Dikuasakan oleh Blogger.

Khamis, 5 Januari 2012

Ringkasan(edisi dikemaskini)

BAHAGIAN C
PANDUAN MENJAWAB RINGKASAN
1.         Untuk mengenal pasti isi penting, calon hendaklah merujuk arahan soalan. Contohnya jika
 soalan mengkehendaki  calon menyatakan langkah-langkah / cara  mengatasi / kaedah-
 kaedah biasanya kata kunci yang  boleh membantu calon ialah perkataan berikut:
  • perlu
  • harus
  • patut
  • mesti
  • hendaklah

Untuk soalan yang mengkehendaki calon menyatakan punca-punca/ faktor-faktor biasanya kata kuncinya ialah:
  • kerana
  • sebab

Untuk soalan yang mengkehendaki calon menyatakan kesan-kesan / kelebihan / keburukan / kebaikan biasanya kata kuncinya ialah:
  • dapat
  • boleh
  • menjadikan

Untuk soalan yang menghendaki calon menyatakan amalan-amalan baik (nilai). biasanya kata kuncinya ialah (KITA)

Penanda wacana juga menjadi salah satu kata kunci sekiranya tiada kata kunci di atas.

                          
Bahagian c – Ringkasan
[ 15 markah ]
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah berjimat cermat. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
            Kenaikan harga barang kini merupakan ekoran kenaikan harga minyak. Oleh itu, setiap orang terasa bebannya temasuk golongan yang berpendapatan sederhana. Walaupun kita amat berharap agar kerajaan mengawal harga barang bagi mengurangkan beban, kita perlu berusaha untuk mengurangkan kesan kenaikan harga. Dalam situasi ini, kita perlu berjimat ketika berbelanja. Kalau dahulu kita telah mengamalkan sikap jimat cermat, kini kita perlu lebih berkira-kira lagi. Jika dahulu kita hanya berjimat dari segi penggunaan petrol, kini kita harus mengurangkan amalan makan di luar, membeli barangan mewah dan sebagainya.
            Perancangan kewangan juga penting. Pengurusan kewangan yang baik perlu mengambil kira simpanan atau tabungan. Dengan kata lain, pendapatan patut diagihkan kepada simpanan dan perbelanjaan. Pada peringkat keluarga, perancangan kewangan mesti dibuat secara bersama-sama oleh suami isteri supaya mereka jelas tentang kedudukan ekonomi mereka dan menyumbangkan idea tentang cara untuk menggunakan sumber yang ada sebaik mungkin. Hasil perbincangan ini pula, harus dijelaskan kepada anak-anak supaya mereka turut faham dan bersama-sama melaksanakan langkah penjimatan.
Dalam krisis kenaikan harga barang ini, mahu tidak mahu, kita perlu menjadi pengguna yang bijak menguruskan kewangan peribadi. Untuk itu, kita perlu berilmu dan ilmu boleh didapati melalui pembacaan dan pemelajaran. Buku-buku panduan pengurusan kewangan yang banyak terdapat di pasaran boleh dijadikan rujukan sekiranya kita serius hendak menguruskan kewangan keluarga dengan bijak. Di tempat kerja pula, warga kerja mesti menjimatkan penggunaan elektrik. Pihak pengurusan hendaklah mengawal penggunaan kemudahan pejabat seperti mesin fotostat, alat tulis dan kertas. Pekerja perlu memahami  sebab-sebab langkah penjimatan diambil dan bekerjasama dalam melaksanakannya. Arahan demi arahan tanpa penjelasan yang munasabah, tidak akan meninggalkan bekas. Para pekerja  juga sukar untuk memberikan kerjasama sekiranya pihak pengurusan tidak menunjukkan teladan yang baik dalam malaksanakan langkah penjimatan ini.
                                                                                    (Dipetik dan diubahsuaikan daripada
                                                                                      ‘ Masa Berkira ketika Berbelanja’,
                                                                                      Utusan Malaysia, 11 Ogos 2005)

Contoh ayat dalam petikan ialah:

a)           Dalam situasi ini, kita perlu berjimat ketika berbelanja.
b)           Pengurusan kewangan yang baik perlu mengambil kira simpanan atau tabungan.
c)            Pada peringkat keluarga, perancangan kewangan mesti dibuat secara bersama- sama oleh  suami isteri supaya mereka jelas tentang kedudukan ekonomi mereka dan menyumbangkan idea tentang cara untuk menggunakan sumber yang ada sebaik mungkin.
d)           Hasil perbincangan ini pula, harus dijelaskan kepada anak-anak supaya  mereka turut faham dan bersama-sama melaksanakan langkah penjimatan.
e)           Dalam krisis kenaikan harga barang ini, mahu tidak mahu, kita perlu menjadi pengguna yang bijak menguruskan kewangan peribadi
f)           Di tempat kerja pula, warga kerja mesti menjimatkan penggunaan elektrik.
g)           Pihak pengurusan hendaklah mengawal penggunaan kemudahan pejabat.


2.         Seterusnya  untuk memulakan ringkasan calon haruslah memulakan dengan
             menulis ayat pendahuluan. Ayat pendahuluan mestilah dibina berdasarkan arahan    soalan. Contohnya:

                        Langkah- langkah  berjimat cermat  [ kehendak soalan ] termasuklah
__________________________________________________________________
Senarai penanda wacana:

-          Biarpun demikian                                        -     Oleh sebab itu
-          Di samping itu                                             -     Sehubungan dengan itu
-          Justeru                                                         -     Selain itu
-          Lebih-lebih lagi                                           -     Tambahan pula
-          Meskipun demikian                                     -     Walau bagaimanapun
-          Namun begitu                                              -     Walaupun begitu
-          Oleh itu                                                       -     Untuk itu
-          Akhir sekali                                                 -     Umum
-          Seterusnya

Contoh Lengkap Cara Menulis Ringkasan

             Langkah-langkah berjimat cermat termasuklah, kita perlu berjimat ketika berbelanja. Selain itu, pengurusan kewangan yang baik perlu mengambil kira simpanan atau tabungan. Seterusnya, pada peringkat keluarga, perancangan kewangan perlu dibuat secara bersama- sama oleh suami isteri supaya mereka jelas tentang kedudukan  ekonomi mereka dan menyumbangkan idea tentang cara untuk menggunakan sumber yang ada sebaik mungkin. Lebih-lebih lagi, hasil perbincangan ini pula, perlu dijelaskan kepada anak-anak supaya  mereka turut faham dan bersama-sama melaksanakan langkah penjimatan. Umumnya, dalam krisis kenaikan harga barang ini, mahu tidak mahu, kita perlu menjadi pengguna yang bijak menguruskan kewangan peribadi. Di samping itu, di tempat kerja pula, warga kerja mesti menjimatkan penggunaan elektrik.

* Setiap isi perlu ada subjek dan predikat.

 Latihan Ringkasan 
Bahagian C
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang amalan-amalan baik dalam pemakanan. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
            Makanan yang berkhasiat dan seimbang penting kepada semua orang. Hal ini demikian kerana kita memerlukan tenaga untuk aktiviti fizikal. Kita juga akan lebih cergas menjalani aktiviti harian. Amalan pemakanan dan kesihatan mempunyai kaitan yang rapat. Kesihatan tubuh badan bukan sahaja dipengaruhi oleh makanan yang seimbang dan berkhasiat semata-mata malah corak dan amalan pemakanan sehari-hari turut memberikan kesan yang besar. Makan dalam keadaan selesa dan tenang merupakan tabiat yang baik. Selain itu, elakkan makan makanan ringan yang tidak berkhasiat dan jangan makan sebelum masuk tidur. Oleh itu, kita perlu makan pada masa yang sesuai. Kegagalan berbuat demikian akan mempengaruhi kesihatan seseorang.
            Kebanyakan kita beranggapan bahawa aspek pengambilan makanan merupakan suatu perkara yang tidak penting. Sebenarnya, kita mesti memastikan bahawa jadual makan perlu teratur dan kita wajar makan dalam kuantiti yang sedikit untuk kekal sihat. Kegemukan atau obesiti merupakan kesan daripada sikap tidak mengawal makanan. Makan setelah kita berasa lapar seharusnya menjadi amalan. Ibu bapa harus menanam sikap tersebut ketika anak-anak masih kecil lagi.
            Kita perlu mengambil sayur-sayuran hijau dan buah-buahan, untuk memastikan bahawa kita mengamalkan diet yang seimbang. Ada dalam kalangan kita pula yang menggemari makanan yang telah diproses seperti mi segera dan makanan dalam tin. Makanan seperti ini kurang zatnya kerana telah melalui tempoh masa yang lama dan juga mengandungi bahan kimia. Oleh itu, pengambilan makanan yang segar amat penting untuk memastikan makanan tersebut membekalkan zat yang diperlukan oleh tubuh badan.
            Kita juga perlu mengawal atau mengurangkan pengambilan makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula dan garamnya. Kegagalan mengambil berat tentang tabiat makan yang tidak betul akan mengundang padah. Namun inilah yang menjadi masalah kebanyakan masyarakat kita. Mereka seolah-olah tidak menyedari bahawa makanan yang seimbang dapat mempengaruhi kehidupan kita.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Makanan Seimbang & Berkhasiat,
Faishah Ramlee, Fokus, Januari 2006)
 

JOM IKUTI BLOG SAYA

"Masa itu emas"