MASIH ADA LAGI
OLEH
MOHD HAZLI BIN CHE SEMAN @ CHE OTHMAN
Bunyian
unggas menemani kesepian kegelapan. Tuan Haji Afiq Husin memandang suasana
malam dengan pandangan yang bolos. Kosong. Bercelaru. Masih ada lagi seorang
anakku yang kurang berjaya. Mengapakah anaknya seorang ini kurang berjaya dalam
bidang akademik? Tapi dia sudah nekad untuk membuat perhitungan dengan anaknya
yang seorang ini. Anak-anak lain tiada
masalah tapi anak keempat ini agak beronal sikit dalam keluarganya. Dia berasa
malu kerana anaknya yang seorang ini tidak berjaya seperti yang lain. Abang
Long sudah menjadi doktor seperti
dirinya. Alia pula sudah menjadi
pensyarah cemerlang di salah sebuah univerisiti tertua di Malaysia. Kak Ngah
pula bekerja dengan kedutaan Malaysia di Australia manakala anak bongsunya pula
masih menuntut di universiti luar negara dalam jurusan kejuruteraan.
“Apa
yang difikirkan itu bang, asyik mengelamun je,” tiba-tiba kedengaran suara isterinya dari muka
pintu dapur.
“Marilah
makan, saya sudah siapkan gulai itik kegemaran awak. ”
“Gulai
itik kegemaran saya sudah siap.Pasti malam ini dua hingga tiga pinggan selera
saya makan nasi,” balas Tuan Haji Afiq Husin.
“Hah,
Biah! awak itu guru besar sekolah, jadi sudah tentulah awak ada cara untuk
menasihatkan anak kita si Ramli tu supaya
belajar di kolej dalam bidang
guaman. Saya mahu dia jadi peguam terkemuka.”
“Abang
haji dah berbuih saya berleter dan memberi nasihat tapi anak kita yang seorang
itu buat-buat tak dengar je percakapan
saya.Sekarang ini kalau kita hendak ajak duduk makan bersama-sama dan ajak
berbincang pun dia tiada di rumah”, jawab Puan Habiah dengan muka yang mencuka.
“Ke
mana pula anak kesayangan awak pergi?”, tanya Tuan Haji Afiq Husin.
“Ke
mana lagi sebelum Maghrib tadi awal-awal lagi keluar ke rumah,katanya hendak pergi
ke surau kemudian selepas Isyak hendak ke rumah Ustaz Kasim belajar agama”
“Oh,
begitu!. Esok selepas balik kerja tolong beritahu Ramli yang saya hendak
bercakap dengannya.”
Selama ini dia tahu yang dia seorang
doktor pakar yang telah banyak berjaya mengubati pesakit Bulimia
Nervosa. Penyakit ini merupakan salah satu dari penyakit gangguan pola
makan Eating Disorder (ED). Dia tahu ED adalah salah satu daripada
penyakit yang disebabkan oleh masalah mental. Kebanyakan pesakitnya mahu
mendengar nasihatnya tetapi anaknya Ramli susah pula untuk ditegur dan menerima
nasihatnya. Klinik Al Afiq di bandar Kuala Terengganu ditutup awal kerana hari
ini Tuan Haji Afiq akan bertegas dengan Ramli supaya mengikut kata-katanya.
“Ramli, abah hendak engkau belajar di
kolej swasta supaya nanti masa depan engkau terjamin. Apabila engkau ada kelulusan
akademik yang tinggi engkau akan jadi peguam yang terkenal dan hidup engkau
akan menjadi senang seperti abah sekarang. Bukan macam engkau sekarang ini . Apa
hasilnya engkau habis belajar di pondok Pasir Tumboh itu, tetapi sampai
sekarang tiada kerja yang menjanjikan pendapatan lumayan”
“Tapi, abah saya tak berminat untuk
jadi peguam. Lagipun sekarang saya sedang mendalami ilmu agama dengan Ustaz Kasim kerana saya ingin sambung belajar di
Mesir”.
“Sudah
jangan tapi-tapi lagi. Jika kau belajar bidang agama tiada harapan kerjaya dan
kemewahan di masa hadapan. Ikut saja cakap abah kerana bukan senang nak
berenang, walaupun di dalam air yang tenang. Bukan senang nak bertenang, apabila
air mata jatuh berlinang. Bukan senang nak senang, lebih-lebih lagi kalau mahu
hidup senang dan lenang seperti abah
sekarang.”
“Ibu
sokong pendapat abah engkau. Ibu tahu otak kau itu bukan lemah sangat.Tengok
saja pencapaian keputusan SPM kau tiga tahun lepas bukannya teruk sangat cuma
subjek bahasa Inggeris saja yang kau dapat D.Tapi, tup…tup, kamu buat keputusan
hendak belajar pondok. Kami orang tua kamu sudah menunaikan hasrat kamu itu. Sekarang
tiba pula giliran kamu untuk ikut cakap abah”, celah ibu menyokong kata-kata
abah.
“
Kamu ni samalah perangai dengan anak-anak murid ibu di kelas corot susah dan
degil untuk menerima nasihat. Kamu hendaklah ada matlamat yang jelas dan
berjaya dalam kehidupan seperti adik-beradik kamu yang lain,”bebel ibu lagi.
“Abah,
ibu, sudah menjadi lumrah dalam kehidupan ini, tidak semua yang kita rancang,
kita akan dapat. Kegagalan dalam akademik adalah sesuatu yang mesti Ramli tempuhi. Ramli tahu Ramli tidak sepandai
adik-beradik yang lain. Ramli juga tidak dapat memenuhi hasrat abah dan ibu
kerana Ramli lebih berminat dalam bidang agama”.
“Ramli…
abah nak kamu untuk kembali mencapai hasrat yang diinginkan oleh abah dan
berjaya dalam bidang akademik. Ingat, Thomas Edison mencuba beribu-ribu kali
sebelum dapat mencipta sebuah mentol yang menyala. Beza antara orang yang
berjaya dan gagal ialah orang berjaya bangun kembali daripada kegagalan
manakala orang gagal terus hanyut dalam kegagalan mereka”
Pertengakaran
dan pertikaman lidah antara Tuan Haji Afiq Husin, Puan Habiah dan anaknya Ramli
itu berpanjangan hingga lewat senja. Ramli menyepikan diri. Segala isi hati
Tuan Haji Afiq telah dilepaskan. Dia
berasa cukup tenang dan otak fikirannya tidak serabut lagi. Tiba-tiba Ramli
bingkas bangun dari sofa yang telah didudukinya. Begitu hangat sekali sofa itu
sama hangatnya dengan pertengkarannya dengan abah dan ibu.
“Maaf
abah, ibu… Ramli tetap tak berminat untuk menjadi peguam. Izinkan Ramli belajar
agama secara persendirian di Mesir nanti.”
Bulan
Mei menjengah tiba dan esok merupakan hari-hari terakhir Ramli menghabiskan
pembelajarannya di Mesir selama empat tahun.Tahun ini dia akan pulang berjumpa
abah dan ibu dengan lebih lama lagi. Sebelum ini Ramli pulang hanya akhir tahun sahaja.
Itupun waktu cuti belajar. Setiap
kali kepulangan Ramli ke Villa Nuansa Impiana di Bandaraya Pesisir Pantai Kuala
Terengganu kelihatan abah sentiasa menyambutnya dengan perasaan yang dingin.
Kepulangan Ramli ke tanah air kali ini penuh
dengan kejutan. Rupanya abahnya telah
jatuh sakit mengejut sebulan yang lepas. Tuan Haji Afiq Husin telah terkena
penyakit Emfisime, iaitu penyakit yang ada kaitan dengan sistem respirasi. Berita
abahnya yang sakit tidak diberitahu kepada Ramli.
Penyakit
abah semakin teruk. Kata Abang Long doktor yang merawat abah, alveoulus abah
menjadi besar dan rosak. Abah mudah menjadi letih walaupun membuat kerja yang
ringan dan kerap sesak nafas. Keadaan
abah semakin tenat. Dalam keadaan abah sebegini hanya Ramli mencapai Al-Quran
dan membaca Yasin untuk abah. Abah
merasa tenang dengan alunan suara Ramli yang membaca Yasin itu. Akhirnya abah menghembus nafas terakhir dengan
tenang. Ramli yang menguruskan segala
hal yang berkaitan pengurusan jenazah. Memandikan abahnya, sembahyang jenazah sehinggalah membaca talkin.
Sekarang Puan Habiah disaat ini berasa begitu pilu dan bangga dengan
Ramli.Tanggapannya selama ini terhadap bidang pilihan Ramli selama ini salah.
Bulan
Mei tahun ini menjengah lagi. Maka genaplah setahun pemergian arwah suaminya
yang tercinta. Anaknya yang keempat sudah berjaya dalam kehidupannya seperti
adik-beradiknya yang lain. Ramli kini bergelar imam muda. Rezeki anaknya
sentiasa ada dan melimpah ruah. Ada saja jemputan ceramah agama, jemputan
memandikan jenazah, jemputan kenduri arwah dan sebagainya. Tetapi anaknya tidak
pernah menetapkan bayaran. Dia menerima sahaja apa-apa bayaran yang diberikan. Tiba-tiba
nada deringan WhatsApp telefonnya berbunyi. Nada deringan itu
telah menyedarkan Puan Habiah daripada lamunannya. Puan Habiah terpaku seketika
apabila membaca mesej yang diterima dalam kumpulan WhatsApp Pendidik.
Petikan
kata-kata yang diterimanya berbunyi begini. Masih ingat dengan kata-kata ini.
Kenapa murid aku tak jadi seperti yang aku hendaki? Murid yang biasa-biasa ini
mungkin menjadikan kita tidak leka dengan kerjaya dan rencahnya. Jangan lukai
hati murid kita. Terimalah pemberian Allah dengan reda. Sayangi mereka sama
rata. Doakan mereka tak kira di mana. Maaf dan ampunkan penuh tulus tanpa
berbeza kasih.
Kata-kata
itu membuatkan Puan Habiah semakin sedar atas kesilapan dia mendidik dalam
keluarganya sendiri sebelum ini. Dia dan arwah suami hanya mementingkan
kejayaan akademik dan sentiasa membuat perbandingan kejayaan Ramli dengan
anak-anak yang lain serta pilih kasih dalam memberi kasih sayang kepada Ramli
ekoran Ramli tidak sebijak abang, kakak dan adik bongsunya.
“Tuan
Haji Afiq Husin jika hayat engkau panjang
sebenarnya engkau boleh melihat dengan penuh bangga bahawa masih ada lagi
seorang anak yang meneruskan perjuangan Rasullulah dalam dunia akhir zaman ini,”
gumam Puan Habiah.
Kali ini, air mata terburai mengalir di pipinya
tanpa disedari. Terasa sejuk perutnya mengandung kesemua lima anaknya telah
berjaya dalam bidang masing-masing. Ramli juga tidak terkecuali telah menjadi
seorang pendakwah yang disegani.
Nukilan
oleh:
mohaz.
0 ulasan:
Catat Ulasan