Retorik:Perwatakan, Emosi, dan Etika
Manusia Dalam Menghadapi Aksiom Kelas Corot
Oleh:Encik Mohd Hazli Che Seman @ Che Othman
Guru Cemerlang Bahasa Melayu
Abstrak
Hipotesis
ini bertujuan untuk membicarakan hubungan
retorik dengan perwatakan, emosi,dan etika manusia dalam menghadapi
aksiom kelas corot. Berkaitan dengan perwatakan,emosi, dan etika ini mempunyai
perkaitan antara satu sama lain.Malah, etika juga memperlihatkan tentang norma
masyarakat, budaya, dan agama.Justeru, hal ini menjadi ketakutan dan cabaran
kepada guru dalam mengajar
pelajar-pelajar kelas corot.
Abstract
This hypothesis is meant to talk about
the rhetoric of characteristic, emotion and ethic in dealing with general
assumptions concerning students in the least able class. To begin with; character, emotion, and ethic
are relevant to each other where ethic is considered as a norm or the public’s
belief in culture, religion, and society. Thus, these are the reasons that intimidate
teachers’ in teaching students’ from the least able class.
Pengenalan
Penulisan ini dikupas berdasarkan disiplin ilmu penulis dalam
bidang retorik yang mempunyai pluralisme makna. Retorik bermakna seni menggunakan atau memakai bahasa yang
indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar[1].
Manakala mengikut Isocrates pula retorik
ialah suatu seni yang memerlukan minda yang bertenaga dan imaginatif merangkumi semua aspek komunikasi. Retorik
yang berkaitan dengan seni perucapan ini juga meliputi taakulan, perasaan, dan
imaginasi.[2]Selain
itu,retorik juga dianggap sebagai penggunaan medium atau bahasa untuk memujuk
diri sendiri atau pun orang lain yang
berlandaskan penggunaan retorik sebagai landasan penyampaian dan
berkomunikasi tentang maklumat. Atas landasan retorik inilah yang memberi impak
kepada penerima untuk merubah sama sekali pandangan dan pendirian
mereka.Mengikut Stephen dalam bukunya ‘The Art of Public Speaking’,tujuan
retorik lebih berkesan apabila disertai dengan penggunaan analisis, penjelasan
dan pemujukan. Apakah perkaitan retorik
dengan aksiom? Aksiom ialah pernyataan yang diterima umum (tidak dibuktikan
tetapi ternyata daripada pengalaman sebagai suatu kebenaran) dan menjadi asas
bagi sesuatu huraian.Fenomena sebegini memang dihadapi oleh guru-guru yang
mengajar kelas corot dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Oleh yang
demikian,kecekalan dan semangat dalaman guru diperlukan untuk menghadapi segala
kerenah atau perwatakan para pelajarnya.Kemahiran retorik diperlukan sebagai
kemahiran menangani perwatakan para pelajar, bahkan juga kemahiran untuk
membendung emosi diri guru sendiri,
memahami dan menilai emosi pelajar yang melibatkan etika manusia sebagaimana yang terkandung dalam falsafah
pendidikan.
Perwatakan, Emosi dan Etika Manusia Dalam Menghadapi
Kelas Corot.
Teori pembelajaran mazhab
behavioris banyak mengaitkan perwatakan dan emosi dalam proses pengajaran –
pembelajaran (P & P). Pada persepsi penulis teori ini memang ada
kebenarannya. Saya sendiri sepanjang mengajar di sekolah ini memang menghadapi
kerenah para pelajar kelas corot saban tahun.Malah,hasil daripada
pemerhatian aksi-laku,gerak-rasa dan
gerak-fikir terhadap perwatakan para pelajar ini membawa kelahiran emosi mereka
yang berselirat hala tuju dalam pelajaran.Katakan seorang pelajar A dalam hatinya
bebas berkata untuk tidak mahu belajar
atau ingin ponteng kelas,tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana terikat
dengan peraturan dan etika sekolah.Jadi,sifat atau tingkah laku pelajar A itu
disebut sebagai perwatakan,manakala perasaannya yang berniat untuk ponteng
kelas atau malas belajar pula disebut sebagai emosi.Tetapi niat pelajar A itu
dihalang oleh peraturan. Jadi,sebagai seorang guru yang memahami etika kerjanya
perlu mendampingi pelajar sebegini untuk memberi bimbingan kepada hati nurani mereka
supaya belajar untuk mencapai kejayaan untuk mengurus kendiri dan dalam aspek
akademik diharap lulus.Bagi para pelajar yang tetap melanggar peraturan dengan
ponteng kelas, malas belajar, menjawab mulut guru, tidak buat latihan dalam
kelas dan sebagainya merupakan satu cabaran buat pendidik.Malah, adakalanya
emosi guru mengalami rasa geram,hilang kesabaran dan kehilangan kepercayaan
mandiri ketika proses pengajaran.Namun,hendak atau tidak kita sebagai seorang
guru harus meneruskan pengajaran kepada mereka berdasarkan elemen 9.Lagipun,
sememangnya tugas mengajar merupakan co-business
guru.Tetapi,apakah cara untuk menangani permasalahan ini? Adakah kesilapan kita
mengajar sehingga pelajar tidak tertarik dengan cara kita, walhal pemilihan
strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai telah dibuat.Bagaimana pula
dengan sikap,kehendak diri dan penerimaan kognitif pelajar berkenaan dalam
pelajaran? Sedangkan kita tahu kebolehterimaan kognitif mereka dalam pelajaran
adalah lemah,lambat,sikap ketidakacuhan mereka dalam belajar dan ada yang mahu
belajar tetapi ketidakupayaan mereka menerima maklumat pembelajaran, ekoran
ketidakfahaman secara berterusan pelajar dalam bahagian tatabahasa dan
sebagainya. Pernah pelajar saya mengatakan yang kedatangannya ke sekolah kerana
tidak tahan dengan bebelan ibu bapa, bosan berada di rumah, datang ke sekolah
kerana semata-mata untuk dapatkan wang saku, ada kawan-kawan yang satu
pemikiran (sekepala) dan pelbagai sebab lagi yang diberikan kepada saya.Alasan-alasan
sebeginilah yang memberi impak kepada atma guru sehingga berlakunya
keberlangsungan sikap tidak bena terhadap para pelajar itu dan keadaan ini mencabar
profesionalisme guru.Walaupun pada saat saya menulis skrip ini tiada pendalilan
deduktif tetapi permasalahan ini pernah diceritakan kepada saya dan dialami
sendiri oleh guru lain yang mengajar kelas 3 Qahar 4, 4 Tasawur dan 5 Tasawur
(kemudian dibubarkan) sesi 2009.Permasalahan yang sama juga berlaku di
tingkatan 1 Cekal, 3 Qahar 3 dan 4 Perdagangan sesi 2010.Guru-guru yang
mengalami situasi seperti saya ini telah membuat tasdik kepada pernyataan isu
atau tajuk yang hendak saya sampaikan.
Oleh yang demikian,bukan senang untuk memanusiakan
manusia. Sekiranya pelajar dan guru bermimpikan dengan penuh lampauan emosi
untuk memiliki sesuatu,tetapi tiada komunikasi yang berkesan, maka kecelaruan
emosi akan wujud dalam diri pelajar dan guru. Keadaan ini boleh merubah
personaliti guru dan pelajar,kerana menghadapi tekanan dari aspek psikologi. Bagi
Sigmund Freud pula yang merupakan pendokong kuat teori prinsip kenikmatan
psikologi telah menganggap manusia lahir lengkap dengan naluri jantina dan
agresif terhadap orang lain.Oleh yang demikian,wujud pula tingkah laku manusia
yang dipandang sebagai hasil interaksi antara tiga alat dalam sahsiah iaitu Id
(Dia),Ego (Aku) dan Superego (Aku yang agung).Hal ini menyebabkan akan ada
sikap guru yang berasa mengajar kerana kewajipan tugas sahaja dan mengalami
perasaan meluat, bosan,lali atau
diistilahkan burn out dengan para pelajar
kelas corot. Manakala pelajar pula menunjukkan sikap protes dan benci guru
sehingga mereka memilih cara untuk ponteng kelas.Oleh yang demikian,guru dan
pelajar tidak lagi berjalan sederap serta seiringan untuk memenuhi tujuan
P& P dalam kelas. Lantaran itu, dua gambaran emosi ini akan menyerlahkan
lagi perwatakan guru dan pelajar yang menghadapi situasi emosi
bercelaru,serabut dan pelbagai lagi.
Tekanan psikologi ini secara implisitnya dapat
didiagnosis berlaku kepada diri
guru.Guru mengalami tekanan psikologi yang amat berat dan keadaan ini
menyebabkan wujud proses membina terhadap kerisauan sehingga membawa perwatakan
guru tersebut kepada fikiran yang bertentangan dan memaparkan Ego sebagai
sesuatu yang sesuai untuk menyatakannya kepada masyarakat sekolah.Lagipun
tekanan tersebut berlaku dalam keadaan bawah sedar. Kerisauan dan kekecewaan
inilah yang disebut sebagai perwatakan yang menghadapi gangguan emosi.Hal ini
dapat dibuktikan melalui kenyataan berikut;
Menurut Pakar Perunding Kanan Psikiatri,
Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),
Prof. Nor Zuraida Zainal, setiap
tahun dianggarkan
22,000 pesakit mendapatkan rawatan
di klinik dan
wad psikiatri hospital berkenaan.
Kira-kira 10 peratus
daripada mereka terdiri daripada
golongan guru.
(Kosmos,23
Mac 2009 )
Memang tidak dapat dinafikan
lagi,bebanan
kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar, mereka juga
terpaksa menyediakan soalan-soalan peperiksaan dari semasa ke semasa, mengisi
buku kedatangan, buku disiplin dan ringkasan mengajar, borang kesihatan dan
rekod kemajuan murid, kelab dan persatuan, serta mengendalikan persiapan hari
sukan. Justeru, guru-guru dikatakan terdedah kepada risiko tinggi untuk
mengalami tekanan sehingga boleh membawa kepada penyakit mental yang serius
seperti bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan. Malah, kajian oleh
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendapati 70 peratus daripada
9,000 guru di seluruh negara tertekan bukan sahaja kerana beban tugas tetapi
juga terpaksa berdepan dengan kerenah pengetua, kerani, ibu bapa dan juga
pelajar.[3]
Menurut Nor Zuraida, kebanyakan mereka menghidap
kecelaruan bipolar, iaitu kewujudan pelbagai karakter yang berlawanan dengan
keadaan guru terbabit sebelumnya. Ini diikuti kebimbangan melampau dan
kemurungan.Mereka yang mengalami kecelaruan bipolar nampak sihat seperti biasa,
malah pada tahap hipoaktif, mereka menjadi rajin dan produktif dalam melakukan
sebarang kerja walaupun tidak mempunyai waktu rehat yang cukup.[4]
Hal ini menyebabkan guru mengisolasikan dirinya kerana tidak sanggup lagi
menghadapi tekanan psikologi secara berterusan. Tindakan ini dilakukan kerana
emosi telah mempengaruhinya untuk berbuat demikian.“Sekiranya wujud
keadaan-keadaan seperti ini, pihak pengurusan sekolah perlu memahami dan
membantu guru berkenaan dengan mengurangkan waktu dan kelas mengajar serta
memberi kelonggaran untuk menjalani terapi dan kaunseling,” jelas Nor Zuraida
lagi.
Walau apapun situasi, guru tetap guru yang perlu
masuk kelas untuk mengajar kerana etika dan profesionalisme guru yang menuntut
untuk berbuat demikian.Dalam penghidupan seorang guru dengan kerjayanya, etika
yang wujud merupakan peringatan kepada watak - perwatakan guru kerana
adakalanya sesuatu perkara itu boleh buat atau tidak boleh buat.Oleh itu, guru perlu
banyak menggunakan bahasa retorik yang indah, menyentuh jiwa, memerlukan
tafsiran dan pemikiran yang mendalam bagi menghadapi para pelajar kelas
corot.Impaknya, mendatangkan manfaat kepada diri guru sendiri dan pelajar dalam
menangani emosi masing-masing.Adakalanya etika boleh diketepikan apabila
menghadapi situasi rencam dengan para pelajar kelas corot. Hal ini demikian
kerana,etika sesuatu yang relatif dan adakalanya psikologi dan falsafah
mengambil alih peranan etika.Psikologi bermakna guru perlu menyoroti ke dalam diri pelajar kepada tujuan dan
keinginan manusia yang bergelar murid sangat kompleks. Sementara itu, falsafah pula
menjelajah keluar untuk mencari erti kehidupan manusia dalam hubungannya sesama
manusia, dengan alam semesta dan tuhan.
Retorik:Weltanschauung
dan Penyelesaian Fenomenon
Sedari saya menulis artikel yang mengandungi
pendalilan silogisme yang dikemukakan ini boleh disangkal premisnya, sekiranya khalayak
tidak berpuas hati.Audiens boleh mengutarakan premis-premis baharu sama ada
dalam bentuk pendalilan induktif atau deduktif serta menggunakan penghujahan
asertif,penghujahan berilustrasi dan penghujahan faktual.Kembali saya kepada
tujuan asal penulisan artikel ini.Oleh itu, izinkan saya menyatakan situasi
rencam para pelajar kelas corot berdasarkan disiplin ilmu retorik,kosmologi dan
pemikiran Melayu(bukan dalam disiplin ilmu pendidikan) yang saya pelajari dulu
bahawa para pelajar ini bersikap retorikus
malas,retorikus culas dan retorikus lizardus dalam ruang lingkup
entiti dunianya.Justeru,guru harus berusaha untuk mengubah
pemikiran,kepercayaan dan perlakuan para pelajar kelas corot.Jadi,guru(perucap)
yang ingin menggunakan retorik pemujukan harus tahu lebih mendalam tentang
kecenderungan,minat,pemikiran literal dan penerimaan lateral kecerdasan daya
kognitif (otak),termasuk kebolehan membaca serta kecondongan pelajar terhadap
sesuatu subjek.Pekara inilah yang merupakan cabaran dan ketakutan guru dalam
mengatasi fenomena berkenaan.Segala kekangan dan rintangan bukan mudah untuk
mencari titik penyelesaian dan seterusnya menggapai matlamat dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.Tambahan pula, fakulti minda para pelajar kelas corot berada di
tahap lemah.Oleh yang demikian,pemujukan yang hendak dilakukan oleh seorang
guru mesti berkomunikasi tentang informasi dengan jelas, ringkas dan perlu
menggunakan kaedah-kaedah penyampaian
yang menyakinkan para pelajar galus
(gagal lulus),kini dipanggil pelajar halus
(harapan lulus).Hal ini demikian kerana pemujukan merupakan satu proses
psikologikal dalam konteks untuk menyatakan sudut pandangan kita dan kemudian
menyematkannya dalam pemikiran orang lain (pelajar) sehingga membolehkan
mereka lulus dalam peperiksaan atau
setidak-tidaknya dalam kejayaan mereka menguruskan kehidupan selepas keluar
dari alam persekolahan.
Selain itu, pemujukan yang saya buat tertumpu
kepada pemujukan tidak rasional( ethos
dan pathos) bukan pemujukan rasional(logos atau reason).Sebagaimana menurut Aristotle menyatakan pemujukan adalah
seperti berikut;
“Aristotle defines it, is faculty of observing in
any given case the available means of persuasion, and since the orator adresses
a popular audience including untrained thinkers,his appeals is threefold: to
their reason (logos), to their feelings (pathos),and to their confidence in his
character, that is,in his virtue,competence,courtesy,good sense,good will
(ethos).It thus appears,says Aristotle,that rhetoric is an offshoot of
dialectic (logos) and also of ethical studies(ethos and pathos)”
Lantaran itu, usaha
memujuk orang merupakan sesuatu yang susah. Walau bagaimanapun tanpa kita sedar
pemujukan sebenarnya berlaku setiap hari dalam kehidupan kita, sama ada ia
berlaku pada individu atau berkumpulan bagi menyatakan weltanschauung perucap
terhadap subjek.Untuk tujuan ini, guru hendaklah melaksana pemujukan tidak
rasional bagi berkomunikasi tentang maklumat dengan baik dan memerlukan segala
skil berucap supaya para pelajar kelas corot akan memberi reaksi dan aksi serta
menaruh kepercayaan.Pemujukan sebegini tidak merayu kepada intelek tetapi pada
perasaan dan emosi.Kesan-kesan emosi adalah luas seperti gembira,belas kasihan,geram,sayang,cekal
dan sebagainya. Dengan mempermain-mainkan perasaan itu,guru berharap untuk
mengubah kepercayaan dan kelakuan para pelajarnya. Dalam hal ini,sekiranya guru
berjaya menaruh kepercayaan dan membuka halangan kepada ruang emosi berdasarkan
Model Tingkap Johari,maka hubungan
guru –pelajar menjadi harmoni.Seterusnya dapat merungkai segala tekanan kepada
beban dan mental guru.Manakala perwatakan pelajar pula dapat menjadi insan yang
boleh ditunjuk ajar, menerima kita sebagai gurunya dengan rela hati dan suka
untuk berada dalam kelas kerana minat dengan guru berkenaan.Tetapi, perkara ini
bukan mudah untuk dilaksanakan kerana ia menuntut kesabaran dan kecekalan yang
paling tinggi.Malah,saya sendiri kadang-kala mengalami konflik mengajar dengan
para pelajar kelas corot.Apakah kita mampu menghadapi realiti dan konflik
sebegini secara berterusan? Sukar untuk saya memberi jawapan.Kata hati audiens
yang membaca artikel saya ini mungkin dapat menjawab pertanyaan saya.Apapun
berikanlah kepada saya, tuhanku yang Maha Esa segala kekuatan dalam menghadapi
dilema ini.
Di samping itu, kajian tindakan dan inovasi
dalam P&P boleh dilaksanakan kepada para pelajar kelas corot untuk membantu
mereka lulus dalam peperiksaan.Namun, sejauh manakah keberkesanan kajian dan
kejayaannya? Saya sendiri pernah terlibat dengan kajian tindakan pada peringkat
daerah,negeri dan kebangsaan.Kajian yang saya buat pada tahun 2005 untuk kelas
3 Qahar 7 pertama kalinya menemui kegagalan,tetapi atas satu tekad dan
keterpaksaan pada waktu itu saya meneruskan lagi kajian untuk gelung yang
kedua.Kali ini,kajian saya berjaya merungkai masalah pelajar dalam
pembinaan pola-pola ayat dasar
berdasarkan pembahagian subjek dan predikat.Hanya 5 orang sahaja yang gagal dan
saya istilahkan sebagai pelajar garus(gagal
terus). Seminggu sebelum saya bentangkan
kajian saya dalam sesi selari, satu perjumpaan dengan JPNT dan BPDP telah
diadakan.Istilah garus yang saya
wujud ini menjadi polemik dan kurang disenangi.Berdasarkan kutipan
data,analisis peperiksaan dan metode yang telah saya buat,saya tetap
mengemukakan premis saya bahawa pelajar berkenaan sememangnya gagal.Tetapi
siapalah suara saya yang tiada seberkas Master
atau segulung Phd dalam mengeluarkan
pernyataan istilah garus. Malah saya
diminta supaya gelung seterusnya dibuat kepada 5 orang pelajar tersebut,
sedangkan saya juga ada tanggungjawab mengajar kelas Bestari,STPM dan segalas
beban tugas yang lain untuk dilaksana.Hal ini menjadi dilema dalam atma dan
kotak fikir saya.Ada yang meminta saya tukar istilah itu kepada halus,sedangkan realitinya memang
pelajar-pelajar berkenaan sentiasa gagal dari awal ujian hingga akhir
ujian.Para pelajar ini memang bermasalah 4M 1D (membaca,menulis,mengira,malas
dan disiplin). Akhirnya, saya akur untuk menukar istilah garus kepada halus.Pada
persepsi saya ingin tegaskan bahawa hasil kajian ini tidak semestinya dapat
digunakan untuk pelajar kelas lain kerana ia bergantung kepada budaya dan
kebolehan pelajar semasa membuat kajian,tetapi kaedahnya boleh diadaptasi serta
diterapkan pengamalan cara kepada para pelajar lain.
Refleksi
Tuntas bicara,dalam
menghadapi aksiom kelas corot memang kita akan melalui jerih perih untuk
melahirkan pelajar yang berjaya dalam pelajaran, apatah lagi dalam soal untuk
mengejar pembentukan insan kamil jauh sekali.Dua tapak kita mengorak langkah ke
depan dan dengan segala kekangan,maka setapak langkah pula kita ke belakang.Sekiranya
guru terlalu berharap, meletak pencapaian akademik pelajar semata-mata,maka
akan membawa tekanan-tekanan emosi dalam diri seseorang guru.Natijahnya,
apabila tidak mencapai target dan apa yang diharapkan,lama-kelamaan guru itu
sendiri akan berasa nihil.Oleh sebab itu,pada prinsip penghujahan deduktif dan pengaklunan pemikiran saya,maka kejayaan
para pelajar kelas corot bukan bergantung kepada pengukuran kejayaan akademik
sahaja.Apa yang menjadi premis saya ialah para pelajar kelas corot nanti
berjaya menempatkan diri dalam hubungan kemasyaraktan yang positif, bekerja
untuk meneruskan keberlangsungan penghidupan,mengurus diri atau keluarga dan
mencapai kebahagiaan duniawi serta ukhrawi.Sekiranya audiens berasa premis saya
tidak berada pada landasan keabsahan silalah menegur saya dengan mengadakan
majlis polemik atau penghujahan induktif dan marilah kita bersama-sama
mengumpul data-data empirikal serta seterusnya mencapai konsensus dalam senario
menghadapi kelas corot.
BIBLIOGRAFI
Akhbar
Siti Nor Afzan Kasiman. Ramai Guru Sakit Jiwa.Kosmos,23 Mac,2009.
Buku
E.Lucas,Stephen. The Art of Public Speaking. USA :
McGraw-Hill,1995.
Hamidah Abd.Hamid. Pengantar Estetik.
Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka,1995.
__________.Kamus Dewan.Edisi ke-4. Kuala
Lumpur :Dewan Bahasa dan Pustaka,2007.
Mok Soon Sang. Nota Ulangkaji dan
Latihan P.T.K. Bandar Puchong: Multimedia-ES Resources Sdn.Bhd.,2005.
Peter Dixon. Retorik. Kuala Lumpur :Dewan Bahasa
dan Pustaka, 1991.
Wilson, John. The Philosophy. London : Heinemann
Educational Books Ltd.,1972.
0 ulasan:
Catat Ulasan