KARYA KREATIF
BANGLA KAU BERIKAN CINTA DERITA
Oleh: zahomohaz
Di luar sekalipun malam masih muda tapi kegelapan sudah menyeliputi.Rafiq Saifullah memandang suasana malam dengan pandangan yang bolos. Kosong. Bercelaru.Tapi dia sudah nekad untuk menjejaki bumi Malaysia dengan apa cara sekalipun.
Dia tidak memilih cara pengangkutan laut. Bimbang. Nanti berlaku kejadian bot karam.Nyawanya juga yang tergadai.Rafiq Saifullah dengan sekumpulan rakyat Bangladesh yang lain akhirnya membuat keputusan untuk datang dengan cara laluan darat.Bermula dari bangladesh mereka menuju ke Pekan Satun,Selatan Thai,kemudian merentasi bukit-bukau yang akan keluar di Bukit Syed Omar atau kaki bukit di Perlis.
Rafiq Saifullah mendongak ke langit yang dipenuhi tompok-tompok hitam tebal. Barangkali hujan akan turun sebentar lagi. Detik hati Rafiq. Dalam sedar tak sedar di dalam hatinya dia berdoa dan berharap agar hujan tidak turun. Moga-moga perjalanannya yang penuh dengan liku-liku kesusahan itu tidaklah sesusah hidupnya untuk menyara seorang isteri tercinta dan dua orang anak kesayangannya di bumi sendiri.
“Aku rasa hidup di dunia ini tak ubah sekadar meneguk seteguk air atau menyuap sesuap nasi,”tiba-tiba Rafiq Saifullah bersuara kepada kawan karibnya, Ali Mohsin.
"Tapi hidup ini boleh diubah sekiranya kita berusaha untuk merubahnya.Selepas itu barulah kita boleh menyerahkannya kepada takdir dan ketentuan Allah,” cetus Ali mohsin sebagai tindak balasnya tentang apa diluahkan oleh Rafiq.
Tersentak Rafiq dengan kata-kata Mohsin itu, yang usianya baru dua puluh lima tahun. Anak muda itu walaupun tiga tahun lebih muda daripadanya tapi ideanya cukup bernas dan berisi.
Hari semakin beransur petang.Suasana kelam masih lagi menyelubungi mereka. Akhirnya Rafiq dan kawan-kawannya mengambil keputusan untuk memberhentikan perjalanan mereka. Mereka tidur di bawah sebatang pokok kayu yang besar di lereng bukit. Pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi Rafiq dan kawan-kawannya telah bangun.Dengan sedikit bekalan yang dibawa mereka bersarapan pagi. Kemudian meneruskan semula perjalanan. Kali ini mereka merasakan perjalanan amat senang sedikit.Tiada bukit-bukau untuk didaki dan tiada hutan rimba yang tebal. Rafiq dan kawan-kawannya melalui sebatang lorong yang telah menjadi laluan manusia atau binatang. Tanpa disangka mereka telah berjaya sampai di Bukit Syed Omar,Perlis.
“Nampaknya kita dah sampai ke Malaysia. Apa kita nak buat ni Rafiq?” tanya Salem Abbas.
Mula-mula kita menuju ke bandar besar negeri ini,kemudian cari tempat tinggal dulu dan selepas itu barulah kita fikirkan soal mencari kerja,” kata Rafiq dengan penuh semangat.Lagaknya semasa berkata tadi tidak ubah seperti seorang ketua dalam memimpin persatuannya.
“Bagus juga cadangan Rafiq tu”,celah Ali Mohsin pula. Setelah berbual-bual dengan penduduk tempatan yang berketurunan India,Rafiq dan kawan-kawannya berjaya menumpang lori lelaki India tersebut untuk ke bandar besar negeri ini,iaitu Kangar. Secara kebetulannya pula majikan kepada lelaki India pembawa lori itu amat memerlukan tenaga buruh binaan. Rafiq dan kawan-kawannya dipelawa untuk bekerja sebagai buruh binaan dengan upah yang lebih murah sedikit daripada upah buruh tempatan.
" Rafiq ! Rafiq !" laung Encik Tat Sing Eng. Majikan kepada pekerja-pekerja di situ.
“Iya encik!” sahut Rafiq pendek,yang belum lagi fasih berbahasa Melayu dengan betul.
“Ada apa encik?” tanya Rafiq.
“ Bila kerja lu siap di Kangar,gua mahu bawa lu dan kawan-kawan lu pergi ke Johor Bharu.Kerja kat sana pulak,”jelas Encik Tat Sing Eng.
“ Apa macam?” soal majikannya.
“ Boleh,”jawab Rafiq dengan ringkas.
“ Tapi...tapi...macam mana kami nak ke sana.Sedangkan kami tidak ada apa-apa dokumen perjalanan yang sah.Malah permit kerja pun kami tidak ada. Nanti ditangkap kami oleh golongan yang berkuasa di sini”,cetus Rafiq dengan perasaan yang agak cemas sedikit.
“ Oh! itu kamu jangan risau...jangan risau,gua akan bereskan semuanya.Tiada masalah okey! beritahu Encik Tat untuk menenangkan perasaan Rafiq dan kawan-kawannya yang sama-sama sedang mendengar perbualan tersebut dengan asyik sekali sejak sekian lama tadi.
Siang berganti malam.Hari berganti hari.Sedar tak sedar Rafiq telah bekerja di Malaysia sudah selama satu tahun.Tiba-tiba rasa kerinduan Rafiq kepada isterinya menjengah. Ini amat menyeksa kolam batinnya yang sekian lama terlalu kegersangan kasih sayang daripada seorang perempuan.Ketiadaan wanita seketurunan dan keghairahannya melihat wanita tempatan,telah membuatkan Rafiq dalam diam sudah terpikat dengan seorang gadis manis bertubuh langsing serta berkulit sawo matang.Gadis bertahi lalat pemanis sebesar mata ikan keli di atas bibir sebelah kiri itu hampir menjangkau usia dua puluh tahun kini.Gadis itu kini menjadi mutiara pujaannya.
Didorong ketiadaan isteri di sisinya dan tuntutan naluri batinnya,di samping kehidupan gadis Melayu itu yang mirip ala barat membuatkan dia semakin ghairah untuk berkenalan dengan gadis tersebut.Tapi malu. Malulah yang membuatkan dia selalu saja mencuri pandang gadis tersebut menerusi lubang kecil di celah-celah retakan sekeping papan, semasa gadis berkenaan menyidai pakaian di ampaian berhampiran kamar tidurnya.Ini membuatkan dia berasa satu macam kepuasan yang amat sukar digambarkan setiap kali menikmati seraut wajah gadis pujaannya.
Pagi itu Rafiq dan gadis tersebut sama-sama menyelak daun jendela serentak.Sinar pandangan matanya dan sinar mata gadis berkenaan lalu saling bertemu dan bersapa mesra.
Emilia, nama panggilan gadis berambut sepanjang paras bahu itu, menghadiahkannya sejambak bunga senyuman yang paling menawan dan sungguh menggoncangkan tiang imannya yang sememangnya lemah. Rafiq pula membalas dengan sejambak bunga senyuman penuh madu pengertian.Sedar antara tidak tiba-tiba dia mengenyit mata kepada Emilia. Emilia pula menjelirkan lidah, diiringi semanis senyuman dan lirikan mata yang amat menggoda sambil cepat-cepat berlalu pergi.Rafiq masih berdiri di jendela dalam kebingungan, dipukau oleh sejuta debur ombak yang melanda pantai kalbu.
Peristiwa mengenyit mata dan menjelir lidah antara Rafiq dengan Emilia rupanya tak berakhir pada pagi itu saja. Setiap kali berkesempatan bertentang mata peristiwa yang sama akan berlaku.Apabila tak dapat mengenyit mata kepada Emilia, Rafiq dilanda satu macam perasaan rindu yang menyeksa batin.
“Alangkah bahagianya Emilia ku... alangkah bahagianya kalau kau dan aku dapat bertemu di suatu tempat yang akhirnya memberi aku kesempatan untuk mencurahkan hasrat murni hatiku yang sekian lama bergelora di dadaku, sayangku!” desus hati kecil Rafiq.
Suatu hari di Taman Istimewa, masa telah memberi kesempatan kepada Rafiq untuk mencurahkan hasrat hatinya kepada Emilia.
“Emilia”
“Ada apa saudara?”
“Tak usah saudara...saudara...panggil saja saya abang Rafiq.”
“Baiklah, ada apa bang?”
“Ah! malu abang hendak cakap.”
“Apa hendak abang malukan?”
“Sebenarnya...sebenarnya...”
“Kenapa abang teragak-agak mahu meluahkan perasaan abang?”
“Entahlah Emilia. Berdepan denganmu seakan kelu lidah abang.”
“Agaknya abang bimbang Emilia tak dapat menerima apa yang abang ucapakan nanti?”
“Begitulah kiranya Emilia.”
“Sampai bila abang nak pendamkan apa yang terkandung di hati abang tu?”
“Baiklah, Emilia sebenarnya...sebenarnya abang...abang cintakan Emilia”
“Benarkah bang?”
“Benar Emilia”.
“Abang”
“Iya, Emilia”
“Emilia juga cintakan abang”
“Sungguhkan Emilia?”
“Sungguh bang.”
“Emilia tak main-main?”
“Eh! abang ni, masakan Emilia nak main-main pula”.
“Manalah tahukan, kalau-kalau Emilia ingin mengembirakan
hati abang saja”
“Percayalah bang, Emilia sungguh-sungguh cintakan abang.Hanya Emilia nantikan abang mulakan dulu meluahkannya.Lagi pun lelaki seperti abang yang mempunyai wajah macho, pandai mengambil hati dan romantis pulak,gadis mana yang tak tertarik hati,” puji Emilia.
“Tapi abang, benarkah cinta mu itu jujur?” tanya Emilia.
“Emilia, percayalah cinta ku jujur dan abang ingin mengambil mu sebagai isteri, ”jawab Rafiq.
Pertemuan itu akhirnya membawa Rafiq Saifullah dan Nor Rosemilia ke jinjang pelamin. Pada awal perkahwinan hidup mereka bahagia. Rafiqmelayani Emilia bagaikan menantang minyak yang penuh.Romantis dan cukup membahagiakan. Tapi enam bulan kemudiannya, Rafiq mula berubah sikapnya. Jadi pembengis. Kerap kali keluar malam dan baliknyapula tak tentu bila. Entah lewat malam atau awal pagi. Malah Rafiq mulamenjadi seorang pemabuk dan suka berjoli dengan kawan-kawannya. Apabila balik , Emilia yang menjadi mangsa . Disepak. Ditumbuk. Ditampar.Sekira kemahuan batinnya tidak diberikan oleh Emilia, nah bahagian mana yang tidak pernah kena. Dipinggang , diperut, dimuka...semuanya sudah dirasai oleh Emilia.
Derita zahir dan batin Emilia ini tak tertanggung lagi. Malah bayi dalam perutnya kian membesar itu juga turut menanggung derita kesakitan.
“Emilia ,”panggil Rafiq dengan suara yang bengis.
“Ya, ada apa bang?”
“Bagi, abang duit RM300.Abang nak bantu kawan abang Mohsin yang terlantar di hospital kerana menghidap penyakit Kala Azar.”
“ Nak bagi duit sebanyak tu. Mana saya ada. Nak makan kita pun, terpaksa saya cari duit dengan mengambil upah jahit baju.Harapkan abang sesen pun tak bagi.”
Pang! tiba-tiba hinggap penampar di muka Emilia. Emilia terus menangis kerana kesakitan. Malah hari itu muka dan badan Emilia habis lebam-lebam kerana dipukul. Rafiq pula terus keluar dari rumah tak berkata sepatah pun dengan gaya yang cukup marah. Beberapa jam kemudian.
Asiqin, jiran tetangga Rafiq tergesa-gesa menuju ke rumah Emilia untuk menceritakan pergaduhan yang berlaku. Asiqin yang menyaksikan perstiwa itu ingin menceritakan tentang seorang lelaki cedera dipukul tiga belas rakyat Bangladesh di Jalan Selasih, Taman Istimewa, Pandan, Johor Bharu.Pergaduhan itu berlaku apabila lelaki tempatan berkenaan menegur sekumpulan lelaki asing itu kerana mengganggu adik perempuannya.Pergaduhan yang tidak disangka itu juga melibatkan suami Emilia.
Di tempat kejadian. Polis telah menangkap tiga belas rakyat Bangladesh itu .Sejurus kemudian kelihatan sebuah trak polis menuju ke rumah Emilia.
“ Saudari ni isteri kepada Rafiq ke ? ”
“ Ya, saya isterinya.”
“Suami cik puan telah ditahan di Balai polis Pandan. ”
“ Atas kesalahan apa encik”
“ Atas kesalahan memukul seorang lelaki.Errr... suami cik puan juga tidak mempunyai dokumen kemasukan yang sah ke Malaysia serta permit kerja palsu. ”
“ Apakah tindakan pihak tuan seterusnya? ”
“ Kami akan menghantarnya balik ke negara asal. Lagi pun kami mendapat maklumat bahawa suami cik puan sebenarnya sudah berkahwin dan mempunyai anak yang ditinggalkan di Bangladesh. ”
Emilia terkesima seketika. Kelu seribu bahasa. Tanpa disedari air mata penderitaannya turun membasahi pipi. Tanpa sedar dia telah pengsan.Mujurlah Asiqin cepat-cepat menyambut tubuh Emilia sebelum jatuh ke bumi.
Apabila sedar daripada pengsan. Asiqin, Emilia dan dua orang pegawai polis tadi terus menaiki trak dan kemudiannya menuju ke balai polis.
“Abang di manakah kejujuranmu selama ini? ” tanya Emilia.
Rafiq diam membisu.Kepalanya tunduk ke bawah.Menampak tanda orang yang bersalah. Tidak berani dia menentang dua biji mata hitam Emilia yang digenangi air mata kesedihan dan penderitaan.
“Kejujuran abang selama ini sudah terbongkar...dan hanya palsu. Sedangkan abang sudah pun punyai isteri dan anak. Kasih abang hanya kerana ingin padamkan kegersangan kolam batin sahaja bukan? Mengapa begitu kejam sekali? Mengapa? Bukan sahaja kepada Emilia tapi juga kepada bayi dalam perut ini, ” soal Emilia dengan suara yang terdesak-desak.
“Maafkan abang Emilia,” jawab Rafiq dengan nada kesal.
“Maaf cik puan, suami cik puan terpaksa kami hantar balik
hari ini juga, ”celah pegawai polis.
Rafiq dan sekumpulan rakyat Bangladesh lain dihantar ke negara asal mereka. Tinggallah Emilia menanggung derita keseorangan. Lebih parah lagi deritanya apabila bayi dalam kandungan itu akan lahir tanpa bapa disisinya. Bagi Rafiq kemewahannya di sini membuatkan dia lalai tentang kesusahan dan penderitaannya dahulu sewaktu berada di negara asalnya. Kesenangan di sini akhirnya membawa mendung dan penyesalan dikemudian hari. Rafiq tidak boleh datang lagi ke Malaysia. Tidak boleh lagi menjengah gadis pujaannya, yang pernah memberikan kasih sayang kepadanya. Kini tinggallah Emilia bersama derita bernanah. Derita yang terpaksa ditanggung bersama anaknya. Tapi derita itu ingin ia padamkan dalam lipatan kenangan bersama cinta lelaki Bangla yang pernah mekar dihatinya.
0 ulasan:
Catat Ulasan