Dikuasakan oleh Blogger.

Jumaat, 27 Jun 2025

PANTUN BUDI DALAM MAHKOTA SASTERA MELAYU (KMK STPM)

 

KARYA TRADISIONAL

DALAM TEKS

MAHKOTA SASTERA MELAYU ( SEMESTER 1)

PUISI TRADISIONAL-PANTUN BUDI

 BAHAGIAN A: PENGHAYATAN KARYA

Catatan: Nota ini hanya pandangan penulis(cikgu Mohaz )sahaja. Sila berbincang dan rujuk guru anda jika ada sebarang kemusykilan.

KARYA TRADISIONAL

Penulis ingin mengkategorikan karya tradisional yang terkandung dalam buku Mahkota Sastera Melayu (MSM) kepada dua bahagian,iaitu pembelajaran atau bedah karya berkaitan puisi tradisonal  dan prosa tradisional.

Hasil Pembelajaran

Calon seharusnya dapat:

(a) Mengenal pasti jenis dan ciri, fungsi, teknik penulisan, pemikiran, dan pengajaran dalam karya tradisional;

(b) Membincangkan jenis dan ciri, fungsi, teknik penulisan, pemikiran, dan pengajaran dalam karya tradisional;

(c) Menilai jenis dan ciri, fungsi, teknik penulisan, pemikiran, dan pengajaran dalam karya tradisional.

1) Puisi Tradisional 

PENGENALAN

Puisi tradisional adalah sejenis karya atau teks berangkap yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu.Karya yang berbentuk lisan ini akhirnya ditulis semula dalam bentuk teks bertulis bagi tujuan mendokumentasikan khazanah sastera Melayu. Dalam buku Mahkota Sastera Melayu  jenis puisi tradisonal yang dipelajari adalah seperti berikut:-

a) Pantun

b) Syair

c) Gurindam

d) Seloka

DEFINISI DAN KONSEP

Puisi tradisional Melayu merupakan warisan bahasa Melayu yang sangat unik. Puisi tradisional Melayu telah pun muncul sebelum bermulanya sistem tulisan lagi. Menurut Abdul Halim Ali (2004:2), puisi bukan sahaja sebati dalam jiwa masyarakat sebagai satu hasil seni, malah merupakan satu bentuk wadah pemeliharaan adat, pembina sahsiah diri, pengajar agama dan ilmu pengasih, pertahanan, hiburan, dan juga kepercayaan.

            Menurut Mohd Rosli Saludin (2000:10), bentuk-bentuk dan jenis-jenis puisi yang terdapat dalam puisi tradisional Melayu adalah seperti pantun, syair, seloka, teromba, gurindam, peribahasa berangkap, talibun, nazam, rubai, kit ’ah, masnawi, ghazal, zikir dan selawat, berzanji, teka-teki, endoi, rejang, hadrah dan dabus.

*FUNGSI UMUM PUISI TRADISIONAL

1.     Menyampaikan pesanan kepada manusia supaya sentiasa berbuat kebaikan.

2.     Alat untuk mengajar dan memberikan didikan ke arah kebaikan.

3.     Menceritakan pandangan masyarakat tentang peristiwa yang terjadi pada sesuatu masa.

4.     Memberikan gambaran tentang masyarakat zaman dahulu seperti:

a)    papapran kehidupan seharian

b)    adat istiadat

c)     keagamaan

d)    keindahan alam dan

e)    hubungan dengan sesama manusia 

1.1 PANTUN

PENGENALAN

Pantun merupakan puisi tradisional Melayu yang paling popular. Hal ini disebabkan oleh sifatnya yang asli. Keaslian yang dimaksudkan adalah kerana pantun hanya dijumpai pada bangsa Melayu Nusantara sahaja. Menurut Za’ba 1965:219), pantun adalah kaedah rangkapan yang tertua dan memang asal orang Melayu sebenar. Sejak orang Melayu belum tahu menulis surat lagi, mereka telah pun pandai berpantun dan kerap berbalas pantun sesama mereka. Menurut Harun Mat Piah, et al (2000:112) pula, pantun yang telah pun diterima umum merupakan puisi asli ciptaan orang  Melayu iaitu bukan saduran atau penyesuaian daripada puisi-puisi Jawa, India, Cina dan sebagainya.

DEFINISI PANTUN

1.Harun Mat Piah (1989 ) telah memberikan definisi pantun berdasarkan aspek dalaman dan aspek luaran atau struktur visual pantun itu sendiri.

2. Aspek dalaman pantun meliputi unsur estetik dan isi (tema dan persoalan).Unsur estetik pantun dapat dilihat berdasarkan 2 aspek,iaitu:

a) Penggunaan lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun

mengikut tangggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu

b) Hubungan makna antara pasangan pembayang dengan pasangan maksud

sama ada secara konkrit atau abstrak.

CIRI-CIRI PANTUN

Ciri-ciri pantun dapat dilihat dari aspek strukturnya.

1.Ciri  pantun ialah  mempunyai rangkap-rangkap yang berasingan. Rangkapnya berasingan dan boleh berdiri sendiri sebagai satu kesatuan idea Setiap rangkap terdiri daripada baris-baris yang sejajar serta berpasangan seperti 2,4,6 hingga 16.

2.Seterusnya, pantun mempunyai jumlah suku kata dalam setiap baris antara lapan hingga dua belas suku kata iaitu mengandungi kata dasar antara empat hingga lima patah perkataan. Namun begitu, pada kebiasaannya pantun mengandungi antara lapan hingga sepuluh suku kata.

3.Selain itu, setiap rangkap pantun mempunyai dua bahagian iaitu bahagian pembayang dan juga bahagian maksud. Sebagai contoh, dalam satu quatrain terdapat dua unit, satu unit pembayang dan unit satu lagi merupakan unit maksud. Pembayang ialah gambaran alam dan maksud ialah gambaran sifat dan sikap manusia.

4.Ciri  yang lain ialah pantun mempunyai skema rima hujung yang tetap iaitu a-b-a-b. Walau bagaimanapun, terdapat juga variasi pada rima hujung pantun iaitu a-a-a-a, a-a, a-b, b-a, dan sebagainya. Pada kebiasaannya, pantun akan menggunakan rima akhir a-b-a-b.

5.Ciri terakhir ialah satu rangkap pantun sahaja sudah memiliki kesatuan fikiran yang lengkap dan sempurna. Dalam kata lain, satu rangkap pantun sahaja sudah dapat memberikan maksud yang hendak disampaikan secara keseluruhan.

Dari aspek visual (dalaman pantun)
6.Penggunaan lambang yang sesuai dengan norma, nilai dan tanggapan masyarakat setempat.
7. Pantun yang baik mempunyai hubungan idea dan wacana antara unit pembayang dengan unit maksud sama ada secara konkrit atau abstrak.

JENIS PANTUN : BERDASARKAN TIGA ASPEK

1. Suduk Khalayak (penutur dan pendengar pantun)
a. Pantun kanak-kanak - Pantun yang bermaksud nasihat terutamanya menyentuh alam pendidikan
b. Pantun orang dewasa / orang muda – Pantun yang bertemakan kasih sayang, usik mengusik, kepahlawanan, adat resam, budi, nasihat dan sebagainya.
c. Pantun orang tua – Pantun yang mengandungi maksud nasihat, kias ibarat, adat resam serta mengandungi nilai kemasyarakatan dan kebudayaan.

2. Sudut bentuk – berdasrkan jumlah dalam setiap rangkap
Mempunyai empat kumpulan :
i. Pantun dua baris / dua kerat (pameo/pantun kilat)
ii. Pantun empat baris / empat kerat (kuatren)
iii. Pantun lebih empat baris (6 kerat – 16 kerat)
iv. Pantun berkait.

3. Sudut Tema (sebelas tema)
i. Pantun adat dan resam manusia
ii. Pantun agama dan kepercayaan  (dipelajari dalam teks MSM)
iii. Pantun budi (dipelajari dalam teks MSM)
iv. Pantun jenaka dan permainan
v. Pantun teka-teki
vi. Pantun kepahlawanan
vii. Pantun nasihat dan pendidikan
viii. Pantun peribahasa dan perbilangan
ix. Pantun kias dan ibarat (dipelajari dalam teks MSM)
x. Pantun kembara dan perantauan
xi. Pantun percintaan

*Fungsi Pantun Secara Umumnya

i. Digunakan dalam aktiviti masyarakat seperti dalam kegiatan seni, keagamaan, dan adat istiadat.
ii. Sebagai alat komunikasi untuk menyampaikan isi hati dan hajat, seperti sanjungan, pemujaan dan ucapan selamat kepada seseorang dalam sesuatu upacara atau majlis rasmi.
iii. Sebagai alat hiburan dan bahan jenaka serta gurau senda, terutamanya pantun jenaka dan pantun usik-mengusik serta pantun dalam permainan.
iv. Sebagai alat pendidikan sama ada secara menyindir, kias atau berterus terang.
v. Sebagai alat menguji ketajaman akal dan kehalusan perasaan seperti pantun teka-teki, pantun peribahasa dan pantun yang terdapat dalam puisi adat atau teromba.
vi. Sebagai alat untuk mendapatkan gambaran masyarakat, terutama sebagai gambaran minda dan pemikiran masyarakat Melayu, pandangan hidup, harapan, cita-cita, daya estetik dan perspektif mereka seluruhnya. Oleh itu, banyak sarjana berpendapat bahawa untuk mengenal bangsa Melayu, kenalilah pantun mereka.

 

*  Catatan: Berdasarkan sukatan pelajaran Baharu kegunaan mulai 2026 pembelajaran FUNGSI dipelajari secara khusus untuk prosa tradisional. Oleh itu, untuk puisi tradisional pembelajaran fungsi tidak akan dipelajari secara khusus dan nota yang diberikan adalah bertujuan untuk pengetahuan tambahan kepada para pelajar.

Teknik penulisan pantun:
• Bentuk terikat
• Rangkap – jumlah baris serangkap ( 2,4,6 hingga 16)
• Rima yang bertentangan a-b, a-b dan seterusnya
• Jumlah perkataan sebaris – 4 hingga 5 patah perkataan
• Jumlah suku kata sebaris – antara 8 hingga 10
• Jeda (hentian sejenak/ ‘pause’) – di antara dua perkataan sebaris
• Pembayang dan maksud dalam serangkap
• Maksud – tema pantun

1.1.1 Pantun Budi

Pantun budi berkait rapat dengan amalan kehidupan masyarakat Melayu. Pantun adalah bait bahasa yang unik kerana bahasanya yang tepat dan mengandungi mesej untuk mendidik masyarakat. Keistimewan bahasa dalam pantun mencerminkan kebijaksanaan orang Melayu dalam mendidik masyarakat supaya beradat dan beradab sepertimana dalam pantun budi. 


Contoh pantun dalam teks MSM:
Rangkap 1
Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa;
Sendi bangsa ialah budi,
Runtuh budi runtuhlah bangsa.

Pantun ialah puisi Melayu lama berbentuk terikat.

Analisis Ciri-ciri Pantun Budi
Dari segi rangkap:
Pantun di atas ialah pantun empat baris serangkap atau pantun empat kerat yang terbina dalam baris-baris yang sejajar dan berpasangan.

Tegak rumah kerana sendi, B1
Runtuh sendi rumah binasa; B2
Sendi bangsa ialah budi,       B3
Runtuh budi runtuhlah bangsa. B4

Dari segi rima akhir pantun:
Skema rima akhir pantun di atas adalah bertentangan iaitu a-b,a-b

Tegak rumah kerana sendi,  (a)
Runtuh sendi rumah binasa; (b)
Sendi bangsa ialah budi,       (a)
Runtuh budi runtuhlah bangsa. (b)

Jumlah perkataan sebaris:
Jumlah perkataan sebaris adalah tetap / sekata iaitu di antara 4 patah perkataan.

Tegak rumah kerana sendi, 4 p.p.
Runtuh sendi rumah binasa; 4 p.p.
Sendi bangsa ialah budi, 4 p.p.
Runtuh budi runtuhlah bangsa. 4 p.p

                      
Jumlah suku kata sebaris:
Jumlah suku kata sebaris adalah tetap iaitu di antara 8 hingga 9 jumlah suku kata sebaris

Te/gak/ ru/mah/ ke/ra/na/ sen/di/,
Run/tuh/ sen/di/ ru/mah/ bi/na/sa/;
Sen/di/ bang/sa/ ia/lah/ bu/di/,
Run/tuh/ bu/di/ run/tuh/lah/ bang/sa/.

Jeda
Terdapat hentian sejenak / jeda di antara dua perkataan dalam sebaris

Tegak rumah/ kerana sendi,
Runtuh sendi /rumah binasa;
Sendi bangsa/ ialah budi,
Runtuh budi/ runtuhlah bangsa.

Pembayang (sampiran) dan maksud pantun
Dalam serangkap pantun mengandungi dua unit / kuplet iaitu kuplet pembayang dan kuplet maksud. Baris pertama dan kedua ialah kuplet pembayang dan baris ketiga dan keempat ialah kuplet maksud.


Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa;  Kuplet pembayang
Sendi bangsa ialah budi,
Runtuh budi runtuhlah bangsa.   Kuplet maksud

 

RAJAH 1: PANTUN  BUDI
   


Dari segi maksud pantun rangkap 1 hingga rangkap 5

Lengkap maksud pantun itu dengan serangkap sahaja. Pantun di atas bertemakan budi. Pantun rangkap di atas membawa maksud tunggak kepada perpaduan bangsa adalah budi tetapi jika masyarakat tidak berbudi maka runtuhlah perpaduan masyarakat.

Jelaslah,pantun budi ini menekankan pentingnya budi pekerti dalam kehidupan bermasyarakat.

  • Tegak rumah kerana sendi, Runtuh sendi rumah binasa: Seperti rumah yang berdiri tegak kerana memiliki sendi yang kuat, rumah itu akan runtuh jika sendi-sendi tersebut musnah.
  • Sendi bangsa ialah budi, Runtuh budi runtuhlah bangsa: Dalam konteks ini, budi pekerti (nilai moral dan sikap baik) adalah sendi yang menyokong sesuatu bangsa. Jika budi pekerti runtuh atau lenyap, bangsa tersebut juga akan musnah atau mengalami kehancuran.Malah hubungan bangsa yang pelbagai kaum  dari segi perpaduan juga akan musnah dalam sesebuah negara.

Jadi, pantun ini mengajar kita bahawa budi pekerti adalah asas yang penting dalam membangun dan menjaga keberlangsungan sesuatu bangsa. Jika budi pekerti dipelihara dengan baik, bangsa tersebut akan kekal teguh dan sejahtera.

RANGKAP 2

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak dengan sujinya:
Apa guna beristeri cantik,
Kalau tidak dengan budinya.

Masyarakat Melayu memandang tinggi terhadap budi pekerti yang mulia, sopan santun, sifat lemah lembut yang ada pada gadis Melayu. Sehubungan itu, wanita Melayu mestilah berlemah lembut, taat kepada ibu bapa, orang tua dan apabila berkahwin taat kepada suaminya. Sifat sabar, pengasih dan penyayang juga penting terutamanya untuk menjadi seorang ibu.

Justeru,pantun ini menekankan pentingnya sifat-sifat baik (budi pekerti) dalam kehidupan, terutamanya dalam hubungan perkahwinan.

- Apa guna berkain batik, Kalau tidak dengan sujinya: Berkain batik menjadi tidak berguna jika tidak dihiasi dengan sulaman atau suji yang indah. Ini menggambarkan bahawa hanya memakai kain batik sahaja tanpa hiasan tambahan akan nampak kurang menarik.

- Apa guna beristeri cantik, Kalau tidak dengan budinya: Mempunyai isteri yang cantik tidak bermakna jika isteri tersebut tidak mempunyai budi pekerti yang baik. Kecantikan fizikal sahaja tidak cukup untuk membuat seseorang bahagia tanpa sifat-sifat baik dan kelembutan hati.

Jadi, pantun ini mengajar kita bahawa keindahan sebenar datang dari budi pekerti yang baik, bukan sekadar dari kecantikan luaran. Budi pekerti adalah kualiti yang paling penting dalam diri seseorang.

RANGKAP 3

Baik- baik bertanam ubi,

Biar rapat jangan jarang;

Baik-baik bertanam budi,

Budi yang mana dikenang orang.

Pantun ini menekankan pentingnya menanam/mengamalkan budi pekerti yang baik dalam kehidupan bermasyarakat.

  • Baik-baik bertanam ubi, Biar rapat jangan jarang: Bila menanam ubi, adalah penting untuk menanamnya dengan rapat agar ia tumbuh dengan baik dan menghasilkan hasil yang baik.
  • Baik-baik bertanam budi, Budi yang mana dikenang orang: Sama seperti menanam ubi, adalah penting untuk menanam/mengamalkan budi pekerti dengan baik. Budi pekerti yang baik akan selalu dikenang oleh orang lain.

Jadi, pantun ini mengajarkan bahawa kita harus menjaga dan menanam atau mengamalkan budi pekerti yang baik dengan teliti dan ikhlas, kerana budi pekerti yang baik akan diingati dan dihargai oleh orang lain sepanjang masa.

RANGKAP 4

Puas saya bertanam ubi,

Nanas juga dipandang orang;

Puas saya menabur budi,

Emas juga dipandang orang.

Dalam pantun diatas pula, dapat ditelaah/ditafsir bahawa kerugian bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit dan harta benda,sebaliknya kerugian boleh dialami dari segi masa,tenaga,ikhtiar, dan maruah. Misalnya, pantun di atas membawa mesej kekesalan kerana “berasa rugi” lantaran “budi” (usaha,sumbangan) yang diberikan tidak lagi dihargai berikutan masyarakat lebih menyanjung pemilikan kekayaan (material)

Pantun ini menyoroti kekecewaan seseorang yang merasa usahanya tidak dihargai oleh orang lain.

  • Puas saya bertanam ubi, Nanas juga dipandang orang: Walaupun seseorang telah berusaha keras menanam ubi, orang lain tetap lebih tertarik kepada nanas. Ini menggambarkan situasi di mana usaha atau kerja keras seseorang tidak mendapat perhatian atau penghargaan yang sepatutnya.
  • Puas saya menabur budi, Emas juga dipandang orang: Walaupun seseorang telah berusaha menyebarkan kebaikan dan budi pekerti, orang lain masih lebih menghargai kekayaan atau emas. Ini menunjukkan bahawa nilai kebaikan dan budi pekerti seringkali diabaikan, sementara kekayaan material lebih dihargai.

Jadi, pantun ini menggambarkan kekecewaan seseorang terhadap sikap masyarakat yang lebih mementingkan kekayaan material berbanding nilai-nilai kebaikan dan budi pekerti.

RANGKAP 5

Di sana padi di sini padi,

Padi huma dari Seberang;

Di sana budi di sini budi,

Barulah nama disebut orang.      

Pantun ini menekankan pentingnya budi pekerti dalam kehidupan bermasyarakat dan bagaimana kebaikan seseorang akan selalu diingat dan dihargai oleh orang lain.

  • Di sana padi di sini padi, Padi huma dari Seberang: Padi adalah simbol kehidupan dan kemakmuran, menunjukkan bahawa di mana-mana pun, padi tetap dihargai dan diperlukan.
  • Di sana budi di sini budi, Barulah nama disebut orang: Sama seperti padi yang bernilai di mana-mana, budi pekerti yang baik juga dihargai di mana-mana. Orang yang menabur kebaikan dan budi pekerti akan selalu dikenang dan dihargai oleh orang lain.

Jadi, pantun ini mengajarkan bahawa budi pekerti yang baik adalah nilai universal yang dihargai di mana-mana, dan orang yang berbuat baik akan selalu diingat dan dikenang oleh masyarakat.

Kepentingan pantun  budi kepada sarwajagat masyarakat Melayu tradisional

1.      Komunikasi.

Pantun di atas boleh digunakan ketika berucap di hadapan khalayak ramai. Biasanya sebagai bahasa pengucapan para pemimpin masyarakat. Pantun di atas mampu menyampaikan mesej yang berguna kepada pendengarnya. Pendengar akan faham permintaan dan harapan seseorang pengucap pantun. Malah pantun itu mampu mengungkapkan rasa terimakasih yang tidak terhingga kepada orang yang telah “berbudi”.

2.      Nasihat.

Pantun di atas mampu memberikan nasihat kepada seseorang untuk melakukan kebaikan dengan berbudi kepada orang lain. Malah ia juga menasihatkan seseorang yang telah menerima budi agar sentiasa mengenang dan menyanjung pihak yang telah berbudi kepada dirinya.

3.      Pengajaran.

Seterusnya pantun tersebut mengajar manusia supaya mengamalkan perbuatan menolong orang lain atau dengan kata lain berbudi kepada rakan. Ajaran mulia ini mampu diterapkan andai seseorang itu memahami maksud pantun di atas. Malah ia juga akan mendorong khalayak mengamalkan budaya tolong menolong kerana amalan mulia akan menjadi bekal ketika kita sudah meninggal dunia.

4.      Gambaran masyarakat.

Gambaran amalan berbudi dapat dilihat dalam kegiatan harian masyarakat melayu. Mereka menjadikan budaya tolong menolong sebagai amalan hidup seharian kerana ahli masyarakat saling bergantung antara satu sama lain. Hidup yang serba kekurangan akan mendorong individu supaya perihatin akan kesusahan ahli masyarakat yang ada di sekitar mereka.

5.      Motivasi supaya berkelakuan baik.

Pantun di atas boleh menjadi pendorong seseorang supaya berbudi kepada orang lain. Dorongan ini wujud kerana masyarakat melayu sangat menghargai jasa orang lain. Malah balasan orang berbudi akan di bawa setelah seseorang itu meninggal dunia. Bagi mereka yang menerima budi pula akan cuba menolong rakan yang lain pada waktu yang sesuai.

6.      Budaya sopan santun.

Gaya bahasa pantun yang menarik sebenarnya menggalakkan seseorang menasihat dan menyampaian mesej secara bersopan santun. Keindahan penggunaan pembayang maksud yang menarik dan disertai dengan mesej pantun tentunya akan menjurus seseorang yang mendengar pantun rasa terdorong untuk berbudi dan menghargai budi orang lain.

7.      Adat istiadat.

Penggunaan pantun di atas sangat sesuai digunakan dalam majlis-majlis tertentu dan ketika menjalankan adat istiadat. Orang melayu sangat mementingkan pengucapan yang tersusun untuk menyampaikan hasrat dan meluahkan perasaan mereka.

8.      Hiburan.

Kadangkala pantun di atas boleh digunakan ketika melagukan sesuatu irama yang diiringi dengan bunyi-bunyian seperti gendang dan tiupan serunai. Selain memberi nasihat, pada masa yang sama mampu menghibur khalayak melalui keindahan susunan kata dan maksud puisi.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 

JOM IKUTI BLOG SAYA

"Masa itu emas"