Khamis, 16 Jun 2022
Selasa, 10 Mei 2022
MARI MENULIS SIRI 2:TEKNIK KEMBANGKAN PERENGGAN PENDAHULUAN,ISI & PENUTUP(KHUSUS UNTUK TING.3)
1. Pengenalan
Hai, pelajar-pelajar sekalian! Sebelum ni saya pernah berkongsi bahan bagaimana cara hendak menulis perenggan pendahuluan dan perengggan penutup dalam laman blog ini. Kali ini cikgu berkongsi kesemua teknik untuk menulis perenggan pendahuluan, perenggan isi dan perenggan penutup setelah cikgu beranggapan bahawa pelajar telah menguasai kemahiran tersebut semasa di tingkatan 1 & 2 berdasarkan sukatan yang ditetapkan dalam standard pembelajaran.
Jadual di bawah akan mengimbas kembali apa-apa yang dipelajari oleh pelajar-pelajar untuk menguasai kemahiran perenggan Pendahuluan dan perenggan Penutup. ..Jom,kita lihat!
|
BUKU TEKS |
MUKA SURAT |
SP |
PEMBELAJARAN |
TEMA(T) & UNIT(U) |
|
TING.1 |
28,88,148 |
3.4.2 |
Pendahuluan |
T3&U5,T8&U15,T13&U25 |
|
TING.1 |
33,93,153 |
3.4.3 |
Penutup/kesimpulan |
T3&U6,T8&U16,T13&U26 |
|
TING.2 |
44,49,122,172 |
3.4.3 |
Pendahuluan dan kesimpulan/Penutup |
T4&U7&U8,T7&U19,T14&U27 |
|
TING.3 |
72-73 |
3.4.2 |
Pendahuluan |
Tema 6 |
|
TING.3 |
98-99 |
3.4.4 |
Penutup |
Tema 8 |
2.0 Pemahaman Tentang Perenggan
Pendahuluan
Perenggan
pendahuluan memperkenalkan tajuk karangan kepada pembaca. Dalam perenggan ini
belum terdapat sebarang isi, tetapi menyatakan hal yang berkait rapat dengannya
atau memberi perkenalan kepada tajuk karangan supaya pembaca lebih tertarik
untuk membaca perenggan seterusnya.Pendahuluan perlu mempunyai 3 konsep ayat
iaitu ayat tema(ayat pengenalan),ayat rangsangan(ayat ini boleh satu ayat atau
lebih) dan ayat arahan (berfokus kepada perbincangan kata kunci tajuk
berdasarkan tugasan soalan)
Pendahuluan
boleh dibina dengan tiga hingga lima ayat. Karangan bermula dengan ayat tema
atau ayat pengenalan. Satu ayat tema/pengenalan dikira sudah memadai. Ayat ini
akan membawa pembaca untuk memahami tajuk dan isi secara umum. *Ini
diikuti oleh satu,dua atau tiga ayat rangsangan, yang merupakan ayat yang
menyokong atau menghuraikan kenyataan dalam ayat tema/pengenalan.
Perenggan
ini diakhiri oleh satu ayat arahan yang
membawa pembaca secara tegas kepada tujuan atau arah karangan, iaitu persoalan
yang hendak dibincangkan dalam bahagian isi nanti.
Contoh :
(1) Akhir-akhir ini didapati bahawa kualiti air semakin
terancam. (2) Banyak kes pencemaran air dilaporkan berlaku
di sana-sini yang sangat membimbangkan kita. (3) Bukan
sahaja air sungai atau laut yang tercemar, malah sekarang melibatkan air yang
diproses di loji pembersihan. (4) Fenomena ini akan mengancam kesihatan dan
keselamatan sesiapa yang menggunakannya. (5) Masalah
ini terjadi adalah disebabkan oleh sikap anggota masyarakat sendiri yang tidak
memberikan perhatian terhadap kebersihan sumber alam tersebut.
Huraian:
Dalam
perenggan di atas, ayat (1) ialah ayat
tema/ayat pengenalan, manakala ayat
(2) hingga ayat (4) ialah ayat rangsangan . Ayat (5) pula
merupakan ayat arahan
yang memberikan bayangan paling
dekat terhadap inti tajuk, “sikap masyarakat merupakan penyebab pencemaran
air”.
* Pada peringkat menengah rendah terutamanya bagi
tingkatan 1 dan 2 sudah memadai pelajar boleh membina satu ayat rangsangan
sahaja,tetapi digalakkan untuk pelajar-pelajar tingkatan 3 membina lebih
daripada satu ayat rangsangan.
2.1 Membina Perenggan Pendahuluan
Teknik Asas.(teknik 3 ayat )
i.ayat tema
ii. ayat rangsangan ----) perlu ditulis dalam perenggan pendahuluan
iii.ayat arahan
-Untuk menulis pendahuluan pelajar boleh
menentukan terlebih dahulu jenis pendahuluan yang hendak digunakan seperti
pendahuluan jenis definisi, persoalan, suasana, sejarah, pendapat tokoh, peribahasa dan sebagainya.
a. Pelajar membina ayat tema –ayat
yang menyatakan pengetahuan pelajar tentang TEMA tajuk atau kata kunci tajuk berdasarkan kehendak soalan yang diberi.Ayat tema ini
boleh menarik minat pembaca / pemeriksa
untuk meneruskan pembacaan.
b. Pelajar menyokong ayat tema dengan ayat rangsangan yang sesuai.Hal ini bermakna ayat rangsangan itu dapat menyatakan huraian ringkas berkaitan ayat tema dan tajuk soalan.
Ingat para pelajar
jangan masukkan isi karangan dalam
membina ayat rangsangan ini.
c.Pelajar membina ayat arahan
(ayat yang dapat membayangkan isi karangan ) pada akhir perenggan pendahuluan.Jelasnya
ayat arahan ini dapat menyatakan kehendak soalan atau arahan tugasan dalam
soalan.
Contoh perenggan pendahuluan :
Remaja
hari ini terdedah kepada pelbagai ancaman jenayah yang boleh menjejaskan
keselamatan diri mereka.(Ayat Tema)
Malah, setiap hari media massa sering melaporkan ancaman terhadap keselamatan
diri masyarakat khususnya golongan remaja.(Ayat
Rangsangan) Oleh itu, golongan remaja perlulah melakukan usaha-usaha bagi
memastikan keselamatan mereka terjamin.(Ayat
Arahan)
(Pendahuluan Jenis Fakta )
3.0 MEMBINA PERENGGAN ISI
Jumlah perenggan isi bergantung
kepada jumlah isi utama. Satu isi utama dihuraikan dalam satu perenggan supaya
karangan lebih kemas dan memudahkan pemeriksa mengenal pasti isi utama dan isi
sampingan. Penyusunan isi utama pula mengikut kepentingan iaitu yang lebih
penting atau dapat dihuraikan dengan jelas hendaklah didahulukan.
Setiap perenggan isi boleh
dihuraikan dengan empat atau lima ayat. Perenggan isi dimulakan dengan satu
ayat topik,(isi/fakta/ayat utama) iaitu ayat yang menyatakan isi utama. Bagi
pelajar yang sudah cekap mengarang, ayat topik boleh juga diletakkan di tengah
atau bahagian akhir perenggan.
Tetapi, untuk memudahkan
pelajar membuat huraian, lebih baik diletakkan pada awal perenggan. Hal ini
diikuti oleh dua hingga empat ayat huraian.(ayat sampingan) Ayat ini
mengandungi isi sampingan atau sokongan kepada ayat topik, dan kadangkala boleh
digabungkan bersama dengan ayat contoh
yang difikirkan sesuai.Ayat contoh juga boleh ditulis secara berasingan.Akhirnya,dalam
perenggan penulisan isi yang baik dan mantap perlu ada ayat penyimpul/ayat
rumusan/ayat penegasan.
Contoh:
Satu daripada sikap sebilangan anggota
masyarakat kita adalah tidak mementingkan aspek kebersihan persekitaran dalam
kehidupan sehari-hari. (1) Mereka tidak
suka kepada sampah-sarap, tetapi mereka mengambil mudah urusan membuang sampah.
(2) Dengan sikap ini mereka menjadikan longkang, sungai dan tasik sebagai tong
sampah, sebagaimana yang lazim berlaku di perkampungan setinggan. (3) Hal ini
bukan sahaja menyebabkan air sungai atau tasik tercemar, tetapi juga memudahkan
terjadinya banjir kilat kerana laluan air tersekat ketika hujan.(4-ayat ini
masih lagi ayat contoh)Oleh yang demikian,nyatalah bahawa sikap anggota
masyarakat yang tidak mementingkan aspek kebersihan mengundang bencana kepada
manusia kembali.(5)
Huraian:
Ayat (1) merupakan ayat topik, iaitu yang menyatakan isi utamanya, “sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan”. Ayat berikutnya merupakan ayat huraian, iaitu ayat (2) dan (3&4) ialah ayat contoh dengan memberikan contoh sikap yang dinyatakan seperti ayat di atas, manakala ayat (5) menerangkan akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab tersebut yang merupakan ayat penyimpul/rumusan/peneguhan.
4.0
Pemahaman Tentang Perenggan Penutup/Kesimpulan
Perenggan penutup atau
kesimpulan berfungsi membuat rumusan secara keseluruhan segala idea yang telah
dicurahkan dalam perenggan-perenggan sebelumnya. Pelajar boleh membina
perenggan ini dengan menggunakan tiga hingga lima ayat. Perenggan ini tidak
seharusnya mengulang kembali apa-apa yang telah dituliskan dalam perenggan
pendahuluan. Beberapa cara menulis penutup yang mudah adalah seperti menyatakan
semula, membuat ramalan dan membuat syor. Walau bagaimanapun, pemilihan teknik
penutup perlulah sesuai dengan jenis karangan.
Kesimpulan
atau penutup merupakan rumusan menyeluruh yang merangkumi keseluruhan karangan
dalam satu penerangan yang padat. Tanpa kesimpulan, karangan berkenaan
dikatakan tidak lengkap atau tidak sempurna ( sumber buku teks tg.1,ms 33 ) Oleh yang demikian, perenggan
kesimpulan ialah perenggan akhir dalam sesuatu penulisan. Kesimpulan dibuat
berdasarkan maklumat daripada keseluruhan penulisan dengan menggunakan wacana
yang sesuai. Lazimnya, terdapat ayat yang memberi cadangan dan harapan dalam
kesimpulan.
Contoh 1 kesimpulan
Soalan: Huraikan faktor-faktor berlakunya kemalangan jalan raya.
Sebagai kesimpulannya, kes kemalangan jalan raya yang begitu tinggi di negara kita, terutamanya pada musim perayaan, perlulah diatasi. Dalam hal ini, pihak berkuasa mestilah bertindak tegas terhadap semua pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada.
Kempen-kempen yang dijalankan mestilah melibatkan semua pihak agar kesannya menyeluruh.(sumber buku teks tg.1, ms 93)
Selain itu,dapatlah
ditegaskan lagi bahawa perenggan kesimpulan atau penutup bertujuan untuk
merumuskan keseluruhan isi karangan. Secara umumnya perenggan kesimpulan
mempunyai:
- penanda wacana
- rumusan isi secara
umum
- cadangan
- harapan
Contoh 3 :Kesimpulan
Kesimpulannnya/Konklusinya, kes kemalangan di jalan raya yang begitu tinggi di negara kita,terutamanya pada musim perayaan perlu diatasi.(pendirian penulis) Dalam hal ini pihak berkuasa mestilah bertindak tegas terhadap semua pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dengan menguatkuasakan undang-undang yang ada. (ayat cadangan 1)Kempen yang dijalankan mestilah melibatkan semua pihak (ayat cadangan 2) Semua pengguna jalan raya perlulah beringat bahawa keselamatan di jalan raya ialah tanggungjawab semua pihak. (ayat harapan)
Contoh
4 :Kesimpulan
Intihanya, kes kemalangan di jalan raya yang begitu tinggi di negara kita,terutamanya pada musim perayaan perlu diatasi. .(pendirian penulis) Dalam hal ini pihak berkuasa perlulah bertindak tegas terhadap semua pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dengan menguatkuasakan undang-undang yang ada. (ayat cadangan 1) Pengguna jalan raya janganlah bersikap“sudah terhantuk baru hendak terngadah”.Sedarilah bahawa, keselamatan di jalan raya ialah tanggungjawab semua pihak. (ayat harapan)
4.1 RUMUSAN PEMAHAMAN TENTANG PERENGGAN PENUTUP/KESIMPULAN
• Isi perenggan perlulah dikembangkan dengan adanya ayat kesimpulan(pendirian penulis),ayat cadangan dan ayat harapan.
• Sebaiknya penulisan perenggan penutup perlu sekata sama seperti menulis perenggan pendahuluan dan isi.
• Ayat yang gramatis.
• Penggunaan penanda wacana yang tepat.
• Boleh
menyatakan peribahasa, perumpamaan, cogan kata dan sebagainya
dalam
perenggan penutup.
Justeru pemahaman
tentang kesimpulan karangan adalah seperti yang berikut:
1. Merumuskan isi dan
pendirian serta mengemukakan cadangan dan harapan.
2. Menyentuh perasaan
atau membangkitkan semangat.
3.
Ringkas, padat, dan tepat.(sumber
buku teks tg.2, ms. 122)
5.0 CONTOH KARANGAN PERENGGAN PENDAHULUAN,PERENGGAN ISI (PENULISAN PERENGGAN ISI MENGGUNAKAN TEKNIK IMPAK) DAN PERENGGAN PENUTUP.
Kepentingan menyambut hari merdeka
CONTOH PERENGGAN PENDAHULUAN
Tanah air kita merupakan salah sebuah negara yang
kian pesat membangun di rantau Asia. Pembangunan dari aspek ekonomi, politik
dan sosial telah mula bercambah sejak sebelum mencapai kemerdekaan lagi.Segala-galanya bermula daripada pengorbanan para pejuang negara yang
sanggup bermati-matian demi mencapai kemerdekaan untuk nusa tercinta.
Pengorbanan mereka mestilah dikenang dan dihargai oleh generasi masa ini. Saban
tahun, pihak kerajaan mengeluarkan sejumlah besar wang sebagai persiapan
menyambut hari kemerdekaan. Persoalannya, apakah kepentingan menyambut hari
kemerdekaan di negara kita? (Pendahuluan
Jenis Pertanyaan)
CONTOH PERENGGAN ISI 1&2 (TEKNIK IMPAK)
Salah satu kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita ialah
kita dapat mengenang jasa tokoh yang
telah berkorban demi mencapai kemerdekaan untuk tanah air.(ISI) Tokoh-tokoh yang telah tiada itu
rela berputih tulang daripada berputih mata melihat tanah air tempat tumpah
darah mereka dijajah oleh kuasa asing sepertti British dan Jepun.(MENGAPA) Mereka juga sanggup menggadai
nyawa demi membayar harga sebuah kemerdekaan.(PENEGASAN /PERKEMBANGAN)
Antara tokoh yang begitu berjasa kepada negara ialah Tunku Abdul Rahman,
Rosli Dhobi, Rentap, Kanang dan sebagainya.(ALIBI/CONTOH/BUKTI) Jelaslah di sini bahawa kepentingan menyambut
hari kemerdekaan di negara kita adalah untuk mengenang jasa tokoh.(PENGUKUHAN/RUMUSAN)
Seterusnya melalui sambutan hari
kemerdekaan, pihak kerajaan dapat mengekalkan perpaduan antara kaum di negara
kita.( ISI ) Umum mengetahui
bahawa Melayu, Cina dan India merupakan kaum majoriti di negara kita selain
kaum Dusun, Kadazan, Bidayuh, Melanau yang menjadi kaum minoriti.(ALIBI) Negara
yang harmoni dan sejahtera hanya akan dapat dibentuk jika semua kaum ini dapat
bersatu padu, bekerjasama dan bertoleransi.(MENGAPA)Melalui sambutan hari
kemerdekaan, semua kaum dapat berkumpul bagi meraikan hari kemerdekaan negara
yang kita cintai ini. Masyarakat berbilang kaum yang saling menyayangi, saling
menghormati dan saling bekerjasama merupakan pemandangan paling indah untuk
dipertontonkan kepada masyarakat di luar negara. (PENEGASAN)Jelaslah di sini
bahawa sambutan hari kemerdekaan dapat mengekalkan perpaduan antara
kaum.(PENGUKUHAN/RUMUSAN)
CONTOH PERENGGAN PENUTUP/KESIMPULAN
Konklusinya, sebagai rakyat Malaysia yang amat sayang akan negara, maka rakyat
perlulah bersungguh-sungguh meraikan hari kemerdekaan negara.(HARAPAN)
Jadikanlah perang saudara, pergolakan, dan peperangan yang berlaku di sesetengah
negara sebagai pengajaran. Tokoh sejarah terkenal, George Santayana pernah
berkata, “sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya semula,” Oleh
itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah menghargai nikmat kemerdekaan yang
kita kecapi ini.(SARANAN)
LATIHAN KARANGAN
Berdasarkan peta pemikiran di bawah huraikan
langkah-langkah untuk mengatasi tabiat merokok dalam kalangan masyarakat.Sila
guna teknik IMPAK untuk mengolah atau menghuraikan isi.
Khamis, 28 April 2022
PENULISAN KREATIF:TEKNIK PENULISAN CERPEN DALAM SUBJEK KMK STPM
Pengenalan
-bentuk prosa,plot tidak bercabang, 500-1000(paling
pendek) atau 500- /lebih 10,000/20,000(paling panjang) patah perkataan,watak
(1-3),latar terhad
-Aspek penting dalam pembinaan cerpen yang ditetapkan
dalam STPM (MPM) ada 9 aspek iaitu judul,tema,persoalan,plot,watak dan
perwatakan,sudut pandangan, gaya bahasa,teknik naratif dan latar.
1) Judul-bebas tapi ikut tema yang telah
ditetapkan.Tajuk/judul mesti sesuai dengan tema.Judul mesti berfikir terlebih
dahulu sebelum memulakan cerita.
|
Tema |
Judul |
|
Keagamaan |
Imam (Novel oleh sasterwan negara-Abdullah Hussain) |
|
Patriotisme |
Kanang anak Langkau |
|
Cinta Negara |
Keranamu Malaysia |
|
Kemanusiaan& diri |
Aku, & Si Balau |
|
Pepaduan |
Di Estet itu |
|
Kasih sayang |
Terzahir Kasih Tanpa Ucapan |
- Tema ialah persoalan utama yang diungkapkan dalam sesuatu karya, sama ada secara langsung (eksplisit) atau tidak langsung (implisit).
- Persoalan bermaksud perkara-perkara sampingan atau isi yang lebih kecil yang ada hubungannya dengan tema sesuatu karya.
Contoh Tema,Judul dan Persoalan
|
Tema |
Judul |
Persoalan |
|
Kasih Sayang |
Masih Ada Lagi |
1. Tanggungjawab ketua keluarga 2. Mendidik secara tegas 3. Kasih Sayang anak kepada orang tua |
4) BINAAN
PLOT
2.Perkembangan cerita
3. Perumitan/konflik cerita
|
4.
Klimaks cerita |
kisah tamat sama ada gembira,sedih/kematian watak dsb
Plot ialah sesuatu yang menghubungkan peristiwa-peristiwa dalam sesebuah cerita. Setiap penstiwa dari awal hingga akhir berdasarkan hukum sebab dan akibat.
- Plot mengemukakan perkara yang terjadi dan
sebab perkara itu terjadi. Setiap perkara berhubungan berdasarkan
faktor-faktor sebab dan akibat.
- Susunan cerita
bergantung pada fantasi dan kreativiti
pengarang. Plot dirangka dengan teliti dan tidak semestinya berurutan
peristiwanya dari awal hingga akhir atau kronologi. Plot ialah
penyusunan kronologi yang diubah suai mengikut kemahuan pengarang.
- Teknik penyusunan plot
yang menarik ialah penyusunan
peristiwa secara tidak kronologi. Pengarang
haruslah cekap, kreatif, dan bijaksana menyusunnya sehingga mencapai
peleraian.
- Permulaan plot
ialah peringkat permulaan (eksposisi), iaitu
untuk memperkenalkan watak-watak, latar, dan suasana.
- Perkembangan plot mengakibatkan konflik.
- Peristiwa berkembang kepada peringkat
pertengahan cerita, iaitu perumitan (komplikasi).
- Perumitan menuju
kepada puncak (klimaks) apabila
tercapainya konsentrasi yang maksimum.
- Kemudian urutan cerita menuju kepada peleraian. Kadang-kadang puncak dijadikan pengakhiran cerita bagi sesetengah cereka.Akhirnya cerita tamat.Ada sesetengah cerita pengakhiran ceritanya tergantung sebab pengarang mungkin ingin menyambung lagi sesebuah karyanya .
- Kemudian urutan cerita menuju kepada peleraian. Kadang-kadang puncak dijadikan pengakhiran cerita bagi sesetengah cereka.Akhirnya cerita tamat.Ada sesetengah cerita pengakhiran ceritanya tergantung sebab pengarang mungkin ingin menyambung lagi sesebuah karyanya .
CONTOH PENGGUNAAN PLOT DALAM MEMBINA CERPEN
5)WATAK & PERWATAKAN
Pelukisan dan peranan watak.
Contoh dalam penulisan cerpen
MASIH ADA LAGI
OLEH
MOHD HAZLI BIN
CHE SEMAN @ CHE OTHMAN
Bunyian unggas menemani kesepian kegelapan. Tuan Haji Afiq
Husin memandang suasana malam dengan pandangan yang bolos. Kosong. Bercelaru.(*Dalam meniti usia yang semakin senja dan
kesihatan yang semakin merudum saban hari. Namun otaknya masih berpusing ligat
memikir soal kehidupan setiap ahli keluarganya.) Masih ada lagi seorang
anakku yang kurang berjaya. Mengapakah anaknya seorang ini kurang berjaya dalam
bidang akademik? Tapi dia sudah nekad untuk membuat perhitungan dengan anaknya
yang seorang ini. Anak-anak lain tiada
masalah tapi anak keempat ini agak beronal sikit dalam keluarganya. Dia berasa
malu kerana anaknya yang seorang ini tidak berjaya seperti yang lain.
(* telah diubah suai untuk tujuan peperiksaan KMK STPM-cerpen penuh dimuat turun di blog INI- https://lamanrencahdidik.blogspot.com/search/label/CORETANKU)
Dalam aspek watak dan perwatakan,
pelajar perlu juga tahu akan makna istilah yang berkaitan dengan aspek watak,
iaitu seperti yang berikut.
(a) Watak utama adalah watak penting yang menggerakkan sesuatu cerita. Pada umumnya, watak utama adalah wira atau wirawati dalam sesuatu karya itu. Watak utama juga dikenali sebagai watak protagonis.
Watak protagonis ialah watak utama dalam sesebuah cereka. Watak ini tidak semestinya orang yang baik, tampan, dan berperikemanusiaan. Dia mungkin diktator, koruptor, penjenayah, dan sebagainya.
Daripada
Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Seorang protagonis merupakan watak utama dalam sesebuah kesusasteraan atau drama yang memegang peranan khas dalam kisahnya. Secara alter natif, frasa ini menandakan pembela utama atau penyokong untuk satu-satu sebab atau gerakan. Watak utamanya boleh diklasifikasikan sebagai hero atau penjahat dalam sesebuah cerita - dia hanya merupakan watak yang memegang peranan utama.
Daripada
Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Antagonis merupakan watak atau
sekumpulan watak, atau, kadang-kala merupakan institusi suatu kejadian yang
mewakili pembangkang menentang hujah-hujah pihak protagonis (dalam
maksud lain, antagonis adalah watak hitam). Dalam gaya klasik sesebuah cerita
di mana aksinya terdiri daripada seorang wira menentang seorang penjahat,
kedua-dua mereka boleh diambil kira masing-masing sebagai protagonis dan
antagonis.
Berlawanan dengan kepercayaan masyarakat,
para antagonis tidak semestinya bersifat jahat, tetapi hanya menentang si watak
utama.
Watak antagonis menjadi penentang atau
lawan kepada watak protagonis.
(b) Watak
sampingan adalah watak pembantu yang peranannya lebih
kecil daripada watak utama dalam sesuatu karya.
(c) Watak
hitam adalah watak yang jahat atau watak yang buruk
dalam sesuatu karya.
(d) Watak
putih adalah watak yang baik atau watak yang
menonjolkan nilai-nilai yang murni dalam sesuatu karya.
(e) Watak
bundar adalah watak yang bersifat kompleks dan segala
sifatnya dijelaskan secara terperinci.
(f) Watak
pipih adalah watak yang tidak kompleks dan tidak
difokuskan sangat dalam sesuatu karya.
(g) Watak
dinamik adalah watak yang aksi, fikiran, pandangan, atau perasaannya
berkembang dan sering berubah.
(h) Watak
statik adalah watak yang tidak mengalami sebarang perubahan atau
fikirannya tidak berkembang dari awal hingga akhir cerita.
(i) Watak
kodi adalah watak yang selalu terdapat dalam cerita
rakyat. Watak nenek kebayan dalam cerita-cerita
rakyat merupakan contoh watak kodi.
*** Untuk tujuan penulisan cerpen dalam subjek KMK sem.3 sudah memadai jika pelajar dapat mengemukakan watak antagonis/utama dan watak protagonis/sampingan.
6) SUDUT PANDANGAN
Sudut pandangan
berperanan untuk mengisahkan sesuatu cerita dan menjelaskan pihak yang men-ceritakan
sesuatu kisah. Maka sudut pandangan mempunyai hubungan yang erat dengan watak.
Menurut Anwar Ridhwan
(1985), sudut pandangan ialah cara bagaimana pembaca dihidangkan dengan bahan
cerita atau bagaimana pengarang memilih cara yang terbaik untuk menyampaikan
ceritanya.
Teknik sudut pandangan:
(a) Sudut
pandangan orang pertama
Pengarang bercerita
sendiri atau terlibat dalam cerita sebagai watak utama atau watak
sampingan. Sudut pandangan ini disebut sebagai gaya
aku, iaitu cerita itu dibawakan seluruhnya oleh watak aku, orang
pertama, secara subjektif. Maknanya pengarang terlibat secara aktif. Teknik ini
digunakan untuk menjadikan cerita lebih realistik.
(b)
Sudut pandangan orang ketiga
tidak terbatas (serba tahu)
Kerap digunakan oleh
pengarang yang mengisahkan ceritanya melalui watak lain menggunakan kata ganti
nama diri ketiga, iaitu dia dan mereka atau
lengkap dengan nama. Pengarang bersikap serba tahu dan bebas bercerita untuk
mengemukakan emosi, fikiran, dan pergolakan jiwa watak-watak.
(c) Sudut
pandangan orang ketiga terbatas
Pengarang
tidak menceritakan semua peristiwa
atau watak tetapi hanya akan
memilih watak-watak
tertentu dan penceritaannya tertumpu
kepada mereka. Watak-watak lain diceritakan serba sedikit sahaja.
(d) Sudut
pandangan objektif
Pengarang hanya
menceritakan segala sesuatu yang dilihat dan didengarnya (melapor) dan masih
menggunakan kata ganti nama diri ketiga. Bezanya pengarang tidak terlibat dalam
cerita. Maka pembaca berpeluang membuat penilaian sendiri terhadap cerita
tersebut.
7) Gaya Bahasa
Antara gaya bahasa yang boleh digunakan dalam penulisan cerpen peringkat STPM adalah seperti berikut:
a) Peribahasa
b) Personifikasi
c) Metafora
d) Hiperbola
e) Bombastik
f) simile
8)TEKNIK PLOT
|
JENIS TEKNIK |
MAKSUD |
KESAN |
|
1.Pemerian |
gambaran peristiwa,kejadian-tentang watak secara langsung. Teknik pemerian digunakan oleh pengarang untuk menerangkan peristiwa dalam plot secara langsung. Hal ini bermaksud, pengarang menerangkan atau menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung. Dengan perkataan lain, pengarang seolah-olah menjadi tukang cerita dan menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung, contohnya pengarang menggambarkan keadaan di bandar Kuala Terengganu pada suatu pagi. Atau gambaran suasana malam dengan bunyian unggas dalam cerpen "Masih Ada Lagi" |
berkesan sebagai pengenalan kepada
sesuatu keadaan/ suasana |
|
2. Dialog |
percakapan antara dua watak |
watak lebih hidup atau realistik |
|
3. Monolog |
bercakap sendirian |
Jelaskan perasaan isi hati watak/menjadikan alur cerita berkembang |
|
4.Imbas kembali |
mengingati semula peristiwa yang
berlaku |
menyerlahkan tempo atau pergerakan alur cerita |
|
5. Imbas Muka |
ramalan kejadian akan berlaku |
menyediakan pembaca supaya dapat menerima kejadian/ peristiwa di
bahagian berikutnya |
|
6. Didaktik |
unsur pengajaran |
mendidik pembaca ambil iktibar/pengajaran |


