Dikuasakan oleh Blogger.

Selasa, 10 Mei 2022

MARI MENULIS SIRI 2:TEKNIK KEMBANGKAN PERENGGAN PENDAHULUAN,ISI & PENUTUP(KHUSUS UNTUK TING.3)

 1. Pengenalan

Hai, pelajar-pelajar sekalian! Sebelum ni saya pernah berkongsi bahan bagaimana cara hendak menulis perenggan pendahuluan dan perengggan penutup dalam laman blog ini. Kali ini cikgu berkongsi kesemua teknik untuk menulis perenggan pendahuluan, perenggan isi dan perenggan penutup setelah cikgu beranggapan bahawa pelajar telah menguasai kemahiran tersebut semasa di tingkatan 1 & 2 berdasarkan sukatan yang ditetapkan dalam standard pembelajaran.

Jadual di bawah akan mengimbas kembali apa-apa yang dipelajari oleh pelajar-pelajar untuk menguasai kemahiran perenggan Pendahuluan dan perenggan Penutup. ..Jom,kita lihat!

BUKU TEKS

MUKA SURAT

SP

PEMBELAJARAN

TEMA(T) & UNIT(U)

TING.1

28,88,148

3.4.2

Pendahuluan

T3&U5,T8&U15,T13&U25

TING.1

33,93,153

3.4.3

Penutup/kesimpulan

T3&U6,T8&U16,T13&U26

TING.2

44,49,122,172

3.4.3

Pendahuluan dan kesimpulan/Penutup

T4&U7&U8,T7&U19,T14&U27

TING.3

72-73

3.4.2

Pendahuluan

Tema 6

TING.3

98-99

3.4.4

Penutup

Tema 8


2.0 Pemahaman Tentang Perenggan Pendahuluan

Perenggan pendahuluan memperkenalkan tajuk karangan kepada pembaca. Dalam perenggan ini belum terdapat sebarang isi, tetapi menyatakan hal yang berkait rapat dengannya atau memberi perkenalan kepada tajuk karangan supaya pembaca lebih tertarik untuk membaca perenggan seterusnya.Pendahuluan perlu mempunyai 3 konsep ayat iaitu ayat tema(ayat pengenalan),ayat rangsangan(ayat ini boleh satu ayat atau lebih) dan ayat arahan (berfokus kepada perbincangan kata kunci tajuk berdasarkan tugasan soalan)

Pendahuluan boleh dibina dengan tiga hingga lima ayat. Karangan bermula dengan ayat tema atau ayat pengenalan. Satu ayat tema/pengenalan dikira sudah memadai. Ayat ini akan membawa pembaca untuk memahami tajuk dan isi secara umum. *Ini diikuti oleh satu,dua atau tiga ayat rangsangan, yang merupakan ayat yang menyokong atau menghuraikan kenyataan dalam ayat tema/pengenalan.

Perenggan ini diakhiri oleh satu ayat arahan  yang membawa pembaca secara tegas kepada tujuan atau arah karangan, iaitu persoalan yang hendak dibincangkan dalam bahagian isi nanti.

Contoh :

(1) Akhir-akhir ini didapati bahawa kualiti air semakin terancam. (2) Banyak kes pencemaran air dilaporkan berlaku di sana-sini yang sangat membimbangkan kita. (3) Bukan sahaja air sungai atau laut yang tercemar, malah sekarang melibatkan air yang diproses di loji pembersihan. (4) Fenomena ini akan mengancam kesihatan dan keselamatan sesiapa yang menggunakannya. (5) Masalah ini terjadi adalah disebabkan oleh sikap anggota masyarakat sendiri yang tidak memberikan perhatian terhadap kebersihan sumber alam tersebut.

Huraian:

Dalam perenggan di atas, ayat (1) ialah ayat tema/ayat pengenalan, manakala ayat (2) hingga ayat (4) ialah ayat rangsangan . Ayat (5) pula merupakan ayat arahan yang memberikan bayangan paling dekat terhadap inti tajuk, “sikap masyarakat merupakan penyebab pencemaran air”.

* Pada peringkat menengah rendah terutamanya bagi tingkatan 1 dan 2 sudah memadai pelajar boleh membina satu ayat rangsangan sahaja,tetapi digalakkan untuk pelajar-pelajar tingkatan 3 membina lebih daripada satu ayat rangsangan.

2.1 Membina Perenggan Pendahuluan

Teknik Asas.(teknik 3 ayat )

i.ayat tema 

ii. ayat rangsangan        ----)    perlu ditulis dalam perenggan pendahuluan   

iii.ayat arahan

 

-Untuk menulis pendahuluan pelajar boleh menentukan terlebih dahulu jenis pendahuluan yang hendak digunakan seperti pendahuluan jenis definisi, persoalan, suasana, sejarah,  pendapat tokoh, peribahasa dan sebagainya.

 

a. Pelajar membina ayat tema –ayat yang menyatakan pengetahuan pelajar tentang TEMA tajuk atau kata kunci tajuk berdasarkan  kehendak soalan yang diberi.Ayat tema ini boleh menarik minat  pembaca / pemeriksa untuk meneruskan  pembacaan.

b. Pelajar menyokong ayat tema dengan ayat rangsangan yang sesuai.Hal ini bermakna ayat rangsangan itu dapat menyatakan huraian ringkas berkaitan ayat tema dan tajuk soalan.

Ingat para  pelajar jangan  masukkan isi karangan dalam membina ayat rangsangan ini.

c.Pelajar membina ayat arahan (ayat yang dapat membayangkan isi karangan ) pada akhir perenggan pendahuluan.Jelasnya ayat arahan ini dapat menyatakan kehendak soalan atau arahan tugasan dalam soalan.

Contoh perenggan pendahuluan :

            Remaja hari ini terdedah kepada pelbagai ancaman jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan diri mereka.(Ayat Tema) Malah, setiap hari media massa sering melaporkan ancaman terhadap keselamatan diri masyarakat khususnya golongan remaja.(Ayat Rangsangan) Oleh itu, golongan remaja perlulah melakukan usaha-usaha bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.(Ayat Arahan)                                            (Pendahuluan Jenis Fakta )

 

3.0 MEMBINA PERENGGAN ISI

Jumlah perenggan isi bergantung kepada jumlah isi utama. Satu isi utama dihuraikan dalam satu perenggan supaya karangan lebih kemas dan memudahkan pemeriksa mengenal pasti isi utama dan isi sampingan. Penyusunan isi utama pula mengikut kepentingan iaitu yang lebih penting atau dapat dihuraikan dengan jelas hendaklah didahulukan.

Setiap perenggan isi boleh dihuraikan dengan empat atau lima ayat. Perenggan isi dimulakan dengan satu ayat topik,(isi/fakta/ayat utama) iaitu ayat yang menyatakan isi utama. Bagi pelajar yang sudah cekap mengarang, ayat topik boleh juga diletakkan di tengah atau bahagian akhir perenggan.

Tetapi, untuk memudahkan pelajar membuat huraian, lebih baik diletakkan pada awal perenggan. Hal ini diikuti oleh dua hingga empat ayat huraian.(ayat sampingan) Ayat ini mengandungi isi sampingan atau sokongan kepada ayat topik, dan kadangkala boleh digabungkan bersama dengan  ayat contoh yang difikirkan sesuai.Ayat contoh juga boleh ditulis secara berasingan.Akhirnya,dalam perenggan penulisan isi yang baik dan mantap perlu ada ayat penyimpul/ayat rumusan/ayat penegasan.

Contoh:

    Satu daripada sikap sebilangan anggota masyarakat kita adalah tidak mementingkan aspek kebersihan persekitaran dalam kehidupan sehari-hari. (1)  Mereka tidak suka kepada sampah-sarap, tetapi mereka mengambil mudah urusan membuang sampah. (2) Dengan sikap ini mereka menjadikan longkang, sungai dan tasik sebagai tong sampah, sebagaimana yang lazim berlaku di perkampungan setinggan. (3) Hal ini bukan sahaja menyebabkan air sungai atau tasik tercemar, tetapi juga memudahkan terjadinya banjir kilat kerana laluan air tersekat ketika hujan.(4-ayat ini masih lagi ayat contoh)Oleh yang demikian,nyatalah bahawa sikap anggota masyarakat yang tidak mementingkan aspek kebersihan mengundang bencana kepada manusia kembali.(5)

 Huraian:

Ayat (1) merupakan ayat topik, iaitu yang menyatakan isi utamanya, “sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan”. Ayat berikutnya merupakan ayat huraian, iaitu ayat (2) dan (3&4) ialah ayat contoh dengan memberikan contoh sikap yang dinyatakan seperti ayat di atas, manakala ayat (5) menerangkan akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab tersebut yang merupakan ayat penyimpul/rumusan/peneguhan.

4.0 Pemahaman Tentang Perenggan Penutup/Kesimpulan

Perenggan penutup atau kesimpulan berfungsi membuat rumusan secara keseluruhan segala idea yang telah dicurahkan dalam perenggan-perenggan sebelumnya. Pelajar boleh membina perenggan ini dengan menggunakan tiga hingga lima ayat. Perenggan ini tidak seharusnya mengulang kembali apa-apa yang telah dituliskan dalam perenggan pendahuluan. Beberapa cara menulis penutup yang mudah adalah seperti menyatakan semula, membuat ramalan dan membuat syor. Walau bagaimanapun, pemilihan teknik penutup perlulah sesuai dengan jenis karangan.

Kesimpulan atau penutup merupakan rumusan menyeluruh yang merangkumi keseluruhan karangan dalam satu penerangan yang padat. Tanpa kesimpulan, karangan berkenaan dikatakan tidak lengkap atau tidak sempurna ( sumber buku teks tg.1,ms 33 ) Oleh yang demikian, perenggan kesimpulan ialah perenggan akhir dalam sesuatu penulisan. Kesimpulan dibuat berdasarkan maklumat daripada keseluruhan penulisan dengan menggunakan wacana yang sesuai. Lazimnya, terdapat ayat yang memberi cadangan dan harapan dalam kesimpulan.

 Contoh 1 kesimpulan

 Soalan: Huraikan faktor-faktor berlakunya kemalangan jalan raya.

 Sebagai kesimpulannya, kes kemalangan jalan raya yang begitu tinggi di negara kita, terutamanya pada musim perayaan, perlulah diatasi. Dalam hal ini, pihak berkuasa mestilah bertindak tegas terhadap semua pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada.

Kempen-kempen yang dijalankan mestilah melibatkan semua pihak agar kesannya menyeluruh.(sumber buku teks tg.1, ms 93)

Selain itu,dapatlah ditegaskan lagi bahawa perenggan kesimpulan atau penutup bertujuan untuk merumuskan keseluruhan isi karangan. Secara umumnya perenggan kesimpulan mempunyai:

- penanda wacana

- rumusan isi secara umum

- cadangan

- harapan

 Contoh 2 kesimpulan:

 Kesimpulannya, penerapan nilai murni dapat melahirkan bangsa Malaysia yang berbudi pekerti tinggi. Oleh hal yang demikian, usaha menerapkan nilai murni perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat. Dengan itu, keharmonian dan kesejahteraan hidup di negara yang tercinta ini dapat dikekalkan.(sumber buku teks tg.2,ms.49)

 Contoh 3 :Kesimpulan

Kesimpulannnya/Konklusinya, kes kemalangan di jalan raya yang begitu tinggi di negara kita,terutamanya pada musim perayaan perlu diatasi.(pendirian penulis) Dalam hal ini pihak berkuasa mestilah bertindak tegas terhadap semua pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dengan  menguatkuasakan undang-undang yang ada. (ayat cadangan 1)Kempen yang dijalankan mestilah melibatkan semua pihak (ayat cadangan 2) Semua pengguna jalan raya perlulah beringat bahawa keselamatan di jalan raya ialah tanggungjawab semua pihak. (ayat harapan)

Contoh 4 :Kesimpulan

 Intihanya, kes kemalangan di jalan raya yang begitu tinggi di negara kita,terutamanya pada musim perayaan perlu diatasi. .(pendirian penulis)  Dalam hal ini pihak berkuasa perlulah bertindak tegas terhadap semua pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dengan menguatkuasakan undang-undang yang ada. (ayat cadangan 1) Pengguna jalan raya janganlah bersikap“sudah terhantuk baru hendak terngadah”.Sedarilah bahawa, keselamatan di jalan raya ialah tanggungjawab semua pihak. (ayat harapan)

4.1 RUMUSAN PEMAHAMAN TENTANG PERENGGAN PENUTUP/KESIMPULAN 

• Isi perenggan perlulah dikembangkan dengan adanya ayat kesimpulan(pendirian penulis),ayat cadangan dan ayat harapan.

• Sebaiknya penulisan perenggan penutup perlu sekata sama seperti menulis perenggan pendahuluan dan isi.

• Ayat yang gramatis.

•  Penggunaan penanda wacana yang tepat.

•  Boleh menyatakan peribahasa, perumpamaan, cogan kata dan sebagainya dalam  

   perenggan  penutup.

Justeru pemahaman tentang kesimpulan karangan adalah seperti yang berikut:

1. Merumuskan isi dan pendirian serta mengemukakan cadangan dan harapan.

2. Menyentuh perasaan atau membangkitkan semangat.

3. Ringkas, padat, dan tepat.(sumber buku teks tg.2, ms. 122)

 

 5.0 CONTOH KARANGAN PERENGGAN PENDAHULUAN,PERENGGAN ISI (PENULISAN PERENGGAN ISI MENGGUNAKAN TEKNIK IMPAK) DAN PERENGGAN PENUTUP.

 Kepentingan menyambut hari merdeka

 CONTOH PERENGGAN PENDAHULUAN

Tanah air kita merupakan salah sebuah negara yang kian pesat membangun di rantau Asia. Pembangunan dari aspek ekonomi, politik dan sosial telah mula bercambah sejak sebelum mencapai kemerdekaan lagi.Segala-galanya bermula daripada pengorbanan para pejuang negara yang sanggup bermati-matian demi mencapai kemerdekaan untuk nusa tercinta. Pengorbanan mereka mestilah dikenang dan dihargai oleh generasi masa ini. Saban tahun, pihak kerajaan mengeluarkan sejumlah besar wang sebagai persiapan menyambut hari kemerdekaan. Persoalannya, apakah kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita? (Pendahuluan Jenis Pertanyaan)

 CONTOH PERENGGAN ISI 1&2 (TEKNIK IMPAK)

Salah satu kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita ialah  kita dapat mengenang jasa tokoh yang telah berkorban demi mencapai kemerdekaan untuk tanah air.(ISI) Tokoh-tokoh yang telah tiada itu rela berputih tulang daripada berputih mata melihat tanah air tempat tumpah darah mereka dijajah oleh kuasa asing sepertti British dan Jepun.(MENGAPA) Mereka juga sanggup menggadai nyawa demi membayar harga sebuah kemerdekaan.(PENEGASAN /PERKEMBANGAN)  Antara tokoh yang begitu berjasa kepada negara ialah Tunku Abdul Rahman, Rosli Dhobi, Rentap, Kanang dan sebagainya.(ALIBI/CONTOH/BUKTI) Jelaslah di sini bahawa kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita adalah untuk mengenang jasa tokoh.(PENGUKUHAN/RUMUSAN)

            Seterusnya melalui sambutan hari kemerdekaan, pihak kerajaan dapat mengekalkan perpaduan antara kaum di negara kita.( ISI     ) Umum mengetahui bahawa Melayu, Cina dan India merupakan kaum majoriti di negara kita selain kaum Dusun, Kadazan, Bidayuh, Melanau yang menjadi kaum minoriti.(ALIBI) Negara yang harmoni dan sejahtera hanya akan dapat dibentuk jika semua kaum ini dapat bersatu padu, bekerjasama dan bertoleransi.(MENGAPA)Melalui sambutan hari kemerdekaan, semua kaum dapat berkumpul bagi meraikan hari kemerdekaan negara yang kita cintai ini. Masyarakat berbilang kaum yang saling menyayangi, saling menghormati dan saling bekerjasama merupakan pemandangan paling indah untuk dipertontonkan kepada masyarakat di luar negara. (PENEGASAN)Jelaslah di sini bahawa sambutan hari kemerdekaan dapat mengekalkan perpaduan antara kaum.(PENGUKUHAN/RUMUSAN)

 CONTOH PERENGGAN PENUTUP/KESIMPULAN

            Konklusinya, sebagai rakyat Malaysia yang amat sayang akan negara, maka rakyat perlulah bersungguh-sungguh meraikan hari kemerdekaan negara.(HARAPAN) Jadikanlah perang saudara, pergolakan, dan peperangan yang berlaku di sesetengah negara sebagai pengajaran. Tokoh sejarah terkenal, George Santayana pernah berkata, “sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya semula,” Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah menghargai nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini.(SARANAN)

 

 LATIHAN KARANGAN

Berdasarkan peta pemikiran di bawah huraikan langkah-langkah untuk mengatasi tabiat merokok dalam kalangan masyarakat.Sila guna teknik IMPAK untuk mengolah atau menghuraikan isi.


 



Khamis, 28 April 2022

PENULISAN KREATIF:TEKNIK PENULISAN CERPEN DALAM SUBJEK KMK STPM

 

Pengenalan

-bentuk prosa,plot tidak bercabang, 500-1000(paling pendek) atau 500- /lebih 10,000/20,000(paling panjang) patah perkataan,watak (1-3),latar terhad

-Aspek penting dalam pembinaan cerpen yang ditetapkan dalam STPM (MPM) ada 9 aspek iaitu judul,tema,persoalan,plot,watak dan perwatakan,sudut pandangan, gaya bahasa,teknik naratif dan latar.

1) Judul-bebas tapi ikut tema yang telah ditetapkan.Tajuk/judul mesti sesuai dengan tema.Judul mesti berfikir terlebih dahulu sebelum memulakan cerita.

Tema

Judul

Keagamaan

Imam (Novel oleh sasterwan negara-Abdullah Hussain)

Patriotisme

Kanang anak Langkau

Cinta Negara

Keranamu Malaysia

Kemanusiaan& diri

Aku, & Si Balau

Pepaduan

Di Estet itu

Kasih sayang

Terzahir Kasih Tanpa Ucapan

 

     2)Tema 

  1. Tema ialah persoalan utama yang diungkapkan dalam sesuatu karya, sama ada secara langsung (eksplisit) atau tidak langsung (implisit).

    3)Persoalan

  1. Persoalan bermaksud perkara-perkara sampingan atau isi yang lebih kecil yang ada hubungannya dengan tema sesuatu karya.

Contoh Tema,Judul dan Persoalan

Tema

Judul

Persoalan

Kasih Sayang

Masih Ada Lagi

1. Tanggungjawab ketua keluarga

2. Mendidik secara tegas

3. Kasih Sayang anak kepada orang tua



4) BINAAN PLOT

1.Permulaan cerita                                                                    


2.Perkembangan  cerita

 



      


 

 

 

 

 

                                       3. Perumitan/konflik cerita                      



4. Klimaks cerita




5. Pengakhiran cerita/happy ending/tamat

Plot akhir ini berlaku penurunan/peleraian konflik







                        

                                kisah tamat sama ada gembira,sedih/kematian watak dsb

Plot     ialah    sesuatu    yang     menghubungkan peristiwa-peristiwa dalam sesebuah cerita. Setiap penstiwa dari awal hingga akhir berdasarkan hukum sebab dan akibat.

  1. Plot mengemukakan perkara yang terjadi dan sebab perkara itu terjadi. Setiap perkara berhubungan berdasarkan faktor-faktor sebab dan akibat.
  2. Susunan   cerita  bergantung   pada   fantasi   dan kreativiti pengarang. Plot dirangka dengan teliti dan tidak semestinya berurutan peristiwanya dari awal hingga akhir atau kronologi.  Plot ialah penyusunan kronologi yang diubah suai mengikut kemahuan pengarang.
  3. Teknik  penyusunan  plot  yang   menarik   ialah penyusunan  peristiwa  secara   tidak  kronologi. Pengarang haruslah cekap, kreatif, dan bijaksana menyusunnya sehingga mencapai peleraian.
  4. Permulaan   plot   ialah   peringkat   permulaan (eksposisi), iaitu untuk memperkenalkan watak-watak, latar, dan suasana.
  5. Perkembangan plot mengakibatkan konflik.
  6. Peristiwa berkembang kepada peringkat pertengahan cerita, iaitu perumitan (komplikasi).
  7. Perumitan   menuju   kepada   puncak   (klimaks) apabila tercapainya konsentrasi yang maksimum.
  8. Kemudian urutan cerita menuju kepada peleraian. Kadang-kadang  puncak dijadikan  pengakhiran cerita bagi sesetengah cereka.Akhirnya cerita tamat.Ada sesetengah cerita pengakhiran ceritanya tergantung sebab pengarang  mungkin ingin menyambung lagi sesebuah karyanya .
  9. Kemudian urutan cerita menuju kepada peleraian. Kadang-kadang  puncak dijadikan  pengakhiran cerita bagi sesetengah cereka.Akhirnya cerita tamat.Ada sesetengah cerita pengakhiran ceritanya tergantung sebab pengarang  mungkin ingin menyambung lagi sesebuah karyanya .

 CONTOH PENGGUNAAN PLOT DALAM MEMBINA CERPEN



5)WATAK & PERWATAKAN

Pelukisan dan peranan watak.

Contoh dalam penulisan cerpen

MASIH ADA LAGI

OLEH

  MOHD HAZLI BIN CHE SEMAN @ CHE OTHMAN

Bunyian unggas menemani kesepian kegelapan. Tuan Haji Afiq Husin memandang suasana malam dengan pandangan yang bolos. Kosong. Bercelaru.(*Dalam meniti usia yang semakin senja dan kesihatan yang semakin merudum saban hari. Namun otaknya masih berpusing ligat memikir soal kehidupan setiap ahli keluarganya.) Masih ada lagi seorang anakku yang kurang berjaya. Mengapakah anaknya seorang ini kurang berjaya dalam bidang akademik? Tapi dia sudah nekad untuk membuat perhitungan dengan anaknya yang seorang ini.  Anak-anak lain tiada masalah tapi anak keempat ini agak beronal sikit dalam keluarganya. Dia berasa malu kerana anaknya yang seorang ini tidak berjaya seperti yang lain.

(* telah diubah suai untuk tujuan peperiksaan KMK STPM-cerpen penuh dimuat turun di blog INI-     https://lamanrencahdidik.blogspot.com/search/label/CORETANKU)


           Dalam aspek watak dan perwatakan, pelajar perlu juga tahu akan makna istilah yang berkaitan dengan aspek watak, iaitu seperti yang berikut.

(a)       Watak utama adalah watak penting yang menggerakkan sesuatu cerita.  Pada umumnya, watak utama adalah wira atau wirawati dalam sesuatu karya itu. Watak utama juga dikenali sebagai watak protagonis.

Watak protagonis ialah watak utama dalam sesebuah cereka. Watak ini tidak semestinya orang yang baik, tampan, dan berperikemanusiaan. Dia mungkin   diktator,   koruptor,   penjenayah,   dan sebagainya.

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Seorang protagonis merupakan watak utama dalam sesebuah kesusasteraan atau drama yang memegang peranan khas dalam kisahnya. Secara alter natif, frasa ini menandakan pembela utama atau penyokong untuk satu-satu sebab atau gerakan. Watak utamanya boleh diklasifikasikan sebagai hero atau penjahat dalam sesebuah cerita - dia hanya merupakan watak yang memegang peranan utama.

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Antagonis merupakan watak atau sekumpulan watak, atau, kadang-kala merupakan institusi suatu kejadian yang mewakili pembangkang menentang hujah-hujah pihak protagonis (dalam maksud lain, antagonis adalah watak hitam). Dalam gaya klasik sesebuah cerita di mana aksinya terdiri daripada seorang wira menentang seorang penjahat, kedua-dua mereka boleh diambil kira masing-masing sebagai protagonis dan antagonis.

Berlawanan dengan kepercayaan masyarakat, para antagonis tidak semestinya bersifat jahat, tetapi hanya menentang si watak utama.

Watak antagonis menjadi penentang atau lawan kepada watak protagonis.

 

(b)       Watak sampingan adalah watak pembantu yang peranannya lebih kecil daripada watak utama dalam sesuatu karya.

 

(c)        Watak hitam adalah watak yang jahat atau watak yang buruk dalam sesuatu karya.

 

(d)       Watak putih adalah watak yang baik atau watak yang menonjolkan nilai-nilai yang murni dalam sesuatu karya.

 

(e)       Watak bundar adalah watak yang bersifat kompleks dan segala sifatnya dijelaskan secara terperinci.

 

(f)        Watak pipih adalah watak yang tidak kompleks dan tidak difokuskan sangat dalam sesuatu karya.

 

(g)       Watak dinamik adalah watak yang aksi, fikiran, pandangan, atau perasaannya berkembang dan sering berubah.

 

(h)       Watak statik adalah watak yang tidak mengalami sebarang perubahan atau fikirannya tidak berkembang dari awal hingga akhir cerita.

 

(i)         Watak kodi adalah watak yang selalu terdapat dalam cerita rakyat.  Watak nenek kebayan dalam cerita-cerita rakyat merupakan contoh watak kodi.

 *** Untuk tujuan penulisan cerpen dalam subjek KMK sem.3 sudah memadai jika pelajar dapat mengemukakan watak antagonis/utama dan watak protagonis/sampingan.

6) SUDUT PANDANGAN

Sudut pandangan berperanan untuk mengisahkan sesuatu cerita dan menjelaskan pihak yang men-ceritakan sesuatu kisah. Maka sudut pandangan mempunyai hubungan yang erat dengan watak.

Menurut Anwar Ridhwan (1985), sudut pandangan ialah cara bagaimana pembaca dihidangkan dengan bahan cerita atau bagaimana pengarang memilih cara yang terbaik untuk menyampaikan ceritanya.

 Teknik sudut pandangan:

 (a)   Sudut pandangan orang pertama

Pengarang bercerita sendiri atau terlibat dalam cerita sebagai watak utama atau watak sampingan.  Sudut pandangan ini  disebut sebagai gaya aku, iaitu cerita itu dibawakan seluruhnya oleh watak aku, orang pertama, secara subjektif. Maknanya pengarang terlibat secara aktif. Teknik ini digunakan untuk menjadikan cerita lebih realistik.

(b)    Sudut   pandangan   orang   ketiga   tidak terbatas (serba tahu)

Kerap digunakan oleh pengarang yang mengisahkan ceritanya melalui watak lain menggunakan kata ganti nama diri ketiga, iaitu dia dan mereka atau lengkap dengan nama. Pengarang bersikap serba tahu dan bebas bercerita untuk mengemukakan emosi, fikiran, dan pergolakan jiwa watak-watak.

 (c)   Sudut pandangan orang ketiga terbatas

Pengarang    tidak    menceritakan    semua peristiwa atau  watak tetapi  hanya  akan memilih      watak-watak      tertentu      dan penceritaannya  tertumpu  kepada  mereka. Watak-watak lain diceritakan serba sedikit sahaja.

 (d)   Sudut pandangan objektif

Pengarang hanya menceritakan segala sesuatu yang dilihat dan didengarnya (melapor) dan masih menggunakan kata ganti nama diri ketiga. Bezanya pengarang tidak terlibat dalam cerita. Maka pembaca berpeluang membuat penilaian sendiri terhadap cerita tersebut.

 7) Gaya Bahasa

Antara gaya bahasa yang boleh digunakan dalam penulisan cerpen peringkat STPM adalah seperti berikut:

a) Peribahasa

b) Personifikasi

c) Metafora

d) Hiperbola

e) Bombastik

f) simile

 

8)TEKNIK PLOT

JENIS TEKNIK

MAKSUD

KESAN

1.Pemerian

gambaran peristiwa,kejadian-tentang watak secara langsung. Teknik pemerian digunakan oleh pengarang untuk menerangkan peristiwa dalam plot secara langsung. Hal ini bermaksud, pengarang menerangkan atau menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung. Dengan perkataan lain, pengarang seolah-olah menjadi tukang cerita dan menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung, contohnya pengarang menggambarkan keadaan di bandar Kuala Terengganu pada suatu pagi. Atau gambaran suasana malam dengan bunyian unggas dalam cerpen "Masih Ada Lagi"

berkesan sebagai pengenalan kepada sesuatu keadaan/ suasana

2. Dialog

percakapan antara dua watak

watak lebih hidup atau realistik

3. Monolog

bercakap sendirian

Jelaskan perasaan isi hati watak/menjadikan alur cerita berkembang

4.Imbas kembali

mengingati semula peristiwa yang berlaku

menyerlahkan tempo atau pergerakan alur cerita

5. Imbas Muka

ramalan kejadian akan berlaku

menyediakan pembaca supaya dapat menerima kejadian/ peristiwa di bahagian berikutnya

6. Didaktik

unsur pengajaran

mendidik pembaca ambil iktibar/pengajaran


9) LATAR

Latar terdiri daripada 3 iaitu latar tempat,latar masa dan latar masyarakat. Sudah memadai jika pelajar boleh mengemukakan sekurang-kurangnya  satu daripada  mana-mana latar tersebut dalam penulisan cerpen mereka.

Contoh Latar Tempat:
Kg Padang Luas, di bawah pondok di tepi sawah, Kedai Gunting dan sebagainya

Contoh Latar Masa:
Petang, lewat senja, jam 6.00 petang, subuh dan lain-lain.

Contoh Latar Masyarakat:
Masyarakat petani, masyarakat berbilang bangsa, masyarakat yang berpegang kepada adat istiadat dan lain-lain ( masyarakat yang hendak dibina dalam penulisan cerpen itu boleh dilihat dari segi sudut ekonomi,sosial,budaya,politik dan keagamaan)
 

JOM IKUTI BLOG SAYA

"Masa itu emas"