammad
dalam mentadbir dan mengurus anak syarikatnya menyebabkan beliau menjadikan
Muhammad sebagai rakan kongsi perniagaan dalam syarikat import eksport lada
hitam.
Berdasarkan contoh di atas, Keris
Mas cuba membentuk personaliti watak Melayu yang dikehendaki oleh DEB. Dalam
dasar kerajaan tersebut orang Melayu harus diberi peluang saksama membentuk
kekayaan baru dalam proses pembangunan negara. Selain itu orang Melayu juga
harus berani merebut peluang, seperti Muhammad yang mencuba menerima cabaran
dan risiko dalam bidang perniagaan.
Dalam perkara pertama DEB itu juga
dimaklumkan bahawa untuk memperkembangkan kebolehan orang Melayu,
langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan dalam mempertingkatkan
kebolehan orang-orang Melayu ialah memberikan pendidikan dan latihan kemahiran
terutama kepada generasi muda. Pendidikan penting dalam pembangunan sesebuah
negara kerana generasi mudalah nanti yang akan mewarisi kepimpinan negara
seterusnya.
Selain untuk membangunkan negara
melalui pendidikan, kerajaan juga melihat faktor pendidikan sebagai tonggak
penting membentuk satu sistem nilai baru kepada generasi muda terutamanya dari
segi perpaduan negara dan penyatuan kaum. Seruan kerajaan ini telah dilukiskan
oleh Keris Mas pada watak Rahim, iaitu anak kepada Muhammad dan Robert, anak
kepada Datuk Tan. Kedua-dua mereka sedang menuntut di England, berumur 23
tahun, rakan karib dan mengambil pengkhususan dalam bidang yang sama, iaitu
kejuruteraan lombong.
Kedua-dua watak ini sebenarnya
ialah wakil generasi muda yang menjadi harapan kerajaan untuk sama-sama
menggerakkan pembangunan negara seperti dalam pernyataan DEB tentang pentingnya
pendidikan dalam negara membangun.
Sehubungan dengan itu, jika kita
melihat bidang pengkhususan yang diambil oleh kedua-dua anak muda itu juga
selaras dengan galakan kerajaan yang mahu bidang kemahiran tinggi. Pengkhususan
yang diambil oleh kedua-dua anak muda itu juga secara tersirat digambarkan oleh
Keris Mas betapa bidang kejuruteraan yang sinonim dengan pembangunan adalah
penting dan simbol kepada pembangunan negara.
Selain itu, imej Rahim yang
mewakili orang Melayu dan Robert yang mewakili orang Cina dan merupakan rakan
karib sejak bersekolah lagi adalah imej perpaduan antara kaum yang cuba
diutuskan oleh Keris Mas dalam novel ini.
Dalam perkara pertama DEB juga
disentuh tentang rancangan pembangunan wilayah baru atau dikenali sebagai tanah
rancangan seperti Felda. Melalui program tanah rancangan ini, kerajaan
menempatkan orang Melayu dan seterusnya menyediakan sumber pekerjaan kepada
mereka. Tujuan tanah rancangan ini adalah untuk mengurangkan ketidakseimbangan
ekonomi orang Melayu yang keseluruhan masih tinggal di desa-desa yang telah
kekurangan sumber dan mengalami kejumudan sikap menyebabkan mereka berada dalam
kemiskinan. Program tanah rancangan ini juga berkaitan dengan perkara kedua DEB
yang penting, iaitu membasmi kemiskinan terutama orang-orang Melayu. Mengikut
pemerhatian kerajaan yang serius, pada tahun selepas merdeka kadar kemiskinan
sangat tinggi di kawasan luar bandar dan juga orang-orang Melayu di bandar.
Justeru, dalam Saudagar Besar Dari
Kuala Lumpur, Keris Mas menggambarkan imej orang Melayu di Lembah Tualang dan
Jeram Medang, iaitu kampung Muhammad yang rata-rata masih bergantung hidup pada
sawah dan getah yang pada waktu itu tidak lagi menjadi sumber pendapatan
penting. Faktor ini menyebabkan penduduk Melayu di situ berada dalam
kemiskinan. Untuk menyelesaikan kemelut kemiskinan yang dialami oleh kebanyakan
penduduk Lembah Tualang dan Jeram Medang, Muhammad, telah mengusahakan
perpindahan orang Lembah Tualang dan Jeram Medang ke tanah rancangan Felda.
Dalam perkara ketiga DEB pula,
kerajaan mahu melibatkan orang-orang Melayu ke dalam sektor-sektor moden.
Penglibatan orang Melayu ini penting demi menjamin kesamarataan agihan sumber
hasil bumi negara dengan bangsa asing.
Oleh itu melalui Saudagar Besar
Dari Kuala Lumpur, Keris Mas telah meneroka satu bidang yang baru walaupun
bidang ini sebenarnya telah diceburi oleh pembesar Melayu di zaman kolonial
British dahulu. Bidang yang dimaksudkan itu ialah bidang perlombongan bijih
timah. Lembah Tualang ini menurut pendapat pakar kaji bumi masih lagi kaya
dengan hasil bijih timah. Hal ini menarik minat Datuk Tan dan rakan kongsinya
Muhammad yang mempunyai pengaruh keturunan di Lembah Tualang untuk menjalankan
kembali projek cari gali bijih timah di sana.
Hasrat ini secara tidak langsung
menggambarkan bagaimana proses kemasukan orang Melayu, Muhammad ke dalam satu
bidang perniagaan yang moden, iaitu dalam sektor perlombongan. Di samping itu,
kerjasama yang digambarkan antara Datuk Tan dan Muhammad melambangkan bagaimana
bentuk agihan itu boleh terjadi.
Dalam perkara keempat DEB pula
kerajaan mahu menggiatkan penggunaan sumber tenaga sepenuhnya dalam sektor
moden. Dalam erti kata lain kerajaan mahu mengurangkan masalah pengangguran
terutama dalam kalangan orang Melayu.
Perkara kelima DEB pula
menggariskan bentuk peranan kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan serta
agensi yang berkaitan dalam membentuk ekonomi negara. Dalam novel ini, watak YB
Muhd Yusuf adalah sebagai wakil kerajaan negeri. Beliau menjadi rujukan
Muhammad dalam menyelesaikan isu tanah penduduk Lembah Tualang dan Jeram
Medang. Dengan kuasa kerajaan yang miliki oleh YB Muhd Yusuf, beliau telah
menguruskan perpindahan penduduk Lembah Tualang ke tanah rancangan Felda.
Sebagai seorang pengarang Islam,
Keris Mas telah memberi penilaian kepada DEB yang secara keseluruhan masih
mempunyai kelemahan. Kelemahan yang dikesani oleh Keris Mas ialah tentang aspek
pembangunan rohaniah Islam. Atas kesedaran ini juga, Keris Mas telah
melontarkan pemikirannya tentang perlunya pembangunan agama seiringan dengan pembangunan
fizikal agar pembangunan yang ingin dicapai dan dicita-citakan oleh kerajaan
itu lengkap dan sempurna.
Justeru melalui tokoh generasi
muda Rahim yang mendapat pendidikan di luar negara dan Lebai Maarup yang hanya
mendapat pendidikan setakat SPM melontarkan pesan kepada Muhammad dan juga
kerajaan bahawa dalam mengejar kekayaan asas-asas keagamaan jangan
dipinggirkan.
Selain itu, Muhammad, iaitu
seorang saudagar dari Kuala Lumpur yang menjadi judul novel secara simboliknya
ialah imejan kepada DEB. Rahim secara simbolis mewakili golongan
intelektual-akademik yang akhirnya berjaya mengingatkan ayahnya tentang
nilai-nilai budaya bangsa yang harus dipelihara dalam mengejar kekayaan
material.
Lebai Maarup pula lambang kepada
golongan agama-ulama yang mahu pembangunan rohani tidak dipinggirkan juga
akhirnya berjaya mengingatkan Muhammad tentang kepentingan agama dalam mengejar
pembangunan fizikal. Manakala YB Muhd Yusuf lambang kepada kuasa kerajaan.
Begitulah Keris Mas membuat penilaiannya terhadap DEB yang dirangka oleh
kerajaan untuk memacukan pembangunan negara Malaysia.
Sumber Rujukan:
http://yokmanceng.blogspot.com/2013/01/saudagar-besar-dari-kuala-lumpur.html
0 ulasan:
Catat Ulasan