Dikuasakan oleh Blogger.
Memaparkan catatan dengan label PENULISAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PENULISAN. Papar semua catatan

Rabu, 11 Januari 2023

AMALAN PENULISAN TERBAIK TS25-KARANGAN PENDEK MENENGAH RENDAH(TEKNIK IMFoTo)

 

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN BUKIT PAYONG

TAJUK PROGRAM: Meningkatkan Kemahiran Menulis Karangan Pendek Pelajar Tingkatan 1UM Melalui Kaedah IMFoTo.

TEMA: Kemenjadian Murid

TAHUN: 2021

Pengenalan

i ) Latar Belakang

Pembelajaran dan Pengajaran di rumah (PdPr) ketika PKP pada awal tahun 2021 amat mencabar guru untuk mengajar kemahiran menulis karangan pendek kepada pelajar tingkatan satu yang memulakan sesi pembelajaran tanpa bersemuka. Justeru,guru telah memperkenalkan kaedah IMFoTo untuk mengajar karangan pendek.Deskripsi makna kaedah IMFoto ialah seperti berikut:

I = Isi yang diberi harus difahami dan digunakan

M=Menghurai isi dengan ayat yang gramatis, padat, bernas dan bahasa yang menarik

Fo=Fokuskan penghuraian isi dengan bantuan foto/gambar/bahan rangsangan

To= Total / keseluruhan jumlah perkataan MESTI antara 50-80 patah perkataan dan satu perenggan sahaja.(*Pelajar diingatkan mesti ikut arahan soalan)

ii ) Murid yang terlibat ialah murid tingkatan 1 UM

iii) Objektif Pelaksanaan Program/Aktiviti adalah seperti berikut:

a) Pelajar dapat menguasai kemahiran menulis karangan pendek berdasarkan format yang betul

b)Pelajar dapat menulis karangan berdasarkan bahan rangsangan dengan menggunakan ejaan yang betul dan bahasa yang tepat,indah serta menarik.(Dskp Kemahiran Menulis-sk:3.4,sp:3.4.4)

Kaedah Penulisan: Penyelesaian Masalah

Pelaksanaan Program/Aktiviti

i) Proses pelaksanaan

Guru telah merancang terlebih dahulu objektif PdPc dan menyediakan ABM seperti bahan PdPc untuk digunakan dalam google Meet, google forms, dan bahan bergambar dalam buku teks yang telah disunting. Kemudian guru membimbing pelajar dengan menerangkan cara penulisan karangan pendek dengan kaedah IMFoTo,memberi panduan untuk pelajar menguasai kemahiran penulisan,memandu pelajar untuk membuat karangan dan membina karangan dengan ayat gramatis sehingga pelajar boleh membina karangan pendek yang lengkap dalam satu perenggan. Di samping itu, pelajar dikehendaki menyiapkan latihan melalui borang google forms untuk dihantar/diserahkan kepada guru secara dalam talian.Proses pelaksanaan seterusnya guru menyemak dan menilai latihan karangan pendek pelajar.Proses terakhir guru menghantar atau memberi maklum balas kepada pelajar kembali tentang karangan yang dihasilkan mereka dan berbincang jawapan pelajar semasa PdPc mengikut jadual waktu pada hari yang lain.(Proses pelaksanaan ini juga dihubungkaitkan dengan peranan guru sebagai perancang,pembimbing,pendorong dan penilai berdasarkan standard 4)

ii) Impak

Hasil daripada penggunaan kaedah IMFoTo dalam pembelajaran menulis karangan pendek maka para pelajar lebih mudah untuk menulis dan mengolah atau menghurai karangan dengan ayat yang gramatis dan bahasa yang menarik. Kaedah IMFoto yang  digunakan telah membantu dan menunjukkan perkembangan pelajar boleh menguasai kemahiran karangan pendek ini.Antara impak yang jelas pelajar dapat mengawal jumlah perkataan(jika sebelum ini pelajar menulis antara 100-120pp) serta dapat menggunakan penanda wacana yang betul dan menghurai isi dengan betul berdasarkan bahan rangsangan.

iii) Kekuatan dan Kekurangan

-Kekuatan kaedah IMFoto dapat membantu pelajar menggunakan isi yang diberi dan menghuraikannya dengan bantuan foto/bahan rangsangan dengan membina perenggan lengkap karangan penulisan pendek(respons terhad).Kaedah IMFoto ini telah membantu pelajar untuk menjana idea atau mengembangkan pemikiran untuk pelajar mengolah atau menghurai isi sesebuah karangan pendek berdasarkan tugasan soalan yang diberikan sama ada untuk menjawab soalan latihan atau soalan peperiksaan.

-Kekurangannya pula ialah kaedah ini hanya sesuai digunakan oleh pelajar jika kehendak soalan itu diberi bahan rangsangan seperti foto tetapi tidak sesuai digunakan jika soalan peperiksaan/soalan tugasan yang diberi dalam bentuk jadual,carta,rajah atau teks.Kekurangan yang lain ialah kesukaran guru semasa menerangkan kaedah IMFoTo semasa pembelajaran secara PdPr.

 

GAMBAR AKTIVITI BERKAITAN PELAKSANAAN PROGRAM

 ii )Contoh Semakan Karangan Pelajar Menggunakan Perisian Adobe Acorbat Reader


*mungkin gambar aktiviti diatas tidak dapat dilihat dengan jelas 😊

CONTOH SEMAKAN DIPERBESARKAN(MARKAH SEBELUM TEKNIK IMFoTo

Sebelum Kaedah (latihan pada 18/2/2021)    Selepas Kaedah (latihan pada 25/2/2021)          



Penutup

Konklusinya,pengajaran karangan respons terhad agak menyukarkan guru sewaktu pengajaran dibuat secara PdPr yakni ada kalangan pelajar tingkatan 1UM masih terikat dengan corak penulisan di peringkat sekolah rendah dan struktur ayatnya masih kurang matang.Justeru, guru memperkenalkan kaedah IMFoTo untuk memberi kefahaman yang jelas kepada pelajar berkaitan teknik menulis karangan pendek berdasarkan format yang betul.Pada mula guru mengajar kemahiran ini hanya 4 orang sahaja pelajar yang menghantar latihan namun terdapat penggunaan bahasa yang kurang menarik,ejaan yang salah dan isi tidak dapat dihuraikan secara bernas dan padat. Dapatan secara lisan semasa Video/Voice Telegram group di dapati pelajar-pelajar lain yang tidak menghantarnya pula memberi alasan kurang faham untuk menulis karangan pendek.Daripada 4 orang pelajar hantar hanya seorang sahaja yang memperoleh markah 6/10 atau 11%. Justeru,selepas guru membimbing dan menunjuk cara serta memandu penulisan para pelajar 1UM tentang  cara menulis karangan pendek yang betul dengan menggunakan kaedah IMFoto,maka didapati penguasaan kemahiran pelajar menunjukkan peningkatan iaitu seramai 8 orang pelajar daripada 9 pelajar yang menghantarnya telah memperoleh markah 6 hingga 9 markah atau sebanyak 88.88%.



 Nama Penulis: Mohd Hazli Bin Che Seman @ Che Othman

Jawatan: Guru Akademik Biasa/Guru subjek Bahasa Melayu Tingkatan 1UM

Nama Sekolah: SMK Bukit Payong, Jerteh, Terengganu.

 








Selasa, 10 Mei 2022

MARI MENULIS SIRI 2:TEKNIK KEMBANGKAN PERENGGAN PENDAHULUAN,ISI & PENUTUP(KHUSUS UNTUK TING.3)

 1. Pengenalan

Hai, pelajar-pelajar sekalian! Sebelum ni saya pernah berkongsi bahan bagaimana cara hendak menulis perenggan pendahuluan dan perengggan penutup dalam laman blog ini. Kali ini cikgu berkongsi kesemua teknik untuk menulis perenggan pendahuluan, perenggan isi dan perenggan penutup setelah cikgu beranggapan bahawa pelajar telah menguasai kemahiran tersebut semasa di tingkatan 1 & 2 berdasarkan sukatan yang ditetapkan dalam standard pembelajaran.

Jadual di bawah akan mengimbas kembali apa-apa yang dipelajari oleh pelajar-pelajar untuk menguasai kemahiran perenggan Pendahuluan dan perenggan Penutup. ..Jom,kita lihat!

BUKU TEKS

MUKA SURAT

SP

PEMBELAJARAN

TEMA(T) & UNIT(U)

TING.1

28,88,148

3.4.2

Pendahuluan

T3&U5,T8&U15,T13&U25

TING.1

33,93,153

3.4.3

Penutup/kesimpulan

T3&U6,T8&U16,T13&U26

TING.2

44,49,122,172

3.4.3

Pendahuluan dan kesimpulan/Penutup

T4&U7&U8,T7&U19,T14&U27

TING.3

72-73

3.4.2

Pendahuluan

Tema 6

TING.3

98-99

3.4.4

Penutup

Tema 8


2.0 Pemahaman Tentang Perenggan Pendahuluan

Perenggan pendahuluan memperkenalkan tajuk karangan kepada pembaca. Dalam perenggan ini belum terdapat sebarang isi, tetapi menyatakan hal yang berkait rapat dengannya atau memberi perkenalan kepada tajuk karangan supaya pembaca lebih tertarik untuk membaca perenggan seterusnya.Pendahuluan perlu mempunyai 3 konsep ayat iaitu ayat tema(ayat pengenalan),ayat rangsangan(ayat ini boleh satu ayat atau lebih) dan ayat arahan (berfokus kepada perbincangan kata kunci tajuk berdasarkan tugasan soalan)

Pendahuluan boleh dibina dengan tiga hingga lima ayat. Karangan bermula dengan ayat tema atau ayat pengenalan. Satu ayat tema/pengenalan dikira sudah memadai. Ayat ini akan membawa pembaca untuk memahami tajuk dan isi secara umum. *Ini diikuti oleh satu,dua atau tiga ayat rangsangan, yang merupakan ayat yang menyokong atau menghuraikan kenyataan dalam ayat tema/pengenalan.

Perenggan ini diakhiri oleh satu ayat arahan  yang membawa pembaca secara tegas kepada tujuan atau arah karangan, iaitu persoalan yang hendak dibincangkan dalam bahagian isi nanti.

Contoh :

(1) Akhir-akhir ini didapati bahawa kualiti air semakin terancam. (2) Banyak kes pencemaran air dilaporkan berlaku di sana-sini yang sangat membimbangkan kita. (3) Bukan sahaja air sungai atau laut yang tercemar, malah sekarang melibatkan air yang diproses di loji pembersihan. (4) Fenomena ini akan mengancam kesihatan dan keselamatan sesiapa yang menggunakannya. (5) Masalah ini terjadi adalah disebabkan oleh sikap anggota masyarakat sendiri yang tidak memberikan perhatian terhadap kebersihan sumber alam tersebut.

Huraian:

Dalam perenggan di atas, ayat (1) ialah ayat tema/ayat pengenalan, manakala ayat (2) hingga ayat (4) ialah ayat rangsangan . Ayat (5) pula merupakan ayat arahan yang memberikan bayangan paling dekat terhadap inti tajuk, “sikap masyarakat merupakan penyebab pencemaran air”.

* Pada peringkat menengah rendah terutamanya bagi tingkatan 1 dan 2 sudah memadai pelajar boleh membina satu ayat rangsangan sahaja,tetapi digalakkan untuk pelajar-pelajar tingkatan 3 membina lebih daripada satu ayat rangsangan.

2.1 Membina Perenggan Pendahuluan

Teknik Asas.(teknik 3 ayat )

i.ayat tema 

ii. ayat rangsangan        ----)    perlu ditulis dalam perenggan pendahuluan   

iii.ayat arahan

 

-Untuk menulis pendahuluan pelajar boleh menentukan terlebih dahulu jenis pendahuluan yang hendak digunakan seperti pendahuluan jenis definisi, persoalan, suasana, sejarah,  pendapat tokoh, peribahasa dan sebagainya.

 

a. Pelajar membina ayat tema –ayat yang menyatakan pengetahuan pelajar tentang TEMA tajuk atau kata kunci tajuk berdasarkan  kehendak soalan yang diberi.Ayat tema ini boleh menarik minat  pembaca / pemeriksa untuk meneruskan  pembacaan.

b. Pelajar menyokong ayat tema dengan ayat rangsangan yang sesuai.Hal ini bermakna ayat rangsangan itu dapat menyatakan huraian ringkas berkaitan ayat tema dan tajuk soalan.

Ingat para  pelajar jangan  masukkan isi karangan dalam membina ayat rangsangan ini.

c.Pelajar membina ayat arahan (ayat yang dapat membayangkan isi karangan ) pada akhir perenggan pendahuluan.Jelasnya ayat arahan ini dapat menyatakan kehendak soalan atau arahan tugasan dalam soalan.

Contoh perenggan pendahuluan :

            Remaja hari ini terdedah kepada pelbagai ancaman jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan diri mereka.(Ayat Tema) Malah, setiap hari media massa sering melaporkan ancaman terhadap keselamatan diri masyarakat khususnya golongan remaja.(Ayat Rangsangan) Oleh itu, golongan remaja perlulah melakukan usaha-usaha bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.(Ayat Arahan)                                            (Pendahuluan Jenis Fakta )

 

3.0 MEMBINA PERENGGAN ISI

Jumlah perenggan isi bergantung kepada jumlah isi utama. Satu isi utama dihuraikan dalam satu perenggan supaya karangan lebih kemas dan memudahkan pemeriksa mengenal pasti isi utama dan isi sampingan. Penyusunan isi utama pula mengikut kepentingan iaitu yang lebih penting atau dapat dihuraikan dengan jelas hendaklah didahulukan.

Setiap perenggan isi boleh dihuraikan dengan empat atau lima ayat. Perenggan isi dimulakan dengan satu ayat topik,(isi/fakta/ayat utama) iaitu ayat yang menyatakan isi utama. Bagi pelajar yang sudah cekap mengarang, ayat topik boleh juga diletakkan di tengah atau bahagian akhir perenggan.

Tetapi, untuk memudahkan pelajar membuat huraian, lebih baik diletakkan pada awal perenggan. Hal ini diikuti oleh dua hingga empat ayat huraian.(ayat sampingan) Ayat ini mengandungi isi sampingan atau sokongan kepada ayat topik, dan kadangkala boleh digabungkan bersama dengan  ayat contoh yang difikirkan sesuai.Ayat contoh juga boleh ditulis secara berasingan.Akhirnya,dalam perenggan penulisan isi yang baik dan mantap perlu ada ayat penyimpul/ayat rumusan/ayat penegasan.

Contoh:

    Satu daripada sikap sebilangan anggota masyarakat kita adalah tidak mementingkan aspek kebersihan persekitaran dalam kehidupan sehari-hari. (1)  Mereka tidak suka kepada sampah-sarap, tetapi mereka mengambil mudah urusan membuang sampah. (2) Dengan sikap ini mereka menjadikan longkang, sungai dan tasik sebagai tong sampah, sebagaimana yang lazim berlaku di perkampungan setinggan. (3) Hal ini bukan sahaja menyebabkan air sungai atau tasik tercemar, tetapi juga memudahkan terjadinya banjir kilat kerana laluan air tersekat ketika hujan.(4-ayat ini masih lagi ayat contoh)Oleh yang demikian,nyatalah bahawa sikap anggota masyarakat yang tidak mementingkan aspek kebersihan mengundang bencana kepada manusia kembali.(5)

 Huraian:

Ayat (1) merupakan ayat topik, iaitu yang menyatakan isi utamanya, “sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan”. Ayat berikutnya merupakan ayat huraian, iaitu ayat (2) dan (3&4) ialah ayat contoh dengan memberikan contoh sikap yang dinyatakan seperti ayat di atas, manakala ayat (5) menerangkan akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab tersebut yang merupakan ayat penyimpul/rumusan/peneguhan.

4.0 Pemahaman Tentang Perenggan Penutup/Kesimpulan

Perenggan penutup atau kesimpulan berfungsi membuat rumusan secara keseluruhan segala idea yang telah dicurahkan dalam perenggan-perenggan sebelumnya. Pelajar boleh membina perenggan ini dengan menggunakan tiga hingga lima ayat. Perenggan ini tidak seharusnya mengulang kembali apa-apa yang telah dituliskan dalam perenggan pendahuluan. Beberapa cara menulis penutup yang mudah adalah seperti menyatakan semula, membuat ramalan dan membuat syor. Walau bagaimanapun, pemilihan teknik penutup perlulah sesuai dengan jenis karangan.

Kesimpulan atau penutup merupakan rumusan menyeluruh yang merangkumi keseluruhan karangan dalam satu penerangan yang padat. Tanpa kesimpulan, karangan berkenaan dikatakan tidak lengkap atau tidak sempurna ( sumber buku teks tg.1,ms 33 ) Oleh yang demikian, perenggan kesimpulan ialah perenggan akhir dalam sesuatu penulisan. Kesimpulan dibuat berdasarkan maklumat daripada keseluruhan penulisan dengan menggunakan wacana yang sesuai. Lazimnya, terdapat ayat yang memberi cadangan dan harapan dalam kesimpulan.

 Contoh 1 kesimpulan

 Soalan: Huraikan faktor-faktor berlakunya kemalangan jalan raya.

 Sebagai kesimpulannya, kes kemalangan jalan raya yang begitu tinggi di negara kita, terutamanya pada musim perayaan, perlulah diatasi. Dalam hal ini, pihak berkuasa mestilah bertindak tegas terhadap semua pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada.

Kempen-kempen yang dijalankan mestilah melibatkan semua pihak agar kesannya menyeluruh.(sumber buku teks tg.1, ms 93)

Selain itu,dapatlah ditegaskan lagi bahawa perenggan kesimpulan atau penutup bertujuan untuk merumuskan keseluruhan isi karangan. Secara umumnya perenggan kesimpulan mempunyai:

- penanda wacana

- rumusan isi secara umum

- cadangan

- harapan

 Contoh 2 kesimpulan:

 Kesimpulannya, penerapan nilai murni dapat melahirkan bangsa Malaysia yang berbudi pekerti tinggi. Oleh hal yang demikian, usaha menerapkan nilai murni perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat. Dengan itu, keharmonian dan kesejahteraan hidup di negara yang tercinta ini dapat dikekalkan.(sumber buku teks tg.2,ms.49)

 Contoh 3 :Kesimpulan

Kesimpulannnya/Konklusinya, kes kemalangan di jalan raya yang begitu tinggi di negara kita,terutamanya pada musim perayaan perlu diatasi.(pendirian penulis) Dalam hal ini pihak berkuasa mestilah bertindak tegas terhadap semua pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dengan  menguatkuasakan undang-undang yang ada. (ayat cadangan 1)Kempen yang dijalankan mestilah melibatkan semua pihak (ayat cadangan 2) Semua pengguna jalan raya perlulah beringat bahawa keselamatan di jalan raya ialah tanggungjawab semua pihak. (ayat harapan)

Contoh 4 :Kesimpulan

 Intihanya, kes kemalangan di jalan raya yang begitu tinggi di negara kita,terutamanya pada musim perayaan perlu diatasi. .(pendirian penulis)  Dalam hal ini pihak berkuasa perlulah bertindak tegas terhadap semua pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dengan menguatkuasakan undang-undang yang ada. (ayat cadangan 1) Pengguna jalan raya janganlah bersikap“sudah terhantuk baru hendak terngadah”.Sedarilah bahawa, keselamatan di jalan raya ialah tanggungjawab semua pihak. (ayat harapan)

4.1 RUMUSAN PEMAHAMAN TENTANG PERENGGAN PENUTUP/KESIMPULAN 

• Isi perenggan perlulah dikembangkan dengan adanya ayat kesimpulan(pendirian penulis),ayat cadangan dan ayat harapan.

• Sebaiknya penulisan perenggan penutup perlu sekata sama seperti menulis perenggan pendahuluan dan isi.

• Ayat yang gramatis.

•  Penggunaan penanda wacana yang tepat.

•  Boleh menyatakan peribahasa, perumpamaan, cogan kata dan sebagainya dalam  

   perenggan  penutup.

Justeru pemahaman tentang kesimpulan karangan adalah seperti yang berikut:

1. Merumuskan isi dan pendirian serta mengemukakan cadangan dan harapan.

2. Menyentuh perasaan atau membangkitkan semangat.

3. Ringkas, padat, dan tepat.(sumber buku teks tg.2, ms. 122)

 

 5.0 CONTOH KARANGAN PERENGGAN PENDAHULUAN,PERENGGAN ISI (PENULISAN PERENGGAN ISI MENGGUNAKAN TEKNIK IMPAK) DAN PERENGGAN PENUTUP.

 Kepentingan menyambut hari merdeka

 CONTOH PERENGGAN PENDAHULUAN

Tanah air kita merupakan salah sebuah negara yang kian pesat membangun di rantau Asia. Pembangunan dari aspek ekonomi, politik dan sosial telah mula bercambah sejak sebelum mencapai kemerdekaan lagi.Segala-galanya bermula daripada pengorbanan para pejuang negara yang sanggup bermati-matian demi mencapai kemerdekaan untuk nusa tercinta. Pengorbanan mereka mestilah dikenang dan dihargai oleh generasi masa ini. Saban tahun, pihak kerajaan mengeluarkan sejumlah besar wang sebagai persiapan menyambut hari kemerdekaan. Persoalannya, apakah kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita? (Pendahuluan Jenis Pertanyaan)

 CONTOH PERENGGAN ISI 1&2 (TEKNIK IMPAK)

Salah satu kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita ialah  kita dapat mengenang jasa tokoh yang telah berkorban demi mencapai kemerdekaan untuk tanah air.(ISI) Tokoh-tokoh yang telah tiada itu rela berputih tulang daripada berputih mata melihat tanah air tempat tumpah darah mereka dijajah oleh kuasa asing sepertti British dan Jepun.(MENGAPA) Mereka juga sanggup menggadai nyawa demi membayar harga sebuah kemerdekaan.(PENEGASAN /PERKEMBANGAN)  Antara tokoh yang begitu berjasa kepada negara ialah Tunku Abdul Rahman, Rosli Dhobi, Rentap, Kanang dan sebagainya.(ALIBI/CONTOH/BUKTI) Jelaslah di sini bahawa kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita adalah untuk mengenang jasa tokoh.(PENGUKUHAN/RUMUSAN)

            Seterusnya melalui sambutan hari kemerdekaan, pihak kerajaan dapat mengekalkan perpaduan antara kaum di negara kita.( ISI     ) Umum mengetahui bahawa Melayu, Cina dan India merupakan kaum majoriti di negara kita selain kaum Dusun, Kadazan, Bidayuh, Melanau yang menjadi kaum minoriti.(ALIBI) Negara yang harmoni dan sejahtera hanya akan dapat dibentuk jika semua kaum ini dapat bersatu padu, bekerjasama dan bertoleransi.(MENGAPA)Melalui sambutan hari kemerdekaan, semua kaum dapat berkumpul bagi meraikan hari kemerdekaan negara yang kita cintai ini. Masyarakat berbilang kaum yang saling menyayangi, saling menghormati dan saling bekerjasama merupakan pemandangan paling indah untuk dipertontonkan kepada masyarakat di luar negara. (PENEGASAN)Jelaslah di sini bahawa sambutan hari kemerdekaan dapat mengekalkan perpaduan antara kaum.(PENGUKUHAN/RUMUSAN)

 CONTOH PERENGGAN PENUTUP/KESIMPULAN

            Konklusinya, sebagai rakyat Malaysia yang amat sayang akan negara, maka rakyat perlulah bersungguh-sungguh meraikan hari kemerdekaan negara.(HARAPAN) Jadikanlah perang saudara, pergolakan, dan peperangan yang berlaku di sesetengah negara sebagai pengajaran. Tokoh sejarah terkenal, George Santayana pernah berkata, “sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya semula,” Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah menghargai nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini.(SARANAN)

 

 LATIHAN KARANGAN

Berdasarkan peta pemikiran di bawah huraikan langkah-langkah untuk mengatasi tabiat merokok dalam kalangan masyarakat.Sila guna teknik IMPAK untuk mengolah atau menghuraikan isi.


 



Selasa, 16 November 2021

UJIAN SUMATIF BM KERTAS 2 TING.3 NOVEMBER 2021

 

JIKA DAH SIAP JAWAB UJIAN KERTAS 1 APA KATA PELAJAR JAWAB PULA UJIAN KERTAS 2..HARAP PELAJAR DAPAT MEMERAH IDEA DENGAN BAIK UNTUK MENGEMUKAKAN JAWAPAN YANG BERSESUIAN DENGAN KEHENDAK TUGASAN/SOALAN..SELAMAT MENJAWAB

SEMUA PELAJAR YANG CIKGU SAYANG TU..HI..HI..HI..KLIK KAT GAMBAR UNTUK MUAT TURUN SOALAN UJIAN SUMATIF BAGI KERTAS 2


Rabu, 16 Jun 2021

MODUL MARI BELAJAR PERENGGAN PENDAHULUAN VERSI PDF


 PELAJAR-PELAJAR CIKGU TU DIIZINKAN MUAT TURUN BAHAN INI BAGI MEMUDAHKAN PELAJAR MEMBUAT LATIHAN.SKEMA JUGA BOLEH DI MUAT TURUN.TAPI PASTIKAN LATIHAN SIAP DULU BARU BUKA SKEMA.

SILA KLIK DI SINI








SILA KLIK GAMBAR DI ATAS UNTUK MUAT TURUN SKEMA JAWAPAN BAGI MODUL MARI BELAJAR PERENGGAN PENDAHULUAN.

MODUL MARI BELAJAR PERENGGAN PENDAHULUAN VERSI FLIPBOOK

 

Selasa, 18 Mei 2021

NOTA TEKNIK MENULIS KARANGAN KEPERIHALAN/GAMBARAN BERSERTA LATIHAN ARAS RENDAH UNTUK TING.1

 

KLIK GAMBAR



Karangan keperihalan akan dipelajari oleh pelajar tingkatan 1 dalam buku teks halaman 52 iaitu berkaitan tajuk Kem Waja Diri (tema 5-SP:3.6.1).Kali ini cikgu mengemukakan contoh karangan lengkap dan latihan yang bersesuaian dengan tema 5.Harap bermanfaat buat pelajar-pelajar untuk menguasai kemahiran menulis karangan keperihalan. Untuk aktiviti menulis karangan aras tinggi sila lihat buku teks. Bagi mana-mana pelajar sekolah lain yang ingin buat latihan tersebut bolehlah hantar latihan kepada guru kesayangan anda masing-masing di sekolah sendiri.😅😅😅😊

AKTIVITI LATIHAN DALAM BUKU TEKS HALAMAN 52.





SKEMA LATIHAN

Khamis, 29 April 2021

MARI MENULIS KARANGAN (edisi bahan dikemaskini)

 PENGENALAN KARANGAN ( PENULISAN )

1. Lazimnya , dalam ujian penulisan Bahasa Melayu calon-calon dikehendaki menulis sebuah karangan respons terhad di bahagian A dan respons terbuka di bahagian B kertas 2 .Untuk bahagian B terdapat 3 pilihan soalan.

BAHAGIAN B KERTAS 2(RESPONS TERBUKA)
2. Bagi tiap-tiap soalan, panjang karangan mestilah tidak kurang daripada 180 patah perkataan
Jenis-Jenis Karangan :
A. Karangan Berformat
1. Jenis Surat Kiriman Rasmi
2. Jenis Surat Kiriman Tidak Rasmi
3. Karangan jenis Ucapan
4. Karangan jenis Syarahan
5. Karangan jenis Dialog / Temuramah / Perbualan / Wawancara
6. Karangan jenis Berita
7. Karangan jenis Catatan Diari
8. Karangan jenis Laporan
9. Karangan jenis Perbahasan
10. Kad Jemputan
B. Karangan Tidak Berformat
1. Karangan Rangsangan Bergambar / Rangsangan Kata
2. Karangan Jenis Pengalaman / Cerita / Gambaran / Situasi
3. Karangan Jenis Fakta / Penerangan
4. Karangan Jenis Perbincangan
5. Karangan Jenis Melengkapkan Cerita
6. Karangan Jenis Autobiografi / Biografi
7. Karangan Jenis Peribahasa
TUJUAN ANDA MENGARANG
1. menguji kefahaman anda mengenai tajuk karangan itu.
2. menguji kebolehan, kemahiran dan keupayaan anda menarik minat pembaca.
3. menguji fikiran, pendapat, dan idea-idea anda.
4. menguji tentang sejauh mana pembacaan anda.

PANDUAN MENGARANG / MENULIS
Sebelum membuat sesuatu karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang :
a) Pengenalan
b) Isi-isi dan
c) Penutup

A. Pengenalan
 Setiap karangan mestilah mempunyai pembukaan atau pengenalan. Dalam pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu. Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam pada pemeriksa. Oleh itu pastikanlah terlebih dahulu pembukaan karangan hendaklah bersih daripada kesalahan tatabahasa atau ejaan.

B. Isi  Isi hendaklah mengikut kehendak tajuk karangan itu. Karangan perlu mempunyai empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait di antara satu dengan lain. Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan. Sebaik-baiknya satu isi, satu perenggan kecuali jika isi pendek-pendek dan berkait rapat. Tiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain. Jaga isinya supaya tidak terkeluar dari tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Isi karangan hendaklah asli tidak ditiru bulat-bulat dari karangan lain. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri. Jangan campur adukkan isi. Elakkan daripada menulis sesuatu isi dalam perenggan yang sama. Catatkan setiap isi sebelum menulis.

Tip
Antara kaedah mencari isi
Kaedah I ( pertanyaan )   Kaedah II ( peta minda ) Kaedah III ( dikemasek)
Apa ?
Siapa ?
Bila ?
Mengapa ?
Di mana ?
Bagaimana ?  

C. Penutup  Kalau pengenalan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk mengikuti karangan tersebut maka penutupnya juga hendaklah memberi suatu kepuasan kepada pembaca. Penutuplah yang menjadi kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan. Dalam penutup digambarkan juga pendapat kita dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau tergantung. Oleh itu penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan.
CARA-CARA MENGARANG / STRATEGI MENULIS
1. Sebelum menulis perkara yang dilakukan seperti di bawah :
a. Memilih tajuk
 - Baca dan fahami setiap tajuk / soalan yang diberi.
 - Fahami bentuk soalan sama ada jenis berformat atau tidak berformat.
 - Kamu mesti memilih soalan / tajuk yang benar-benar boleh dikuasai
 - Memahami benar-benar kata kunci atau kehendak soalan
 ( Kehendak soalan biasanya berada di akhir arahan seperti : ………………
              Tuliskan laporan mengenai lawatan tersebut. )
 Contoh :
 Perhatikan soalan di bawah ini.
 Soalan 1
 Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan sebuah karangan  mengenainya.
 
 Soalan 2
 Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan laporan mengenainya  untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.
Komen : Tajuk karangan di atas adalah sama, tetapi dari segi formatnya berbeza.
Tip Adalah lebih baik jika adik semua menggariskan perkataan-perkataan yang menjadi kata kunci dalam soalan itu. Ini mengelakkan karangan daripada terpesong atau terkeluar daripada tajuk sebenar.  
b. Menyusun rangka karangan
 - Pilih mana-mana kaedah yang mudah bagi anda mencari isi
 - Senaraikan semua isi penting secara ringkas yang mungkin.
 - susun isi mengikut urutan kepentingannya.
 - Masukkan huraian serta contoh yang sesuai bagi setiap isi yang akan dihurai.
 - Isi penting jangan diulang-ulang
c. Menulis karangan
- Semasa menulis karangan kamu mulakan dengan menulis pendahuluan terlebih dalu satu perenggan.
- Setiap isi yang dihurai perlu ditulis dalam satu perenggan berserta dengan contohnya.
( Bahagian-bahagian karangan yang ideal )
Perenggan Pendahuluan
Perenggan isi pertama
Perenggan isi kedua
Perenggan isi ketiga
Perenggan isi keempat
Perenggan Penutup
- Tulislah mengikut urutan rangka yang telah dibuat selain menjaga kekemasan tulisan.
d. Menyemak karangan
- Setelah habis menulis karangan kamu perlu menyemak bagi memastikan jika ada tulisan anda yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan imbuhan, struktur ayat yang salah dan aspek tatabahasa yang lain.
- baca berulang kali bagi memastikan ketepatan karangan kamu.
e. Secara umum peruntukan masa untuk sebuah karangan
i. 7 minit mencari isi
ii. 35 minit menulis karangan
iii. 3 minit menyemak semula karangan
Jumlah   = 45 minit
Kamu mesti menepati masa yang ditetapkan.

Tip
Kamu digalakkan menulis ayat yang pendek , ringkas dan padat berbanding yang panjang. Ini kerana ayat yang panjang biasanya terdedah kepada kesalahan tatabahasa.
Biasakan diri kamu mengolah ayat daripada isi yang telah disenaraikan.
Satu perenggan biasanya mengandungi 3, 4 atau 5 ayat sahaja bagi huraian satu isi.


MARI KITA MENULIS KARANGAN DENGAN MENGGUNAKAN KAEDAH DIKEMASEK

MODUL LATIHAN PENULISAN
KAEDAH :*DI KEMASEK

DI  = DIRI
KE  = KELUARGA
MA = MASYARAKAT
SE  = SEKOLAH
K    = KERAJAAN/NEGARA

* PILIH 3 SAHAJA UNTUK MENENGAH RENDAH DAN KESEMUA UNTUK MENENGAH ATAS
LATIHAN 1
 Perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia perlu diperkukuh
 dan dipertahankan. Huraikan pendapat anda tentang cara-cara untuk
 meningkatkan perpaduan kaum di  negara ini.
Panduan Menjawab
  1. Kehendak soalan- calon dikehendaki mengemukakan cara-cara atau langkah-langkah untuk meningkatkan perpaduan kaum.
  2. Sekiranya soalan itu berkaitan sebab, kesan dan cara-cara, maka dalam perenggan isi jawapan pelajar seharusnya menyentuh tentang diri, keluarga, masyarakat dan negara atau kerajaan.
  3. Dalam setiap perenggan penulisan seharusnya mengandungi 4 unsur iaitu ayat fakta, ayat huraian, ayat contoh dan ayat penegas.
    A1 .............. ( ayat fakta)................
     A2 .............( ayat huraian)..............                   4 unsur yang harus ada dalam
     A3 ...........( ayat contoh )........                               setiap  perenggan karangan
     A4 ........( ayat penegas )........
4. Perenggan  pendahuluan dan perenggan isi yang pertama telah ditunjukkan cara menulis.Justeru, para pelajar hanya dikehendaki melengkapkan tempat kosong karangan perenggan isi yang seterusnya dan juga perenggan penutup  di bawah dengan jawapan yang difikirkan sesuai. Kemudian salin semula karangan yang telah anda siapkan itu dalam buku karangan.
Contoh  Jawapan
Perenggan Pendahuluan
Ayat 1  (fakta)              :     Perdana Menteri Malaysia telah mencadangkan konsep
                                             Satu Malaysia
.
Ayat 2  (huraian)              Konsep ini adalah untuk mewujudkan rakyat  yang bersatu     
                                              padu  dan negara   yang maju mengikut  acuan sendiri.
Ayat 3 ( contoh )          :    Sebenarnya, konsep ini  telah lama dilaksanakan melalui
                                             Dasar Pendidikan Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan,
                                             Bahasa Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru, peranan
                                             Jabatan Perpaduan Negara dan ideologi Rukun Negara.
Ayat 4 ( penegas)         :   Oleh yang demikian, ternyatalah bahawa perpaduan
                                             merupakan asas kesejahteraan dan keamanan negara.
Perenggan Isi   ( Berkaitan Diri )
Ayat 1  (fakta)             :   Sehubungan itu, perpaduan yang hendak diwujudkan 
                                           hendaklah bermula dengan memiliki kesedaran dalam diri. 
Ayat 2  (huraian)           Individu yang tahu peranannya akan berusaha untuk
                                           merapatkan hubungan dengan kaum-kaum lain.
Ayat 3 ( contoh )         :  Umpamanya Ahmad yang mewakili kaum Melayu dan
                                        tinggal di sesebuah petempatan hendaklah bergaul dengan
                                         setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum serta agama.
Ayat 4 ( penegas)         :  Dengan cara ini akan  mengelak daripada prasangka buruk
                                           seseorang terhadap jirannya dan seterusnya perpaduan akan
                                          dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum.
Perenggan Isi ( Berkaitan Keluarga )
    Pilihan jawapan untuk mengisi tempat kosong    
       #  menanamkan sikap ...   Satu Malaysia   #  anak-anak  ... masyarakat  berbilang
       #   Selain itu, ibu bapa hendaklah                      #  semasa hendaklah

Ayat 1  (fakta)              :           ........................................................mendidik anak-anak
                                                  tentang kepentingan  perpaduan antara kaum.
Ayat 2  (huraian)          :      Ibu  bapa  dari semasa ke ................................berusaha
                                              untuk  membentuk keluarga yang berfikiran sihat dan  rasional.
Ayat 3 ( contoh )                Caranya ibu bapa perlu memberikan galakan
                                             kepada...............................................  agar  bergaul
                                              dengan...........................................................bangsa.

Ayat 4 ( penegas)         :      Justeru, didikan dari awal yang disemai oleh ibu bapa
                                               kepada anak-anak akan..................................... saling
                                               menghormati adat resam dan kepercayaan kaum lain, yang
                                               akhirnya akan membentuk generasi.....................................     

Perenggan Isi ( Berkaitan Masyarakat )
Ayat 1  (fakta)             :            ........................................mengadakan kegiatan yang
                                                  dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.
Ayat 2  (huraian)                 Langkah sebegini akan melahirkan .....................bersikap
                                                toleransi dan saling memahami antara satu sama lain
Ayat 3 ( contoh )          :     Oleh sebab itu, aktiviti seperti............................ dan  hari 
                                             keluarga amat sesuai dilakukan dalam masyarakat majmuk
                                             di................................ 
Ayat 4 ( penegas)         :   Jelaslah melalui aktiviti sedemikian rupa akan melahirkan
                                            masyarakat yang tidak lagi bersikap prejudis terhadap
                                            kaum-kaum lain dan menghormati hak keperluan kaum-kaum lain
                                            seperti yang...................... dalam Perlembagaan dan kontrak sosial.
Perenggan Isi ( Berkaitan kerajaan atau negara )
Ayat 1  (fakta)  :           ......................................menganjurkan kempen.............................
                                    ........................................................................................................
                                    .......................................................................................................
Ayat 2  (huraian)           :  Kempen yang dijalankan itu dapat menyekat
                                       anasir-anasir dalaman dan luaran yang bertujuan 
                                       untuk.....................................   ..     masyarakat.

Ayat 3 ( contoh )            Contohnya kempen………………………………………….. .......................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................

Ayat 4 ( penegas)         :...................................................................................................
                                    .......................................................................................................
                                    ..................................... semangat muhibah akan dapat  diperkukuh.

Perenggan Penutup atau Kesimpulan
            Kesimpulannya, perpaduan yang ada pada hari ini tidak menjamin kesejahteraan hari esok. Oleh itu, tingkatkanlah perpaduan demi kesejahteraan kita bersama

Contoh Karangan Lengkap  
          Perdana Menteri Malaysia telah mencadangkan konsep Satu Malaysia.
Konsep ini adalah untuk mewujudkan rakyat  yang bersatu padu 
dan negara yang maju mengikut  acuan sendiri. Sebenarnya, konsep ini 
telah lama dilaksanakan melalui Dasar Pendidikan Negara,Dasar Kebudayaan Kebangsaan,
Bahasa Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru, peranan Jabatan Perpaduan Negara
 dan ideologi Rukun Negara.Oleh yang demikian, ternyatalah bahawa perpaduan
 merupakan asas kesejahteraan dan keamanan negara.
        Sehubungan itu, perpaduan yang hendak diwujudkan  hendaklah
 bermula dengan memiliki kesedaran dalam diri.  Individu yang tahu peranannya
akan berusaha untuk merapatkan hubungan dengan kaum-kaum lain.
Umpamanya Ahmad yang mewakili kaum Melayu dan tinggal di sesebuah petempatan
hendaklah bergaul dengan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum serta agama.
Dengan cara ini akan  mengelak daripada prasangka buruk seseorang terhadap jirannya
 dan seterusnya perpaduan akan dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat
yang berbilang kaum.
                              Sila lengkapkan perenggan isi yang keseterusnya.
Kesimpulannya, perpaduan yang ada pada hari ini tidak menjamin kesejahteraan hari esok. Oleh itu, tingkatkanlah perpaduan demi kesejahteraan kita bersama.

LATIHAN 2
Semangat kejiranan semakin luntur dalam kehidupan moden pada hari ini. Huraikan langkah-langkah yang dapat dilakukan untuk meningkatkan semangat kejiranan.

Rangka Karangan
Pendahuluan
-          Semangat kejiranan mementingkan hubungan yang baik antara insan.
-          Semangat kejiranan semakin luntur – langkah-langkah untuk meningkatkannya.
Isi-isi
-          Menjalin hubungan baik dengan jiran – bertegur sapa tanpa mengira kaum dan kepercayaan  diri )
-          Menjalankan aktiviti kemasyarakatan – melibatkan semua penduduk setempat – merapatkan hubungan. ( masyarakat )
-          Kunjung-mengunjung semasa perayaan  – amalan rumah terbuka – mewujudkan sikap toleransi ( kerajaan )
Penutup
-          Semangat kejiranan mewujudkan masyarakat yang bersikap prihatin  dan mengambil berat.
-          semangat kejiranan yang utuh akan menwujudkan masyarakat madani di Malaysia.

CONTOH PENULISAN PERENGGAN PENDAHULUAN,ISI DAN PENUTUP.(DENGAN MENGGUNAKAN TEKNIK IMPAK ATAU AMB.COP)

Tajuk: Kesan gejala buli dalam kalangan pelajar.

(contoh perenggan pendahuluan) (Apa isunya?) Gejala buli dalam kalangan pelajar perlu ditangani dengan bijak supaya fenomena ini tidak merebak di sekolah. (Mengapa?) Sekiranya masalah ini tidak dapat dikawal, maka kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan akan merosot dan sekolah tidak dapat diangap sebagai institusi untuk mendidik generasi muda supaya menjadi warganegara yang seimbang dari segi jasmani,emosi,mental,dan sahsiah. (Bagaimana?) Pihak sekolah perlu mengambil berat tentang hal ini dan cuba menyelesaikannya sama ada secara bersendirian atau dengan mendapat bantuan daripada pihak berkuasa seperti polis. (Contoh) Malah, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengatakan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak tentang hal ini dan beliau ingin memastikan lima juta orang pelajar di 5000 buah sekolah di negara ini mendapat pendidikan dan perlindungan daripada sekolah. ( Penegasan ) Pada pandangan saya, gejala buli dan gangsterisme dalam kalangan pelajar jika tidak dibendung akan mendatangkan pelbagai kesan buruk kelak.

(Contoh perenggan isi) (Isu )Salah satu kesan buruk gejala buli dalam kalangan pelajar ialah perbuatan membuli secara tidak langsung menerapkan sifat ganas dalam diri pelajar terbabit dan jika masalah itu tidak dibendung,lama-kelamaan gejala ini akan menjadi amalan hidup mereka. (Mengapa?)  Hal ini   dikatakan   demikian   kerana  hasil kajian sebelum ini menunjukkan bukan hanya pembuli, malah mangsa juga membesar menjadi orang dewasa yang bermasalah. (Perkembangan hujah) Malah, kajian mendapati seorang daripada empat orang pembuli lelaki yang berusia lapan tahun berkecenderungan menjadi penjenayah apabila mencapai umur 30 tahun. (Alibi/ contoh) Buktinya, Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Profesor Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, berkata dapatan itu ialah hasil kajian membujur atau berterusan yang pernah dijalankan di luar negara termasuk Amerika Syarikat dan England. Bekas Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris itu (kesimpulan / rumusan idea atau hujah)  mengatakan bahawa hal ini terjadi kerana perbuatan membuli secara tidak langsung menerapkan sifat ganas dalam diri pelajar terbabit.

(Contoh perenggan penutup)
(Isu) Konklusinya, gejala buli dalam kalangan pelajar wajar diatasi dengan segera supaya keadaannya tidak menjadi seperti duri di dalam daging. (Mengapa dan perkembangan hujah) Semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini dan bukannya menyalahkan mana-mana pihak sahaja.(Alibi)  Apabila terdapat iltizam semua pihak, maka masalah ini dapat diatasi dengan segara. (kesimpulan / rumusan hujah)Akhirnya saya menegaskan bahawa gejala buli dalam kalangan pelajar mendatangkan impak buruk sekiranya tidak dibendung.

 






.










 

JOM IKUTI BLOG SAYA

"Masa itu emas"