Dikuasakan oleh Blogger.

Khamis, 19 Ogos 2010

Retorik:Perwatakan, Emosi, dan Etika Manusia Dalam Menghadapi Aksiom Kelas Corot

Oleh:Encik Mohd Hazli Che Seman @ Che Othman

Abstrak
Hipotesis ini bertujuan untuk membicarakan hubungan retorik dengan perwatakan, emosi,dan etika manusia dalam menghadapi aksiom kelas corot. Berkaitan dengan perwatakan,emosi, dan etika ini mempunyai perkaitan antara satu sama lain.Malah, etika juga memperlihatkan tentang norma masyarakat, budaya, dan agama.Justeru, hal ini menjadi ketakutan dan cabaran kepada guru dalam mengajar pelajar-pelajar kelas corot.
Abstract
This hypothesis is meant to talk about the rhetoric of characteristic, emotion and ethic in dealing with general assumptions concerning students in the least able class. To begin with; character, emotion, and ethic are relevant to each other where ethic is considered as a norm or the public’s belief in culture, religion, and society. Thus, these are the reasons that intimidate teachers’ in teaching students’ from the least able class.

Pengenalan
             Penulisan ini dikupas berdasarkan disiplin ilmu penulis dalam bidang retorik yang mempunyai pluralisme makna. Retorik bermakna seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar . Manakala mengikut Isocrates pula retorik ialah suatu seni yang memerlukan minda yang bertenaga dan imaginatif merangkumi semua aspek komunikasi. Retorik yang berkaitan dengan seni perucapan ini juga meliputi taakulan, perasaan, dan imaginasi. Selain itu,retorik juga dianggap sebagai penggunaan medium atau bahasa untuk memujuk diri sendiri atau pun orang lain yang berlandaskan penggunaan retorik sebagai landasan penyampaian dan berkomunikasi tentang maklumat. Atas landasan retorik inilah yang memberi impak kepada penerima untuk merubah sama sekali pandangan dan pendirian mereka.Mengikut Stephen dalam bukunya ‘The Art of Public Speaking’,tujuan retorik lebih berkesan apabila disertai dengan penggunaan analisis, penjelasan dan pemujukan. Apakah perkaitan retorik dengan aksiom? Aksiom ialah pernyataan yang diterima umum (tidak dibuktikan tetapi ternyata daripada pengalaman sebagai suatu kebenaran) dan menjadi asas bagi sesuatu huraian.Fenomena sebegini memang dihadapi oleh guru-guru yang mengajar kelas corot dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Oleh yang demikian,kecekalan dan semangat dalaman guru diperlukan untuk menghadapi segala kerenah atau perwatakan para pelajarnya.Kemahiran retorik diperlukan sebagai kemahiran menangani perwatakan para pelajar, bahkan juga kemahiran untuk membendung emosi diri guru sendiri, memahami dan menilai emosi pelajar yang melibatkan etika manusia sebagaimana yang terkandung dalam falsafah pendidikan.


Perwatakan, Emosi dan Etika Manusia Dalam Menghadapi Kelas Corot.
                    Teori pembelajaran mazhab behavioris banyak mengaitkan perwatakan dan emosi dalam proses pengajaran – pembelajaran (P & P). Pada persepsi penulis teori ini memang ada kebenarannya. Saya sendiri sepanjang mengajar di sekolah ini memang menghadapi kerenah para pelajar kelas corot saban tahun.Malah,hasil daripada pemerhatian aksi-laku,gerak-rasa dan gerak-fikir terhadap perwatakan para pelajar ini membawa kelahiran emosi mereka yang berselirat hala tuju dalam pelajaran.Katakan seorang pelajar A dalam hatinya bebas berkata untuk tidak mahu belajar atau ingin ponteng kelas,tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana terikat dengan peraturan dan etika sekolah.Jadi,sifat atau tingkah laku pelajar A itu disebut sebagai perwatakan,manakala perasaannya yang berniat untuk ponteng kelas atau malas belajar pula disebut sebagai emosi.Tetapi niat pelajar A itu dihalang oleh peraturan. Jadi,sebagai seorang guru yang memahami etika kerjanya perlu mendampingi pelajar sebegini untuk memberi bimbingan kepada hati nurani mereka supaya belajar untuk mencapai kejayaan untuk mengurus kendiri dan dalam aspek akademik diharap lulus.Bagi para pelajar yang tetap melanggar peraturan dengan ponteng kelas, malas belajar, menjawab mulut guru, tidak buat latihan dalam kelas dan sebagainya merupakan satu cabaran buat pendidik.Malah, adakalanya emosi guru mengalami rasa geram,hilang kesabaran dan kehilangan kepercayaan mandiri ketika proses pengajaran.Namun,hendak atau tidak kita sebagai seorang guru harus meneruskan pengajaran kepada mereka berdasarkan elemen 9.Lagipun, sememangnya tugas mengajar merupakan co-business guru.Tetapi,apakah cara untuk menangani permasalahan ini? Adakah kesilapan kita mengajar sehingga pelajar tidak tertarik dengan cara kita, walhal pemilihan strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai telah dibuat.Bagaimana pula dengan sikap,kehendak diri dan penerimaan kognitif pelajar berkenaan dalam pelajaran? Sedangkan kita tahu kebolehterimaan kognitif mereka dalam pelajaran adalah lemah,lambat,sikap ketidakacuhan mereka dalam belajar dan ada yang mahu belajar tetapi ketidakupayaan mereka menerima maklumat pembelajaran, ekoran ketidakfahaman secara berterusan pelajar dalam bahagian tatabahasa dan sebagainya. Pernah pelajar saya mengatakan yang kedatangannya ke sekolah kerana tidak tahan dengan bebelan ibu bapa, bosan berada di rumah, datang ke sekolah kerana semata-mata untuk dapatkan wang saku, ada kawan-kawan yang satu pemikiran (sekepala) dan pelbagai sebab lagi yang diberikan kepada saya.Alasan-alasan sebeginilah yang memberi impak kepada atma guru sehingga berlakunya keberlangsungan sikap tidak bena terhadap para pelajar itu dan keadaan ini mencabar profesionalisme guru.Walaupun pada saat saya menulis skrip ini tiada pendalilan deduktif tetapi permasalahan ini pernah diceritakan kepada saya dan dialami sendiri oleh guru lain yang mengajar kelas 3 Qahar 4, 4 Tasawur dan 5 Tasawur (kemudian dibubarkan) sesi 2009.Permasalahan yang sama juga berlaku di tingkatan 1 Cekal, 3 Qahar 3 dan 4 Perdagangan sesi 2010.Guru-guru yang mengalami situasi seperti saya ini telah membuat tasdik kepada pernyataan isu atau tajuk yang hendak saya sampaikan.

                  Oleh yang demikian,bukan senang untuk memanusiakan manusia. Sekiranya pelajar dan guru bermimpikan dengan penuh lampauan emosi untuk memiliki sesuatu,tetapi tiada komunikasi yang berkesan, maka kecelaruan emosi akan wujud dalam diri pelajar dan guru. Keadaan ini boleh merubah personaliti guru dan pelajar,kerana menghadapi tekanan dari aspek psikologi. Bagi Sigmund Freud pula yang merupakan pendokong kuat teori prinsip kenikmatan psikologi telah menganggap manusia lahir lengkap dengan naluri jantina dan agresif terhadap orang lain.Oleh yang demikian,wujud pula tingkah laku manusia yang dipandang sebagai hasil interaksi antara tiga alat dalam sahsiah iaitu Id (Dia),Ego (Aku) dan Superego (Aku yang agung).Hal ini menyebabkan akan ada sikap guru yang berasa mengajar kerana kewajipan tugas sahaja dan mengalami perasaan meluat, bosan,lali atau diistilahkan burn out dengan para pelajar kelas corot. Manakala pelajar pula menunjukkan sikap protes dan benci guru sehingga mereka memilih cara untuk ponteng kelas.Oleh yang demikian,guru dan pelajar tidak lagi berjalan sederap serta seiringan untuk memenuhi tujuan P& P dalam kelas. Lantaran itu, dua gambaran emosi ini akan menyerlahkan lagi perwatakan guru dan pelajar yang menghadapi situasi emosi bercelaru,serabut dan pelbagai lagi.
Tekanan psikologi ini secara implisitnya dapat didiagnosis berlaku kepada diri guru.Guru mengalami tekanan psikologi yang amat berat dan keadaan ini menyebabkan wujud proses membina terhadap kerisauan sehingga membawa perwatakan guru tersebut kepada fikiran yang bertentangan dan memaparkan Ego sebagai sesuatu yang sesuai untuk menyatakannya kepada masyarakat sekolah.Lagipun tekanan tersebut berlaku dalam keadaan bawah sedar. Kerisauan dan kekecewaan inilah yang disebut sebagai perwatakan yang menghadapi gangguan emosi.Hal ini dapat dibuktikan melalui kenyataan berikut;

Menurut Pakar Perunding Kanan Psikiatri,
Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),

Prof. Nor Zuraida Zainal, setiap tahun dianggarkan

22,000 pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan

wad psikiatri hospital berkenaan. Kira-kira 10 peratus

daripada mereka terdiri daripada golongan guru.

(Kosmos,23 Mac 2009 )


                 Memang tidak dapat dinafikan lagi,bebanan kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar, mereka juga terpaksa menyediakan soalan-soalan peperiksaan dari semasa ke semasa, mengisi buku kedatangan, buku disiplin dan ringkasan mengajar, borang kesihatan dan rekod kemajuan murid, kelab dan persatuan, serta mengendalikan persiapan hari sukan. Justeru, guru-guru dikatakan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan sehingga boleh membawa kepada penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan. Malah, kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendapati 70 peratus daripada 9,000 guru di seluruh negara tertekan bukan sahaja kerana beban tugas tetapi juga terpaksa berdepan dengan kerenah pengetua, kerani, ibu bapa dan juga pelajar.


          Menurut Nor Zuraida, kebanyakan mereka menghidap kecelaruan bipolar, iaitu kewujudan pelbagai karakter yang berlawanan dengan keadaan guru terbabit sebelumnya. Ini diikuti kebimbangan melampau dan kemurungan.Mereka yang mengalami kecelaruan bipolar nampak sihat seperti biasa, malah pada tahap hipoaktif, mereka menjadi rajin dan produktif dalam melakukan sebarang kerja walaupun tidak mempunyai waktu rehat yang cukup. Hal ini menyebabkan guru mengisolasikan dirinya kerana tidak sanggup lagi menghadapi tekanan psikologi secara berterusan. Tindakan ini dilakukan kerana emosi telah mempengaruhinya untuk berbuat demikian.“Sekiranya wujud keadaan-keadaan seperti ini, pihak pengurusan sekolah perlu memahami dan membantu guru berkenaan dengan mengurangkan waktu dan kelas mengajar serta memberi kelonggaran untuk menjalani terapi dan kaunseling,” jelas Nor Zuraida lagi.


             Walau apapun situasi, guru tetap guru yang perlu masuk kelas untuk mengajar kerana etika dan profesionalisme guru yang menuntut untuk berbuat demikian.Dalam penghidupan seorang guru dengan kerjayanya, etika yang wujud merupakan peringatan kepada watak - perwatakan guru kerana adakalanya sesuatu perkara itu boleh buat atau tidak boleh buat.Oleh itu, guru perlu banyak menggunakan bahasa retorik yang indah, menyentuh jiwa, memerlukan tafsiran dan pemikiran yang mendalam bagi menghadapi para pelajar kelas corot.Impaknya, mendatangkan manfaat kepada diri guru sendiri dan pelajar dalam menangani emosi masing-masing.Adakalanya etika boleh diketepikan apabila menghadapi situasi rencam dengan para pelajar kelas corot. Hal ini demikian kerana,etika sesuatu yang relatif dan adakalanya psikologi dan falsafah mengambil alih peranan etika.Psikologi bermakna guru perlu menyoroti ke dalam diri pelajar kepada tujuan dan keinginan manusia yang bergelar murid sangat kompleks. Sementara itu, falsafah pula menjelajah keluar untuk mencari erti kehidupan manusia dalam hubungannya sesama manusia, dengan alam semesta dan tuhan.


Retorik:Weltanschauung dan Penyelesaian Fenomenon


           Sedari saya menulis artikel yang mengandungi pendalilan silogisme yang dikemukakan ini boleh disangkal premisnya, sekiranya khalayak tidak berpuas hati.Audiens boleh mengutarakan premis-premis baharu sama ada dalam bentuk pendalilan induktif atau deduktif serta menggunakan penghujahan asertif,penghujahan berilustrasi dan penghujahan faktual.Kembali saya kepada tujuan asal penulisan artikel ini.Oleh itu, izinkan saya menyatakan situasi rencam para pelajar kelas corot berdasarkan disiplin ilmu retorik,kosmologi dan pemikiran Melayu(bukan dalam disiplin ilmu pendidikan) yang saya pelajari dulu bahawa para pelajar ini bersikap retorikus malas,retorikus culas dan retorikus lizardus dalam ruang lingkup entiti dunianya.Justeru,guru harus berusaha untuk mengubah pemikiran,kepercayaan dan perlakuan para pelajar kelas corot.Jadi,guru(perucap) yang ingin menggunakan retorik pemujukan harus tahu lebih mendalam tentang kecenderungan,minat,pemikiran literal dan penerimaan lateral kecerdasan daya kognitif (otak),termasuk kebolehan membaca serta kecondongan pelajar terhadap sesuatu subjek.Pekara inilah yang merupakan cabaran dan ketakutan guru dalam mengatasi fenomena berkenaan.Segala kekangan dan rintangan bukan mudah untuk mencari titik penyelesaian dan seterusnya menggapai matlamat dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Tambahan pula, fakulti minda para pelajar kelas corot berada di tahap lemah.Oleh yang demikian,pemujukan yang hendak dilakukan oleh seorang guru mesti berkomunikasi tentang informasi dengan jelas, ringkas dan perlu menggunakan kaedah-kaedah penyampaian yang menyakinkan para pelajar galus (gagal lulus),kini dipanggil pelajar halus (harapan lulus).Hal ini demikian kerana pemujukan merupakan satu proses psikologikal dalam konteks untuk menyatakan sudut pandangan kita dan kemudian menyematkannya dalam pemikiran orang lain (pelajar) sehingga membolehkan mereka lulus dalam peperiksaan atau setidak-tidaknya dalam kejayaan mereka menguruskan kehidupan selepas keluar dari alam persekolahan.


            Selain itu, pemujukan yang saya buat tertumpu kepada pemujukan tidak rasional( ethos dan pathos) bukan pemujukan rasional(logos atau reason).Sebagaimana menurut Aristotle menyatakan pemujukan adalah seperti berikut;


“Aristotle defines it, is faculty of observing in any given case the available means of persuasion, and since the orator adresses a popular audience including untrained thinkers,his appeals is threefold: to their reason (logos), to their feelings (pathos),and to their confidence in his character, that is,in his virtue,competence,courtesy,good sense,good will (ethos).It thus appears,says Aristotle,that rhetoric is an offshoot of dialectic (logos) and also of ethical studies(ethos and pathos)”


          Lantaran itu, usaha memujuk orang merupakan sesuatu yang susah. Walau bagaimanapun tanpa kita sedar pemujukan sebenarnya berlaku setiap hari dalam kehidupan kita, sama ada ia berlaku pada individu atau berkumpulan bagi menyatakan weltanschauung perucap terhadap subjek.Untuk tujuan ini, guru hendaklah melaksana pemujukan tidak rasional bagi berkomunikasi tentang maklumat dengan baik dan memerlukan segala skil berucap supaya para pelajar kelas corot akan memberi reaksi dan aksi serta menaruh kepercayaan.Pemujukan sebegini tidak merayu kepada intelek tetapi pada perasaan dan emosi.Kesan-kesan emosi adalah luas seperti gembira,belas kasihan,geram,sayang,cekal dan sebagainya. Dengan mempermain-mainkan perasaan itu,guru berharap untuk mengubah kepercayaan dan kelakuan para pelajarnya. Dalam hal ini,sekiranya guru berjaya menaruh kepercayaan dan membuka halangan kepada ruang emosi berdasarkan Model Tingkap Johari,maka hubungan guru –pelajar menjadi harmoni.Seterusnya dapat merungkai segala tekanan kepada beban dan mental guru.Manakala perwatakan pelajar pula dapat menjadi insan yang boleh ditunjuk ajar, menerima kita sebagai gurunya dengan rela hati dan suka untuk berada dalam kelas kerana minat dengan guru berkenaan.Tetapi, perkara ini bukan mudah untuk dilaksanakan kerana ia menuntut kesabaran dan kecekalan yang paling tinggi.Malah,saya sendiri kadang-kala mengalami konflik mengajar dengan para pelajar kelas corot.Apakah kita mampu menghadapi realiti dan konflik sebegini secara berterusan? Sukar untuk saya memberi jawapan.Kata hati audiens yang membaca artikel saya ini mungkin dapat menjawab pertanyaan saya.Apapun berikanlah kepada saya, tuhanku yang Maha Esa segala kekuatan dalam menghadapi dilema ini.

                Di samping itu, kajian tindakan dan inovasi dalam P&P boleh dilaksanakan kepada para pelajar kelas corot untuk membantu mereka lulus dalam peperiksaan.Namun, sejauh manakah keberkesanan kajian dan kejayaannya? Saya sendiri pernah terlibat dengan kajian tindakan pada peringkat daerah,negeri dan kebangsaan.Kajian yang saya buat pada tahun 2005 untuk kelas 3 Qahar 7 pertama kalinya menemui kegagalan,tetapi atas satu tekad dan keterpaksaan pada waktu itu saya meneruskan lagi kajian untuk gelung yang kedua.Kali ini,kajian saya berjaya merungkai masalah pelajar dalam pembinaan pola-pola ayat dasar berdasarkan pembahagian subjek dan predikat.Hanya 5 orang sahaja yang gagal dan saya istilahkan sebagai pelajar garus(gagal terus). Seminggu sebelum saya bentangkan kajian saya dalam sesi selari, satu perjumpaan dengan JPNT dan BPDP telah diadakan.Istilah garus yang saya wujud ini menjadi polemik dan kurang disenangi.Berdasarkan kutipan data,analisis peperiksaan dan metode yang telah saya buat,saya tetap mengemukakan premis saya bahawa pelajar berkenaan sememangnya gagal.Tetapi siapalah suara saya yang tiada sederetan Master atau Phd dalam mengeluarkan pernyataan istilah garus. Malah saya diminta supaya gelung seterusnya dibuat kepada 5 orang pelajar tersebut, sedangkan saya juga ada tanggungjawab mengajar kelas Bestari,STPM dan segalas beban tugas yang lain untuk dilaksana.Hal ini menjadi dilema dalam atma dan kotak fikir saya.Ada yang meminta saya tukar istilah itu kepada halus,sedangkan realitinya memang pelajar-pelajar berkenaan sentiasa gagal dari awal ujian hingga akhir ujian.Para pelajar ini memang bermasalah 4M 1D (membaca,menulis,mengira,malas dan disiplin). Akhirnya, saya akur untuk menukar istilah garus kepada halus.Pada persepsi saya ingin tegaskan bahawa hasil kajian ini tidak semestinya dapat digunakan untuk pelajar kelas lain kerana ia bergantung kepada budaya dan kebolehan pelajar semasa membuat kajian,tetapi kaedahnya boleh diadaptasi serta diterapkan pengamalan cara kepada para pelajar lain.
Refleksi
             Tuntas bicara,dalam menghadapi aksiom kelas corot memang kita akan melalui jerih perih untuk melahirkan pelajar yang berjaya dalam pelajaran, apatah lagi dalam soal untuk mengejar pembentukan insan kamil jauh sekali.Sekiranya guru terlalu berharap, meletak pencapaian akademik pelajar semata-mata,maka akan membawa tekanan-tekanan emosi dalam diri seseorang guru.Natijahnya, apabila tidak mencapai target dan apa yang diharapkan,lama-kelamaan guru itu sendiri akan berasa nihil.Oleh sebab itu,pada prinsip penghujahan deduktif dan pengaklunan pemikiran saya,maka kejayaan para pelajar kelas corot bukan bergantung kepada pengukuran kejayaan akademik sahaja.Apa yang menjadi premis saya ialah para pelajar kelas corot nanti berjaya menempatkan diri dalam hubungan kemasyaraktan yang positif, bekerja untuk meneruskan keberlangsungan penghidupan,mengurus diri atau keluarga dan mencapai kebahagiaan duniawi serta ukhrawi.Sekiranya audiens berasa premis saya tidak berada pada landasan keabsahan silalah menegur saya dengan mengadakan majlis polemik atau penghujahan induktif dan marilah kita bersama-sama mengumpul data-data empirikal serta seterusnya mencapai konsensus dalam senario menghadapi kelas corot.


BIBLIOGRAFI


Akhbar


Siti Nor Afzan Kasiman. Ramai Guru Sakit Jiwa.Kosmos,23 Mac,2009.


Buku


E.Lucas,Stephen. The Art of Public Speaking. USA: McGraw-Hill,1995.


Hamidah Abd.Hamid. Pengantar Estetik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1995.


__________.Kamus Dewan.Edisi ke-4. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,2007.


Mok Soon Sang. Nota Ulangkaji dan Latihan P.T.K. Bandar Puchong: Multimedia-ES Resources Sdn.Bhd.,2005.


Peter Dixon. Retorik. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991.


Wilson, John. The Philosophy. London: Heinemann Educational Books Ltd.,1972.







Rabu, 11 Ogos 2010

KALIMAH TEKAD

"Bukan senang untuk memanusiakan manusia"
KALIMAH TEKAD

Oleh
MOHD HAZLI CHE OTHMAN

Tatkala bayu pagi menerpa sejuk pipiku, tika diriku mengelamun mengingat jauhnya halaman desa yang aku rindui.Silih pula berganti dengan ribuan permasalahan pelajarku. Realitinya harus aku sedar.Kini aku berada di pedalaman Telaga,Pitas, Sabah.Seribu resah.Sekandung sebak dan sebendung kalut fikir yang susah untuk dirungkai.Betapa susahnya kufikir tugas guru mengajar murid-murid yang daif segala-galanya untuk kenal bait-bait ilmu subjek yang aku ajar.
“Mengelamun dikau sigu” sapa seorang mak cik menyedarkan aku dari fikiran yang jauh menerawang.
“Nda ah, sombo iyananmu bersama Bentayan pagi-pagi begini?”
“Pakadai, mahu beli kunau, manuk dan payau buat menjamu keponakanku yang akan sampai dari Kinabalu.Limpas dulu ye sigu.”
“Bah”.
Anak mataku tertancap melihat anak muridku Bentayan menyusuri belakang ibunya.Mengapa kau begitu susah untuk menerima aku mengajarmu? Apabilaku bertanya kau diam membisu.Aku marah kau menghilang diri dalam hutan paya bakau atau di hilir sungai kau mencari ketam.Hilang marah aku,kau menjawab pendek.Malas dan tidak pandai, itulah jawapan yang kudengar keluar dari bibirmu. Kau jua sama juga dengan rakan-rakan sekelas 3 Ikhtiar yang lain. Doris, Elster, Ruzi, dan Kusni lagi teruk.Dah mula pandai menghisap tigur. Kalau ponteng kau bercanda dan mandi ria di muara Pitas.Hairan.Tidak pula pak cik-pak cik yang menangkap ketam atau yang berperahu menuju kelong mahu menegur mereka supaya ke sekolah. Mungkin mereka hanya tahu barangkali anak-anak ini mahu mencari rezeki untuk membantu keluarga. Kalau tidak mencari kunau mungkin mencari dalus untuk dijual di Bandar Kudat .Tengah hari nanti tahulah aku apa yang perlu dibuat… Jam sudah menunjukkan pukul 11 pagi.Patutlah tiba-tiba perutku berkeroncong.Lupa yang perut ini belum diberi makaun.Lantas ke restoran Pak cik Pilin ku ke sana untuk sarapan pagi merangkap makaun tengah hari.
“Kak Timah buatkan sigu nasi lemak special, daging payaunya goreng kicap ye,err… cuma manuknya saja goreng biasa, airnya tubik ping saja”,pintaku.
“Kuah supnya kasi taruh bawang goreng lebih ke sigu”
“Yep.err… Si Ujang anak Pak Cik Ohsu kerja kat mana sekarang Kak Timah”
“Kat KK,kursus memasak belum kerja lagi”
“Oh,begitu!”
“Cuma anak Kak Timah tu, bilangnya hari ini tak mahu pergi iskool…berbakul sudah Biuknya memarahi tapi buat tak endah je.Mungkin kalau sigu suruh mahu juga hendaknya ke iskool”
“Siapa? Si Raiman ke Raimi”
“Raiman.Adiknya tiada masalah.Mahu juga jadi orang pandai.Tapi lain sikit Si Raiman ni.Tapi kalau menyanyi,manau-manau dan ke pesta aramaiti dia yang nombor satu.”
“Emm…selepas makan nanti sigu akan pergi pujuklah Si Raiman.Ada di rumah Biuk atau di rumah Kak Timah?”
“Di rumah Bentayan.Katanya mahu jumpa kawan lamanya yang baru tiba dari KK pukul 10 tadi.Kawan lamanya tu saudara kepada Bentayan.”
Aku melahap dengan begitu selera sekali.Dari 4 restoran yang ada di desa ini,hanya restoran ini saja yang berani aku makan. Tiba-tiba menjengah Kusni di depan pintu restoran.
“Eh,sigu ada kat sini.Siok betul sigu makaun ye!.”
“Kusni nak makaun nasi lemak sekali marilah Sigu belanja”
“Boleh juga,rezeki kita tidak tolak sigu”
“Awak dari mana? Dah siap ke belum latihan bina ayat adjektif yang sigu beri semalam? Dah siap ke belum nota KOMSAS yang awak janji nak siapkan hari ini?”bertubi-tubi ku bertanya kepada anak muridku yang sangat nakal ini.
“Dari perbukitan saanaa,main-main dan mandi warungan.”
“Kerja sekolah yang sigu beri camna?”tanyaku lagi.
“Belum siap sigu.Buku latihan tatabahasa saya habis.Buku nota KOMSAS pula hilang”
“Awak ni Kusni ada-ada saja alasannya.Setahu sigu buku awak bawa ke sekolah satu buah je.Buku BM yang tu ,buku nota sejarah pun yang itu juga.Macam-macam ada dalam buku awak tu.”dengus diriku.
“Aik..bah sigu ni macam iklan astro yang saya lihat kat hotel tempat abang aku bekerja”balas Kusni dengan muka lawaknya.
“Emm..makanan dah sampai.Awak makan dulu.Nanti kat sekolah jumpa sigu.Sigu nak bagi buku latihan yang baru”.
“Baik sigu”
Setelah selesai saja membayar makanan kami berdua,aku terus pulang ke rumah untuk bersiap-siap ke sekolah.Sebelum pulang sempat aku berpesan kepada Kusni supaya hari ini jangan ponteng sekolah.Dalam perjalanan pulang aku singgah dulu di rumah Bentayan.Ingin memujuk Raiman dan Bentayan supaya datang ke sekolah. Aku tahu mengapa mereka kedua-dua ini tidak mahu ke sekolah. Hal ini demikian kerana mereka dimarahi oleh cikgu Ajamain ekoran tidak menyiapkan latihan matematik yang diberi dan juga ditangkap kerana menghisap tigur di belakang semak dekat tandas rumah pengetua.Sampai di sana aku lihat Bentayan, Raiman dan saudara Bentayan yang juga rupa-rupanya Haidi, bekas anak muridku 3 tahun yang lepas berada di bawah kolon, begitu asyik dan leka sedang mengangkat pukat yang ditahan. Aku lihat ikan Sapi-Sapi dan ikan Sumpit-Sumpit turut sama menjadi mangsa pukat.
“Bentayan, Raiman, Haidi banyak ke dapat ikan Pengaluwan?”
“Eh, sigu…nda banyak. Ikan Pengaluwan susah nak dapat.Mahu ke laut dalam baru ada.Setakat Sumpit-Sumpit yang tidak berguna banyak terjerat.”jawab Raiman.
“Yang ada boleh buat lauk ikan mata besar dan kembung saja.Sigu mahuke?”celah Si Bentayan.
“Tak mahulah.Tiada orang nak masak.Awak Haidi onu abarmu ? Apa cerita awak sekarang? Seronokke tinggal kat KK?”soalku kepada Haidi bertalu-talu.
“Khabar baik.Selepas gagal dalam PMR sigu aku kerja kat kilang pemeprosesan makanan laut di Luyang,bantu orang tuaku.Tentu seronoklah sigu,Bandar KK semua ada.Tidak seperti kampung asal ibuku ini”
“Oh,begitu!”
“ Ni, Raiman dan Bentayan sigu singgah kat sini nak ajak kau orang berdua pergi sekolah hari ini.”
“Nda mahulah aku sigu…benci aku lihat muka sigu Ajamain tu.Sudah aku bilang mengaku salah mengajak Raiman menghisap tigur.Tetapi dibebelnya kami dengan hal yang bukan-bukan.Dituduhnya aku ni keturunan pencopet dan orang sungai yang tidak tahu bersyukur kerana diterima tinggal di desa ini.”ujar Bentayan.
Patutlah pagi tadi aku melihat wajah Si Bentayan muram dan kelakuannya tidak segalak beberapa hari yang lepas.Rupanya ada cerita disebalik kesuraman wajahnya.Setahu aku memang datuk Ajamain ini ada krisis kekeluargaan dengan datuk Bentayan, ekoran datuk Bentayan mengahwinkan ibu Bentayan dengan orang KK dan bukan dengan bapa saudaranya.Desas desus ini aku peroleh daripada Pak Cik Bahkri ayah angkatku yang juga ketua adat di desa terpencil ini.
“Kachivannya.Apapun awak berdua tetap kena pergi sekolah.Masa matematik nanti pun sigu akan masuk ganti. Sigu Ajamain seminggu tiada di sekolah kerana dia pergi berkursus.”
“Betulke sigu.Sigu nda membuyuk kami?ujar Raiman.
“Betul. Sigu nda memboyot kamu.Apa tu?”
“Sigu bukan memboyot la,tapi membuyuk bah…memboyot tu membuncit.Membuyuk ni bilang orang semenanjung menipu”sampuk Haidi.
“Oh,sigu salah sebut ye!”…serentak dengan itu kami semua ketawa.
Selepas menyuruh anak muridku ke sekolah aku terus pulang.Jam ditangan menunjukkan pukul 12,tinggal setengah jam lagi untuk aku bersiap-siap ke sekolah.
Waktu mengajarku telah tiba. Aku gagahi diriku macam hari-hari biasa untuk mengajar kelas itu.Guru lain begitu juga.Semua guru tak sanggup duduk lama-lama mengajar 3 Ikhtiar.Hanya rutin harian menyebabkan mereka mengajar.
“Hai, cikgu Hazri…nak ke kelas 3 Ikhtiar ke?Nak belajar ke dia orang? Tadi masa bahasa Inggeris saya pun ada 17 orang je,10 orang lagi tah ponteng kat mana?” tegur cikgu Ma Le Chu.
“Ya ke.Hendak belajar ke tak,kita tetap kena masuk kelas dan mengajar.”sambil berjalan longlai ke kelas 3 Ikhtiar.
“Semua bangun.Salam sejahtera cikgu”sapa ketua kelas dengan diekori oleh para pelajar lain.
“Salam sejahtera.Sila duduk”
“Terima kasih cikgu”
“Hari ini cikgu nak bincang jawapan latihan bina ayat adjektif yang saya bagi semalam.Semua dah siapke?
Ada yang diam.Ada pula yang memberitahu separuh saja yang siapkan kerja rumah.Ada yang tak buat langsung.Ada yang beri alasan buku tertinggal kat rumah.Begitulah alasan kelas ini setiap hari,tidak termasuk lagi kerenah mereka yang pelbagai ragam.Tiba-tiba masuk Raiman, Bentayan,Elster, Saimah dan Jainah ke dalam kelas tika aku sedang mengajar.
“Kamu orang ni dari mana?,Saimah dan Jainah kamu pun ponteng juga ke masa bahasa Inggeris tadi?”
“Kami dari tempat rahsia sigu”,jawab Elster.
“Bukan apa sigu,kami keluar dari kelas sebab kami takut kena denda jalan itik dan lompat katak.Sigu Ma beritahu kalau sesiapa tak lulus ujian vocabulary yang hendak dibuat hari ini akan didenda”celah Jainah.
“Habis awak tak membaca apa yang diberi oleh cikgu Ma, sebab itulah hari ini awak semua tak boleh jawab”beritahuku kepada para pelajar.
“Bukan tak baca,tapi otak kami tak ingat cikgu,daripada kami malu jalan itik melalui kelas-kelas lain baik kami ponteng cikgu.”jawab Saimah gadis Suluk yang comel paras rupanya.
“Emmm…Ruzi, Kusnin, Doris, Kiara, dan Samsuri pula tak join ponteng kau orang ke?”
“ Ruzi, Samsuri dan Doris mereka kena denda khidmat masyarakat hari ini.Dia orang kena kemas bilik sukan dengan tolong guru PJ buat line kat padang.Kusnin dan Kiara ke bilik kaunseling kerana kes bercinta,” jelas Alex, ketua kelas 3 Ikhtiar.
“Kamu semua ni macam-macam masalah.Baiklah mana yang ada dalam kelas hari ini kita teruskan dengan pembelajaran kita.Elster cuba buat ayat adjektif yang menggunakan perkataan cantik”
“Saimah sumandak yang paling cantik dalam kelas ini”
“Bukan sumandak,tapi gadis”
      Setelah beberapa minit bersoal jawab dan membimbing anak-anak didikku membina ayat adjektif, mereka mula kelihatan rimas.Ada yang beritahu kepala mereka nak pecah.Malas nak berfikir.Ada yang berkali-kali diberitahu dan dibuat pengulangan tapi tetap tidak faham atau mungkin berpura-pura tidak faham.Itu desis hati kecilku.Seksa dan dalam keadaan dilema sungguh mengajar kelas ini.Patutlah semua guru asyik bercerita tentang para pelajar kelas ini.Melihat keadaan sedemikian rupa,maka aku pohon pelajarku mengambil nota,sambungan nota semalam yang berkaitan jenis-jenis kata adjektif.Tetapi tidak kuduga ada yang menjawab malas nak tulis.Ada yang bagi tahu patah jari. Ada yang bagi tahu dah lenguh salin nota kerana tadi dah banyak salin nota geografi.Jawapan-jawapan begini buat aku meradang.Apabila aku meradang ada seorang dua pelajar yang meniru gayaku meradang.Hal ini menyebabkan egoku tercabar dan lantas tanpa sedar tanganku telah membaling pemadam papan hijau dan memang kena tepat pada muka pelajar berkenaan.Seluruh kelas jadi gamat.Mereka ketawa kerana muka kawan mereka macam artis opera Jepun memakai bedak tebal Sakura.Hatiku bertambah marah,bukannya mereka terkejut dan diam tapi kawannya itu menjadi bahan ketawa pula.Tanpa kusedar sebelum apa-apa terjadi kakiku melangkah keluar dari kelas.Rasa meluat dengan kelakuan para pelajar.Bentayan dan Raiman diam membisu.Mereka tahu hatiku terluka.Masa matematik yang kujanji dengan mereka berdua untuk aku masuk ganti tidak ditunaikan.Selagi pelajar yang meniru gayaku tidak datang meminta maaf aku tidak akan masuk ke kelas.Begitulah hari yang seterusnya,melihat muka Albert je aku cukup benci dan amat meluat.Hubungan kami semakin renggang.Hal ini disedari oleh Kusni,Raiman dan Bentayan.Mereka cuba menjernihkan kembali situasi aku dengan Albert dan secara tidak langsung mengembalikan semula suasana keceriaan kelas 3 Ikhtiar. Mereka bertiga dan kawan-kawan sekelas yang lain mahukan suasana seperti dulu. Saat cikgu Hazri yang pernah mengajar mereka dalam keadaan senyum manis, ceria dan bersemangat dalam mendidik kelas 3 Ikhtiar.
“Assalamualaikum,sigu Hazri” laung Bentayan,Raiman dan Kusnin memberi salam serentak.
“Walaikumussalam,…ah,kamu bertiga rupanya!” sahutku.
“Ye sigu.Kami bertiga datang ni ada hajat”
“Oh, ada hajat,kalau ye pun naiklah dulu”
“Terima kasih kerana sudi jemput naik dan sudi mendengar hajat kami”
Ketiga-tiga anak muridku silih berganti menceritakan hal sebenar berkaitan Albert yang kematian kedua-dua orang tuanya.Albert kini hanya tinggal dengan kakaknya di rumah kongsi pekerja-pekerja kayu balak di bukit Pitas.Kerja kakaknya hanya menanda cat merah di batang-batang kayu balak dan mengira jumlah kayu balak yang ditebang.Mereka juga memberitahu sikap Albert yang keras kerana berkawan dengan orang dewasa yang tidak berpelajaran.Namun,hati kecil Albert ingin memohon maaf dariku tapi bibirnya kelu untuk berkata-kata.Malah aku sendiri tidak memberi ruang walau sekelumit untuk Albert. Tika aku tahu kebenaran ini,maka hati ini tersentuh pilu.Tahulah aku bahawa keegoan diriku dan diri kau menyusahkan kita sebenarnya…menyebabkan kau dan aku terkongkong dalam kepompong yang kita cipta sendiri. Kedegilanmu menjadikan aku sedar,payahnya merealisasikan sebuah impian.Dan kerana kepayahan itu jualah kau bagai helang bebas di angkasa. Hanya sesekali hinggap di dahan apabila sayapmu lelah mengepak.Lantas,aku perlu bertekad supaya tidak pernah jemu menunggumu yang sesekali itu…
       Esoknya aku tampak bersemangat kembali.Dengan niat yang murni dan demi tugas mendidik anak bangsa aku ingin merubah mereka.Aku mula uzlahkan diriku dulu.Aku persiapkan bahan bantuan mengajar yang lebih baik dan kaedah baru dalam mengajar.Umpamanya kalau hendak mengajar KOMSAS untuk mengharapkan mereka baca buku langsung tak baca.Kalau sekadar bercerita sahaja langsung tak menarik minat mereka.Lantas, sinopsis cerita novel Ekspedisi aku buat dengan kaedah bermain wayang kulit. Harap-harap kaedah baru main wayang kulit ini dapat menarik minat mereka dalam belajar KOMSAS nanti. Pelbagai kaedah telah aku laksanakan sehingga menjadi bahan bualan guru-guru lain.Ah, tak kupeduli apa orang kata!.Hargaku bukan di mata manusia.Jika ajal maut di tangan tuhan,maka rezekiku untuk menggapai kejayaan untuk mendidik anak-anak didikku sehingga jaya merupakan anugerah-Nya.
         Bulan Mei hampir mengengsot pergi dan Jun akan menjengah tiba.Pengetua memanggilku kerana katanya ada suratku yang diambil di PPD Pitas.Hatiku begitu melonjak gembira kerana surat pertukaran balik ke semenajung telah diluluskan.Kali ini aku akan berkhidmat di Daerah Kemaman,Terengganu.
Di sekolah yang baru aku tetap diberi kelas hadapan dan kelas corot. Ragam anak-anak didikku di kelas corot sekolah baru ini juga hampir sama,cuma beza budaya dan dialek bahasanya saja.Aku kenal Darimi, Farid, Hishabudin,Anizam,Fieqa,Azizi,Aiman dan semuanya yang tidak dapat kusebut.Untuk mengajar didikmu aku pohon sekali lagi kekuatan dari-Mu supaya kalimah tekadku untuk mengajar tiada kekangan. Aku perlu mengerti kalimah ini dengan lebih jauh dan mendalam selaku penjunjung amanah untuk menyebar luas kalam ilmu pengetahuan.
 

JOM IKUTI BLOG SAYA

"Masa itu emas"