Retorik:Perwatakan, Emosi, dan Etika Guru
Dalam Menghadapi Aksiom Pelajar Corot
Oleh:Encik Mohd Hazli Che Seman @
Che Othman
Pengenalan
Penulisan
ini dikupas berdasarkan disiplin ilmu
penulis dalam bidang retorik yang mempunyai pluralisme makna. Retorik
bermakna seni menggunakan atau memakai
bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran
pendengar[1].
Manakala mengikut Isocrates pula retorik
ialah suatu seni yang memerlukan minda yang bertenaga dan imaginatif merangkumi semua aspek komunikasi. Retorik yang berkaitan
dengan seni perucapan ini juga meliputi taakulan, perasaan, dan imaginasi.[2]Selain itu,retorik juga dianggap sebagai
penggunaan medium atau bahasa untuk memujuk diri sendiri atau pun orang lain
yang berlandaskan penggunaan retorik
sebagai landasan penyampaian dan berkomunikasi tentang maklumat. Atas landasan
retorik inilah yang memberi impak kepada penerima untuk merubah sama sekali
pandangan dan pendirian mereka.Mengikut
Stephen dalam bukunya ‘The Art of
Public Speaking’,tujuan retorik lebih berkesan apabila disertai dengan
penggunaan analisis, penjelasan dan pemujukan. Apakah perkaitan retorik dengan aksiom? Aksiom ialah
pernyataan yang diterima umum (tidak dibuktikan tetapi ternyata daripada
pengalaman sebagai suatu kebenaran) dan menjadi asas bagi sesuatu
huraian.Fenomena sebegini memang dihadapi oleh guru-guru yang mengajar pelajar corot dalam proses pemudahcaraan dan
pembelajaran.Oleh yang demikian,kecekalan dan semangat dalaman guru diperlukan
untuk menghadapi segala kerenah atau perwatakan para pelajarnya.Kemahiran
retorik diperlukan sebagai kemahiran menangani perwatakan para pelajar, bahkan
juga kemahiran untuk membendung emosi diri guru sendiri, memahami dan menilai emosi pelajar yang
melibatkan etika guru sebagaimana yang
terkandung dalam falsafah pendidikan.
Perwatakan, Emosi dan Etika Guru
Dalam Menghadapi Pelajar Corot.
Teori
pembelajaran mazhab behavioris banyak mengaitkan perwatakan dan emosi dalam
proses pengajaran – pembelajaran (P & P). Pada persepsi penulis teori ini
memang ada kebenarannya. Saya sendiri sepanjang mengajar di beberapa buah
sekolah memang menghadapi kerenah para pelajar corot saban tahun.Malah,hasil
daripada pemerhatian
aksi-laku,gerak-rasa dan gerak-fikir terhadap perwatakan para pelajar
ini membawa kelahiran emosi mereka yang berselirat hala tuju dalam
pelajaran.Katakan seorang pelajar A dalam hatinya bebas berkata untuk tidak mahu belajar atau ingin
ponteng kelas,tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana terikat dengan
peraturan dan etika sekolah.Jadi,sifat atau tingkah laku pelajar A itu disebut
sebagai perwatakan,manakala perasaannya yang berniat untuk ponteng kelas atau
malas belajar pula disebut sebagai emosi.Tetapi niat pelajar A itu dihalang
oleh peraturan. Jadi,sebagai seorang guru yang memahami etika kerjanya perlu
mendampingi pelajar sebegini untuk memberi bimbingan kepada hati nurani mereka
supaya belajar untuk mencapai kejayaan untuk mengurus kendiri dan dalam aspek
akademik diharap lulus.Bagi para pelajar yang tetap melanggar peraturan dengan
ponteng kelas, malas belajar, menjawab mulut guru, tidak buat latihan dalam
kelas dan sebagainya merupakan satu cabaran buat pendidik.Malah, adakalanya
emosi guru mengalami rasa geram,hilang kesabaran dan kehilangan kepercayaan
mandiri ketika proses pengajaran.Namun,hendak atau tidak kita sebagai seorang
guru harus meneruskan pengajaran kepada mereka berdasarkan elemen 9 dalam FPK.Lagipun,
sememangnya tugas mengajar merupakan co-business
guru.Tetapi,apakah cara untuk menangani permasalahan ini? Adakah kesilapan kita
mengajar sehingga pelajar tidak tertarik dengan cara kita, walhal pemilihan
strategi pemudahcaraan dan pembelajaran yang sesuai telah dibuat.Bagaimana pula
dengan sikap,kehendak diri dan penerimaan kognitif pelajar berkenaan dalam
pelajaran? Sedangkan kita tahu kebolehterimaan kognitif mereka dalam pelajaran
adalah lemah,lambat,sikap ketidakacuhan mereka dalam belajar dan ada yang mahu
belajar tetapi ketidakupayaan mereka menerima maklumat pembelajaran, ekoran
ketidakfahaman secara berterusan pelajar dalam bahagian tatabahasa dan
sebagainya. Pernah pelajar saya mengatakan yang kedatangannya ke sekolah kerana
tidak tahan dengan bebelan ibu bapa, bosan berada di rumah, datang ke sekolah
kerana semata-mata untuk dapatkan wang saku, ada kawan-kawan yang satu
pemikiran (sekepala) dan pelbagai sebab lagi yang diberikan kepada
saya.Alasan-alasan sebeginilah yang memberi impak kepada atma guru sehingga
berlakunya keberlangsungan sikap tidak bena terhadap para pelajar itu dan
keadaan ini mencabar profesionalisme guru.Walaupun pada saat saya menulis artikel
ini tiada pendalilan deduktif tetapi permasalahan ini pernah diceritakan atau
dikongsikan kepada saya dan dialami sendiri oleh rakan guru yang lain yang
turut menghadapi masalah sama apabila berhadapan dengan pelajar corot.Guru-guru
yang mengalami situasi seperti saya ini telah membuat tasdik kepada pernyataan
isu atau tajuk yang hendak saya sampaikan.
Oleh yang demikian,bukan senang
untuk memanusiakan manusia. Sekiranya pelajar dan guru bermimpikan dengan penuh
lampauan emosi untuk memiliki sesuatu,tetapi tiada komunikasi yang berkesan,
maka kecelaruan emosi akan wujud dalam diri pelajar dan guru. Keadaan ini boleh
merubah personaliti guru dan pelajar,kerana menghadapi tekanan dari aspek
psikologi. Bagi Sigmund Freud pula yang merupakan pendokong kuat teori prinsip
kenikmatan psikologi telah menganggap manusia lahir lengkap dengan naluri
jantina dan agresif terhadap orang lain.Oleh yang demikian,wujud pula tingkah laku
manusia yang dipandang sebagai hasil interaksi antara tiga alat dalam sahsiah
iaitu Id (Dia),Ego (Aku) dan Superego (Aku yang agung).Hal ini menyebabkan akan
ada sikap guru yang berasa mengajar kerana kewajipan tugas sahaja dan mengalami
perasaan meluat, bosan,lali atau
diistilahkan burn out dengan para pelajar
corot. Manakala pelajar pula menunjukkan sikap protes dan benci akan guru
sehingga mereka memilih cara untuk ponteng kelas.Oleh yang demikian,guru dan
pelajar tidak lagi berjalan sederap serta seiringan untuk memenuhi tujuan
P& P dalam kelas. Lantaran itu, dua gambaran emosi ini akan menyerlahkan
lagi perwatakan guru dan pelajar yang menghadapi situasi emosi
bercelaru,serabut dan pelbagai lagi.
Tekanan psikologi ini secara
implisitnya dapat didiagnosis berlaku
kepada diri guru.Guru mengalami tekanan psikologi sebegini akan menyebabkan
wujud proses membina terhadap kerisauan sehingga membawa perwatakan guru
tersebut kepada fikiran yang bertentangan dan memaparkan Ego sebagai sesuatu
yang sesuai untuk menyatakannya kepada masyarakat sekolah.Lagipun tekanan
tersebut berlaku dalam keadaan bawah sedar. Kerisauan dan kekecewaan inilah
yang disebut sebagai perwatakan yang menghadapi gangguan emosi.Hal ini dapat
dibuktikan melalui kenyataan berikut;
Sebanyak 4.4
peratus atau 2,123 daripada 48,258 guru
dikenal
pasti mengalami stres tahap sederhana tinggi tahun lalu,
kata Menteri
Pendidikan, Dr Maszlee Malik. (Berita
Harian Online,28 Ogos 2018)
Memang tidak dapat
dinafikan lagi,bebanan kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar,kerja guru
ditambah dengan tugas perkeranian yang tidak relevan membebankan guru untuk
menjalankan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas membawa kepada
berlakunya gangguan emosi atau stres. Kutipan data 4.4 peratus guru stres itu
disebabkan oleh beberapa faktor seperti isu keluarga, kewangan,pentadbiran,bebanan tugas,
tidak mendapat penghargaan, kekurangan kemahiran dalam menjalankan tugas dan
tidak dilatih untuk menangani stres.[3]Justeru, guru-guru yang
mengalami faktor tersebut bolehlah dikatakan terdedah kepada risiko untuk
mengalami tekanan sehingga boleh membawa kepada penyakit kemurungan. Nor Zuraida, kebanyakan
mereka menghidap kecelaruan bipolar, iaitu kewujudan pelbagai karakter yang
berlawanan dengan keadaan guru terbabit sebelumnya. Hal ini diikuti kebimbangan
melampau dan kemurungan.Mereka yang mengalami kecelaruan bipolar nampak sihat
seperti biasa, malah pada tahap hipoaktif, mereka menjadi rajin dan produktif
dalam melakukan sebarang kerja walaupun tidak mempunyai waktu rehat yang cukup.[4]
Hal ini
menyebabkan guru mengisolasikan dirinya kerana tidak sanggup lagi menghadapi
tekanan psikologi secara berterusan.
Walau apapun situasi, guru tetap
guru yang perlu masuk kelas untuk mengajar kerana etika dan profesionalisme
guru yang menuntut untuk berbuat demikian.Dalam penghidupan seorang guru dengan
kerjayanya, etika yang wujud merupakan peringatan kepada watak - perwatakan
guru kerana adakalanya sesuatu perkara itu boleh buat atau tidak boleh
buat.Oleh itu, guru perlu banyak menggunakan bahasa retorik yang indah,
menyentuh jiwa, memerlukan tafsiran dan pemikiran yang mendalam bagi menghadapi
para pelajar corot.Impaknya, mendatangkan manfaat kepada diri guru sendiri dan
pelajar dalam menangani emosi masing-masing.Adakalanya etika boleh diketepikan
apabila menghadapi situasi rencam dengan para pelajar corot. Hal ini dikatakan demikian kerana,etika
sesuatu yang relatif dan adakalanya psikologi dan falsafah mengambil alih
peranan etika.Psikologi bermakna guru perlu menyoroti ke dalam diri pelajar kepada tujuan dan
keinginan manusia yang bergelar murid
sangat kompleks. Sementara itu, falsafah pula menjelajah keluar untuk
mencari erti kehidupan manusia dalam hubungannya sesama manusia, dengan alam
semesta dan tuhan.
Retorik:Weltanschauung
dan Penyelesaian Fenomenon
Sedari saya menulis artikel yang
mengandungi pendalilan silogisme yang dikemukakan ini boleh disangkal
premisnya, sekiranya khalayak tidak berpuas hati.Audiens boleh mengutarakan
premis-premis baharu sama ada dalam bentuk pendalilan induktif atau deduktif
serta menggunakan penghujahan asertif,penghujahan berilustrasi dan penghujahan
faktual.Kembali saya kepada tujuan asal penulisan artikel ini.Oleh itu, izinkan
saya menyatakan situasi rencam para pelajar corot berdasarkan disiplin ilmu
retorik,kosmologi dan pemikiran Melayu(bukan dalam disiplin ilmu pendidikan)
yang saya pelajari dulu bahawa para pelajar ini bersikap retorikus malas,retorikus
culas dan retorikus lizardus dalam
ruang lingkup entiti dunianya.Justeru,guru harus berusaha untuk mengubah
pemikiran,kepercayaan dan perlakuan para pelajar corot.Jadi,guru(perucap) yang
ingin menggunakan retorik pemujukan harus tahu lebih mendalam tentang
kecenderungan,minat,pemikiran literal dan penerimaan lateral kecerdasan daya
kognitif (otak),termasuk kebolehan membaca serta kecondongan pelajar terhadap
sesuatu subjek.Pekara inilah yang merupakan cabaran dan ketakutan guru dalam
mengatasi fenomena berkenaan.Segala kekangan dan rintangan bukan mudah untuk
mencari titik penyelesaian dan seterusnya menggapai matlamat dalam proses pemudahcaraan dan
pembelajaran.Tambahan pula, fakulti minda para pelajar corot berada di tahap
lemah.Oleh yang demikian,pemujukan yang hendak dilakukan oleh seorang guru
mesti berkomunikasi tentang informasi dengan jelas, ringkas dan perlu
menggunakan kaedah-kaedah penyampaian
yang menyakinkan kepada para pelajar yang bolehlah saya istilah sebagai pelajar
galus (gagal lulus),pelajar halus (harapan lulus) atau garus(gagal terus) atau lampau lemah.Hal ini dikatakan demikian
kerana pemujukan merupakan satu proses psikologikal dalam konteks untuk
menyatakan sudut pandangan kita dan kemudian menyematkannya dalam pemikiran
orang lain (pelajar) sehingga membolehkan mereka lulus dalam peperiksaan atau setidak-tidaknya
dalam kejayaan mereka menguruskan kehidupan selepas keluar dari alam persekolahan.
Selain itu, pemujukan yang saya
buat tertumpu kepada pemujukan tidak rasional( ethos dan pathos) bukan
pemujukan rasional(logos atau reason).Sebagaimana menurut Aristotle
menyatakan pemujukan adalah seperti berikut:-
“Aristotle defines it, is faculty of observing in any given case the
available means of persuasion, and since the orator adresses a popular audience
including untrained thinkers,his appeals is threefold: to their reason (logos),
to their feelings (pathos),and to their confidence in his character, that is,in
his virtue,competence,courtesy,good sense,good will (ethos).It thus
appears,says Aristotle,that rhetoric is an offshoot of dialectic (logos) and
also of ethical studies(ethos and pathos)”
Lantaran itu, usaha memujuk orang
merupakan sesuatu yang susah. Walau bagaimanapun tanpa kita sedar pemujukan
sebenarnya berlaku setiap hari dalam kehidupan kita, sama ada ia berlaku pada
individu atau berkumpulan bagi menyatakan weltanschauung
perucap terhadap subjek.Untuk tujuan ini, guru hendaklah melaksana pemujukan
tidak rasional bagi berkomunikasi tentang maklumat dengan baik dan memerlukan
segala skil berucap supaya para pelajar corot akan memberi reaksi dan aksi
serta menaruh kepercayaan.Pemujukan sebegini tidak merayu kepada intelek tetapi
pada perasaan dan emosi.Kesan-kesan emosi adalah luas seperti gembira,belas
kasihan,geram,sayang,cekal dan sebagainya. Dengan mempermain-mainkan perasaan
itu,guru berharap untuk mengubah kepercayaan dan kelakuan para pelajarnya.
Dalam hal ini,sekiranya guru berjaya menaruh kepercayaan dan membuka halangan
kepada ruang emosi berdasarkan Model
Tingkap Johari,maka hubungan guru –pelajar menjadi harmoni.Seterusnya dapat
merungkai segala tekanan kepada beban dan mental guru.Manakala perwatakan
pelajar pula dapat menjadi insan yang boleh ditunjuk ajar, menerima kita
sebagai gurunya dengan rela hati dan suka untuk berada dalam kelas kerana minat
dengan guru berkenaan.Tetapi, perkara ini bukan mudah untuk dilaksanakan kerana
ia menuntut kesabaran dan kecekalan yang paling tinggi.Malah,saya sendiri
kadang-kala mengalami konflik mengajar dengan para pelajar corot.Apakah kita
mampu menghadapi realiti dan konflik sebegini secara berterusan? Sukar untuk
saya memberi jawapan.Kata hati audiens yang membaca artikel saya ini mungkin
dapat menjawab pertanyaan saya.Apa-apapun berikanlah kepada saya, tuhanku yang
Maha Esa segala kekuatan dalam menghadapi dilema ini.
Di samping itu, kajian tindakan dan inovasi
dalam P&P boleh dilaksanakan kepada para pelajar corot untuk membantu
mereka lulus dalam peperiksaan.Namun, sejauh manakah keberkesanan kajian dan
kejayaannya? Saya sendiri pernah terlibat dengan kajian tindakan pada peringkat
daerah,negeri dan kebangsaan pada tahun 2005,2007,2010,2015 dan 2018.Pada persepsi saya ingin tegaskan
bahawa hasil kajian ini tidak semestinya dapat digunakan untuk pelajar kelas
lain kerana ia bergantung kepada budaya dan kebolehan pelajar semasa membuat
kajian,tetapi kaedahnya boleh diadaptasi serta diterapkan pengamalan cara
kepada para pelajar lain.Pada tahun 2018 pula,ketika pertama kali berada di
SEMKIP saya diarahkan membuat kajian
tindakan untuk Seminar PdPc Abad ke-21 dan Karnival Inovasi Peringkat
Kebangsaan yang bertemakan ″Amalan Terbaik PdPc KBAT Abad ke-21 menerusi
Revolusi Industri 4.0”kali ini responden kajian saya melibatkan pelajar lemah
bahagian C.Akhirnya,metodologi kajian di kenal pasti dan kaedah SuASim
diperkenalkan untuk mengatasi kelemahan pelajar tersebut.
Refleksi
Tuntas bicara,dalam
menghadapi aksiom pelajar corot memang kita akan melalui jerih-perih untuk
melahirkan pelajar yang berjaya dalam pelajaran, apatah lagi dalam soal untuk
mengejar pembentukan insan kamil jauh sekali.Sekiranya guru terlalu berharap,
meletak pencapaian akademik pelajar semata-mata,maka akan membawa
tekanan-tekanan emosi dalam diri seseorang guru.Natijahnya, apabila tidak
mencapai target dan apa-apa yang diharapkan,lama-kelamaan guru itu sendiri akan
berasa nihil.Oleh sebab itu,pada prinsip
penghujahan deduktif dan pengaklunan pemikiran saya,maka kejayaan
para pelajar corot bukan bergantung kepada pengukuran kejayaan akademik
sahaja.Persoalan yang menjadi premis saya ialah para pelajar corot nanti
berjaya menempatkan diri dalam hubungan kemasyaraktan yang positif, bekerja
untuk meneruskan keberlangsungan penghidupan,mengurus diri atau keluarga dan
mencapai kebahagiaan duniawi serta ukhrawi.Sekiranya audiens berasa premis saya
tidak berada pada landasan keabsahan silalah menegur saya dengan diskusi,polemik
berilmiah atau penghujahan induktif dan marilah kita bersama-sama mengumpul
data-data empirikal serta seterusnya mencapai konsensus dalam senario
menghadapi pelajar corot.
BIBLIOGRAFI
Akhbar Dalam Talian/Sumber Internet
Mohd
Anwar Patho Rohman “4.4 Peratus Guru Stres”.Berita Harian
Online,28 Ogos,2018.
Akhbar
Siti Nor Afzan Kasiman. Ramai Guru Sakit Jiwa.Kosmos,23 Mac,2009.
Buku
E.Lucas,Stephen. The Art of Public
Speaking. USA: McGraw-Hill,1995.
Hamidah Abd.Hamid. Pengantar Estetik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1995.
__________.Kamus Dewan.Edisi ke-4. Kuala
Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,2007.
Mok Soon Sang. Nota
Ulangkaji dan Latihan P.T.K. Bandar Puchong: Multimedia-ES Resources
Sdn.Bhd.,2005.
Peter Dixon. Retorik.
Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991.
Wilson, John. The
Philosophy. London: Heinemann Educational Books Ltd.,1972.
0 ulasan:
Catat Ulasan